Monday, December 08, 2014

~ BIG HERO 6 ~


MEMENUH janji. Menghabiskan masa dengan si kecil untuk menonton 'Big Hero 6' yang menjadi igau siang malamnya. Selepas beberapa hari kami tidak bertemu muka dek kerana terhambatnya aku dengan urus pekerjaan yang  silih berganti membuat aturan, maka hari ini aku menghabiskan masa berdua dengannya.

Bersungguh dia menonton cerita robot gemuk yang putih itu. Sementara aku tidak begitu memberi fokus kerana asyik diganggu dengan mesej di skrin yang menerpa masuk tanpa henti. Hanya pada setengah jam terakhir, barulah mampu memberi tumpu. Pada hujung cerita, terdengar esak tangis di sebelahku. Datangnya dari si kecil. Tidak pula diberi jawapan pada tanyaku yang gusar akan perlakuannya itu, sehingga kami dalam perjalanan pulang ke rumah barulah dia bersuara.

Oh Tuhan... rupa-rupanya hatinya tersentuh kerana robot gemuk putih yang banyak berjasa dan begitu setiakawan itu terpaksa ditinggalkan dan tidak dapat diselamatkan. Dia meletakkan dirinya di situ. Sarat sungguh dengan kasih sayangnya. Sempat pula dia menutur yang dia tidak akan tinggalkan aku begitu kerana aku ini sahabat terbaiknya. 

Kata-kata ini bukan pertama kali dari dia. Terlalu selalu dia katakan itu sehingga mamanya sendiri juga menggunakan panggilan 'sahabat baik' bila mahu merujuk aku kepadanya. Hal-hal manis yang sering membuat aku tersenyum sendirian dan menjadi rindu dengan mudah.

[Kaseh sayang..]

No comments: