Friday, February 06, 2015

~ LOLOS ~


TEWAS. Pada akhirnya, seorang teman yang aku kongsikan ceritanya melalui entri beberapa hari lalu mengangkat bendera putih. Dia memilih untuk keluar daripada permainan yang dirancang orang untuknya.

Hari ini menjadi hari terakhirnya. Meski masih belum punya hala baru, dia ternyata bahagia apabila lolos dari serabut dan simpul yang semakin kusut itu. Tidak dia pedulikan kedudukan sedia adanya, hati tenang yang lebih dimahunya. Lalu dia memilih untuk kalah. Bukan kerana tidak tahan arus atau kerana sifat lemahnya, tetapi kerana merasa tiada untungnya untuk dirinya bertahan atas suatu hal yang hanya memudaratkan hati.

Justeru beberapa jam tadi, dia datang untuk bertemu kali akhir dan mengucap selamat tinggal untuk aku dan teman-teman lainnya. Tiada kata yang aku ucap indah, melainkan satu pelukan yang dilepaskan untuknya. Ada kasih sayang yang mengalir di situ. Dan, sesungguhnya Allah merancang yang lebih baik untuknya. Percayalah, kita ini ada bahagian masing-masing atas apa yang dilakukan.

Ramai yang sayangkannya, dan seiring itu juga berangkaian drama tercipta. Namun, yang ingin aku katakan, tidak menangisi itu bukan bererti aku menyambut baik perginya. Aku yakin, teman yag seorang ini tahu aku. Meski tidak aku katakan apa, tetapi apa yang ada di dalam sana, aku yakin tersampai kepadanya. Dan, scorpio seperti aku tidak pandai untuk menunjuk manis dengan kata-kata ucap di laman sosial untuk dibaca seluruh manusia. Sedang yang perlu tahu, hanya teman ini.

Selamat berjaya wahai teman... semoga berganti yang lebih baik.

[Simpang..]

No comments: