Monday, March 02, 2015

~ BABAK PANAS TERIK ~


AWAL pagi tadi, ketika menyerah diri untuk rutin Isnin semenjak bertahun, unta hitamku di halang oleh sebuah kenderaan lain yang melintangkan segenap ruang lolosku. Mungkin tergesa untuk membuat urus lalu itu pilihan akhir sementelah ruang parkir di situ padat dengan manusia yang juga punya urusan yang sama seperti kami.

Namun memandangkan handbrakenya tidak diangkat, aku cuba untuk menolak kenderaannya sedikit ke depan  untuk lolos. Namun, sungguh di luar memampuan kudratku untuk menggerakkan beban yang begitu. Ada manusia yang lalu di situ, namun di tengah terik matahari di kawasan seluas itu, siapa yang mahu membeban dirinya.

Kurang lebih 10 minit, datang seorang remaja lelaki yang lengkap berpakaian uniform sekolah melintasi aku yang termangu. Meski tidak diminta aku, ataupun terlihat seperti aku memerlukan bantunya, dia berhenti untuk menyapa. Apa aku perlukan bantuan kerana pelik dengan tingkahku yang berjemur di tengah terik matahari yang membahang itu.

Badannya kecil sahaja, mungkin sama kecil denganku. Malah, tangan kanannya berbalut kemas kain putih sepertinya baru sahaja mendapat rawatan di dalam. Tidak sampai hati aku mahu katakan tentang keberadaanku ketika itu. Namun, dia seperti mengerti dan cuba meggerakkan kenderaan tersebut walaupun pada mulanya dihalang aku. Kudrat lelaki.. ahh.

Aku tidak sempat memikirkan apa, melainkan menghulurkan sedikit wang tanda terima kasih. Bukan bermaksud mahu membayar hulur bantunya dengan cara begitu, cuma ketika itu hanya itu yang terfikir aku untuk menzahirkan rasa terima kasih. Tiada niat lain, walau sekelumit.

Dia terus memandang aku dengan pandangan yang cukup tajam. Lalu dilepaskan tutur, "Bukan semua benda perlu dibayar dengan duit.." terus dia berlalu pergi tanpa sempat aku membuka mulut membuat kejelasan.

Ohh adik... apa agaknya yang sedang dilalui kamu saat ini ya. Mudah-mudahan Allah melepaskan kamu dari anggapan yang begitu dan memberikan kamu ganjaran atas ketulusan hatimu itu. Dan, sesungguhnya bukan niatku untuk membeli kamu dengan cara yang begitu. Dan, kata-katamu itu begitu membuat ngiang..

[Ada dalam tahu..]


No comments: