Tuesday, February 24, 2015

~ KELILING ~


DI SINI sering menjadi teman aman buatku. Tempat aku lari dari kecamukan dan melayan serabut seratus yang membuat damping. Aromanya sering membuat aku tenang-tenang sambil menelek buku atau sesekali menghabiskan saki baki kerja di lantai pekerjaan yang tergalas ikut.

Saat aku melangkah seorang dengan hati yang ranap, selalunya aku akan memilih kerusi di dalam, yang sepertinya sudah milik aku kerana sering sahaja terlihat kosong memberi ruang. Aku tidak pernah menyapa, meski terlalu banyak senyuman manis yang menyambut kehadiran setiap tamu yang menjejak.

Membuat pesanan yang serupa semenjak pertama kali menginjak kaki ke lantai ini, dan terus sahaja ke ruang yang sepertinya sudah menjadi kepunyaan. Terlalu selalu, dan bisu. Aku sedar ada wajah-wajah biasa yang memberikan senyuman tanda sapa, namun aku masih juga tanpa suara.

Hari ini, langkahku ke sini dengan seorang teman. Kebetulan ada sedikit sesi yang jarang sekali aku memilih berlangsung di ruang ini tanpa sebab. Teman yang seorang ini pula seorang yang banyak tuturnya dengan senda gurau yang menjadi sebahagian dirinya. Lalu ada sesi kenal di situ.

Tiba-tiba salah seorang daripada yang menyambut kehadiran kami petang itu, mengalu-alukan kedatangan kami dengan senyum yang cukup manis. Disebutnya namaku dengan jelas seolahnya kami saling kenal dan dekat dengan sapa. Baru sahaja aku mahu membuat pesanan, dia terlebih dahulu menyebut pesan kebiasaanku. Sambil bertanya, kepadaku sama ada mahu memilih kerusi yang sama atau kerusi luar kerana teman tadi beberapa kali memberitahu mahu melepaskan lelahnya dengan nikotin.

Aku mengangguk dan kemudiannya senyum tanda sapa. Dia yang berpangkat adik ini tidak pernah menyapa selama ini, namun hari ini menyampaikan mesej bahawa segala gerakku terperhati dia. Hal-hal yang ranap mungkin tertangkap di matanya. Cuma mungkin terlalu bisu aku untuk disapanya  Sementelah aku mudah terlihat kerana senyapku berbanding yang lain di sini. Barangkali.

[Mata..]

No comments: