Saturday, February 28, 2015

~ GANTUNG ~






Gantung
KARYA: Nadia Khan
CETAKAN: Pertama (Dis 2013), Kedua (Jan 2014), Ketiga (Mac 2014), Keempat (April 2014), Kelima (Mei 2014), Keenam (June 2014), Ketujuh (Ogos 2014) & Kelapan (Nov 2014)
PENERBIT: Buku Fixi
HALAMAN: 293
HARGA: RM20


[Tadah..]

Friday, February 27, 2015

~ BUKU MERAH ~


BUKU merah dan seribu satu cerita. Isi dalamnya paling telus, paling tidak terlapiskan dan paling menceritakan. Jika di ruang sini, aku meletakkan isinya pada lapis-lapis tertentu, pada kabur yang tertentu, namun tidak di buku merah ini. 

Ahh, semenjak mula mengenal tulisan, aku sentiasa punya satu. Meski zaman ini, agak janggal untuk suatu hal yang dipanggil 'diari', aku masih lekat kepada kebiasaan yang satu ini. Cerita aku, dan cerita kamu juga barangkali. Tidak pernah terbohongi.

Ter-kelek di mana pergi. Tersadai juga di unta hitam dengan penuh curiga.

[Dunia merah..]

Thursday, February 26, 2015

~ BIDIK DALAM BIDIK.. ~


KERANA sekeping foto. Ya, hariku menjadi haru-biru hari ini hanya kerana sekeping foto yang sudah terbaca salah. Foto yang memperlihat keduaanku dengan seorang lelaki yang juga sahabatku.  Foto dekat itu dirakam ketika sambutan hari raya cina yang lalu. Entah bagaimana ia sampai pada lihat si sepet itu, lalu jadilah lain ceritanya.

Rupa-rupanya, di celah ramai manusia yang tidak aku kenali itu, ada sepasang mata yang memerhatikan lakuku ketika itu. Lalu keterujaanku dan sahabat dekat itu yang sedang asyik merakam momen untuk satu pertandingan bersempena sambutan perayaan itu, dirakamkan pula oleh seorang manusia yang galak memerhati itu.

Entah sejak bila lelaki sepet ini berminat dengan soal-soal begitu. Diasak soal yang menyesakkan, dan paling tentu diamku menjadi hal yang paling tidak digemarinya. Dan, ributlah.

Berkata-kata pada saat kemarahan menjadi raja, bukan suatu hal yang bijak tentunya. Bangkit berdiri ketika semua yang lain juga berdiri, bukan juga menjadi hal yang menang pastinya. Lalu, biarlah diam itu menjadi hal yang meredakan.

[Diam, itu boleh jadi setuju, boleh jadi juga tidak..]

Wednesday, February 25, 2015

Tuesday, February 24, 2015

~ KELILING ~


DI SINI sering menjadi teman aman buatku. Tempat aku lari dari kecamukan dan melayan serabut seratus yang membuat damping. Aromanya sering membuat aku tenang-tenang sambil menelek buku atau sesekali menghabiskan saki baki kerja di lantai pekerjaan yang tergalas ikut.

Saat aku melangkah seorang dengan hati yang ranap, selalunya aku akan memilih kerusi di dalam, yang sepertinya sudah milik aku kerana sering sahaja terlihat kosong memberi ruang. Aku tidak pernah menyapa, meski terlalu banyak senyuman manis yang menyambut kehadiran setiap tamu yang menjejak.

Membuat pesanan yang serupa semenjak pertama kali menginjak kaki ke lantai ini, dan terus sahaja ke ruang yang sepertinya sudah menjadi kepunyaan. Terlalu selalu, dan bisu. Aku sedar ada wajah-wajah biasa yang memberikan senyuman tanda sapa, namun aku masih juga tanpa suara.

Hari ini, langkahku ke sini dengan seorang teman. Kebetulan ada sedikit sesi yang jarang sekali aku memilih berlangsung di ruang ini tanpa sebab. Teman yang seorang ini pula seorang yang banyak tuturnya dengan senda gurau yang menjadi sebahagian dirinya. Lalu ada sesi kenal di situ.

Tiba-tiba salah seorang daripada yang menyambut kehadiran kami petang itu, mengalu-alukan kedatangan kami dengan senyum yang cukup manis. Disebutnya namaku dengan jelas seolahnya kami saling kenal dan dekat dengan sapa. Baru sahaja aku mahu membuat pesanan, dia terlebih dahulu menyebut pesan kebiasaanku. Sambil bertanya, kepadaku sama ada mahu memilih kerusi yang sama atau kerusi luar kerana teman tadi beberapa kali memberitahu mahu melepaskan lelahnya dengan nikotin.

Aku mengangguk dan kemudiannya senyum tanda sapa. Dia yang berpangkat adik ini tidak pernah menyapa selama ini, namun hari ini menyampaikan mesej bahawa segala gerakku terperhati dia. Hal-hal yang ranap mungkin tertangkap di matanya. Cuma mungkin terlalu bisu aku untuk disapanya  Sementelah aku mudah terlihat kerana senyapku berbanding yang lain di sini. Barangkali.

[Mata..]

Monday, February 23, 2015

~ HELAH ~


DRAMA. Tapi, ya.. aku datang. Dan, strategi sebegitu sememangnya sudah dimaklumi teman yang seorang ini. Tahu sahaja dia aku tidak akan pernah berkesanggupan untuk tidak membuat peduli bila mana didramakan begitu.

Dan, yaa. Marah dan degil aku hanya pada kata. Bila duduk mengadap realiti, diam sahaja dengan kesejukan kata penuh angguk. Lalu, bila terjadi soal yang membawa kepada amarahku, penyelesaiannya hanya dengan memaksa aku untuk bertentang mata. 

[Se-chawan dark mocha yang penoh helah]

Sunday, February 22, 2015

~ CARIK-CARIK ~


BENARLAH, koyak tampal yang tiada sudah. Buatlah apapun, tercantum juga bagai cariknya bulu ayam. Larilah ke manapun, akhirnya kembali juga makan sepinggan, menumpang bahu buka cerita. Penat. Namun, itu sahajalah yang ada. Seperti mana dongeng orang tua dahulu, diberi minum air tali pusat untuk lerai gaduh adik-beradik. Dan, itulah agaknya perumpamaan sesuai kami. 

[Haihlah.. sahabat june.]

Saturday, February 21, 2015

~ RIWAYAT UNGKU AZIZ ~







Riwayat Ungku Aziz

TULISAN: Asmah Hj Omar
CETAKAN: Pertama (2015)
PENERBIT: Dewan Bahasa & Pustaka
HALAMAN: 241
HARGA: RM50.00


[Inspirasi..]

Friday, February 20, 2015

Thursday, February 19, 2015

~ GONG XI FA CAI 2015 ~














GONG XI FA CAI. Tahun kambing. Semoga bertambah tuah, kegembiraan dan kekayaan. Ah.. sepet.. kamu sering dengan cerita panjang. terima kasih.

[Merah, dan rai..]

Wednesday, February 18, 2015

~ TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WJICK ~


TENGGELAMNYA Kapal Van Der Wjick. Buku ini dihadiahi seorang sahabat dekat sekitar June 2013 sempena kunjungannya ke rumah kelahiran Hamka di Padang, Indonesia. Belum sempat aku habiskan bacaan, malah hanya pada dua bab pertama mungkin, kami dihenyak 'ribut'. Lalu mood untuk menyudahkan baca sudah hilang. Ibarat marahkan si pemberi, bukunya pula menjadi kiri.. Hahahha..

Lalu, seketika aku ketepikan karya masyhur ini. Namun, seketika itu pada akhirnya hanya dibuka kembali beberapa hari lalu. Lupa akan keberadaan buku ini di mana duduk letaknya ketika aku tidak dengan kepedulian. Malah selepas ribut kembali tenang juga, aku terlupa tentangnya.

Entah apa yang menggerakkan aku kembali mencari buku ini. Dan, yaa.., ceritanya bukan tentang sipemberi, tetapi tentang isi kandungnya yang banyak sekali meminjam cerita kehidupan. 

Pada hujung titik selesai membaca buku ini, ada manik jernih yang mengalir. Bukan kerana kisah cinta leleh Zainudin dan Haryati yang sangat menusuk kalbu itu, tetapi kerana mesej tersirat yang disampaikan penulisnya Hamka dengan penuh hemah dan dalam.

Tentang kemafaan. Bagaimana akhir amarah panjang yang tiada sudah tanpa sebuah kemaaafan. Bagaimana besar kebaikan yang dilakukan, tenteramnya tidak pernah mahu dekat andai tanpa kemaafan walau atas apa jua alasan.

Itu dari sudut pandang aku. Lalu, ia menggerakkan aku kepada sesuatu hari ini..

[Me-minjam..]

Tuesday, February 17, 2015

~ MELEPAS SINGGUNG ~


HARI yang panjang dengan nafas turun naik. Hanya kerana tutur, desak, sangka dan lantang. Dan, walau apapun... kemarahan tidak pernah membenarkan apa-apa. Aku cuma melepaskan singgung hati, dan tidak pernah lebih. Kata-kata keras yang terluncur  itu tidak pernah benarnya dengan maksud. Cuma ingin menampung tembus peluru yang terbagi. Ya, cuma itu.

Dan, selepas itu aku sendiri yang bersimpul seratus.

[Hanya se-chawan mocha mampu mem-buat pujok..]

Monday, February 16, 2015

~ SECAWAN MOCHA ~


TIGA. Ya, tiga kerana rindu. Kerana mahu kepada aroma yang mampu mengimbau cerita indah dengan hal-hal yang manis tanpa henti. Umpama kisah yang berputar di wayang dipertonton satu demi satu.

Jam 9.43 pagi, secawan mocha di Starbucks Ampang Jaya. Jam 1.02 tengahari, secawan mocha di Starbucks Seksyen 9, Shah Alam dan 7.06 petang, secawan mocha di Starbucks Mid Valley.

Aroma, dan rindu.

[Cherita kopi ayah....]

Sunday, February 15, 2015

~ AL FATIHAH ~


AL-FATIHAH. Dikejutkan dari lena untuk mendengar khabar duka. Pemergian seorang kenalan yang baru sahaja semeja menghirup secawan mocha petang semalam. Ya, kurang dari 24 jam yang lalu.

Bual akhir kami petang semalam tentang pemergian abadi beberapa nama besar yang berkeliling kita dalam sehari dua ini. Tanpa henti dikirimkan Al-Fatihahnya buat mereka yang telah pergi mengadap Ilahi itu.

"Entah-entah, esok aku pula.."

Itu antara isi bual kepada bicara terakhirnya petang semalam. Dan, siapa sangka ia menjadi kenyataan. Sungguh... aku amat terkejut saat mendengar berita pemergiannya tengah malam tadi yang pada awalnya aku kira hanya mimpi.

Dia bukanlah kenalan rapat, tetapi pada beberapa ketika sebelum hujung nyawanya, kami duduk dekat untuk satu bual yang panjang. Dan, pagi ini dia diberitakan telah pergi.

Betapa kita tidak pernah tahu apa yang akan jadi pada saat yang berikutnya...

[Hargai... hargai-lah mereka yang dekat dengan kita sementara hayat maseh ada..]

Saturday, February 14, 2015

~ KALAU AKU JADI PM ~






Kalau Aku Jadi PM 
(Kumpulan Puisi)
KARYA: Khalid Salleh
CETAKAN: Pertama (2014)
PENERBIT: Institut Terjemahan & Buku Malaysia
HALAMAN: 149
HARGA: RM25

[Sampai masa... barang-kali]

Friday, February 13, 2015

~ ALLAHYARHAM TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT ~






AL-FATIHAH. 
Perginya seorang agamawan dan ulamak yang dikasihi ramai, 
Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat 
(10 Januari 1931 - 12 Februari 2015). 
Semoga allahyarham ditempatkan di kalangan insan-insan yang dikasihi Allah. 
Amin.

[Al-Fatihah juga untok arwah ayahanda yang di-rindui..]

Thursday, February 12, 2015

~ TEATER DIARI WANITA ~











TEATER 'Diari Wanita... Episod YB & Nyonya' adalah sebuah persembahan teater yang menggabungkan dua cerita dalam satu persembahan iaitu pengkisahan tentang YB dan Nyonya. Naskah Nyonya merupakan karya yang telah ditulis oleh penulis Indonesia iaitu Wisran Hadi, manakala naskah YB pula ditulis oleh Rosinah Tahir.

Teater 'Diari Wanita' ini sebenarnya bertunjangkan dari naskah 'Nyonya. Naskah yang sarat mesej dan sindiran ini sebenarnya telah enam kali dipentaskan kepada umum. Isi kandungnya sama, cuma barisan pelakon dan persembahannya sahaja membuat beda.

Daripada enam itu, aku pernah penontonnya sebanyak tiga kali dan menjadi kali ke empat untuk musim terbaru ini. 'Nyonya' (Lambang Sari, Istana Budaya - 2008), 'Mak Dara, Nyonya' (Matic - 2011), 'Nyonya & The Gang' (Panggung Sari, Istana Budaya - 2013) dan terbaru, 'Diari Wanita: YB & Nyonya' (Panggung Sari, Istana Budaya - 2015).

Jujurnya, aku  hanya menyukai naskah asal 'Nyonya' tanpa perlu di gabungkan dengan kisah lain. Biarpun aku memahaminya di atas dasar keperluan untuk tujuan pembiayaan, aku tetap merasakan 'Nyonya' perlu berdiri di atas kakinya sendiri. Fokus penonton tidak sepatutnya terbagi kepada dua kisah yang tidak dekat ini. Meski sama dari segi aspirasinya terhadap wanita, ia tetap perlu dikisahkan secara berasingan.

Sepanjang empat musim menonton dengan barisan pelakon dan persembahan yang berbeza itu, aku menyukai watak Nyonya yang dibawakan oleh Juhara Ayob dan Sherry AlHadad. Untuk watak Tuan pula, Zaifri Hussien tentunya menjadi satu-satunya pemain yang berjaya merealisasikan watak tersebut dengan begitu baik dan tidak tertanding pelakon-pelakon lain yang membawakan watak yang sama selepasnya. Manakala watak-watak keponakan pula dijayakan penuh warna warni dalam kesemua musim.

Apapun, tahniah kepada seluruh team CTRA yang bertindak sebagai penerbit teater ini. Juga untuk Puan Rosminah Tahir selaku pengarah yang tidak jemu-jemu membawakan naskah-naskah hebat untuk tontontan generasi teater hari ini. Juga Sherry AlHadad yang cemerlang sekali di pentas besar itu.

Marilah kita sama-sama memberikan sokongan kepada perkembangan seni teater tanah air. Jangan ketinggalan untk menonton teater lakonan Sherry Al Hadad, Shahrul Mizad Ashari, Juhara Ayub, Amy Mastura, MishaOmar, Nur Nazira Harizan, Dina Nadzir, Dayang Kartini dan Nad Zainal ini mulai hari ini, 11-16 Februari 2015. Tiket-tiket boleh diperolehi dengan harga RM35, RM55, RM85, RM105 dan RM155 (www.airasiaredtix.com).

[Sabar menunggu pementasan teater 'Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck' dari karya Hamka yang bakal dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya sekitar bulan September depan..]

Wednesday, February 11, 2015

~ SEORANG SUFIAH YUSOF ~


KREDIT: Mynewshub.my

EMPUNYA nama Sufiah Yusof suatu ketika dahulu pernah mengejutkan perhatian dunia dengan kepintaran luar biasa yang dimiliki hingga berjaya mencatatkan rekod sebagai pelajar termuda memasuki Universiti Oxfard seawal 13 tahun.

Malangnya, pada tahun 2008 nama wanita genius Matematik itu sekali lagi menjadi bualan ekoran terpalit dengan kontroversi penglibatannya dalam dunia pelacuran.

Bagaimanapun, Sufiah yang menghilangkan diri daripada bertemu media berjaya dijejaki oleh kru Nona TV3 di sebuah hotel di Liverpool yang telah disiarkan petang semalam.

Bercerita detik hitam dalam hidupnya, Sufiah akui pengalaman lepasnya telah banyak memberi pengajaran buatnya untuk meneruskan kehidupannya kini.

“Kegagalan dan pengalaman pahit yang saya alami banyak memberi pengajaran. Saya juga dapat menanganinya dengan baik.

“Ia membuatkan saya lebih matang. Biarpun tertekan tapi ia menyedarkan saya untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan sebenar,” katanya.

Luahan Sufiah kepada wartawan Haliza Hashim Doyle amat menyentuh hati apabila dia akui dirinya bukan lagi insan yang pintar meskipun pernah memasuki Universiti Oxford.

“Saya tidak lagi pintar, tidak ada wang dan sedang mencari kerja. Saya juga masih belajar secara sambilan di sebuah universiti,” katanya yang tidak memaklumkan di mana dia kini sedang melanjutkan pelajaran.

Bagaimanapun, Sufiah mendedahkan hasrat hatinya suatu hari nanti untuk memberi sumbangan dalam aspek penyelidikan menggunakan kepakaran yang masih ada dalam bidang Matematik.

“Mungkin saya ada kepandaian dan kepakaran dalam Matematik. Saya berharap dapat memberi sedikit sumbangan daripada aspek penyelidikan dan dapat meninggalkan legasi berkaitan Matematik.

“Apapun saya perlu meneruskan pembelajaran,” katanya.

Sementara itu pendedahan Sufiyah ketika menjadi pekerja seks nyata mengejutkan.

“Saya berhenti selepas diburu, diganggu dan diugut oleh media di Britain. Saya pernah dirakam secara rahsia oleh wartawan di sini (Britain), yang menyamar sebagai pelanggan.

“Gambar saya sebagai pekerja seks turut dipapar. Ada antara mereka yang cuba memberi dadah dan menyuruh saya menanggalkan pakaian supaya mereka dapat merakamkan aksi ketika di atas katil.

“Itu adalah pengalaman paling menakutkan dalam hidup saya dan tidak masuk akal apabila hampir setiap hari menerima e-mail berunsur ugutan hanya semata-mata untuk menemuramah saya,” katanya.

Tambahnya, dia menghargai mereka yang masih mengambil berat dan memberi sokongan kepada.

Sufiah yang gagal dalam perkahwinannya bersama Jonathan Marshall yang juga penuntut jurusan Undang-undang di Universiti Oxford ketika usianya 19 tahun adalah detik-detik permulaan dirinya yang terjebak dalam industri seks ekoran tekanan dan kesempitan hidup.

Kita doakan moga Sufiyah tabah menjalani hidupnya seperti biasa.



[Me-minjam cherita kehidopan..]

Tuesday, February 10, 2015

~ EMOSI ~



UNFRIEND, unfollow, blocked, delete. Laju sahaja aku lakukan semua itu tanpa mahu fikir.

Emosi. Ya, segalanya menurut emosi. Jarang-jarang aku membiarkan emosi menjadi raja dan mendulu segala. Namun malam tadi, ia seolah dialukan. Aku biarkan emosi membuat laku.

Dan, hari ini aku duduk menopang dagu. Ya, sebenarnya aku tidak pernah mahu lakukan itu, dan itu bukan aku. Namun, yaa.. Aku ini manusia biasa yang juga punya rasa. Dan, tentu juga terletak limitasi. Dan, nah..

Pun begitu, seharian aku dihenyak-henyak rasa salah (walaupun alasan dan sebab puncanya adalah hal yang munasabah). Ya, terganggu segala rutin. Sedang barangkali ia tidak pernah terkesankan apa.

Ahh.. emosi. 

[Agar ter-henti ulangan..]

Monday, February 09, 2015

~ MESKI TIDAK DIADILKAN.. ~


KAYU tiga. Suatu hal yang sentiasa ada dikeliling. Di mana-mana, dan berkemungkinan siapa sahaja, termasuk aku, kamu, atau barangkali mereka.

Baru sebentar tadi, aku dihubungi seseorang. Seseorang yang dalam kenal meski tidak begitu rapat. Menganggap aku sebagai 'penyimpan mohor besar' kekasih hatinya, lalu diminta belas untuk aku berkongsi apa yang ada dalam tahuku tentang kekasih hatinya yang juga merupakan antara yang dekat denganku. Tahu yang dimaksudkan di sini adalah tentang kerahsiaan yang dikongsikan sahabat dekat itu kepada aku tentang seseorang yang lain selain dari dirinya.

Tergamam diam aku jadinya. Jujurnya, aku tentu sekali tidak pernah menyokong selingkuh, atas apa jua alasan dan mahu. Namun, itu tidak bererti aku akan mudah membuka mulut untuk membuat bongkar atas suatu perkongsian cerita dengan amanah. Bukan kerana aku menyokong hal yang salah, tidak juga mahu melindung sahabat sendiri yang nyata tidak benar, cuma seperti yang aku katakan tadi, hal-hal yang seperti itu tidak akan mudah datang dari aku.

Menggeleng kepala. Terseret untuk suatu hal yang sungguh di luar urus mahu. Lelah untuk menghadap segala hal yang seperti ini. Tolonglah, aku tidak mahu berada di pihak salah satu kamu. Sementelah urus ini adalah antara kamu dua. Benar, aku tahu segala tentang itu. Namun, biar sahaja ia hanya untuk tahuku.

Namun, bila begini jadi. Bila bertalu didesak dengan sangka kiri yang keterlaluan, mahu sahaja aku hulurkan telefon bimbitku dan nah... ambil dan lihatlah segala kerahsiaan itu. Segalanya lengkap satu-satu dan mampu menjadi punca cetus kepada perang yang tidak berkesudahan. Kalaulah.... ya, kalaulah isi telefon bimbitku itu dikongsikan sebagai ganti susun bicara.

Barangkali, sahabat itu bernasib baik, kerana aku ini orangnya scorpio. Ya, sang scorpio yang tidak mudah ingkar untuk suatu hal yang bersifat janji dan kerahsiaan. Apapun, pandai-pandailah menyelesai kusut yang sengaja disimpul. Meski sering tidak menyetujui kamu, aku tidak akan pernah ada ingin untuk mengkhianati percaya kamu.

[Tidak pernah, ada adil..]

Sunday, February 08, 2015

~ SEHINGGA TIBA ~


CERITA dan cerita. Dalam bahasa yang hanya kami yang mengerti. Hanya kami dua, namun ceritanya seperti punya sekumpulan manusia yang berkongsi itu dan ini. Tidak tentang hati dan perasaan, tetapi tentang cerita seputar kami.

Suatu yang barangkali kali lucu buat aku dan lelaki sepet ini. Hal yang melibatkan hati dan perasaan, lebih sering kami bualkan tanpa semuka. Dan, pada saat bertentang begini, ceritanya lebih tentang keliling. Bergantian sehingga hujung hari. Seperti sahabat kepada sahabat. Itu kami.

Kami berjarak utara dan selatan. Justeru, kesempatan terlalu jarang ada untuk berselalu dengan damping. Entah sampai bila akan begini, Tuhan sahaja yang menentu. Namun sehingga tiba pada yang ditentukan itu, beginilah kami mengisi cerita hidup.

[Tasek naga..]

Saturday, February 07, 2015

~ SOPHIE'S WORLD ~





Dunia Sophie: Sebuah Novel Sejarah Falsafah 
(Terjemahan dari Sophie's World: A Novel About The History Of Philosophy)
KARYA: Jostein Gaarder (Terjemahan: Hassan Ahmad) 
CETAKAN: Pertama & Kedua (2006), Ketiga (2007) & keempat (2014)
PENERBIT: Institut Terjemahan & Buku Malaysia
HALAMAN: 404
HARGA: RM45.00

[Ceritera]

Friday, February 06, 2015

~ LOLOS ~


TEWAS. Pada akhirnya, seorang teman yang aku kongsikan ceritanya melalui entri beberapa hari lalu mengangkat bendera putih. Dia memilih untuk keluar daripada permainan yang dirancang orang untuknya.

Hari ini menjadi hari terakhirnya. Meski masih belum punya hala baru, dia ternyata bahagia apabila lolos dari serabut dan simpul yang semakin kusut itu. Tidak dia pedulikan kedudukan sedia adanya, hati tenang yang lebih dimahunya. Lalu dia memilih untuk kalah. Bukan kerana tidak tahan arus atau kerana sifat lemahnya, tetapi kerana merasa tiada untungnya untuk dirinya bertahan atas suatu hal yang hanya memudaratkan hati.

Justeru beberapa jam tadi, dia datang untuk bertemu kali akhir dan mengucap selamat tinggal untuk aku dan teman-teman lainnya. Tiada kata yang aku ucap indah, melainkan satu pelukan yang dilepaskan untuknya. Ada kasih sayang yang mengalir di situ. Dan, sesungguhnya Allah merancang yang lebih baik untuknya. Percayalah, kita ini ada bahagian masing-masing atas apa yang dilakukan.

Ramai yang sayangkannya, dan seiring itu juga berangkaian drama tercipta. Namun, yang ingin aku katakan, tidak menangisi itu bukan bererti aku menyambut baik perginya. Aku yakin, teman yag seorang ini tahu aku. Meski tidak aku katakan apa, tetapi apa yang ada di dalam sana, aku yakin tersampai kepadanya. Dan, scorpio seperti aku tidak pandai untuk menunjuk manis dengan kata-kata ucap di laman sosial untuk dibaca seluruh manusia. Sedang yang perlu tahu, hanya teman ini.

Selamat berjaya wahai teman... semoga berganti yang lebih baik.

[Simpang..]

Thursday, February 05, 2015

~ ALIH ~



[Se-puloh.. dan, barang-kali  aku sudah tidak sesuai untok me-makai baju itu lagi..]

Wednesday, February 04, 2015

~ BERUBAH ~


KURANG lebih jam 6.50 pagi, aku selalunya sudah berada di lantai pekerjaan. Ya, setiap hari semenjak berpindah ke kediaman baru. 

Sementelah waktu kerja hanya bermula pada jam 8.30 pagi, aku selalunya akan menghabiskan masa di unta hitam sehingga jam itu. Membelek bahan baca sambil menjadi saksi terbit matahari memula hari. Sering juga terlena hingga jauh ke mimpi.

Rutin sudah berubah. Dan, aku juga berharap segalanya tentang aku akan turut berubah. Termasuk yang koyak tampal itu juga. Berubah untuk hal yang tidak terubahkan. 

Bila perlu dicari, bila tidak dirabakkan.

[Berobah..]

Tuesday, February 03, 2015

~ PESTA BUKU SELANGOR 2015 ~













HANYA pada hari-hari hujung aku punya kesempatan untuk menjenguk ke Pesta Buku Selangor, yang menjadi mesti. Melepasi jarum enam yang terasa begitu lama hari ini, aku membuat hala ke sana yang jaraknya hanya berselang langkah dari lantai pekerjaan.

Kali ini, aku melilau seorang diri. Tidak juga dengan pencarian bahan baca yang khusus. Sekadar mahu mencari tanpa tahu apa yang dicari. Mengintai dan membelek dari rak ke rak, berhasil sama. Kalaulah ada tulisan Rasyidah Othman yang secantik 'Perempuan Yang Patah Hati'.. Ya, masih berkelek buku itu ke mana-mana, hampir lunyai.

Kurang lebih dua jam di celah ramai manusia itu, dan hampir empat puluh minit pula aku di celah percik neon hiruk pikuk kota anggerik ini, tidak bertemu lalu yang selalu. Ya, hilang arah di tengah-tengah bandar Shah Alam. Meski sudah bertahun aku ulang lalu di bandar ini, yang aku tahu hanya lalu untuk ke rumah dan lantai pekerjaan. Itu sahaja.

Pada akhirnya, aku berhenti untuk secawan mocha, dan mengeluarkan 'Sophie's World'.

[Sastera perdana vs indie..]