Wednesday, November 19, 2014

~ PALING MINIMALIS ~


LELAKI sepet, selamat merai hari wujud kamu pada hari ini. Cukup sekadar ucap itu kerana yang selebihnya biar aku tuturkan dalam hati. Kamu tahu siapa dan di mana duduk kamu di hatiku. Biar itu yang lebih memberi harga.

Tidak seperti lazim selalu, kali ini kita merai di balik jarak. Soal urus pekerjaanmu membawa kamu jauh di bumi kangaroo sana. Lalu ruang rai itu hanya pada teks di skrin. Yaa.. sesi pertama dalam situasi begini memberi rasa yang begitu minimalis. Kurang lebih tujuh jam bual itu sepertinya ada di sisi.

Namun aku tahu, kalau kamu di sebelahku saat ini sekalipun, kita tetap memilih hal-hal yang minimalis untuk merai. Tanah badan Scorpio barangkali. Seperti yang pernah kamu tutur seawal kita saling kenal, bukan keraian itu yang menjadi ukur, tidak juga pada harga pemberian yang dihulur, tetapi doa dan ingatan kasih sayang itu mendahulu segala-galanya.

Sekali lagi, selamat merai hari wujud. Terima kasih masih mahu menjadi sebahagian dari aku. Dan, Tuhan lebih tahu.

[Lukisan rasa yang panjang mem-belah awal pagi..]

No comments: