Sunday, January 25, 2015

~ UNBROKEN ~


SETELAH tampil dengan filem pertama arahannya, ‘In the Land of Blood and Honey’ (2010), aktres jelita dan berbakat hebat, Angelina Jolie kini tampil dengan buah tangan terbarunya, 'Unbroken’. Sebagaimana filem terdahulu, Angelina sekali lagi  memilih naskhah yang bertemakan kemanusiaan dan inspirasi luar biasa untuk filem arahan keduanya ini. Ternyata, dia begitu cenderung untuk kisah-kisah dari genre sebegini dan sentiasa mempunyai misi yang tersendiri dalam setiap filem arahannya.

Filem yang diangkat daripada kisah benar dan adaptasi daripada novel ‘Unbroken: A World War II Story of Survival, Resilience and Redemption’ karya Laura Hillenbrand (2010) disifatkan oleh Angelina sebagai satu naskhah luar biasa yang memaparkan tentang semangat perjuangan yang begitu besar dalam diri manusia. Pengkisahan tentang Louis Zamperini, seorang pelari sukan Olimpik, yang kemudiannya menjadi tahanan tentera Jepun itu meminjamkan cerita yang cukup besar buat penonton.

Meskipun masih baru di dalam bidang pengarahan, idea, kreativiti dan usaha keras yang ditunjukkan oleh bintang ‘Tomb Rider’ ini tentunya tidak boleh dipandang sebelah mata. Menurutnya, dia tidak mahu filem ini diterima atau dikenang semata-mata kerana namanya, tetapi biarlah kerana kandungan isi dan mesej-mesej yang dibawa sampai tepat kepada penonton.

Justeru, Angelina dan seluruh tenaga kerja produksinya cuba memberikan yang terbaik untuk naskhah ini. Baik dari segi jalan ceritanya, skrip mahupun persembahan lakonannya, semuanya dijalankan dengan penuh penelitian. Malah, tidak hanya bergantung kepada penceritaan di novelnya semata-mata, Angelina juga sempat merujuk sendiri dengan empunya badan Louis Zamperini dan keluarga terdekatnya. Segala-galanya nampak hidup dan begitu meyakinkan. Keperitan dan kepayahan Loius bertarung untuk hidup begitu dirasai dan memberikan inspirasi.

Menghasilkan filem berbentuk biografi dan perang tentunya bukan sesuatu yang mudah.  Namun, Angelina selaku pengarah berjaya melunaskan tanggungjawab yang terpikul di bahunya. Namun, kejayaan ini tentunya bukan miliknya seorang sahaja, sebaliknya turut dikongsi dengan rakan-rakan dalam pasukannya yang begitu kreatif ketika bekerjasama menjayakan filem epik ini. Pasangan adik-beradik, Joel Coen dan Ethan Coen yang bertanggungjawab menulis skrip filem ini juga memberikan hasil kerja terbaik mereka meskipun pertama kali bekerja dengan Angelina.

‘Unbroken’ mengisahkan tentang kehidupan luar biasa Louis Zamperini (Jack O’Connell) yang merupakan pelumba lari yang berjaya mengharumkan nama negara sehingga memenangi pingat dalam Sukan Olimpik 1936. Malah dia juga merupakan pemenang pingat Olimpik termuda dalam sejarah Amerika Syarikat. Namun apabila Perang Dunia Kedua meletus, Louis menyertai tentera Amerika Syarikat dan dihantar ke medan perang melawan Jepun. 

Bagaimanapun dalam misi itu, pesawat pejuangnya bersama dua lagi rakan ditembak lalu terhempas di Lautan Pasifik. Mereka hilang selama 47 hari dan berjuang dengan penuh keperitan untuk terus hidup. Apabila ditemui tentera Jepun, Louis kemudiannya menjadi tahanan perang dan diseksa dengan kejam.

Filem yang penuh inspirasi dari Angelina Jolie ini bakal berada di pawagam mulai 5 Februari 2015 ini.

[Misi kemanusiaan-nya..]

No comments: