Tuesday, March 31, 2015

~ PECAH ~



ULANG alik. Ada momen lalu yang  terimbas dan terulang. Semoga hari-hari kami akan masih bersinggah senyum. Kami hanya ada dia, ya hanya dia. Mohon agar kesempatan itu masih terbagi. Dengan manis dan indah.

Kecamuk. Dan, sungguh serabut seratus membuat selirat. Seperti mahu pecah, dan alangkah malang buat scorpio yang hanya mampu menyimpannya untuk diri sendiri.

[Di-gigi debur gelora..]

Monday, March 30, 2015

~ DAN, ENAM RATUS EMPAT PULUH ENAM ~


DAN, 646 hari lalu. Saat menatapmu kali akhir itu tidak pernah sekalipun hilang dari benak. Segar, kemas dan kekal ada di hati merah ini. Selamanya, selagi hayat masih dipinjamkan Tuhan.

Hari ini, agak lama aku bersama ayah. Lebih lama dari semalam dan kelmarin. Menatap cebis-cebis bunga dengan basah tanah menyinggahi pusara ayah tidak terkalih. Lama sehingga awan bergumpal hitam menjatuhkan titisnya.

Meski tidak tertutur yang ada di dalam hati ini, aku harap ayah mendengarnya di sana. 

"AL rindu ayah.. rindu sangat-sangat.."

[Pusara..]

Sunday, March 29, 2015

~ DI BAWAH NAUNGAN CNTA ~






Di Bawah Naungan Cinta
KARYA: Ibnu Hazm El Andalusy
CETAKAN: Pertama (November 2013)
PENERBIT: Pondok Pesantren Basmala (Indonesia)
HALAMAN: 398


[Dan, malaikat-nya..]

Saturday, March 28, 2015

~ HANYA ADA DIA ~


SUDAH jatuh ditimpa tangga. Kurang lebih lapan minit yang lalu, aku menerima panggilan dari adik yang membawa berita tentang ibu. 

Tuhan..

Selesai subuh nanti, kami akan bersegera menghala ke pantai timur semenanjung tanah air. Mudah-mudahan, hati ini mampu menanggung sesak sehingga menjejak tepat ke tatap ibu.

Semoga kebimbangan kami itu menjadi tidak benar.

[Terima kaseh sahabat mei... terima kaseh]

Friday, March 27, 2015

~ HENTAK ~


MAC tetap mahu menyudahkan dengan peristiwa. Siang hari tadi berlaku sedikit kemalangan kecil yang membuatkan tangan kananku mengalami sedikit kecederaan. Pada mulanya disangka aku hanya hentakan kecil yang tidak memberikan apa kesan, namun satu jam selepas itu ia mula lebam membengkak dan kelihatan garis tulang membuat timbul. 

Memandu pulang ke rumah dengan keadaan tangan seperti itu, sementelah dalam keadaan jalan raya yang sesak di setiap pelusok inci sangat-sangat-sangat menderitakan. Mahu sahaja aku tinggalkan unta hitam di tepi jalan sahaja kerana tidak mampu bertahan terus.

Namun, kedegilan kadangkala memberikan hal yang positif kepada seorang scorpio.

[Tumulang]

Thursday, March 26, 2015

~ MALAM PANJANG ~


KHABAR angin yang kencang bertebaran siang hari tadi benar-benar mengusik lenaku saat ini. Entah mengapa fikirku begitu terarah pada soal itu.

Esok, ada pengumuman penting dari sang kepala. Tentang beberapa pembubaran unit di lantai pekerjaan. Paling penting, akan berlaku pertukaran bahagian secara besar-besaran. Ya, bukan suatu yang asing buat kami di sini, namun ia masih tetap mengundang degup kencang.

Aku mungkin tersenarai dalam itu, meski bukan itu yang aku harap atau mahukan. Kalau itu terjadi,  barangkali aku perlu membuat keputusan.

Malam hari ini terasa begitu panjang.

[Peduli]

Wednesday, March 25, 2015

~ TEMBUNG ~


SEPANJANG hari ini aku asyik berdepan kebetulan dan serempak yang aku tidak mahu. Bukan kerana masih ada amarah, cuma tidak mahu membawa kepada cerita yang tidak mahu aku fikirkan lagi.

Ya, tidak mahu.

Semoga kamu itu memperoleh apa yang dicari, atau barangkali sudah memperoleh. Doa kesejahteraan buat kamu.

[Cuma, tidak mahu ada kebetulan..]

Tuesday, March 24, 2015

~ GILA NO. 18 ~


AKHIRNYA, usai segala hambatan lambak kerja tambahan yang menghimpit 24 jam singkat yang ada selama beberapa hari ini.

Baru sempat melihat kiri dan kanan, kembali menjejak kaki pada lantai yang penuh cerita sambil menggaris rutin hidup biasa.

Dan, betapa kesibukan dan ketekanan itu rupa-rupanya memberi manis yang lain. Seketika aku terlupa tentang hal-hal yang melibas hati sedikit hari lalu.

Moga terus lupa.

[Terima kaseh sang penyelamat unta..]

Monday, March 23, 2015

~ SUMPAH TAK FAHAM ~



DIA seorang yang genius, namun sangat sarkastik tentang kehidupan dan manusia kelilingnya. Pun begitu, dia sering memberi energi yang positif kepadaku. Malah sering sahaja aku merasa berani menghadap hal keliling bila mendengar apa yang dituturnya. 

"... sumpah tak faham kenapa korang nak orang accept diri korang seadanya, tapi korang tak mau buat benda yang sama terhadap orang lain.."

Petikan ini aku 'curi' dari status di laman facebooknya. Rindu, lama tidak duduk menghirup secawan coffee dengannya sambil mendengar ceritanya tentang Haruki Murakami yang menjadi kegilaannya.. 

[Cherita kehidopan..]

Sunday, March 22, 2015

~ HIRUK PIKUK ~


SABTU yang penuh dengan kegilaan. Betapa kegilaan kadang-kala menjadi terapi terbaik untuk seketika melepas lelah.

Terima seadanya. 

Kita bekehendak orang lain menerima kita dengan seadanya. Namun tanpa kita sedar, kita seringkali gagal memberi laku serupa. Menerima orang lain dengan seadanya dia.

Adil pada zaman ini barangkali perlu dibeli.

[Jalan teros..]

Saturday, March 21, 2015

~ CINTA SUCI ZAHRANA ~






Cinta Suci Zahrana
KARYA: Habiburrahman El Shirazy
CETAKAN: Pertama (Mei 2011)
PENERBIT: Ihwah Publishing House (Indonesia)
HALAMAN: 284


[Dan, Rasyidah Othman dengan Perempuan Yang Patah Hati..] 

Friday, March 20, 2015

~ TARIKH MATI ~


TERHAMBAT. Minggu yang terpaling menekan dengan dua urus kerja berbeza yang punya tarikh mati pada hari yang sama, yakni hari ini. Dari gelap ke gelap tanah. Justeru, hidup untuk sehari dua ini, hanya untuk itu. Pagi, petang, siang dan malam. Arghh.. henyaklah seada yang mampu selagi kudrat masih mahu membuat dekat.

Apapun, semoga yang terlakukan ini memberi hasil yang dimahu. Sementelah salah satu yang terbilang dalam urus pekerjaan sekali di dalam tiga puluh ini merupakan manusia yang banyak memberikan inspirasi saat aku masih anak-anak. Siapa sangka manusia yang sebelumnya hanya aku tatap wajah dan ceritanya di dada akhbar duduk disebelahku untuk mendengarkan ceritanya. Dan, sku terpujuk dengan itu.

Energi.

[Pada dua puluh empat jam]

Thursday, March 19, 2015

~ WAKTUNYA UNTUK BEDA ~


SELALUNYA, aku akan menjadi pembela yang terpaling tegar bilamana cerita kurang manis tentang sahabat dekatku yang seorang itu berlegar menjadi bahan bual. Pasti sahaja aku akan berdiri untuk berkata sesuatu untuknya meski kadang-kala ia tidak mampu menghentikan  seronok selak cerita yang diatur orang.

Namun, hari ini beda.

Aku tidak bangun berdiri lagi. Diam dan hanya mendengar. Sedang selama ini, meski guruh berdentum kala ribut membuat dampar, aku tetap dengan keselaluanku itu untuk bangun berdiri dan berkata sesuatu.

Sudah waktunya untuk beda, barangkali.

[Baru semalam bichara sama sahabat mei tentang sahabat ini...]

Wednesday, March 18, 2015

~ SENDIK ~


DATANG sahabat mei membuat sapa setelah lama hilang dengan silang dunianya. Barangkali kerana mendengar panggilku atau juga merasa hinggap rindu yang dihantar aku untuk mendengar cerita-cerita horoskopnya.

Meski ramai yang melihatnya sebagai payah, aku tidak pernah punya hal yang sukar dengannya melainkan soal rajuknya yang satu itu. Cukup itu. Selebihnya dia adalah sahabat yang boleh diharapkan meski tiada lagi yang mengharap kamu.

Kembalinya dia dengan energi yang baru yang membuatkan aku juga merasa baru. Satu sahaja yang belum baru barangkali, kegilaannya kepada horoskop. Membaca manusia menerusi baca horoskopnya.

Dan, dia masih bertanyakan soalan yang sama, apa Cancer punya cerita lagi...? 

[Hingga ke mimpi..]

Tuesday, March 17, 2015

~ KE NAGA YANG SEDANG TIDUR ~


JAMBATAN naga. Beberapa tahun lalu,  aku sering ke sini. Menjadi tempat untuk bercerita dan berkongsi cerita kehidupan dalam senyap. Seakan satu rasa tenang yang meyelinap setiap kali berkunjung ke sini.

Namun semenjak berkediaman di daerah menara berkembar itu, terlalu jarang malah hampir langsung aku tidak menjejakkan kaki ke sini. Tenggelam senyap ceritanya sepertinya tenggelamnya Kapal Van Der Wjick.

Dan, malam Sabtu lalu aku kembali membuat jejak. Dengan orang yang sama, dengan cerita yang sama. Dan, anehnya diam si naga ini juga masih sama. Kesamaan yang membuatkan kesendirianku dalam dua itu menjadi begitu aman sekali. Aman dari segala simpul yang mengikat.

"Kalaulah si naga ini sudah bangun dari tidurnya dan menatap awak, pasti sekali dia akan katakan, kamu masih membawa cerita yang sama, dan meminta sakti yang serupa?"

Terus sahaja ketawa kecil kubiar lepas dari bibir. Betapa hidup aku ini masih mengadap yang serupa, luka dan sakit yang sama juga. Lantas menjadi bahan tawa si naga yang sedang tidur ini.

Teman jiwa yang sepet ini seakan dapat membawa apa yang sedang bermain dibenakku. Lalu, ditariknya aku untuk dibawa pulang.

[Akan kembali kerap ke-sini lagi...]


Monday, March 16, 2015

~ MIMI MORTICIA ~


MIMI MORTICIA. Aku mula membaca dia dua tahun lalu, saat 'Re: Tangerin & Nikotin' menjadi milik. Namun ketika itu, aku hanya membaca biasa sebagaimana baca aku pada orang lain. 

Hari ini, aku sekali lagi membacanya melalui 'Cerita Cinta Bohongan'. Lain rasa yang singgah. Seperti ada tarikan yang memanggil pada tulis-tulis santainya.

Aku kira, wanita ini luar biasa pada hadamannya tentang kehidupan. Cerita pada lapis dua yang untung dimengerti, untung juga jika tidak mengerti. Duduknya letak kepada keperluan. Hal yang jarang-jarang dipunyai penulis lainnya.

Owh.. rupa-rupanya kerjaya sepenuh masanya adalah seorang doktor perubatan di sebuah hospital kerajaan di tengah hiruk pikuk kota ini. Mungkin kerana itu juga, dia membawa pandangan yang beda kala melihat sesuatu. Lain, dan aku sukakan yang lain itu.

Masih dalam usaha mendapatkan tulisan keduanya, 'Cinta Dramatik Melawan Graviti' yang dilangkau bacaku.

[Kalau-lah, aku juga mampu me-lehat se-suatu seperti itu juga....]

Sunday, March 15, 2015

~ DIBAGI ~



[Boleh jadi aku, boleh jadi juga kamu..]

Saturday, March 14, 2015

~ THANKS FOR THE MEMORIES ~





Thanks For The Memories
KARYA: Cecelia Ahern
CETAKAN: Pertama (2008)
PENERBIT: Harper Collins
HALAMAN:489
HARGA: RM33.55

[Queen of the modern fairytale..]

Friday, March 13, 2015

~ DARI SEGELAS TEH TARIK ~


REZEKI. Atas pelawaan seorang teman, aku menjejak diri di majlis tertutupnya untuk satu acara penting. Paling nyata, aku bukan dari kalangan setara tetamu yang hadir bersilangan itu. Lalu, sebagaimana kepakaranku selalu, aku mengatur hala sendiri tanpa membuat peduli pada bingit yang ada.

Usai segala urus perlu, teman tadi mahu menemaninya untuk menghirup segelas teh tarik di luar lokasi majlis itu. Owhh.. sungguh bukan aku, tetapi aku menurut sahaja untuk memenuh mahunya. Sesekali pada kesempatan yang terlalu jarang untuk berbeginian dengan teman ini, aku kira tidak salah untuk membuatnya senang.

Ketika separuh teh tarik itu dihirup dengan susah payahnya, teman tadi disapa seseorang yang langsungnya terus mengisi kerusi ketiga meja kami tanpa silu. Oleh kerana, wajahnya sama sekali tiada di dalam memori warasku, aku yakin, pasti sahaja dia mengikat kenalan dengan teman ini. Dan, ternyata sekali benar.

Bual mereka rancak, tentang lukisan, lukisan, lukisan dan lukisan. Aku melongo... kerana tidak punya ilmu setara untuk mencelah. Tuan yang seorang ini begitu hebat dengan ilmu yang dipunya. Berkongsi dia tanpa ada limitasi, malah melayan soalan 'kurang cerdikku' dengan begitu santun penuh budi. Pelajaran terkutip yang langsung sama sekali tidak terjangkakan aku.

Terkenang satu momen ketika berada di sebuah kedai lukisan di bandar Ho Chi Minh tahun lalu. Momen di mana bualku dengan seorang pembantu kedai yang beriya bercerita tentang satu lukisan indah di kedainya. Bicara mereka lebih kurang sama. Melihat kehidupan sepertinya melihat warna yang dititik pada kanvas putih. Mengikut pilihan, dan rasa katanya.

Ahh.. pelajaran dan keseronokan percuma yang aku perolehi hari ini. Sementelah tentang lukisan. Ya, lukisan... yang berpunca dari segelas teh tarik.

[Lukisan langet merah tetap jadi tancap mata]

Thursday, March 12, 2015

~ RINGAN ~


BUKA mata, jam menunjukkan tepat 12.15 tengahari. Owhh.. Sudah siang rupanya. Dan, aku masih di katil menggeliat malas.

Aku capai telefon bimbit dan terlihat sederetan mesej yang bertalu menyapa. Panggilan masuk juga. Hidup memang tidak pernah mahu berhenti, melainkan nafas yang terhenti pada tiba waktu.

Bersiap sekadar yang perlu, tetapi tidak pula aku tergesa berkejaran dengan waktu. Sepertinya, waktu pekerjaanku bermula pada jam 2.00 petang. 

Dan, yaa.. aku memulakan hari ini pada jam 2.00 petang di lantai pekerjaan, meski tanpa izin. Sambil, secawan caramel machiato di sisi, aku berbisingan dengan deretan lagu-lagu manis Nina Simone. Sesekali turut sama menyanyi, sambil jari ligat menyiapkan urus kerja yang beratur dengan tarikh matinya.

Feeling Good.. kata Nina... :)

[Luar radar..] 

Wednesday, March 11, 2015

~ HAMPIR PECAH ~






AKU memulakan awal siang hari tadi dengan energi yang positif. Dengan berlapang dada untuk memujuk hati agar baik-baik sahaja mendepani Mac. Aku sangat berharap untuk melalui hari ini dengan baik-baik sahaja agar ia tidak menambah kusut simpul sedia ada.

Namun, ia tidak berlaku seperti mana yang aku harapkan. Ya Allah, Ya Tuhanku... barangkali apa lagi yang sepatutnya aku lakukan untuk ini?

Atas segala tolak ansur yang aku berikan, atas segala rasa peduli yang aku jujurkan, nah.. berdepan lagi hal yang serupa. Kesalahan besar apa yaa, yang terlukis di dahiku atau terseret ke hatiku? Ya, Allah.. semoga amarah yang bergaul ini tidak pecah dan menyentuh hati dan mata sesiapa. Biar hanya untuk diriku. 

Aku gagal berlakon dan berlagak seolah tiada apa. Sementelah degup amarah itu terlalu menganggu nafasku untuk menghela dengan sempurna. Justeru, tiada apa yang sempat aku lakukan untuk menyelesai urus pekerjaaan yang sederet bertunggu tangga itu sepanjang hari ini. Ya, sepanjang hari ini.

Lalu aku lari ke unta hitam. Menghela dengus kasar agar jauh tidak terlihatkan mereka yang berkeliling. Terbawa hingga ke mimpi, meski berkuap kepanasan di luas parkir yang menadah matahari membahang.

Aku kira, akan sendik untuk sedikit inci, namun ia ternyata tidak. Sedikitpun tidak. Mungkin kerana ia tidak terlepaskan. Lalu, jam empat aku membuat putus untuk keluar dari lantai pekerjaan tanpa sebarang alasan yang kukuh untuk dipesankan kepada yang terpinga.

Dan, bertembung langkah pula dengan soal yang membuat punca. ???

Unta hitam dihalakan deras ke bukit monyet, tempat selalu meluah amarah. Jarak hujung ke hujung umpama satu protes yang tidak terluahkan. Benarkah, buat baik berbalas baik?

[Dan, sa-chawan mocha..]

Tuesday, March 10, 2015

Monday, March 09, 2015

~ KERANA ALIH ITU ~


PELURU. Bertempiaran ke ruang udara sehingga hampir sahaja mengundang cedera. Hampir sahaja, meski berbalut kemas kalis yang sentiasa terpakai di badan. Bukan kerana cuai diri, tetapi kerana peluru yang berkederasan 10, tegar membuat tembus.

Namun mujur, singgahnya hanya pada sisi. Luka segera tertutupi. Mungkin kerana mengingat kanannya juga masih berbekas serupa. Lalu ia hanya terhenti di situ, terhenti dengan cedera sisi. Barangkali kerana alih picu itu,  maka lukanya tidak dalam membuat tusuk.

Terselamat... (mungkin hanya untuk ketika ini.. barangkali]

[Tambah kalis]

Sunday, March 08, 2015

~ CERITA CINTA BOHONGAN MALAM ~






Cerita Cinta Bohongan Malam
KARYA: Mimi Morticia
CETAKAN: Pertama 2015 (Bilangan ke-79 daripada 111)
HALAMAN: 111
HARGA: RM44

[Larot... se-larot-larot-nya..]

Saturday, March 07, 2015

~ PADA KETIKA GILAKU ~


KERJA gila. Ya, pada ketika simpang siur mengikat rasa, melakukan hal-hal yang bukan kita, adalah suatu yang mudah menjadi  ketarikan.

Dan, ya.. aku melakukan itu untuk sepanjang hari ini. Rasa lepas dan sedikit ringan. Meski ceritanya sebenarnya tanpa bercerita.

Terima kasih untuk yang mahu ada pada ketika gilaku..

[Ter-bilang jari..]

Friday, March 06, 2015

~ TERLINTAS DENGAN PILIHAN ~


LEPAS satu-satu. Dan, yaa.. Mac tidak mahu memberikan harapan yang manis buatku. Malam tadi, unta hitam tersadai di tepi jalan di Bangsar. Tiba-tiba sahaja membuat rajuk tanpa diketahui apa sebabnya. Terkial-kial aku di celah gelap malam meski kenderaan lain bertali arus membuat lalu.

Kembali ke unta hitam, termenung untuk beberapa ketika sehingga nama seorang sahabat terlintas di fikir. Yaa, seperti mana yang aku kenal dia, sahabat ini tidak pernah mempunyai alasan pada suatu keadaan yang memerlukan dia. Kalau tidak kerana terpaksa, aku juga segan untuk meminta bantunya. Sementelah, duduknya hujung ke hujung dengan lokasi tersadainya aku ini.  

Unta hitam terpaksa ditinggalkan di bangsar, dan sahabat ini membawa aku pulang ke rumah. Ya, juga hujung ke hujung perjalanannya. Terima kasih atas hulur bantu dan rasa kepedulian yang tidak pernah habis. Yang bukan hanya ada pada waktu manis-manis sahaja.

Lalu hari ini, aku ke lantai pekerjaan dengan kereta abang. Dalam berkira-kira membiasakan fungsi yang sedia ada di dalamnya, halanya pula terlepas ke laluan beda. Saat simpang siur dengan limpahan manusia yang mengejar destinasi masing-masing, aku pula hilang arah. Sementelah jalan dan laluan di kediaman baru ini masih belum terhadam baik. 

Lalu, aku hanya sampai di lantai pekerjaan, kurang lebih tiga jam kemudiannya.

Owhh.. Mac.

[Sahabat..]

Thursday, March 05, 2015

~ DIASAK GALAK ~


AKU tahu ibu rindu. Aku tahu ibu terlalu merasa sendiri. Aku tahu buak emosi ibu tidak terluahkan. Ya, semuanya semenjak perginya ayah 621 hari yang lalu.

 Saat ini, kesihatan ibu diasak galak. Ternyata ibu semakin mengalah dengan sakitnya yang sejak bertahun itu. Minggu lalu kami adik-beradik dikejutkan dengan kondisi ibu sehingga berada di katil putih. Dan, bergegas kami dengan luluh yang tidak tergambarkan.

Mengingat apa yang kami lalui pada hari-hari akhir ayah sebelumnya, membuatkan kami diburu ketakutan yang panjang. Takut pada sebuah kesempatan. Itu yang berulang kali ditutur kakak dengan air mata yang tidak pernah kering kala mengimbas hal yang satu itu.

Aku hanya diam. Dan, itulah akupun. Bukan kerana tidak mahu mengerti, tidak juga mahu melari. Cuma, aku tidak mahu menambah luluh sedia ada.

Semoga terlapang hatiku untuk berdepan kalut seribu ini. 

[Degup..]

Wednesday, March 04, 2015

~ DISENGAJAKAN EMOSI ~


TIMBUNAN. Dan, mungkin pada akhirnya mati terhempap beban yang di luar kudrat. Mac kelihatannya bukan bulan yang manis untuk aku tadahkan harapan. Barangkali. Seawal hari pertama dihadapkan dengan kejutan demi kejutan yang langsungnya membuat aku tersakiti dengan kenyataan yang harus ditelan. Moga ia tidak tergaul dengan soal selainnya.

Isnin, Selasa dan Rabu. Sederet sesi diskusi untuk perancangan kerja yang tidak terdugakan. Terganda lapan kali dari rutin biasa yang sememangnya sudah membuat nafas sesak saban hari. Dihambat pula dengan urusan kerja yang punya tarikh mati secara sederet berselangan hari. Owhh.. setinggi KLCC duduknya membuat atur. Apa agaknya yang sedang ada di fikiran mereka ya..

Pada akhirnya kedua soal kiri dan kanan ini membuat asak yang sangat keras untukku. Tergumpal rasa. Lalu keras aku dengan kebisuan yang disengajakan emosi. Seperti mahu membuat akal yang merajakan rasa.

Dalam ramai.

[Pada akhirnya langit merah..]

Tuesday, March 03, 2015

~ CERITA TANPA BERCERITA ~


MENDENGAR. Ya, aku sering mendengar meski untuk apa isinya, meski berapa lama perlunya. Meminjamkan bahu untuk seribu satu cerita. Sudah terbiasa untuk mendengar kerana menjadi pendengar  yang baik dan setia itu bagiku adalah tanda kepedulianku.

Dan, hari ini.. Aku tidak mampu untuk menjadi pendengar kerana saratku dengan beban rasa yang ingin didengarkan. Ya, mahu didengarkan untuk rasa lepas.

Menyendiri. Dan, sepanjang hari tergumpal dengan rasa kecamukan yang tebal menutup rasa. Bersimpul seratus. Mahu sahaja dimuntahkan.. Tetapi agaknya, layaknya aku hanya untuk mendengar, dan bukan untuk didengarkan. 

Cerita tanpa bercerita. Dan, hanya yang peduli sahaja mampu membaca dengan dengar. Sungguh, kelibat sahabat mei menerjah dalam ingat saat aku mahu didengarkan begini. Melihat dia secara luar, dengan tersohor duduknya di dada akhbar, aku sering sahaja tidak menyangka dengan kepeduliannya. Mungkin kerana itu aku sering menutup mata untuk hal-hal canggungnya yang bertentang, kerana kasih sayangnya yang sering sahaja membuat kita rasa dimahu sebagai sahabat.

Dan, ahh.. Kalaulah dia ada mendengar pada saat aku perlu begini. Tuhan, mudah-mudahan ada sejahtera untuknya. Aku sentiasa kenang dia sebagai yang banyak memberi. Moga kau balas segala yang pernah terberinya. Aamin.

Lari... yaa, lari hingga hujung malam. Moga esok beri sendik. Moga esok ada peduli.

[Pekat]

Monday, March 02, 2015

~ BABAK PANAS TERIK ~


AWAL pagi tadi, ketika menyerah diri untuk rutin Isnin semenjak bertahun, unta hitamku di halang oleh sebuah kenderaan lain yang melintangkan segenap ruang lolosku. Mungkin tergesa untuk membuat urus lalu itu pilihan akhir sementelah ruang parkir di situ padat dengan manusia yang juga punya urusan yang sama seperti kami.

Namun memandangkan handbrakenya tidak diangkat, aku cuba untuk menolak kenderaannya sedikit ke depan  untuk lolos. Namun, sungguh di luar memampuan kudratku untuk menggerakkan beban yang begitu. Ada manusia yang lalu di situ, namun di tengah terik matahari di kawasan seluas itu, siapa yang mahu membeban dirinya.

Kurang lebih 10 minit, datang seorang remaja lelaki yang lengkap berpakaian uniform sekolah melintasi aku yang termangu. Meski tidak diminta aku, ataupun terlihat seperti aku memerlukan bantunya, dia berhenti untuk menyapa. Apa aku perlukan bantuan kerana pelik dengan tingkahku yang berjemur di tengah terik matahari yang membahang itu.

Badannya kecil sahaja, mungkin sama kecil denganku. Malah, tangan kanannya berbalut kemas kain putih sepertinya baru sahaja mendapat rawatan di dalam. Tidak sampai hati aku mahu katakan tentang keberadaanku ketika itu. Namun, dia seperti mengerti dan cuba meggerakkan kenderaan tersebut walaupun pada mulanya dihalang aku. Kudrat lelaki.. ahh.

Aku tidak sempat memikirkan apa, melainkan menghulurkan sedikit wang tanda terima kasih. Bukan bermaksud mahu membayar hulur bantunya dengan cara begitu, cuma ketika itu hanya itu yang terfikir aku untuk menzahirkan rasa terima kasih. Tiada niat lain, walau sekelumit.

Dia terus memandang aku dengan pandangan yang cukup tajam. Lalu dilepaskan tutur, "Bukan semua benda perlu dibayar dengan duit.." terus dia berlalu pergi tanpa sempat aku membuka mulut membuat kejelasan.

Ohh adik... apa agaknya yang sedang dilalui kamu saat ini ya. Mudah-mudahan Allah melepaskan kamu dari anggapan yang begitu dan memberikan kamu ganjaran atas ketulusan hatimu itu. Dan, sesungguhnya bukan niatku untuk membeli kamu dengan cara yang begitu. Dan, kata-katamu itu begitu membuat ngiang..

[Ada dalam tahu..]


Sunday, March 01, 2015

~ MANUSIA MAHAL ~


BAHASA. Ditanya bahasa merak, mengapa mesti dijawab bahasa gagak? Diberi rasa hormat dengan santun yang tinggi, kenapa pula memilih sebalik? Usahlah terlalu mahu menjadi manusia mahal yang kebal dengan kemahuan sendiri sahaja. Bertolak ansurlah untuk  hidup yang saling melengkapi, kurang dan lebih yang boleh menjadi saling dokong.

[Usah keterlaluan me-rasa diri istimewa..]