Thursday, April 30, 2015

~ NASI LEMAK, BUAH BIDARA..


AKU berharap untuk menjadi pihak berkecuali. Tidak cenderung kepada si A dan tidak juga kepada si B. Kedua-dua merupakan teman yang setiap hari aku hadap membuat urus di lantai pekerjaan dan kenal hati budinya. Jauh di sudut hati ini, aku sangat berharap agar keduanya dapat menyelesaikan soal hati masing-masing dengan sebaik-baik pertimbangan. 

Cinta. Kadang-kala mampu membunuh segalanya. Mampu mencampak dan membuang segala punya tanpa ada pertimbangan yang wajar pada akal yang waras.

Dan, begitu jugalah babak tragis yang berlaku kepada dua sahabat ini. Berebutkan cinta seorang manusia yang bermain tarik tali dalam hati mereka. Awal cerita, kasihnya pada si A. Beberapa ketika, hati beralih arah dan perginya kepada si B. Drama tercetus kerana si A dan B ini adalah teman sepekerjaan. Dan, manusia yang seorang itu tahu benar akan itu kerana si B juga dikenalinya atas urusan pekerjaan dari si A.

Entah bagaimana di dalam senyap mereka, manusia yang seorang ini  kembali kepada si A, pada ketika dia masih bersama si B dan tentu sekali ia tanpa tahu si B. Dan, oleh kerana masing-masing saling mengenali dan pastinya juga dikelilingi oleh rakan-rakan dari kumpulan rantaian yang sama, maka terhidulah drama sebabak itu.

Ribut. Dan tempiasnya dirasai oleh semua kami yang berkeliling. Dan, sungguh.. sedikitpun tidak ada niat untuk mencampuri urusan hati mereka bertiga, namun sayangnya rasa pada sebuah persahabatan yang terbina. Musnah hanya kerana permainan yang diatur luar pertimbangan.

Persahabatan... ya, persahabatan.

[Sedang meng-hitong, berapa-kah lagi sahabat yang maseh aku punya..]

Wednesday, April 29, 2015

~ KAMU YANG HARI INI.. ~


HIDUP matimu hari ini, sememangnya hanya untuk itu sahaja, bukan... Apapun, semoga kamu bahagia memenuh kehendak dan mahu itu. Kehendak yang menjadi hidup matimu hari ini. Terima seadanya, tanpa sebarang pilihan. Dan, hanya terpakai untuk selain kamu.

[Seada-nya.]

Tuesday, April 28, 2015

~ SELAMAT HARI ULANG TAHUN SI KECIL TAURUS ~


ALLAH SELAMATKAN KAMU... 
Allah selamatkan kamu.. Allah selamatkan si kecil IR.. Allah selamatkan kamu. 

Selamat hari ulang tahun wahai si kecil Taurus. Setiap hari semenjak sebulan yang lalu kamu asyik menghitung hari untuk merai hari besarmu ini. Nah, hari ini kita akan sama-sama berlagu nyanyi untuk sebuah kegembiraan dan kesempatan umur yang masih terbagi Tuhan ini.

Sayang, semoga besarmu nanti menjadi anak yang mendengar kata dan mendulukan ayah ibu serta keluarga sebagai hal yang paling atas dalam setiap perkiraanmu. Mudah-mudahan juga besarmu menjadi si bijak yang tidak hanya tahu menutur kata tetapi juga yang tahu membela nasib mereka yang menggantungimu selain kepentingan diri, agama, bangsa dan negaramu.

Selamat hari lahir terpaling manis, 28 April 2015.

[Tiada jawapan untok soalan-mu siang hari tadi.. tentang rakan dewasa-mu itu..]

Monday, April 27, 2015

~ TEATER VELVET ~


















HAMPIR-hampir sahaja aku terlepas menonton persembahan hebat wanita berhati angkasa, Fazleena Hishamudin melalui naskah teater terbarunya, Velvet, yang dipentaskan sepanjang 22-26 April, di Damansara Performing Arts Centre.

Nah, hari ini atas kesempatan dan rezeki yang ada, sementelah tamat tempoh berkabungku untuk sahabat yang telah pergi, aku ada di sini sebagai tanda sokongan kepadanya. Tiketnya juga hanya dibeli beberapa minit sebelum pementasannya bermula atas dasar mencuba nasib.

Jujur aku katakan, naskah arahan Khairul Amin (terbitan Ceretek Production) ini menampilkan skrip dan jalan cerita yang begitu memikat. Sementelah bertuahnya dia kerana naskah ini dibangunkan dengan persembahan yang cukup baik daripada para pemainnya yang terdiri daripada Fazleena Hishamudin, Zahiril Adzim, Armin, Nazri Ahmad dan lain-lain.

Malah babak pembukaan yang diselangi lagu yang membawa ingatan kepada kelab Burlesque yang menjadi kegemaranku juga menjadi sesuatu yang cukup menarik. Meski hanya dengan latar dan set pentas yang ringkas, ia sudah cukup membawa menonton ke dalam babak cerita.

Paling menang di hatiku, tentunya persembahan monolog yang penuh bertenaga daripada Fazleena yang membawakan watak Dian. Kalau tidak aku nyatakan di sini sekalipun, aku percaya ramai yang berpendapat serupa. Sementelah kebolehan dan kemampuan Fazleena di pentas teater tiada siapa yang mampu menyangkalnya. Dan, untuk teater Velvet ini, dia melakukannya dengan begitu cemerlang sekali. Meski hanya muncul di awal dan akhir babak, dia benar-benar mengikat penonton dengan persembahan memikatnya.

Sekalung tahniah juga buat seluruh tenaga produksi. Semoga terus tampil dengan karya-karya yang lebih bermutu pada masa akan datang. Usah dikejarkan kepada godaan komersial, kerana sesungguhnya naskah yang baik adalah naskah yang mampu menjana pemikiran masyarakat dan bukan semata-mata mengejar jualan tiket.

[Hidop-lah hari ini sepenoh-nya, umpama esok sudah tiada..]

Sunday, April 26, 2015

~ BERHENTI ~






HARI pertama untuk tahun ini aku menjejakkan kaki ke PWTC untuk menjelajah isi perutnya sempena Pesta Buku Antarabangsa 2015. Hal yang menjadi kemestian semenjak aku menjadi penghuni kota lumpur ini.

Kali ini, ibu turut menemani. Kebetulan ibu juga ingin mencari beberapa buku keperluannya. Justeru pada lewat petang hari tadi, kami meredah sesak perut PWTC untuk tujuan itu.

Entah apa yang menjadi kebetulan, kami terserempak sahabat tsunami (dan ). Aku cuba mengalih arah, kerana tidak mahu kami saling serba tidak kena dan tidak tahu membuat reaksi apa kala bertentang. Namun, mana mungkin jarak selisih bahu itu mampu terelakkan.

Justeru, dek kerana jarak itu, aku kira dia akan berhenti untuk menyapa atau menyalami ibu, meskipun tidak aku. Namun, ia tidak terjadi begitu. Tidak tersangka berlalu dia dengan senyum tawa yang tidak terendahkan. Ermm..

Usai mendapatkan buku-buku ibu, kami terus pulang. Dan, satupun tidak aku belek atau bawa pulang untuk diri sendiri seperti rutin selalu. Hati sudah jadi lain.

[Stranger..]

Saturday, April 25, 2015

~ GENAP, DAN SENDIK ~







SEMINGGU yang lalu (18 April 2015), pada hari dan waktu yang berulang hari ini (Sabtu, 10.15 pagi), sahabat yang paling amat aku sayangi telah pergi meninggalkan aku dan seluruh manusia yang menyayanginya. Perginya dia untuk mengadap Sang Pencipta kala janjinya dengan yang diatas sana tiba pada ketikanya. Tidak terawal dan tidak juga terlewat meski sesaat.

Paling jujur harus aku katakan di sini, akal dan hati terlalu tersentak dengan pemergian sahabat yang seorang ini. Bukan kerana menidak takdir, dan sesungguhnya kematian itu adalah sesuatu yang pasti untuk setiap sesuatu yang bernyawa di bumi Allah ini. Cuma kenyataannya aku ini hanyalah manusia biasa.. manusia yang seringnya gagal untuk menahan pecah yang tidak terjangka. 

Dan, setelah genap seminggu.. aku meratapi, mengenangi dan mendedikasi rasa pecah ini atas kehilangannya, baru hari ini aku punya kekuatan untuk membicarakan tentang dirinya. Itupun hanya cukup di ruang ini dan bukan untuk mengisi soal tanya segala macam manusia lain yang merujuk aku atas rasa ingin tahu mereka. 

Aku dicari lantaran setakat dalam tahu mereka, aku adalah antara manusia yang paling dekat dengan sahabat ini. Tidak kurang juga yang menyangkakan aku sebagai teman istimewanya. Malah mereka juga tahu, seminggu sebelum perginya juga, telah diamanahkan aku dengan segala kerahsiaannya untuk aku simpan. Sayangnya, kebodohanku membaca isyarat yang diberikan itu telah membawa aku kepada rasa pecah yang lebih berat sehingga hari ini.

Hampir lapan tahun aku mengenali dan mengikat silaturrahim dengan sahabat ini. Hubungan baik kami terjalin pantas sehingga tanpa sedar banyak perkongsian yang telah beralih tangan.  Sifat-sifat kemanusiaan yang dimilikinya itu mungkin antara sebab mengapa kami mudah menjadi dekat. Sementelah kami menaungi zodiak yang sama, justeru keserasian lekat mudah.

Di ruang ini sahaja, entah berapa puluh ratus kali entri yang aku dedikasikan untuknya. Sebahagian besarnya cerita tentang kemuliaan hatinya, tentang hal-hal murni yang dia miliki. Antara yang terakhir bagaimana dia sanggup datang dari hujung ke hujung semata-mata satu panggilan telefon daripadaku yang memberitahu tentang unta hitamku yang tersadai di tepi jalan baru-baru ini. Begitu juga, bagaimana kesanggupannya menemaniku di Bukit Monyet saat aku melarikan diri dari lantai pekerjaaan dek kerana ranap dengan tsunami seorang sahabat awal Mac lalu. Dia ada... ya, sentiasa ada untuk setiap ketika di mana perlunya aku kepadanya. Semenjak awal saling kenal, sehinggalah seminggu sebelum ajal menjemputnya.

Ya, Allah... bagaimana harus aku menerima semua ini..

Seminggu aku tidak membuka mulut untuk bercakap mengenai dia. Tidak satupun tanya daripada pelbagai orang itu aku endahkan apatah lagi mengisinya dengan jawapan. Biar sahaja jawapan itu diperolehi bukan dari aku. Malah sepanjang tempoh itu juga membuat diam yang jauh dari kesengajaanku. 

Pada hari akhir hayatnya, aku ditakdirkan Tuhan berada di luar hiruk pikuk kota. Malah, kala tiba pada perkhabaran hiba yang pada mulanya aku kira hanya gurauan semata, aku sedang berada di tengah keramaian manusia dengan mata yang penuh perhati. Lalu pada ketika berita itu menjadi benar pada akal, emosiku rabak tidak tertahankan. Segalanya menjadi bingit dan kasar seolah tiada pertimbangan yang mampu aku dulukan. Tidak seperti mampunya aku mengawal diri saat pergi ayah kurang lebih 672 hari yang lalu.

Lebih menyedihkan, aku tidak sempat untuk mengiringi perjalanan terakhir sahabat ini pada hari yang cukup memilukan itu. Sukar untuk aku gambarkan di sini bagaimana ranapnya perasaanku saat itu. Nun di pantai timur semenanjung tanah air, aku hanya mampu membaca berita-berita yang dikemas kinikan oleh rakan-rakan di laman sosial mereka. Begitu juga dengan deretan pesanan dan ucapan takziah yang masuk di ditelefon bimbitku selain panggilan tidak berjawab yang memenuhi ruang notifikasi.

Sahabat ini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Ehsan, Kepong selepas solat Asar petang hari yang sama dengan diiringi hujan rahmat. Semoga Syurga tempatmu wahai sahabat yang terpaling amat aku sayangi.

Hanya sekitar jam 7.45 malam, barulah aku tiba di hiruk pikuk kota selepas meredah perjalanan yang sangat sukar dan cukup menghuru-harakan. Meski tidak dapat menatap kali akhir wajah sahabat ini, apatah lagi mengiringinya ke perjalanan akhir, aku percaya pasti ada hikmah yang terselindung disebaliknya. Sementelah emosi ini terlalu ranap tanpa mampu ditutup selindung. Tangisan tidak lagi berlaku dengan senyap, sebaliknya keras diperdengarkan kepada alam.

Demi Allah, aku sendiri tidak pernah menyangka betapa patahnya hati aku saat itu. Sesuatu yang belum pernah terlakukan aku sepanjang umur hayat hidupku. Dan, sungguh.. aku tiada jawapan untuk babak-babak itu sehingga saat jari-jariku bercerita di sini hari ini.

Terima kasih buat sahabat Leo yang sentiasa ada dan begitu mengambil tahu akan ranapnya aku pada ketika itu. Yang setiap selang beberapa minit menghubungiku untuk memastikan aku ada teman berbual meski isi bualnya tidak lebih dari esak tangis yang bersilih ganti. Dan, betapa aku semakin mengenal siapa yang mahu ada untuk saat payahku. Pada ketika aku mengharapkan sehabat dekat untuk datang mengambil tahu, tiba manusia lain yang tidak terjangkakan meminjamkan bahu. Terima kasih Tuhan, kerana menghadirkan mereka untukku. Terima kasih kerana membukakan mata hati untukku.

Pada ketika jarum jam bergerak ke angka sembilan malam, aku mengatur temu dengan teman terdekat sahabat ini di ruang selalu kami membuat sesi. Keras kaku aku di kerusi mendengar atur cerita kejadian satu persatu dengan pecah di dada. Beberapa jam kami di situ. Saling mengenang dan menangisi cerita yang telah menjadi sejarah. Bersusun sesal yang tumbuh, beribu kalau yang terluncur dari bibir. 

Namun, yang pergi, tetap pergi.. Allahuakbar.

Dan sungguh, sepanjang malam aku tidak dapat meletak lena. Meski hanya untuk beberapa saat. Akal tidak mahu berhenti dari terus membuat fikir, hati tidak mahu senyap daripada terus berkata-kata dan air mata tidak mahu berhenti dari terus membasahi wajah. Sungguh di luar akal fikir, bagaimana begini tindak yang terlakukan aku sebagai seorang yang sentiasa tenang mendepani segala kesakitan.

Seawal pagi esoknya (19 April 2015), aku terus menghalakan unta hitam ke tempat persemadian sahabat ini. Aku memilih untuk sendirian ke sana. Tidak mahu sesiapapun menyaksikan saat-saat ranapku ketika itu. Meski ada janji yang dipahat dalam diri untuk tidak lagi membenarkan tangis bersuara pada alam, apatah lagi membasahi pusara merah sahabat ini, aku gagal untuk berbuat demikian.

Langkah kaki yang diatur ketika itu terlalu lemah diasak getar. Hati yang berat menerima kehilangan itu terlalu pecah diusik rasa. Umpama diri terawangan tanpa arah dan tuju. Akal.. yaa, akal sudah tidak mahu duduk di tempat sepatutnya ia. Tuhan sahaja yang tahu.. Tuhan sahaja yang menyaksikan babak hiba awal pagi ahad itu.

Emosi terhenyak keras tanpa mampu aku bendung lagi. Malah tangis itu terlalu hiba sehingga mengganggu hadiah bacaanku untuk menyapanya di sana. Bergema tangisku mengisi segenap ruang senyap di atas bukit yang letaknya jauh dari kebisingan manusia itu. Sesekali saat tangis terhenti, aku membuat bual dengannya seolah ada dia di sebelahku. Berjanji untuk terus menjenguknya di sini, menemani kesendiriannya nun jauh di sana sebagaimana setia dan sanggupnya dia menemaniku setiap kali aku berdepan ranap dan tsunami rasa yang membeban. 

Ya, Allah.. apa ada lagi sahabat yang menyayangiku sebagaimana dia?

Beberapa jam aku mengadap pusaranya. Sehinggalah saat matahari tegak di atas kepala, dan beberapa orang yang tidak aku kenali turut membuat ziarah di pusaranya, aku terpaksa beredar dan mengundur diri. Meski hati masih berat untuk melangkah meninggalkan dia yang baru semalam membuat huni di situ, aku harus berlalu. Dan, melayan hati yang masih basah, aku menghabiskan pula masa beberapa ketika di unta hitam sambil memerhatikan dari jauh mereka yang masih berteleku di pusaranya. Berat hati... sangat berat hati.

Begitu jugalah yang berlaku pada hari kedua. Meski ranapnya tidak sehebat seperti semalamnya, kehilangan itu masih begitu membeban. Sehingga memaksa aku untuk bercuti pada hari ketiga kerana emosi yang begitu mengganggu. Empat hari berturut-turut aku datang membuat ziarah sehingga keadaan yang tidak mengizinkan pada hari kelima dan keenamnya. Dan, semalam serta hari ini aku kembali kepada rutin ziarah ke ruang sunyi ini.   

Ibu yang kebetulan ada bersama-sama kami sepanjang April ini, beberapa kali meluahkan kebimbangannya melihat keberadaanku. Aku tahu, ibu dapat membaca apa yang tersirat di hati, malah terlalu mengerti betapa payahnya aku berdepan saat itu. Berpuluh ratus kali dinasihatkan aku agar tidak pergi membuat ziarah sendirian di atas bukit sunyi itu. Hampir menitis air matanya saat menutur pesan yang tidak terendahkan itu. Ya, Allah... maafkan aku ibu.

Hari ini (25 April 2015), setelah genap seminggu pemergian sahabat ini, aku membawa ibu menemaniku untuk membuat ziarah. Buat pertama kalinya aku ke atas bukit senyap itu berteman. Bersama ibu, aku tenang-tenang sahaja. Dan, alhamdulillah akal dan hati sudah berada di tempat asalnya dia. Malah emosi juga semakin terpulih daripada membuat kacau. Terima kasih Allah.

Apapun, aku mula rindu dengan ajakan sahabat ini setiap pagi hari minggu untuk bersarapan sama dengannya. Rindu dengan bebelannya apabila aku sering memberikan alasan untuk menolak pelawaan itu kerana sayangkan waktu tidurku.. Rindu dengan ejekannya yang sering mengatakan aku satu-satunya perempuan dalam kenalnya yang memulakan hari dan melihat dunia ketika matahari sudah tegak di atas kepala setiap kali hari minggu...

Sahabat, keberadaanmu dalam hidupku sepanjang lapan tahun lalu akan aku kenang sampai mati. Jasa dan pengorbananmu dari yang sekecil-kecil sehingga yang tidak ternilaikan mata, hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya. Semoga aku mampu untuk menjadi sehebat kamu, menjadi sahabat yang terbaik kepada sahabat-sahabat yang dekat berkeliling denganku. Menyalurkan segala energi positifmu kepada mereka pula, insya-Allah. Mudah-mudahan Allah setuju.

[Kelibat lego tetap membawa aku kepada kamu selamanya..]

Monday, April 20, 2015

Sunday, April 19, 2015

~ AL FATIHAH ~


[Semoga Syurga tempat-mu...]
                                                                               

Saturday, April 18, 2015

~ PEMERGIAN ABADI MR LEGOMAN ~


HAMPIR pitam. Terasa gelap pandangan saat suara di hujung  telefon bimbit menyudahkan ayatnya. Berkali aku cuba menafikan, berkali juga aku disedarkan oleh kenyataan. Akhirnya terjawab persoalan kenapa panggilan dan mesej-mesejku tidak berbalas. Juga jawapan kenapa dia beriya memberikan segala password miliknya untuk aku simpan pada Jumaat, 10 April lalu..

Ya Allah Ya Tuhanku, sabarkanlah aku, tabahkan aku. Mudah-mudahan aku tidak terlalu dihenyak emosi.  Ternyata benar segala kegusaranku. Ternyata jelas isyarat-isyarat yang dia berikan kepadaku. 

Pecah. Dan, sungguh ia tak tertanggungkan. Bukan kerana aku menolak ketentuan dan kehendak takdir, tetapi sesungguhnya aku tidak mampu untuk menerima mudah kejutan yang ini.

Cuba melapangkan dada, cuba untuk menarik nafas dengan sebaiknya, namun  aku langsung tidak punya kekuatan itu.

Maka, rabaklah emosi mendahului segala. Sesuatu yang mungkin jarang-jarang terlihat dari aku kerana selalunya aku adalah orang sering sahaja menunjukkan lagak seolah akulah manusia paling tenang didunia meski ranap dan pecah di dalam sana. Cuma, kali ini aku tidak mampu.

Allahuakbar...

Selamat pergi sahabat yang paling amat aku kasihi.. Paling selalu membuatkan aku rasa dimahukan sebagai sahabat. Selamat pergi kembali kepada sang Pencipta. Semoga kembalimu diterima dengan sebaik-baik dan seindah-indah penerimaan.

AL-FATIHAH - 18 APRIL 2015, SABTU, 10.15 PAGI.

[Terima kasih sahabat-sahabat yang sudi mengambil tahu akan ranapku hari ini.. Terima kasih kerana berada di sisiku saat aku benar-benar perlu.. ]

Friday, April 17, 2015

~ BERGELISAH ~


KANDUNGAN mesej tempohari dari sahabat yang seorang itu, sangat-sangat membuat aku resah gelisah. Kecamuk dengan pelbagai andaian. Sementelah, panggilan dan mesej sapaan yang aku kirimkan buat dia hampir setiap hari langsung tidak berjawab.

Tidak pernah ada getar yang sebegini. Tidak pernah ada kegelisahan yang serupa ini. Ya, hanya kerana  isi kandung mesejnya lewat beberapa hari yang lalu.

Ya, Tuhan.. debarnya sangat menakutkan.. Mohon segalanya baik-baik sahaja, insya-Allah.

[Naluri..]

Thursday, April 16, 2015

~ PERFECT STRANGER ~


SUKARNYA 
berlagak seolah tiada apa. Dan, titik sepuluh.

[Hilang rasa..]

Wednesday, April 15, 2015

Tuesday, April 14, 2015

~ DEBAR TERLALU ~


DIHAMBAT lelah yang berat sepanjang hari ini. Menguruskan diri sendiri juga persiapan menjelang acara besar team kami esok hari. Equine Park-Mid Valley-Ampang-Shah Alam-Bangi-Ampang sepanjang 24 jam yang ada itu.

Sehingga saat ini, mata masih belum nmahu membuat lelap. Barangkali kerana lelah yang masih berbaki, barangkali juga kerana debar terlalu yang membuat resah menanti bermula dan selesainya acara besar untuk kami itu esok hari. Sementelah aku berfungsi di babak dan bahagian yang paling berisiko.

Mudah-mudahan terjauh aku dari melakukan sebarang kesilapan yang bakal mengundang cela. Semoga Allah setuju.!Aamin.

[Meng-hitong detik...]

Monday, April 13, 2015

~ WASIAT ~

***Disebabkan isi kandungan screen shot yang dipaparkan untuk entri ini akhirnya menjadi suatu yang benar-benar kenyataan (18 April 2015), maka aku keluarkan ia dari tatapan umum. Biarlah ia hanya tersimpan kemas pada memoriku.. alfatihah..***

---------------------------------------------------------------------------------  
SELAMA bertahun-tahun mengenali sahabat yang seorang ini, dia tidak pernah membuat laku yang seperti ini. Ia merupakan pertama.

Kami menaungi horoskop yang sama, Scorpio. Dan, aku sangat jelas, sang Scorpio tidak akan mudah berkongsi tentang kerahsiaannya kepada orang lain. Namun, lelaki yang sering panjang akalnya ini, melakukan hal itu lewat beberapa hari lalu.

Diberinya aku kata laluan untuk semua akaun laman sosialnya, telefon bimbitnya dan juga maklumat akaun perbankannya. Ya, semua hal yang berkait dengan soal kerahsian. Putus cara untuk memikirkan punca dan sebabnya, juga alasannya memilih diberikan aku.

"Saja.. sebagai langkah berjaga.." 

Dan, aku tidak boleh menerima alasan mudahnya itu. Aku cuma harap, dia masih waras dalam tindaknya dan tidak ada apa-apa yang bertentangan akal yang difikir dia saat ini. Mudah-mudahan Allah setuju.

[Ber-gelisah..]

Sunday, April 12, 2015

~ GAUL ~


SIANG hari tadi, berada di Mahkota Medical Centre. Melawat Grace, yang juga sahabat kepada lelaki sepet atau teman jiwa yang baru sahaja menjalani pembedahan semalam. Aku tidak begitu rapat dengannya, tetapi kami pernah beberapa kali bertemu ketika bersama-sama teman-teman mereka yang lain. Apapun, dia kenal dan tahu bagaimana aku orangnya, yang tidak pernah banyak gaulnya. Justeru, aku tidak menolak permintaan lelaki sepet ini untuk menemaninya berziarah.

Namun saat, kami menolak daun pintu, terlihat bilik yang menempatkan Grace dipenuhi dengan teman-temannya yang juga sebahagiannya dari kenalan teman jiwa juga.  Yang pasti, seorang pun dari mereka tidak aku kenali. Aku menyapa Grace dan bertanya khabarnya kurag dari dua minit. Dan kemudiannya, lebih banyak diam dan tenggelam dalam bingit bual mereka yang lain mengisi segenap ruang. Sepatah pun tidak aku faham apa yang mereka bualkan, melainkan gelak tawa yang berselang-seli. Manakan tidak, bahasa tutur yang sepenuhnya dalam bahasa ibunda mereka, membuatkan aku lebih berminat untuk melayan mesej di telefon bimbit.

Ya, aku sememangnya mempunyai masalah gaul yang begitu serius. Kekurangan yang tidak pernah berjaya diatasi semenjak zaman sekolah sehinggalah hari ini meski bidang pekerjaanku sentiasa memerlukan aku untuk sentiasa membuka mulut dan bermanis muka. Mungkin bunyinya seperti cerita dongengan, tetapi mereka yang dekat, pasti tahu keberadaan aku. Ada yang mampu menerimanya baik, dan kami bersahabat mudah. Tidak kurang juga yang tidak pernah memahami, meski sepuluh tahun membuat dekat.

Dan, sekali lagi aku terbangak-bangak..

[Hilang dalam ramai..]

Saturday, April 11, 2015

~ BITE CLUB ~





Bite Club
KARYA: Rachel Caine
CETAKAN: Pertama (2011)
HALAMAN: 442
HARGA: RM25.00

[Cari..]

Friday, April 10, 2015

Thursday, April 09, 2015

~ KE ZAMAN ITU ~


KENANGAN zaman anak-anak, saat masih di bangku persekolahan berputar satu demi satu. Diurus ibu sebaik-baiknya, dileteri ibu semahu-mahunya, dikelek ibu sepanjang-panjangnya, dirajuk ibu seboleh-bolehnya.. Dan, segala satunya di dekat ibu.

Beberapa hari ini, aku sepertinya kembali ke zaman itu. Semenjak beberapa hari ibu ke mari, rutin hidup aku kembali ke dulu. Awal membuka mata, dikejutkan suara ibu, turun dengan langkah pertama memula hari dengan iring senyum ibu, pulang ke rumah bersambut leter kecil ibu, mengisi kosong perut dengan air tangan ibu, dan meletak lena di sisi pangku ibu. Terima kasih.. Kerana masih ada untukku.

Malah, saat jari-jari ini bercerita di ruang ini juga, diteman ibu di sisi. Sambil melayan soalnya yang tidak pernah habis tentang rutinku sepanjang hari ini. Meski soalnya berputar pada hala yang sama, aku tetap memberi jawab terbaik. Sebingga tiba pada satu satu soal berkaitan lelaki sepet itu. Owhh..

Sehingga selesai April, ibu akan menghabis hari bersama kami sementelah memenuh jadual rawatannya di sini. Semoga segalanya bertambah baik.  Insya-allah, mudah-mudahan Allah setuju.

[Yang ada nun di-dalam sana...]

Wednesday, April 08, 2015

~ DEALOVA... DAN, RINDU YANG MASIH SERUPA ~


ATAS urusan pekerjaan, aku berada di lantai 14, di sebuah hotel terkemuka di ibu negara. Menjadi salah seorang dari lebih 500 tetamu yang ada di ruang indah ini.

Aku membuat hal sendiri di celah ramai. Tidak berminat untuk membuat peduli pada manusia sekeliling yang jelas-jelas dari kalangan yang bukan aku. Kalangan manusia sosialite yang hebat-hebat pada mata masyarakat.

Saat asyik dengn telefon bimbit, menekan-nekan arkib peti mesej seseorang yang sengaja ku ulang baca berkali, bait-bait patah dari lagu Dealova tiba-tiba berkumandang di segenap ruang indah itu. Alunan memikat dari suara magis Dayang Nurfaizah yang begitu mengusik kerinduanku pada seseorang.

Ya, seseorang yang telah meninggalkan aku buat selama-lamanya sedikit masa lalu. Seseorang yang namanya sering aku sebutkan dalam puluhan entriku di ruang ini semenjak bertahun lalu.

D, tenanglah engkau di syurga sana. Dan, Dealova akan sentiasa menjadi sentimental buatku..


DEALOVA
by once

Aku ingin menjadi mimpi indah
Dalam tidurmu
Aku ingin menjadi sesuatu
Yang mungkin bisa kau rindu
Oh kerana.. Hati telah letih

Aku ingin menjadi sesuatu
Yang selalu bisa kau sentuh
Aku ingin kau tahu
Bahawa ku selalu memujamu
Tanpamu sepinya waktu merantai hati
Oh bayangmu seakan-akan

Kau seperti
Nyanyian dalam hatiku
Yang memanggil rinduku padamu
Seperti udara yang kuhela
Kau selalu ada..

Hanya dirimu
Yang bisa membuatku tenang
Tanpa dirimu
Aku merasa hilang
Dan sepi.. dan sepi...

Selalu ada.. kau selalu ada..
Selalu ada.. kau selalu adaaa...

[Tumpah..]

Tuesday, April 07, 2015

- BEDA ~


"DIFFERENT is good. 
So, don't fit in. Don't Sit Still. 
Don't ever try to do less than you are. 
When somebody tells you, you're different.. Smile and hold you head up high, and be proud. And, as you're villain, I would also say, 
cause a little trouble its good for you.." 
- Angelina Jolie

[beda..]

Monday, April 06, 2015

~ CAFE LATTE DAN, CIP ~


CAFE latte. Ibu menegur kenapa aku tidak memesan, minuman selalu tatkala aku menyebut cafe latte kepada lelaki yang mengambil pesan ketika kami menjamu selera lewat petang tadi. Ya, cafe latte sememangnya bukan aku.

"Saja... Tiba-tiba teringat kawan AL.. Fav dia ni..," jawabku pendek sambil senyum. 

Jawapan yang benar-benar aku maksudkan kerana sememangnya saat cafe latte berkelibat di dada menu yang dihulur, terus sahaja terlintas dia di fikiran.

Dan, entah apa kebetulan yang sememangnya satu kebetulan yang membuatkan aku sendiri menggelengkan kepala. Tiba-tiba sahaja mesej sapanya masuk dan terpapar di skrin telefon bimbitku sebaik sahaja aku menyebut tentang dia. Ya, sebaik sahaja. Cip yang sering disebutkan sebelum ini masih berfungsi rupanya.

"Bila nak habis.." antara soal disebalik sapanya. 

Aku tidak memberikan jawapan mahupun balasan. Sebaliknya cuba menyerasikan cafe latte panas sementara hujan di luar pintu kaca masih tidak mahu berhenti. Kali terakhir kami duduk semeja menghirup secawan mocha, sekitar November tahun lalu. Atau mungkin Oktober..

[Cip yang maseh ber-fungsi rupa-nya..]

Sunday, April 05, 2015

~ CINTA DRAMATIK MELAWAN GRAVITI ~






Cinta Dramatik Melawan Graviti
KARYA: Mimi Morticia
CETAKAN: Pertama (2012)
PENERBIT: Sang Freud Press
HALAMAN: 133

[Dan, keserupaan..]

Saturday, April 04, 2015

~ TANPA ALASAN ~


SAAT buka mata pada awal pagi ini, terasa seperti melalui lena yang panjang pada malam sebelumnya. Umpama merentasi beberapa tahun melalui lena yang semalaman itu.

Tanpa alasan, aku membatalkan semua janji yang ada untuk hari ini, juga esok. Ya, memilih untuk mungkir. Jangan ditanya kenapa, kerana tiada jawapan yang mahu aku berikan.

Mahukan momen kesendirian tanpa ada alasan. 

Lebih sepertiga hari, aku  mengadap operasinya si unta hitam. Mengikut atur, lelaki sepet itu patut turut ada, tetapi aku memilih untuk tidak dan katakan padanya sesi itu telah juga aku batalkan.

Ya, hari ini aku hanya membuat sua dan tutur kepada manusia yang asing. Dan, mahu berkongsi cerita dan rasa hanya dengan mereka itu sahaja.

[Mereka yang asing hanya dengar, dan tidak susul dengan soal..]

Friday, April 03, 2015

~ KALIS ~


KALIS


Kata ibu
Kita jangan akan pernah mengharapkan apa-apa
Atas setiap satu
Yang tangan kanan kita lakukan
Sejak pertama kali dengar pesan itu
Aku angguk-angguk
Tanda setuju tanda faham
Malah sehingga hari kini
Aku masih mahu
Pegang dan percaya pesan itu

Tapi ada seseorang
Telah mengatakan kepadaku
Dengan bersungguh-sungguh
Jika aku berbuat sesuatu untuknya
Kerana aku mahukan sesuatu juga darinya
Entah dari sudut mana
Dibaca begitu
Aku telek sana sini
Belum temu jawapan
Ah.. esok barangkali..

Sementara menunggu esok
Aku fikir dalam-dalam
Dengan logik akal diberi tuhan
Kalau benar aku ini ada harap yang begitu
Mana mungkin aku ini 
Masih sanggup berbuat itu ini untuknya
Pada saat aku menyedari
Tidak akan pernah ada laku serupa
Dari dia..

Aku berbuat sesuatu itu
Atas rasa ingin mahuku
Bukan kerana sesuatu
Apatah lagi sesiapa

Diangkat suara dan kerling mata
Aku tetap mengadap sedia kala
Dihambur cela dan herdik bisa
Aku masih juga mahu ada
Dilibas kata menikam tajam
Aku kalis terima hadam


Meski dengan muncung bibir
Meski dengan bisu keras
Meski dengan wajah semasam cuka
Meski dengan protes hati tergores
Meski dengan rajuk yang tidak terpujuk

Aku tetap juga kembali
Melakukan sesuatu untuk kamu
Kerana mahu dan inginku
Meski tidak ada diantaranya
Yang kamu lihat dan ambil sebagai harga

Kalau kesanggupan aku itu
Dilihat ingin balas serupa dari kamu
Percayalah.. tidak akan pernah
Kita bertemu angka sepuluh
Kerana pada angka satu atau dua
Aku sudah berhenti
Berbuat sesuatu untuk kamu
Tanpa lapan saat melewatkan fikiran
Kerana sebelum ke angka itu lagi
Kamu tidak pernah mahu mmbuat harga


[kerana serempak..]

Thursday, April 02, 2015

~ MENGADAP JUGA ~


USAH  dibagi ada kebetulan untuk sua. Namun, sebanyak mana aku katakan itu, sebanyak itu jugalah ia membuat laku. Meski mengelak tepis segenap ruang pelosok, mengadap juga.

Dan, hari ini juga.

Bukan mahu membuang segala yang pernah ada, cuma tidak mahu terus-terus diperlaku sewenang. Lelah. 

Kamu itu bagaimana? Atau aku yang harus bagaimana... Tidak pernah diletak pandang pada segala yang terlaku.

[Asal saja, tidak pada sua..]

Wednesday, April 01, 2015

~ MALAIKAT ~


MALAIKAT
by hazama

Tuhanku Kamu tolonglah hantarkan kepadanya
Malaikat untuk jaganya bila ku tiada
Tunaikan semua permintaannya kerna
Ku cintanya sungguh-sungguh

Pagi petang berlumba
Terkejar-kejar masa
Cuba bina istana untuk hidup bersama
Berkelip-kelip mata paksa diri bekerja
Tapi lebih ku rela lihat senyumanmu

Ini sahaja ku mampu demi menjaga kamu
Ku tambahkan satu doa untuk kamu

Tuhanku Kamu tolonglah hantarkan kepadanya
Malaikat untuk jaganya bila ku tiada
Tunaikan semua permintaannya kerna
Ku cintanya sungguh-sungguh

Benar ku menyedari kini ku menghadapi
Segala yang ditakdirkan untuk hidupku
Maafkanlah diriku kerna melukakanmu
Terpaksa ku melangkah pergi
Meninggalkan kamu

Ini sahaja waktuku di dunia menjagamu
Ku tambahkan satu doa untuk kamu

Tuhanku Kamu tolonglah hantarkan kepadanya
Malaikat untuk jaganya bila ku tiada
Tunaikan semua permintaannya kerna
Ku cintanya sungguh-sungguh

Sampaikanlah rinduku padanya
Agar dia sentiasa sempurna
Bawalah cinta kita
Terbang bersama ke syurga

Tuhanku Kamu tolonglah hantarkan kepadanya
Malaikat untuk jaganya bila ku tiada
Tunaikan semua permintaannya kerna
Ku cintanya sungguh-sungguh

[Pada se-tiap..]