Tuesday, November 25, 2014

~ LELAKI HARAPAN DUNIA ~


MENDENGAR tajuknya sahaja sudah menjadi satu tarikan yang tersendiri kepada peminat filem tanah air untuk mengetahui apakah yang mahu disuakan oleh naskah filem ini kepada umum. Menurut pengarah dan juga penulis naskah filem ini, Liew Seng Tat, idea asal filem yang menjalani penggambaran di Padang Rengas, Perak ini bermula apabila dia melihat sekeping gambar yang memaparkan sekumpulan lelaki yang mengangkat sebuah sebuah rumah untuk dialihkan. 

Gambar itu memberikan cetusan tentang semangat dan jati diri dalam masyarakat kita. Naluri kekitaan yang mampu mendorong seseorang itu untuk melakukan pelbagai perkara yang hebat. Bermula dari situlah, jalan cerita filem ini dibina dan dicantumkan dengan fragmen-fragmen yang begitu indah tentang apa yang ada di keliling masyarakat asal kita. Idea-ideanya begitu jelas melalui setiap babak yang disusun baik. 

Gandingan pelakon-pelakon senior yang hebat juga menjadi kelebihan kepada filem ini dalam memastikan apa yang ingin disampaikan dalam naskah ini berjaya dilihat jelas apabila dipertontonkan kepada umum. Mereka berjaya mencorakkan karekter yang diberikan dengan cara yang cukup tersendiri dengan mewujudkan rasa percaya penonton dengan apa yang dipaparkan.

Sebelum menemui penonton di tanah air, filem ini terlebih dahulu menjelajah di pentas antarabangsa apabila mendapat peluang untuk menyertai beberapa festival filem luar seperti Festival Filem Antarabangsa Vancouver ke-33 (VIFF ), Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF) ke-19,  Festival Filem Antarabangsa Locarno, Festival Filem Antarabangsa Toronto, Festival Filem Antarabangsa Nara dan lain-lain.

‘Lelaki Harapan Dunia’ mengisahkan tentang kekecohan yang terjadi di sebuah kampung akibat salah faham penduduk kampung yang menyangka rumah terbiar yang dalam perancangan dipindahkan dari hutan ke kampung untuk Pak Awang (Wan Hanafi Su) dihuni oleh ‘hantu’.

Namun apa yang berlaku sebenarnya ialah rumah itu telah didiami oleh seorang pendatang asing Afrika yang menumpang di situ secara senyap-senyap. Pak Awang cuba menyakinkan penduduk kampung agar tidak percaya kepada tahyul, tetapi tiada siapa yang ingin mendengarnya.  Dia diketepikan oleh kampungnya kerana tidak mempunyai kepercayaan yang sama. Pak Awang dituduh mengamalkan ilmu hitam dan menjadi sebahagian daripada kisah yang jahat itu. 

Jujur aku merasakan, idea filem ini sangat jelas, dekat dan mudah untuk difahami. Kritik sosialnya menjadi dan jujur pada mata aku. Selain daripada babak sembelihan korban unta yang memercikkan darah secara melampau, aku kira aku tidak ada masalah dengan soal selainnya.

Namun semenjak filem ini dipertontonkan buat pertama kalinya kepada umum, ramai diantara kita-kita yang meluahkan rasa singgungnya terhadap filem ini. Kata mereka, filem ini terlalu menyindir dan seolah-olah merendah-rendahkan orang Melayu. Meletakkan orang Melayu dengan segala keburukan agar mudah ditertawakan masyarakat lain, apatah lagi ketika dibawa jelajah di pentas antarabangsa.

Aku senyum dan mengangguk-angguk. Namun bukan kerana setuju dengan pernyataan itu, tetapi mengangguk kerana faham, inilah reaksi selalu masyarakat kita apabila ditegur tentang canggung diri. Silapnya hanya satu, kerana sang pengarahnya bukan sebangsa. Sekiranya ia adalah abang Mamat Khalid (yang begitu sinonim dan sering tampil dengan filem-filem yang memaparkan kritik sosial terhadap masyarakat Melayu), mungkin ia tidak menjadi pertikaian yang panjang.

Pesanku hanya satu, usahlah mudah melatah. Terimalah kenyataan tentang kurang diri. Lihatlah sesuatu itu dengan fikiran yang positif. Kalau benar ada singgung yang sudah tercuit di situ, bangkitlah untuk berubah dengan tindakan, bukan dengan kata nista menegakkan benang yang basah.

[Tetap meng-harap..]

No comments: