Thursday, December 18, 2014

~ LERAI ~


LAMA kami tidak bertemu. Lama. Meski mengharung bingit pada hiruk pikuk yang sama, kesempatan untuk bertanya khabar apatah lagi untuk duduk menghirup secawan mocha terlalu susah untuk ada. Kesibukan sering membuat kita melupakan hal-hal yang tidak di depan mata.

Kali terakhirnya bertemunya sekitar tiga tahun lepas saat dia diraikan dengan penuh kejutan di majlis ulang tahun kelahirannya. Ketika itu dia baru sahaja berhijab dan berhijrah hidupnya. Itu paling akhir, dan kami masing-masing sibuk dengan hambatan urus hidup masing-masing.

Tiba-tiba hari ini, ada berita tentang sahabat ini yang singgah di telingaku tanpa sengaja. Berita duka yang sedikit menyentuh hatiku. Khabarnya mahligai indah yang dibinanya semenjak dua tahun lalu itu telah hancur berkecai. Dia dan suami memilih untuk berpisah di atas sebab-sebab yang tidak mampu diperhitungkan lagi. Mujur sahaja satu-satunya anak comel mereka tidak menjadi rebutan, sebaliknya bersama sahabat ini.

Aku mendapat tahu tentang berita ini melalui seorang kenalan yang kebetulan berada di rumah perundangan itu untuk suatu hal yang serupa. Dan, aku pasti dia sedang berjuang keras untuk mendepani hal-hal yang sukar dalam hidup setiap wanita ini.

Rasa bersalah tebal menguasai diri, kerana aku sendiri yang dekat pada kelilingnya ini langsung tidak mengetahui apa yang berlaku ke atasnya. Lupa untuk sesekali bertanya khabar sehingga tidak  menyedari betapa sahabat ini hidup di dalam keadaan yang sukar begini.

Aku meluangkan masa yang panjang untuk bertanya cerita, menebus ketidakpedulianku yang tidak sengaja itu. Meski tidak dapat membantu seluruh, sekurang-kurangnya sebagai sahabat, aku ada untuk mendengar. Apa yang pasti, pengalaman ternyata mematangkan dirinya. Daripada seorang yang sering menggantung harap, kini dia sebaliknya.

Meski apa yang berlaku ini begitu besar menterbalikkan hidupnya, sahabat yang seorang ini masih mampu berdiri dengan senyum. Katanya, dia sangat-sangat percaya, Allah telah merancang sesuatu yang lebih baik buatnya. Dan, dia akur dengan ujian ini.

Terinspirasi. Moga Tuhan melindungi dan memberkati kehidupannya dan sikecil.


[Yaa... bertanya khabar, walau hanya sesekali..]

No comments: