Thursday, December 31, 2015

~ DOMINASI 2015 ~


2015 Sememangnya banyak memberi pengalaman dan kehidupan baru untuk aku. Pahit dan manis. Mudah-mudahan ia mampu melorongkan aku untuk menjadi manusia yang lebih baik.

Namun, sejujurnya... kehilangan adalah sesuatu yang begitu mendominasi dalam paket 2015 yang aku punyai. Meski manisnya tidak kurang, namun aku lebih mengingat 2015 sebagai tahun kehilangan.

Kehilangan sahabat-sahabat yang aku sayangi. Sama ada kehilangan abadi mahupun sebaliknya.

Justeru, aku tidak dapat mengimbas paket-paket indah seiringnya.

Semoga 2016 tidak mengulang perkara serupa. 

[Dominasi emosi..]

Wednesday, December 30, 2015

~ MASIH ADA ~


ENERGI positif. Tidak lama untuk mengikat serasi dengan manusia yang seorang ini. Persahabatan kami terjalin dengan begitu mudah meski hanya kurang lebih satu tahun bercampur gaul.

Meski beda pada banyak paket, kami mudah menggelarkan diri masing-masing sebagai sahabat. Kopi pertama sepertinya sudah ke lapan puluh lapan. Cerita kehidupan menyatukan kami barangkali. 

Tidak selalu untuk aku, sementelah  dalam apapun, aku seorang yang terlalu mengambil masa. Dan, yaa.. terima kasih untuk yang tidak selalu itu.

[Warna kulit tidak pernah mampu membezakan hati manusia..]

Tuesday, December 29, 2015

Monday, December 28, 2015

~ JANAM JANAM : DILWALE ~




DAN, yaa bukan aku yang selalu. Filem mahupun lagu-lagu Hindi tidak pernah dekat denganku. Malah percaya atau tidak, aku hanya pernah menonton sebuah sahaja filem Hindi sebelum ini, 'Kuch Kuch Hota Hai' dan ia masih kekal hanya yang satu itu. Dan, beberapa hari ini seperti ada ajakan sihir yang menarik aku untuk menonton filem Hindi terbaru lakonan pelakon sama daripada satu-satunya filem Hindi yang pernah aku tonton itu.

Kajol dan Shah Rukh Khan. 

[Sihir]


Sunday, December 27, 2015

~ KE PAGI ~


SEHINGGA ke jam tiga pagi. Kakak dan ibu asyik dengan bual. Tentang ibu, tentang kami, tentang esok, tentang lusa dan tentang segalanya. Sesekali aku menumpang ketawa, banyak juga sekadar diam mendengar. Ibu berjaga untuk bercerita sama kami. Mungkin juga kerana sudah lama kami tidak punya sesi begini. Manis.

Dan, sesi..

[Pantai timur semenanjung tanah air] 

Saturday, December 26, 2015

~ RANAH 3 WARNA ~





Ranah 3 Warna

KARYA: A.Fuadi
TERBITAN: PT Gramedia Pustaka Utama
CETAKAN: Pertama (Januari 2011), Ketujuh (Mei 2013), Kelapan (Julai 2013) & 
Kesembilan (September 2013)
HALAMAN: 477
HARGA: RM35.00

[Bahagi]

Friday, December 25, 2015

~ MERRY CHRISTMAS 2015 ~


MERRY CHRISTMAS... untuk si sepet untuk rakan-rakan yang meraikan hari ini. Semoga hidup sentiasa didamping kegembiraan dan berkeliling paket-paket manis.

[Menunggu Santa..]

Thursday, December 24, 2015

~ SALAM MAULIDUR RASUL 1437H ~






SALAM MAULIDUR RASUL... 
12 Rabiul Awal 1437H. 
Selawat dan salam ke atas nabi junjungan, Muhammad S.A.W.

[Cinta..]

Wednesday, December 23, 2015

~ BERKEHENDAK ~


MANIS. Dan senyum itu aku bawa sehingga ke hujung hari ini. Hanya dari hal-hal remeh yang begitu mudah membuat aku merasa senang.

Benarlah... kalau kita benar berkehendak, maka halanya akan membuat dekat meski ia terjauh dari suatu yang dinamakan kebetulan.

Terima kasih untuk suatu kehendak manis yang menumbuh paket-paket senyum yang panjang untuk hari ini.

[Yang jadi realiti..]

Tuesday, December 22, 2015

~ EGO ~


EGO. Menjadi bahan bual yang begitu melekat sepanjang hari ini. Diusul manusia berbeza, dalam situasi yang berbeza dan dengan jalan cerita yang berbeza.

Paket-paket yang begitu kebetulan dengan menyamai apa yang bermain di hati aku semenjak akhir-akhir ini.

Dan, ya.. barangkali akal berfungsi baik lalu memberikan satu ruang sedar yang berlebih dari biasa.

Lalu, cerita-cerita yang terpinjam siang hari tadi, aku paketkan dengan compang-camping rasa yang semakin membuat keras pada rasa.

Dan, yaa.. ego tidak pernahnya memberi bahagia.

[Cantom..] 

Monday, December 21, 2015

Sunday, December 20, 2015

~ REZEKI DAN BUKAN REZEKI ~


TERPEDAYA. Ibu menjadi mangsa kepada misi 'mencari rezeki' satu kelompok manusia yang cuba menghalalkan segala cara demi keberadaan mereka.

Nah, hari ini perlu perlu membayar RM4,270 kepada mereka dengan hanya satu tandatangan.

Demi tidak membuatkan ibu risau dan merasa bersalah, kami tidak membuat sebarang usul tanya atau memanjangkan perkara ini. Sebaliknya bersetuju untuk melunaskan jumlah tersebut.

Tuhan melihat, dan semoga mereka digerakkan untuk menilai kembali salah laku yang terberi itu.

[Manusia yang semakin mendunia..]

Saturday, December 19, 2015

~ MUSIC OF THE NIGHT - ORKESTRA SIMFONI KEBANGSAAN ~



TAHNIAH untuk Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer Nawi yang tampil dengan persembahan yang begitu larut dan memukau. Sekaligus juga membuktikan mereka juga setanding dengan orkestra luar yang sering sahaja diangkat atas dalam lapangan mereka.

Music of the night... rangkaian lagu-lagu terbaik yang disimfonikan menerusi bunyi-bunyian harmoni yang begitu asyik. Phantom of the Opera, Black Swan, Les Miserable dan lain-lain. Cinta yang lekat.

Aku kira, Istana Budaya seharusnya memberi lebih peluang kepada persembahan-persembahan begitu untuk terus mewarnai pentas Panggung Sari. Membiasakan masyarakat yang cintakan seni dengan persembahan-persembahan lokal yang bersifat international.

Aku menantikan kalau-kalau ia berlaku pada 2016.

[Orkestra.. yang sering melarut cinta..]

Friday, December 18, 2015

~ RANTAU 1 MUARA ~




Rantau 1 Muara

KARYA: A.Fuadi
TERBITAN: PT Gramedia Pustaka Utama
CETAKAN: Pertama (Mei  2013), Kedua (June 2013), Ketiga (Julai 2013), Keempat (Julai 2013), Kelima (Ogos 2013), Keenam (September 2013) &  Ketujuh (Februari 2014)
HALAMAN: 405
HARGA: RM35.00

[Celah..]

Thursday, December 17, 2015

~ MEMPERINGATI BEETHOVEN ~


HAPPY birthday... the legendary Ludwig Van Beethoven (17 Disember 1770 - 26 Mac 1827). Semepena hari istimewa ini, Google telah memberi penghormatan kepada lagenda ini dengan menghasilkan paparan khas pada muka depan enjin carian itu sepanjang hari ini.

[Klasikal..]

Wednesday, December 16, 2015

Tuesday, December 15, 2015

~ 5TH BEETHOVEN ~





CINTA. Terapi, dan larut.

[Dewan Filharmonik Petronas, KLCC)

Monday, December 14, 2015

~ SEMAKIN ~


SUARA-SUARA rindunya semakin jelas kelihatan. Jika sebelum ini, dia kelihatan baik-baik sahaja membiasakan diri pada suatu hakikat kehilangan, kini sebaliknya.

Dia sudah mula memperlihat jelas kerinduannya.

Selepas lebih 900 hari perginya, dia semakin kerap membilang-bilang memori sama ayah. Semakin selalu menghitung-hitung budi baik ayah. Semakin terangan mengenang-ngenang kebiasaan yang terlaku ayah.

Kami mengerti ibu, kami semakin mengerti...

[Rindu]

Sunday, December 13, 2015

Saturday, December 12, 2015

~ DANCE DANCE DANCE ~






Dance Dance Dance

KARYA: Murakami
 TERBITAN: Vintage Books
 CETAKAN: Pertama (2003)
 HALAMAN: 393
 HARGA: RM39.90

[Dalam cherita]

Friday, December 11, 2015

~ BIG BAD WOLF 2015 ~


SYURGA dunia. Kemestian saban tahun. Dan, masih punya kesempatan untuk kesekian kalinya. Selalu aku, mencari yang lain dan bertemu yang selain.

Hal-hal kecil yang menggembirakan.

[Cheritera...]

Thursday, December 10, 2015

~ KE KERJA GILA ~


RUTIN. Pagi petang siang malam, kerja. Bertimbun. Manisnya semakin hilang dihambat lelah yang semakin membuat dengus. Dua puluh empat jam.

Mengalih tumpu.. ke kerja gila.

[Yang bukan aku..]

Wednesday, December 09, 2015

Tuesday, December 08, 2015

~ KONSERT IN LOVE WITH ROCK: KOIR KEBANGSAAN MALAYSIA 2015 ~





SEJUJURNYA cukup berbangga dengan pekembangan dan pelbagi pencapaian yang diraih kumpulan Koir Kebangsaan Malaysia di bawah pimpinan Tengku Marina Dato' Zubir dan tentunya satu-satunya Syafinaz Selamat yang hebat memikul tanggungjawabnya selaku pengarah artistik dan vokal. Sentiasa mengikuti perkembangan mereka dan pernah menonton 4-5 konsert mereka termasuk yang terbaru, 'In Love With Rock' baru-baru ini. Semoga mereka terus melangkah ke depan mencuri perhatian masyarakat dan industri seni tentunya.

[Bakat-2 hebat yang haros di-beri ruang untok ke-depan..] 

Monday, December 07, 2015

~ MOZART'S SINFONIA CONCERTANTE ~



MEREKA yang mengenali dekat, pasti sahaja tahu hal-hal yang menggilakan aku. Dan, ini salah satunya. Klasikal. Orkestra. Mozart. 

Terjauh aku larut dengan bunyi-bunyian ini sepanjang lebih dua jam duduk di kerusi empuk Dewan Filharmonik Petronas, KLCC. Perasaannya berlebih dari biasa.

Terapi, dan sungguh lekat. 

Dan, yaaa.. Mozart's Sinfonia Concertante adalah konsert terbaik yang pernah aku tonton diantara sekian banyak konsert serupa yang pernah aku hadiri di dewan berprestij ini. Tahniah untuk Kazuyoshi Akiyama selaku konduktor dan seluruh anggota Malaysia Philharmonic Orchestra termasuk pemain Oboe (Simon Emes), Horn (Grzegorz Curyla) dan Basson (Alexander Lenkov).

Meski peraturannya tidak membenar kepada sebarang rakaman, aku mencuri-curi berbuat salah secara senyap meski hanya pada audionya. Dan, kerana tidak dapat menyimpan keterujaanku ini secara sendiri, aku dengan sengaja turut berkongsi dengan mengirimkan rakaman bunyi-bunyian secara curi ini berterusan kepada mereka yang tahu akan kegilaan aku ini.. 

Termasuk sahabat mei yang turut terpaksa melayan meski aku tahu ia bukan dalam kecenderungannya untuk sama larut. Hahaha.. 

Namun, terhenti pada saat aku hampir sahaja mengirimkan juga kepada sahabat june.

Terhenti.

[Terapi..]

Sunday, December 06, 2015

~ PERGI ~

AL-FATIHAH. Dan, sekali lagi dikejutkan dengan berita kehilangan. Salam takziah untuk keluarga kerabat diraja Johor Darul Takzim atas pemergian almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Jalil Sultan Ibrahim malam tadi. Semoga dipermudahkan perjalanannya ke-Sana, dan ditempatkan di kalangan hamba-hamba Allah yang beriman. Amin.

Tidak putus kiriman doa diberi. Bukan hanya dari keluarga tercinta, atau kalangan mereka yang dalam kenalan, tetapi juga dari jutaan hati yang tidak pernah mengenali almarhum dari dekat. Semenjak perginya semalam, tidak putus umum bercerita tentang kebaikan yang pernah terberi almarhum ketika hayatnya masih ada.

Aku percaya, ia bukan bersebab status dan kedudukannya sebagai keluarga diraja. Tetapi benar-benar atas dasar hutang budi yang dibawa mati itu.

Dan, seharusnya jelas... Tidak kira siapapun kita, jika kebaikan budi menjadi amalan tanpa bersebab balas, pasti sahaja terkenang manis dalam doa yang ikhlas.

Menopang dagu, dan ada detik yang menyelinap deras dengan satu tanya. Andai nanti tiba saat pergiku, apa mungkin ada doa serupa yang dikirim? Apa ada kebaikan yang pernah terberi untuk itu..

Allah.. semoga aku ini dilimpah kasih sayang yang tidak kurang juga. Amin.

[Al-Fatihah]

Saturday, December 05, 2015

~ UTERUS ~






Uterus

KARYA: Kedung Darma Romansha
TERBITAN: Gambang Buku Budaya
CETAKAN: Pertama (Februari 2015)
HALAMAN: 97
HARGA: RM25.00

[Pada lihat..]

Friday, December 04, 2015

Thursday, December 03, 2015

~ RUANG ~


HARI ini aku bertemu kesempatan yang tidak selalu pada biasa. Kebetulan meluang masa untuk menonton kerja seni anak-anak muda berbakat di ruang budaya masyhur, aku bertemu ruang untuk membuat bual dengan seorang penggiat seni yang cukup hebat bakatnya.

Kenal dia hanya pada nama, hanya pada sumbangan dan penglibatannya pada suatu hal yang dinamakan seni. Sekadar itu.

Namun siapa sangka, hari ini kami terluang kesempatan untuk bercerita dan bertukar pendapat dengan hal-hal seni. Dari ruang persembahan di mana kami hanya menutur bual sambil berdiri sehinggalah berkebetulan dilorongkan ruang untuk duduk semeja menyambung bual.

Besar hati, dan punya kesempatan yang seperti ini. owh... Tidak mampu tersorok pada air mukaku. Menambah ilmu di celah ruang yang begitu santai. Tidak tersangka pula orang besar sepertinya sudi berkongsi  pengalaman dan pandangannya dengan seorang aku yang tercetek tahu dengan hal-hal yang seumpama. Melayan segala tanyaku tanpa mempersoal logik tidaknya. Hampir dua jam dan mungkin lebih aku disuakan sesi itu. Owhh..

Dan, seusai sesi itu, teman di sebelah menyengih.. "Banyak cakap ehhh tadi.. kena rasuk ker.. hahaha.."

Itu tutur biasa yang direaksikan kepada aku untuk hal-hal yang terlihat luar biasa pada mereka. Begitu aku barangkali kala bertemu hal-hal yang membuat teruja pada cenderungku. Tidak mampu ditutup keterujaan pada wajah yang selalunya terlihat 'tanpa rasa' ini. Dan, ya.. begitu mudah untuk membuat hibur kepada yang namanya aku ini. 

Kamu juga tahu itu.. :)

[Hibor..]

Wednesday, December 02, 2015

~ DI TENGAH HIRU PIKUK KOTA ~


BABAK. Siang hari tadi aku agak berkejaran dengan urusan pekerjaan. Menyiapkan segala urusan yang punya tarikh mati di lantai pekerjaan sebelum keluar mengisi temujanji yang juga berkaitan urus pekerjaaan.

Sebagaimana selalu, aku lebih suka untuk lebih awal tiba daripada waktu yang sepatut. Ya, agar tidak tergesa-gesa langkah dan rasa. Dan, ia terbiasa.

Selayaknya waktu puncak gedung tersohor di tengah hiruk pikuk ibu kota, ruang parkirnya penuh dan melimpah. Bertali arus kenderaan pelbagai rupa bergantian keluar dan masuk. Tidak mahu melaku hal yang tersia, aku tidak berhasrat bermundar-mandir. Sebaliknya membuat putus untuk menunggu di ruang parkir yang paling hampir dengan pintu masuk. Dan, memang begitupun selalu pilihanku. Sementelah aku tidak tergesa-geasa atau mengejar masa.

Justeru, tenang-tenang sahaja aku sambil menyelak helaian buku 'Sophie's World' yang masih berbaki isi telaah.

Kurang lebih lima belas minit, masih juga tiada tanda ada kenderaan di sekitar tempat tungguku mahu berlalu. Menerusi cermin pandang belakang, terlihat sebuah kereta mewah yang juga mengambil pendekatan serupa denganku, menunggu.   

Lapan minit berlalu lagi, dan barulah terlihat sebuah kenderaan di depan kira-kira 20 meter di depan mahu mengosongkan kotak parkirnya. Aku terus memberikan isyarat untuk masuk menggantikan ruang itu.

Namun tidak semena sebuah kenderaan tiba-tiba muncul menyerong terus di depan unta hitamku untuk memasuki ruang itu. Aku hanya menggelengkan kepala dan sekadar itu tanpa memberikan tindak selebih. Tiba-tiba, kedengaran hon membingit di belakangku tanpa henti. Tetapi tiada siapa yang memberikan respon kerana mungkin tidak diketahui ia untuk siapa.

Berselang saat selepas itu, pemandu kenderaan di belakangku yang juga seorang lelaki Cina separuh abad turun dari kenderaannya setelah honnya tidak terpeduli dan menuju ke arah kenderaan yang menyerong di hadapanku. Terkumat-kamit mulutnya berkata sesuatu sambil tangannya ditunjukkan beberapa kali ke arahku.

Aku menurunkan sedikit cermin unta hitam untuk mendengar butir bicara lelaki itu, namun gagal difahami kerana ia ditutur dalam bahasa ibundanya. Bererti pemandu kenderaan di depan ini juga sebangsa dengannya.

Habis perkataan lelaki itu, kenderaan di depan mengundur dan melorongkan ruang itu kepadaku sambil diawasi oleh lelaki Cina separuh abad itu. Dia menunggu sehingga aku benar-benar memasuki ruang itu dengan selamat sebelum mengangkat tangan dan berlalu pergi. Tidak sempat untuk aku katakan apa, selain senyum dengan anggukan sambil membalas kembali lambaian tangannya.

Owhh... kota raya Kuala Lumpur, masih ada lagi yang masih mahu membuat peduli rupa-rupanya. Dan, manisnya ia tidak mengenal bangsa. Bukti kita masih punya cinta atas rasa kemanusiaan dan bukan semata warna kulit.

[Bahagi rasa]

Tuesday, December 01, 2015

~ DIKENANG ~


BERITA kematian yang berselang seli singgah mengejuk hati. Baik daripada mereka yang jauh mahupun dekat dalam kelilingku. Terbaru seorang yang namanya tersohor di dada akhbar ini pula dijemput Ilahi dalam masa yang berderetan..

Semenjak dia diberitakan pergi, semua rakan dan kenalan bercakap tentang kebaikannya tanpa henti. Satu demi cerita terkongsi. Dari hal yang sebesar sehinggalah yang terpaling kecil dan remeh. Dan, aku percaya, cerita-cerita manis itu bukan cerita rekaan yang disengaja cerita melainkan ia luah hati pada suatu hal yang wujud.

Pulau pandan jauh ke tengah, gunung daik bercabang tiga,, hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga..

Meski bukan balasan yang diingin dari setiap tangan yang menghulur, setiap perbuatan baik itu sentiasa ada hak untuknya.

Dan, manisnya kita bila mana pergi akan disebut dan dikenang mereka yang ditinggalkan dengan hal-hal yang sebegitu. Mengisi hayat hidup dengan segerombol senyum untuk mereka yang perlu kepada itu.

Dan, babak-babak yang aku saksikan hari ini sangat mengingatkan aku kepada arwah mr legoman pada saat perginya. Pergi yang diiringi senyum dan tangis terima kasih untuk segala kebaikan yang pernah dia tinggalkan sepanjang sempat hayatnya.

Semoga suatu masa nanti, nyawaku terhenti kala aku cukup memberi.

Alfatihah.

[Budi yang baek, di-kenang juga..]

Monday, November 30, 2015

Sunday, November 29, 2015

~ LUDWIG VAN BEETHOVEN ~



SYMPHONY NO. 5. Hanya untuk yang mahu rasa. Terapi yang sering membawa lari kala resah membuat singgah. Dan segenap ruang terisi dengannya.

Dan, aku masih orang yang sama.  Kalaulah kamu itu juga masih orang yang sama pernah tahu bagaimana lukaku larut dalan bunyian-bunyian ini.

[Menekuni..]

Saturday, November 28, 2015

~ MEMOIR ZURINAH HASSAN ~







Memoir Zurinah Hassan

TERBITAN: UKM Press
CETAKAN: Pertama (2003), Kedua (2005) & Ketiga (2015)
HALAMAN: 649
HARGA: RM25.00

[Cantom..]

Friday, November 27, 2015

~ SEL-SEL SENYAP ~


AKU tahu, dia tidak mudah untuk menerima kenyataan ini. Sementelah usianya masih muda dan barangkali tidak terfikir olehnya untuk menerima hakikat seperti ini. 

Namun, itulah yang telah ditetapkan untuk dia. Fasa menerima kenyataan itu, sudah dilaluinya degan baik. Dan, ya dia sememangnya seorang wanita yang kuat dan tabah. 

Selepas tiga hari menjalani pembedahan untuk membuang sel-sel kanser yang masih baru menghuni ovarinya, dia terlihat baik-baik sahaja. Malah lakunya seolah tiada apa yang terjadi. Berkongsi pengalaman bagaimana tubuh badan sempurnanya ditoreh pisau tajam dan diselongkar isinya selama beberapa jam di bilik bedah.

Ibunya mendengar ceritanya bersama kami dengan wajah yang sayu sekali. Sesekali menepuk-nepuk bahunya. Dan, aku juga mengangguk-angguk. Naun, jauh terlihat isi hatinya di dalam sana melalui anak matanya yang penuh cerita itu.

Ketakutan untuk seorang wanita menjadi suatu kekuatan juga dalam suatu hal yang lainnya.

Semoga segalanya kembali baik-baik dan mudah-mudahan kekuatannya tidak berkurang. 

[Senyuman yang tetap manis membuat sembunyi..]

Thursday, November 26, 2015

Wednesday, November 25, 2015

~ TULISAN JODOH ~


TAHNIAH untuk sahabat dekat yang bakal melangkah ke fasa baru bersama cinta hatinya hujung bulan ini. Semoga berpanjangan jodoh dan bermilik bahagia hingga ke jannah. Dan, sungguh aku menumpang gembira di atas perkhabaran indah ini.

Mudahnya tulisan jodoh yang Tuhan rancangkan untuk dia. Berkenalan dengan pasangannya itu sekitar Oktober lalu, mengikat tali pertunangan sebulan selepasnya, dan tidak lama lagi bakal diijabkabul sebagai pasangan suami isteri degan restu penuh daripada keluarga dan rakan taulan.

Indah.

[Yang kita tidak akan pernah tahu..]

Tuesday, November 24, 2015

~ YANG TERSEMBUNYI ~


SETIAP apa yang berlaku sememangnya ada hikmah yang tersembunyi. Cuma keberadaannya antara disedar kita atau tidak.

Meski pahit untuk aku telan hal yang jadinya semalam itu, perlu aku akui ada sesuatu yang dipelajari di situ. Sesuatu untuk memperbaiki diri agar menjadi lebih baik dari sebelumnya. 

Mungkin kita kadang-kala merasa sudah memberi laku yang terbaik untuk manusia keliling. Namun tanpa kita sedar barangkali ada sebahagiannya yang hanya betul pada perkiraan kita semata sedangkan begitu canggung di mata yang lain.

Justeru, ada baiknya sesuatu insiden sebegini berlaku untuk memberi kita mata yang luas bagi melihat dengan lebih jelas tentang hal-hal keliling dan menerima hakikat, manusia tidakkan pernah sama persepsinya terhadap sesuatu.

Terima kasih untuk pelajaran yang percuma ini..

[Hikmah..]

Monday, November 23, 2015

~ TIDAK AKAN PERNAH TAHU ~


ERAT dipeluknya aku sehingga basah air matanya menyentuh kulit bahuku. Aku hanya membiarkan dia melepas luluh hatinya untuk beberapa ketika. Diam aku tanpa sepatah kata ditutur. Dan, pada hujung sedu sedannya barulah aku menariknya duduk mengadap deru kenderaan yang keluar masuk di lapangan parkir rumah sakit yang berlimpah cahaya kelam itu.

Menerima berita dan hakikat sebuah kehilangan manusia yang dekat di hati kita sememangnya tidak pernah mudah. Aku yakin, semua antara kita jelas akan itu.

Justeru, aku tidak pandai untuk berbasa-basi menutur kata-kata untuk menyedap hati mereka yang bersituasi ini. Kerana aku sadar, semanis dan seindah mana sekalipun kata yang aku tutur, ia tetap tidak akan pernah mampu  menenang gelora rasa kehilangan yang membuak.

Pun begitu, aku akan ada dan sentiasa sedia ada di sisi untuk mendokong kesakitan itu. Itu janji yang sentiasa aku semat dalam hati untuk sebuah keberadaan.

Sahabat ini baru sahaja kehilangan sahabatnya yang terlibat dengan kemalangan maut tengah malam tadi. Kehilangan yang sangat mengejutkan. Seminggu lalu allahyarham ditahan di hospital kerana jangkitan kuman di paru-parunya. Sahabat ini tidak sempat bertemu membuat ziarah lantaran sikap menangguh lengahnya mencari hari yang benar-benar dalam kelapangannya. 

Dia tidak tahu, dan kami atau kita tidak akan pernah tahu akan suatu saat ajal yang ditentukan Tuhan untuk diberhenti. Dan begitulah allahyarham sahabatnya itu dipanggil pulang ke rahmatullah pada hari semalam. Bukan kerana sakit yang dideritainya seminggu yang lalu, tetapi kerana terlibat kemalangan kereta yang di luar duga. 

Allah...

Ermm... suatu yang aku pinjam hari ini agar tidak membuat lengah untuk apa jua pada saat niat dan rasa telah membuat detik. Kita tidak tahu dan tidak akan pernah tahu. Hargailah..

[Memejam mata...]

Sunday, November 22, 2015

Saturday, November 21, 2015

~ MENUNGGU KEMATIANKU ~






Menunggu Kematianku

KARYA: Dani Mahmoed
TERBITAN: Indoe Book Corner
CETAKAN: Pertama (April 2012)
HALAMAN: 108
HARGA: RM25.00

[Pada suatu saat yang tiba..]

Friday, November 20, 2015

~ KULIT JANTUNG ~


MENJADI resam manusia yang merasa luar biasa sakit apabila terlaku sesuatu yang canggung orang kepadanya. Sedangkan ketika dia menggerak perlakuan serupa, tidak pula dia fikirkan orang yang merasa.

Sepanjang malam tadi aku bersenyapan dalam monolog keras. Terawangan rasa kesal yang membenih pada suatu hal yang telah pecah dan tidak tertangkupkan. 

Meski dia bukan siapa-siapa yang harus aku memberi peduli, namun kekerasan kata dan kesepahan angkuhnya sangat-sangat mengores kulit jantungku. Oh manusia.. apakah kamu tahu ertinya adil yang paling benar untuk yang gelarnya manusia juga?

Doa kesejahteraaan untuk kamu. Mudah-mudahan dibukakan Tuhan pintu hatimu untuk berkasih sayang sesama manusia lainnya tanpa syarat. Amin.

[Luka..]

Thursday, November 19, 2015

~ SCORPIO YANG PALING ISTIMEWA ~


KAMI sebenarnya menuntut ilmu di pusat pengajian yang sama di Lembah Pantai. Namun ketika itu kami tidak saling mengenali. Mungkin hanya pernah terpandang kelibat saat membuat selisih di dalam kampus. Aku tidak pernah perasan atau ingat akan kelibatnya, tetapi dia sering berkeras mengatakan kami pernah beberapa kali bertemu, lantas dia mengenal kelibat aku meski tidak pernah bersapa apatah lagi punya urusan denganku.

Iya, mungkinlah.. tapi sungguh, aku tidak dapat mengingatnya dengan jelas.

Apatah lagi suatu ketika ketika itu, aku seorang yang penyenyap. Jauh lebih senyap daripada sekarang. Tidak punya ramai kawan, apatah lagi kawan yang bukan sebangsa. Kalau adapun, hanya mereka yang sekelas atau satu projek serta aktiviti yang sama. Selain itu, aku banyak bergaul dengan orang yang sama.. yang hanya terbilang jari.

Beberapa tahun selepas tamat pengajian, kami bertemu dan berkenalan secara tidak sengaja. Semuanya pada babak kebetulan di mana kami ditakdirkan berkongsi kenalan yang sama. Dan, ya... kecilnya dunia ini. 

Semenjak itu kami mula mengenal, menjadi rapat dan berada pada hubungan hari ini. Bukan sehari dua, dan pastinya tidak bersalut manis sepanjang masa. Pernah putus dan memutuskan, juga pernah  ke perancangan ijabkabul dan segala sesuatu yang pernah. Namun, hari ini begini juga kami. Ramai rakan-rakan dekat yang mengenali kami sering bertanya mengapa perlu menunggu terlalu lama. Malah pernah juga aku disoal adik perempuannya atas keraguan yang sama.

Sukarnya untuk membuat jelas. Namun aku percaya, segalanya telas tertulis di atas sana. Cuma, aku tidak tahu apakah yang telah ditentukan untuk kami itu. Meski pernah merungut, meski pernah ada rajuk dan mempersoal itu dan ini, perlu aku akui, lelaki sepet yang seorang begitu memahami. Aku tahu tidak mudah untuk dia, apatah lagi berdepan dengan tanya-tanya itu, namun dia masih mahu ada.

Ada denganku..

Selamat Hari Ulang Tahun kelahiran paling istimewa... Semoga kita sama-sama menjadi lebih baik daripada yang semalam. Semoga baki hidup yang ada ini terisi dengan hal-hal manis yang membahagiakan orang-orang yang kamu sayang dan mereka yang berkeliling. Dan, ajal jodoh dan pertemuan itu adalah rahsia Allah. Hanya Dia yang maha tahu dan berhak di atas segalanya.

[Sesuatu yang tidak selalu tentang kamu...]

Wednesday, November 18, 2015

Tuesday, November 17, 2015

~ DINDING PUTIH ~


KOPI Ampang. Antara tempat yang kini semakin akrab dan menjadi tempat lari aku. Saat mahu sendiri-sendiri, aku akan berada di sini. Saat mahu lari-lari, aku akan memilih untuk di kerusi ini. Saat mahu khayal ke dunia satu lagi tanpa ganggu dengan bahan baca yang dikelek, aku juga akan menyelinap senyap di sini.

Pernah suatu masa, sudut ini juga menjadi tempat perdebatan, bertegang urat dan tempat bermasam muka. Sederetan yang pernah-pernah.

Hari ini aku duduk di sini, di kerusi yang sama, tanpa berbuat apa-apa. Tanpa bahan baca, tanpa komputer riba, tanpa janji temu dengan sesiapa juga, malah tanpa telefon bimbit yang terselit cicir di unta hitam dan aku malas untuk berpatah balik untuk mengambilnya. 

Aku hanya duduk dengan secawan caffe late panas (dan tidak mocha seperti selalu), sambil mengadap dinding kosong di depanku. Sudut yang membelakangi manusia-manusia lain yang keluar masuk di ruang ini.

Isi cafe latte surut ke dasarnya. Panasnya yang aku sedut seperti menyentuh kulit jantung. Jari menguis-nguis cawan merah grande, menahan panas. Tiba-tiba aku bertanya sendiri, apa yaa rasanya latte ini? Aku lupa untuk merasa, apa rasanya.

Ermm..

Tiba-tiba satu kelibat manusia menarik kerusi di sebelahku. Senyum, mengangguk-angguk dan terus memelukku kemas. Terpinga-pinga, tetapi aku merasakan ada kasih sayang yang mengalir disebalik pelukan itu. Allah...

[Rasa..]

Monday, November 16, 2015

~ CANCER ~


DAN, dia beda dengan rakan-rakan tioghua lain yang aku kenal. Kami dikenalkan oleh seorang rakan yang sebangsanya kurang lebih setahun yang lalu. Bertemu keserasian kerana berkongsi kecenderungan yang sama dalam hal-hal seni.

Cancer... yang sedikit beda dari cancerian yang pernah didekat aku.  

Kelmarin kami membuat luang dalam satu sesi seni yang di luar rancang. Sesi pendek yang mengenalkan aku tentang sisi lain dirinya. Mudah leka kala menutur bual dengannya kerana kebijaksanaan dia melontarkan fikirannya. Tidak mendabik dada meski kelebihannya jelas terlihat siapa sahaja yang mendekat dengannya.

Cancer dan Scorpio selalunya punya hal-hal yang bertentang, namun lain pula dengan sahabat yang seorang ini. Kami rupa-rupanya banyak melihat dengan cara dan pendekatan yang sama. Dan, kami baik-baik sahaja.

Pernah aku menjadi hanya seorang wanita Melayu dalam sesuatu sesi dia, dan pernah juga dia menjadi hanya seorang wanita Cina dalam satu sesi aku. Banyak sekali cerita kehidupan yang terpinjam.

[Cancer.. yaaa, Cancer]

Sunday, November 15, 2015

~ THE SECRET LIFE OF MARILYN MONROE ~





The Secret Life Of Marilyn Monroe

KARYA: J. Randy Taraborrelli
CETAKAN: 2009
PENERBIT: Grand Centre Publishing
HALAMAN: 541
HARGA: UK$8.99

[Cherita kehidopan]

Saturday, November 14, 2015

~ LARI ~


SABTU, dan hari bekerja. Seawal jam sembilan pagi, aku sudah bersiap siaga di lantai pekerjaan. Sendiri. Segalanya tidak menjadi manis meski cuba berlapang dada. 

Cuma terima kasih untuk dua mereka terkenal namanya di dada akhbar ini yang memberi energi positif dan kerjasama yang terbaik dalam melancarkan sesi hari ini meski dicelah sesak nafas yang menekan.

Usai sesi sekitar 4.50 petang, unta hitam menghala ke bukit monyet. Mahu melerai ketegangan yang semakin ketat membuat belenggu. Malangnya tiba di kaki bukit, kawasan yang sering sahaja galak dengan riuh rendah haiwan yang membuat hibur itu masih ditutup kepada umum. 

Gara-gara pembakaran mercun yang menganiayai sekumpulan haiwan ini ketika bulan Ramadan lalu. Huh.. Lama aku merenung ke arah jalan yang ditutup dengan papan tanda besar itu.

Seketika kemudian, unta hitam sidah berada di perkarangan ke Masjid Darul Ehsan, Taman TAR Ampang. Tempat selalu yang menjadi saksi sesakku.

[Rasa yang berat..]