Saturday, January 31, 2015

~ JEJAK SEORANG PEMIMPIN: TUN DR MAHATHIR MOHAMAD ~

Jejak Seorang Pemimpin - Tun Dr Mahathir Mohamad
CETAKAN: Pertama (Mac 2014), Kedua (April 2014) & Ketiga Sept 2014)
PENERBIT: MPH Publishing
HALAMAN: 182
HARGA: RM20

[Ayahanda..]

Friday, January 30, 2015

~ MANIS ~


BERBASAH keringat. Menyempurnakan komitmen atas apa yang dipertanggungjawabkan selama tiga hari ini. Gelap tanah ke gelap tanah.

Dalam pada dihambat lelah bersimbah terik matahari dan langit tumpah mengisi hari, tiba-tiba aku didatangkan hal yang manis dari seorang sahabat yang namanya tersohor di dada akhbar. Terima kasih daun keladi. Sungguh, bukan kerana harganya.. Tetapi tanda ingat meski tidak punya kesempatan untuk duduk secawan mocha. Hari ini, dia ada di sini untuk tujuan itu.

Dan, aku simpan kemas dalam ingat juga.

[Menara chenta...]

Thursday, January 29, 2015

~ JUMAAT SABTU DAN AHAD SERTA KUDRAT ~



MINGGU yang agak kelam kabut buat semua kami dilantai pekerjaan. Tidak hanya terikat dengan tuntutan tugasan yang begitu menghambat, dihadap pula dengan satu acara tahun yang memerlukan kami membuat persiapan berlebih biasa.


Hari ini, kami akan berkampung di lantai pekerjaan sehingga lewat pagi barangkali. Menyudahkan kerja-kerja yang punya tarikh mati sebelum memberikan 24 yang ada kepada Jumaat, Sabtu dan Ahad yang sungguh sarat.

Sementelah dicelah sarat itu, kami juga punya keraian sendiri yang harus diberi tumpu yang bukan sedikit. Sederetan tugasan menanti dengan begitu ketat. Ya, ia bukan tahun pertama kalinya. Namun, mudah-mudahan semuanya akan berlangsung seperti yang telah diatur rancang.

[Kudrat yang se-kerat...]

Wednesday, January 28, 2015

~ SEKIRI MUNGKIN ~


BERTALU pesanan ringkas muncul di skrin telefon bimbit. Dihambat rasa bersalah kerana tidak membuat peduli. Dan, jauh di sudut hati, aku sebenarnya tidak mahu dan tidak sampai hati memilih untuk begitu. Namun, kata tutur tajam yang sangat dimaksud sebelum ini, sangat terngiang di telingaku. Ngiang itu akhirnya merelakan aku jadi keras begini.

Aku tunggu, kalau-kalau ada usahanya untuk bercakap akan soal itu (sekurang-kurangnya). Tapi mana mungkin mahu dilakukan dia untuk orang yang tidak menyumbang kepentingan buatnya, dan itu aku cukup pasti. 

Tidak mengapalah, biar aku potretkan diri dengan hal-hal yang kiri. Biar aku dilihat sekiri yang mungkin. Agar nanti, kalau kamu itu melakukan apapun, tidak perlulah ada rasa bersalah dalam diri.

[Jaoh di-sudot hati..]

Tuesday, January 27, 2015

Monday, January 26, 2015

~ RAKUS ~


ENTAH bagaimana aku boleh berada di tengah mereka menadah dengar misi-misi senyap yang tergaul beberapa sang pemimpi yang ada.

Tidak ada salah memacak mimpi, tidak juga berdosa memasang angan. Namun yang jadi punah bila mana impi yg dibina dengan cara dan jalan yang salah. Memijak orang lain dengan kering hati demi ke kerusi depan.

Bertalu kes serupa menerpa tahuku semenjak akhir-akhir ini. Dan yang terbaru, misi sang pemimpi terhebat ini. Terlanyak tuan tanah kerana yang punya menjadi giur pada orang lain. Dipaksakan serah dengan penuh helah sehingga lolos misi peribadi.

Terlihat manisnya senyum kamu. Terjelas indahnya santun kamu. Tanpa sedikit pun terpampang warna benar kamu yang rakus mengejar duduk.

Porak peranda. Misi berjaya.

[Guling]

Sunday, January 25, 2015

~ UNBROKEN ~


SETELAH tampil dengan filem pertama arahannya, ‘In the Land of Blood and Honey’ (2010), aktres jelita dan berbakat hebat, Angelina Jolie kini tampil dengan buah tangan terbarunya, 'Unbroken’. Sebagaimana filem terdahulu, Angelina sekali lagi  memilih naskhah yang bertemakan kemanusiaan dan inspirasi luar biasa untuk filem arahan keduanya ini. Ternyata, dia begitu cenderung untuk kisah-kisah dari genre sebegini dan sentiasa mempunyai misi yang tersendiri dalam setiap filem arahannya.

Filem yang diangkat daripada kisah benar dan adaptasi daripada novel ‘Unbroken: A World War II Story of Survival, Resilience and Redemption’ karya Laura Hillenbrand (2010) disifatkan oleh Angelina sebagai satu naskhah luar biasa yang memaparkan tentang semangat perjuangan yang begitu besar dalam diri manusia. Pengkisahan tentang Louis Zamperini, seorang pelari sukan Olimpik, yang kemudiannya menjadi tahanan tentera Jepun itu meminjamkan cerita yang cukup besar buat penonton.

Meskipun masih baru di dalam bidang pengarahan, idea, kreativiti dan usaha keras yang ditunjukkan oleh bintang ‘Tomb Rider’ ini tentunya tidak boleh dipandang sebelah mata. Menurutnya, dia tidak mahu filem ini diterima atau dikenang semata-mata kerana namanya, tetapi biarlah kerana kandungan isi dan mesej-mesej yang dibawa sampai tepat kepada penonton.

Justeru, Angelina dan seluruh tenaga kerja produksinya cuba memberikan yang terbaik untuk naskhah ini. Baik dari segi jalan ceritanya, skrip mahupun persembahan lakonannya, semuanya dijalankan dengan penuh penelitian. Malah, tidak hanya bergantung kepada penceritaan di novelnya semata-mata, Angelina juga sempat merujuk sendiri dengan empunya badan Louis Zamperini dan keluarga terdekatnya. Segala-galanya nampak hidup dan begitu meyakinkan. Keperitan dan kepayahan Loius bertarung untuk hidup begitu dirasai dan memberikan inspirasi.

Menghasilkan filem berbentuk biografi dan perang tentunya bukan sesuatu yang mudah.  Namun, Angelina selaku pengarah berjaya melunaskan tanggungjawab yang terpikul di bahunya. Namun, kejayaan ini tentunya bukan miliknya seorang sahaja, sebaliknya turut dikongsi dengan rakan-rakan dalam pasukannya yang begitu kreatif ketika bekerjasama menjayakan filem epik ini. Pasangan adik-beradik, Joel Coen dan Ethan Coen yang bertanggungjawab menulis skrip filem ini juga memberikan hasil kerja terbaik mereka meskipun pertama kali bekerja dengan Angelina.

‘Unbroken’ mengisahkan tentang kehidupan luar biasa Louis Zamperini (Jack O’Connell) yang merupakan pelumba lari yang berjaya mengharumkan nama negara sehingga memenangi pingat dalam Sukan Olimpik 1936. Malah dia juga merupakan pemenang pingat Olimpik termuda dalam sejarah Amerika Syarikat. Namun apabila Perang Dunia Kedua meletus, Louis menyertai tentera Amerika Syarikat dan dihantar ke medan perang melawan Jepun. 

Bagaimanapun dalam misi itu, pesawat pejuangnya bersama dua lagi rakan ditembak lalu terhempas di Lautan Pasifik. Mereka hilang selama 47 hari dan berjuang dengan penuh keperitan untuk terus hidup. Apabila ditemui tentera Jepun, Louis kemudiannya menjadi tahanan perang dan diseksa dengan kejam.

Filem yang penuh inspirasi dari Angelina Jolie ini bakal berada di pawagam mulai 5 Februari 2015 ini.

[Misi kemanusiaan-nya..]

Saturday, January 24, 2015

~ JEJAK SEORANG PEMIMPIN - TUN DR SITI HASMAH ~






Jejak Seorang Pemimpin - Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali
CETAKAN: Pertama (2014)
PENERBIT: MPH Publishing
HALAMAN: 179
HARGA: RM20

[Bonda..]

Friday, January 23, 2015

~ HANYA PADA KATA ~


BENAR, aku  katakan tidak mahu membuat peduli lagi untuk apapun kerana mahu memberi aman kepada sahabat yang seorang ini. Ya, untuk aman itu, kami kini dalam fasa ribut. 

Namun, hari ini aku kembali membuat peduli apabila soal peribadi sahabat dekat ini dimain acahkan oleh seseorang. Tidak kira atas apa jua alasan dan niat atau betul atau tidaknya cerita yang dibawa, tiada hak untuknya memperkatakan tentang kehidupan orang lain, apatah lagi untuk soal-soal yang mungkin nanti mampu mengundang hal-hal yang tidak manis atau persepsi buruk masyarakat.

Dan, aku bangkit memperkatakan ketidaksetujuanku  dengan  nada yang sedikit keras. Nada yang bukan aku. Ya, laku yang terpaling jarang aku lakukan untuk siapa yang mengenal tahu  bagaimana orangnya aku. Namun aku lakukan demi sahabat dekat yang seorang ini, meski kami sebenarnya dalam ribut yang panjang.

Ya, aku membuat peduli meski kami dalam ribut dan meski kecil hati dan cuit rasa belum pun sendik. Marah itu hanya pada kata, dan kami bersahabat bukan sehari dua. 

[Cubit peha kanan..]

Thursday, January 22, 2015

~ SEBABAK ~


TRENDING. Ya, sepanjang hari ini aku dan rakan-rakan di lantai pekerjaan menjadi bahan bual. Soal profesionalism dan soal peribadi berbaur menjadi satu. Dan, terbacalah salah.

Menjadi kebetulan yang sesungguhnya kebetulan, di mana kami tidak menyertai sesi pagi tadi kerana malam semalam terlibat dengan acara urus pekerjaan sehingga ke lawat malam. Lalu, kami hanya mendengar cerita yang disampai-sampai.

Apapun, segala yang berlaku pada hari ini menjadi pengajaran buat kami. Bukan kerana betul atau salahnya kami mahupun mereka, tetapi kerana percaya itulah aturannya dalam hidup. Yang baik kita jadikan teladan, dan yang buruk sama-samalah kita jadikan sempadan.

[Merak..]

Wednesday, January 21, 2015

~ KEPEDULIAN ~


EMOSI. Kala ia mendulu akal, dengan amarah yang menyinggah rasa, segalanya mahu dilakukan dengan tekad. Memilih untuk menjadi kering hati kerana lelah menjadi diri sendiri.

Namun hakikatnya, saat tiba waktu untuk memperlaku, kita tidak akan pernah sanggup untuk menyakiti serupa. Kita tidak akan  pernah mahu untuk membalas keras apa yang pernah terberi. 

Kerana apa? Kerana kasih dan jujur kita lebih besar daripada rasa kiri yang ada itu. Dan, hanya kita yang tahu tentang itu.

[Tidak akan perenah sanggop mem-buang se-buah kepedulian..]

Tuesday, January 20, 2015

~ EIFFEL TOWER ~


AKHIRNYA, tersergam di dinding putih. Lekat tanpa kalih. Entah kenapa semenjak dari dulu ia terasa begitu sangat dekat.

[Kanvas..]

Monday, January 19, 2015

Sunday, January 18, 2015

~ DI PINTU SYURGA ~


DI PINTU SYURGA
by dayang nurfaizah

Segalanya kaku
Hati terus menangis
Bila mengenangkan
Dirimu telah tiada

Kau pergi tanpa pesan
Tinggal aku sendiri
Menghitung hari
Tiada daya
Hilanglah sepi

Duhai kekasih hati
Katakanlah padaku
Bahawa semua ini
Hanya igauan mimpi

Aku tak sanggup kasih
Kehilangan dirimu
Walau sedetik rindu mencengkam
Terasa pedih

Duhai kekasih hati
Katakanlah padaku
Bahawa semua ini
Hanya igauan mimpi

Aku tak sanggup kasih
Kehilangan dirimu
Walau sedetik rindu mencengkam
Terasa pedih

Doaku kasih kita bersua
Di pintu syurga

[Ayahanda selepas 575 hari.. dan, rindu]

Saturday, January 17, 2015

~ GREAT MIGRATIONS ~




Great Migrations
KARYA: K. M Kostyal
PENERBIT: National Geograpic
HALAMAN: 291

[Mengenal..]

Friday, January 16, 2015

~ PERFECT STRANGER ~



AKU tidak lari. Cuma berharap kami tidak bertemu mata atau berselisih bahu. Bukan kerana marah masih meraja, jauh sekali sudah ada benci yang mengisi hati. Cuma tidak mahu menjemput ngiang kata yang menikam lagi. Yang sepuluh itu tetap sepuluh dan ia tidak akan berubah. Sepuluh itu aku simpan baik, tanpa ada sedikitpun rasa kiri. Sungguh.

Namun, hari ini ia tidak berlaku seperti yang aku harapkan.  Bertembung, sementelah kami di ruang yang sama selepas waktu pekerjaan. Dan, aku mengangkat kaki, walaupun bukan itu yang mahu aku lakukan sebenarnya.

[Genap sa-puloh.]

~ HILANG PEDULI ~


[Ya.. kepedulian..]

Wednesday, January 14, 2015

~ TOPIK ~



TOPIK biasa, topik selalu semenjak bertahun. Bukan kerana aku berkongsi setiap inci, namun kerana dia selalu tepat membaca aku. Sementelah dia tahu, yang hampir kepadaku hanya terbilang jari.

Dan, dia juga tahu betapa aku sayang dan sering mendulukan sahabat-sahabatku sehingga terkadang melebih kemampuanku. Atau mungkin juga berbau cemburu, hahaha..

[Persahabatan dan se-buah nilai..]

Tuesday, January 13, 2015

~ SECRET MESSAGE ~


KOSONG. Entah bagaimana cuainya diri, segala nama dan nombor yang tersimpan di telefon bimbitku hilang lenyap. Semuanya. Dan, yaa.. ia tentunya membuat gelisah yang panjang.

Namun di dalam masa yang sama, ia seperti memberi mesej rahsia kepadaku agar memulakan segala hal yang baru sempena rai tahun baru ini. Sungguh ironi sekali.

Dan, setujulah aku dalam mahu dan tidak.

[Alasan untok hilang, barang-kali]

Monday, January 12, 2015

~ BUKAN KERANA KERAHSIAAN ~


MESKI berkongsi banyak perkara, kami tetap punya ruang sendiri. Baik aku mahupun dia, kami saling menghormati apa yang tersyarat itu. Bukan mudah, kerana pada awal kenal kami soal ini pernah menjadi isu debat yang seringkali membawa ribut. Namun, untuk suatu hal manis-manis dikemudiannya, dia mula menerima faham situasi.

Dan, mungkin suatu hal sukar untuk kamu percaya, lelaki sepet itu tidak pernah tahu akan wujudnya ruang ini di mana jari-jariku bercerita. Kerana, aku tidak mahu dia tahu. Bukan kerana adanya soal kerahsiaan, tetapi aku mahu kekal sebagai hanya ruang aku. Dan dia mengerti. Dia tidak pernah membuat dekat, meski dia mungkin boleh sahaja mengintai cari. 

[Ruang kesendirian..]

Sunday, January 11, 2015

~ KEMBALI INTIM ~


KALAU tidak dengan urus pekerjaan yang menghambat, aku sering meluang masa untuk secawan mocha bersama mereka yang dekat. Dek kerapnya dengan urus yang seperti itu, aku semakin meninggalkan kesukaanku mengadap timbun buku untuk meminjam cerita kehidupan. Malah ada diantaranya yang telah lama dipunya, namun masih belum diusik sentuh. Malah yang meneman di unta hitam saban hari juga tidak sempat terhabiskan baki selaknya.

Namun semenjak berpindah kediaman yang terjarak jauh dari dekat sahabat luangan, aku seperti kembali kepada intim dengan kesukaan yang satu ini dan meninggalkan banyak kebiasaan selalu. Manakan tidak, masa yang tercuri dari 24 jam yang ada itu tidak terlorong di luar melainkan pada soal yang mendesak sahaja. Justeru, aku jadi punya banyak masa untuk menyelak belek.

Hal yang satu ini, aku warisi dari ayah. Kami berkongsi minat dan mahu yang sama dalam bacaan. Dan, aku terlalu rindukan ayah. Al Fatihah.

[Biar se-detik rindu meng-cengkam, terasa pedeh..]

Saturday, January 10, 2015

~ MARILYN MONROE PRIVATE AND DISCLOSED ~






Marilyn Monroe Private And Disclosed
KARYA: Michael Morgan
CETAKAN: Pertama (2012)
PENERBIT: Constable & Robinson
HALAMAN: 346

[Dari yang banyak..]

Thursday, January 08, 2015

~ KHIANAT ~


HIDUP ini tidak selalunya indah, dan tidak juga memenuh seluruh ingin seperti ingin kita. Begitu juga dengan orang kita taruhkan percaya, tidak semestinya dia membalas serupa. Itu hakikat hidup yang kadang-kadang kita lupa.

Dari awal tengah malam tadi sehingga awal pagi ini, aku dihadapkan dengan satu cerita panjang tentang sebuah persahabatan yang dikhianati. Lalu terpinjam bahu buat sahabat ini yang keadaannya begitu luka parah pada rasanya.

Dikhianati dan disakiti sahabat paling dekat yang seluruh percaya ditaruhkan, adalah hal yang terpaling pedih untuk diterima hadam. Dan, aku sangat-sangat mengerti akan itu. Bukan kerana kita memberatkan akan sesuatu, namun semua yang punya rasa jujur pada manusia yang digelarkannya sahabat pasti akan melihat kepada itu.

Justeru, aku ingatkan pada diri... Meski apa yang mendesak, apatah lagi dengan penuh kesengajaan, mengkhianati sahabat sendiri adalah hal yang terpaling salah untuk dilakukan. Meski ada yang kurang atau tercompang camping sana dan sini, ia juga adalah bahagian kita. Sebaik sahaja kita menerimanya sebagai sahabat, maka seadanya juga kita takupkan pada pertimbangan. Dan, kita juga tidak pernah sempurna, malah tidak pernah terkecuali juga untuk menerima nasib kiri sebagaimana yang kita lorongkan untuk orang lain.

[Dan, tanges mengisi ruang..]

Wednesday, January 07, 2015

~ SIRAH JUNJUNGAN - TAHAJJUD CINTA ~












SEMPENA Maulidur Rasul, Sirah Junjungan, Tahajjud Cinta kembali dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya. Ia bukan yang pertama kali, malah merupakan pementasan ulangan yang aku juga sempat menontonnya beberapa kali.

Namun, pengkisahan tentang Nabi Junjungan, Muhamad S.A.W yang amat kita cintai itu sangat menyentuh hati. Kerinduan terhadap baginda begitu dirasai sekali. Sementelah ketika selawat dialunkan secara bersama seluruh penonton yang hadir, banyak air mata yang tumpah.

Semoga kita sentiasa dekat dengan baginda Rasulullah, dan menjadikan baginda contoh terbaik dalam seluruh hidup berbaki yang kita punyai, insya-Allah.

Tahaniah kepada Istana Budaya dan juga penerbit serta pengarahnya, Eirma Fatima yang sudi berkongsi ruang dan rasa untuk pengkisahan dari genre sebegini.

[Ber-bangga dengan reaksi positif penonton bukan Islam tentang teater ini..]

Tuesday, January 06, 2015

~ SIMPANG SIUR ~



MASIH dalam proses membiasakan diri dengan hal dan keliling yang serba baru. Banyak kebiasaan yang terputus dengan permulaan yang baru ini. Dan, setiap hari bersimpang siur. 

Mungkin lebih baik begitu, barangkali.

[Laen..]

Monday, January 05, 2015

~ MATAHARI ~


MATAHARI
by hafiz suip


Matahari tak cukup indah
Pada pagi yang suram ini
Malam ku resah kerana
Malam mungkin kelam

Bumi indah cinta punah
Bintang bintang tumpang berduka
Meratapi nasib
Kenapa hari ini

Matahari bangunlah
Indahkan hari ini
Engkau perlu hidupkan semula mimpi kami

Matahari bangkitlah
Indahkan hari ini
Engkau perlu hidupkan semula cinta kami

Lupakan kisah
Kisah yang terjadi
Mengharap sinar
Sinaran darimu

Matahari bangunlah
Indahkan hari ini
Bagi kami terus melayari hidup kami

Matahari bangkitlah
Indahkan hari ini
Bagi kami terus menghidupkan cinta kami

Lupakan kisah
Kisah yang terjadi
Mengharap sinar
Sinaran darimu..


[Hilang..]

Sunday, January 04, 2015

Saturday, January 03, 2015

~ EAT PRAY LOVE ~







Eat Pray Love
KARYA: Elizabeth Gilbert
CETAKAN: Pertama (2006)
PENERBIT: Bloombury Publishing


“One women search for everything..”

[And, peace]

Friday, January 02, 2015

~ SALAM MAULIDUR RASUL ~


12 RABIUL AWAL 1436H. Salam Maulidur rasul untuk semua kita. Selawat dan salam kepada Nabi junjungan, Nabi Muhamad S.A.W.

[Cherita dan chenta..]

Thursday, January 01, 2015

~ SELAMAT TAHUN BARU 2015 ~


SELAMAT TAHUN BARU 2015. Semoga tarikh-tarikh yang diselak baru ini merakam seribu satu yang manis-manis dalam hidup kita. Tinggalkanlah 2014 yang terlalu banyak menyimpan kisah duka. 

Dan, untuk 2015 ini, aku tidak mengharap lebih. Sekadar mahu dihargai. Pada urus pekerjaannya, pada perhubungan kelilingnya dan pada diri seadanya. Menjadi yang lebih baik, insya-Allah. Amin.

[Menutop rapat hal-2 2014...]