Sunday, November 30, 2014

~ BIBIR CERI MELATI ~






Bibir Ceri Melati
KARYA: Fazleena Hishamudin
CETAKAN: Ketiga (Oktober 2014)
PENERBIT: Sang Freud Press Sdn Bhd
HALAMAN: 166
HARGA: RM20

[Sampol baru..]

Saturday, November 29, 2014

~ ULANGAN ~


ULANGAN. Hal-hal yang berulangan. Kalaulah ia mudah untuk dihenti habis tanpa sedikit rasa, sudah lama aku memilih untuk melakukan itu. Sabarlah wahai hati.

[Di-suroh jengok tengok perasaan dia.. perasaan kita?]

Friday, November 28, 2014

Thursday, November 27, 2014

~ SEBUAH KERINDUAN ~


SUARA ibu perlahan. Tidak seperti selalu. Meski diacah dengan segala tanya ceria dan kongsi kisah yang mencuit, reaksi ibu masih begitu. Sebenarnya hati sudah punya  detik, ada sesuatu yang sedang lalu pada fikiran atau perasaan ibu.

"Ibu teringat ayah, teringat sangat-sangat.."

Akhirnya tutur itu yang terluncur di hujung talian. Perlahan, tetapi cukup jelas tertangkap di telingaku. Kata-katanya tidak bersambung, ibu senyap. Namun dari jauh aku seperti dapat mendengar nafas ibu, dan esak yang agak halus.

Selalunya, aku akan alihkan perhati agar ibu tidak terus dalam keadaan itu. Cuba menenangkan ibu dengan sebaik dan semudah tutur agar dia tidak terus melayan perasaan rindunya itu. Namun entah kenapa hari ini, aku tidak berbuat seperti itu. Sebaliknya, aku hanya diam dan membiarkan ibu meluah rasa. Mendengar esak ibu yang panjang melayan perasaan. Aku mendengar di hujung talian untuk beberapa ketika tanpa sebarang kata. Dan, ibu tahu aku mendengar.

Ya, mana mungkin kita mampu bermudah kata menutup perasaan atas berhentinya sesuatu kebiasaan dalam rutin hidup kita. Pada berhenti yang sementara pun kita sudah hilang arah, apatah lagi untuk kebiasaan yang berhenti buat selama-lamanya.

Lalu, bairlah ibu melepaskan tangisnya. Kerana di hujung talian ini, aku juga berbuat perkara serupa.

[Al-Fatihah..]

Wednesday, November 26, 2014

Tuesday, November 25, 2014

~ LELAKI HARAPAN DUNIA ~


MENDENGAR tajuknya sahaja sudah menjadi satu tarikan yang tersendiri kepada peminat filem tanah air untuk mengetahui apakah yang mahu disuakan oleh naskah filem ini kepada umum. Menurut pengarah dan juga penulis naskah filem ini, Liew Seng Tat, idea asal filem yang menjalani penggambaran di Padang Rengas, Perak ini bermula apabila dia melihat sekeping gambar yang memaparkan sekumpulan lelaki yang mengangkat sebuah sebuah rumah untuk dialihkan. 

Gambar itu memberikan cetusan tentang semangat dan jati diri dalam masyarakat kita. Naluri kekitaan yang mampu mendorong seseorang itu untuk melakukan pelbagai perkara yang hebat. Bermula dari situlah, jalan cerita filem ini dibina dan dicantumkan dengan fragmen-fragmen yang begitu indah tentang apa yang ada di keliling masyarakat asal kita. Idea-ideanya begitu jelas melalui setiap babak yang disusun baik. 

Gandingan pelakon-pelakon senior yang hebat juga menjadi kelebihan kepada filem ini dalam memastikan apa yang ingin disampaikan dalam naskah ini berjaya dilihat jelas apabila dipertontonkan kepada umum. Mereka berjaya mencorakkan karekter yang diberikan dengan cara yang cukup tersendiri dengan mewujudkan rasa percaya penonton dengan apa yang dipaparkan.

Sebelum menemui penonton di tanah air, filem ini terlebih dahulu menjelajah di pentas antarabangsa apabila mendapat peluang untuk menyertai beberapa festival filem luar seperti Festival Filem Antarabangsa Vancouver ke-33 (VIFF ), Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF) ke-19,  Festival Filem Antarabangsa Locarno, Festival Filem Antarabangsa Toronto, Festival Filem Antarabangsa Nara dan lain-lain.

‘Lelaki Harapan Dunia’ mengisahkan tentang kekecohan yang terjadi di sebuah kampung akibat salah faham penduduk kampung yang menyangka rumah terbiar yang dalam perancangan dipindahkan dari hutan ke kampung untuk Pak Awang (Wan Hanafi Su) dihuni oleh ‘hantu’.

Namun apa yang berlaku sebenarnya ialah rumah itu telah didiami oleh seorang pendatang asing Afrika yang menumpang di situ secara senyap-senyap. Pak Awang cuba menyakinkan penduduk kampung agar tidak percaya kepada tahyul, tetapi tiada siapa yang ingin mendengarnya.  Dia diketepikan oleh kampungnya kerana tidak mempunyai kepercayaan yang sama. Pak Awang dituduh mengamalkan ilmu hitam dan menjadi sebahagian daripada kisah yang jahat itu. 

Jujur aku merasakan, idea filem ini sangat jelas, dekat dan mudah untuk difahami. Kritik sosialnya menjadi dan jujur pada mata aku. Selain daripada babak sembelihan korban unta yang memercikkan darah secara melampau, aku kira aku tidak ada masalah dengan soal selainnya.

Namun semenjak filem ini dipertontonkan buat pertama kalinya kepada umum, ramai diantara kita-kita yang meluahkan rasa singgungnya terhadap filem ini. Kata mereka, filem ini terlalu menyindir dan seolah-olah merendah-rendahkan orang Melayu. Meletakkan orang Melayu dengan segala keburukan agar mudah ditertawakan masyarakat lain, apatah lagi ketika dibawa jelajah di pentas antarabangsa.

Aku senyum dan mengangguk-angguk. Namun bukan kerana setuju dengan pernyataan itu, tetapi mengangguk kerana faham, inilah reaksi selalu masyarakat kita apabila ditegur tentang canggung diri. Silapnya hanya satu, kerana sang pengarahnya bukan sebangsa. Sekiranya ia adalah abang Mamat Khalid (yang begitu sinonim dan sering tampil dengan filem-filem yang memaparkan kritik sosial terhadap masyarakat Melayu), mungkin ia tidak menjadi pertikaian yang panjang.

Pesanku hanya satu, usahlah mudah melatah. Terimalah kenyataan tentang kurang diri. Lihatlah sesuatu itu dengan fikiran yang positif. Kalau benar ada singgung yang sudah tercuit di situ, bangkitlah untuk berubah dengan tindakan, bukan dengan kata nista menegakkan benang yang basah.

[Tetap meng-harap..]

Monday, November 24, 2014

~ PILIH ~


KITA nampak, apa yang kita lihat. Andai pahit yang kita cari, pahitlah yang ada. Kalau manis yang dimahu, maka manislah yang dirasa.

Itu jawapan yang terluncur dari bibirku pada suatu bual separa ilmiah dengan seorang kenalan sebentar tadi yang menidakkan kesetujuannya terhadap satu kenyataan yang sememangnya kenyataan. 

Hidup kita sentiasa dengan pilihan, bukan?

[Maseh cetek..]

Sunday, November 23, 2014

Saturday, November 22, 2014

~ PANGGIL AKU KARTINI SAJA ~



Panggil Aku Kartini Saja
KARYA: Pramoedya Ananta Toer
CETAKAN: Pertama (Julai 2003), Kedua (Jun 2006) & Ketiga (Mac 2007)
PENERBIT: LenteraDipantara
HALAMAN: 301
HARGA: RM30.00


“Barangsiapa tidak berani, dia tidak bakal menang; itulah semboyanku! Maju! Semua harus dimuai degan berani! Pemberani-pemberani memenangkan tiga perempat dunia!”

[Pem-berani]

Friday, November 21, 2014

~ TAHUN LAPAN, DAN DEALOVA ~



DEALOVA
by once

Aku ingin menjadi mimpi indah 
Dalam tidurmu
Aku ingin menjadi sesuatu 
Yang mungkin bisa kau rindu
Karena langkah merapuh tanpa dirimu
Oh karena hati tlah letih

Aku ingin menjadi sesuatu 
Yang selalu bisa kau sentuh
Aku ingin kau tahu bahwa ku 
Selalu memujamu
Tanpamu sepinya waktu merantai hati
Oh bayangmu seakan-akan

Kau seperti nyanyian dalam hatiku
Yang memanggil rinduku padamu
Seperti udara yang kuhela 
Kau selalu ada

Hanya dirimu yang bisa 
Membuatku tenang
Tanpa dirimu aku merasa hilang
Dan sepi, dan sepi

Selalu ada, kau selalu ada...
Selalu ada, kau selalu ada...




PANTASNYA waktu berlalu. Rupa-rupanya sudah tahun lapan aku kehilangan seorang sahabat dekat yang amat sungguh aku kasihi, D. AlFatihah. Semoga kamu tenang bersemadi di sana. Dan, 21 November tetap dalam ingat.

Meski masa berlalu dan ramai  manusia yang datang dan pergi dalam hidupku, sahabat yang seorang ini tetap dalam ingat. Terima kasih Tuhan,.. pinjamkan dia untuk aku. Meski hanya untuk seketika, kehadirannya cukup terkesan.

Setiap kali mengenang dia, setiap kali itu jugalah aku akan  menyebut bait Dealova. Dan, setiap kali itu perasaanku begitu hiba. Lagu ini terlalu disukai arwah. Terlalu kerap dia sebut dan nyanyikan ketika hujung hayatnya. Justeru, ia juga turut menjadi lekat denganku. Dan, Dealova berkumandang hari ini.

[Senantiasa dalam ingat..]

Thursday, November 20, 2014

~ KUSUT, DAN HARUM COFFEE ~


KUSUT. Dan, semuanya menjadi serba tidak kena. Aku bukanlah pelakon hebat yang mampu menyembunyikan gelisah selirat. Pasti sahaja mudah dibaca pada raut wajah  yang tidak mampu dilukis sebalik. Dan, mohon jangan dibaca aku. Apatah lagi ditanya-tanya.

Setengah hari ini, aku menghabiskan masa di dalam kereta di parkir lantai pekerjaan. Saja mahu menyendiri seketika dari ramai. Yaa, perkara selalu bila mana serabut seratus membuat rentang. Mungkin baik begitu daripada aku senyap di tengah ramai sehingga mengundang tanya mereka disekeliling. Kurang-kurang, ada sedikit tenang pada kesendirian begitu.

Secawan mocha. Dua. Atau mungkin lebih.

[Ber-henti]

Wednesday, November 19, 2014

~ PALING MINIMALIS ~


LELAKI sepet, selamat merai hari wujud kamu pada hari ini. Cukup sekadar ucap itu kerana yang selebihnya biar aku tuturkan dalam hati. Kamu tahu siapa dan di mana duduk kamu di hatiku. Biar itu yang lebih memberi harga.

Tidak seperti lazim selalu, kali ini kita merai di balik jarak. Soal urus pekerjaanmu membawa kamu jauh di bumi kangaroo sana. Lalu ruang rai itu hanya pada teks di skrin. Yaa.. sesi pertama dalam situasi begini memberi rasa yang begitu minimalis. Kurang lebih tujuh jam bual itu sepertinya ada di sisi.

Namun aku tahu, kalau kamu di sebelahku saat ini sekalipun, kita tetap memilih hal-hal yang minimalis untuk merai. Tanah badan Scorpio barangkali. Seperti yang pernah kamu tutur seawal kita saling kenal, bukan keraian itu yang menjadi ukur, tidak juga pada harga pemberian yang dihulur, tetapi doa dan ingatan kasih sayang itu mendahulu segala-galanya.

Sekali lagi, selamat merai hari wujud. Terima kasih masih mahu menjadi sebahagian dari aku. Dan, Tuhan lebih tahu.

[Lukisan rasa yang panjang mem-belah awal pagi..]

Tuesday, November 18, 2014

~ PEREMPUAN MELAYU AMPANG ~


PEREMPUAN MELAYU AMPANG. Entah kenapa aku cukup gemar menggunakan ungkapan itu. Dan, selepas ini, mungkin ungkapan itu tidak akan lagi kedengaran. Dalam sekejapan itu.. rupa-rupanya sudah hampir lima tahun aku berkehidupan di sini. Melalui pahit manis, senang, bahagia, koyak, rabak.. segalanya di sini, di Ampang.

[Katup..]

Monday, November 17, 2014

~ SANG PELINDUNG BAKTI ~


DUNIANYA terlalu kecil untuk dia faham segala hal hidup. Mata dan capai akalnya terlalu sedikit untuk dia menimbang tara dengan jelas dan tepat. Namun aku sentiasa merasa selesa dan percaya untuk berkongsi rasa dengannya. Kadangkala dengan perkataan, seringkali juga hanya dengan bahasa diam.

Si kecil ini sering mahu duduk mendengar, malah menaruh seratus rasa percayanya atas apa jua yang ditutur aku. Justeru, aku tidak akan pernah menutur dia dengan cerita yang tiada kebenaran. Apatah lagi dia sentiasa mahu melerai selirat yang ada dalam hatiku. Meski hanya dengan cara dan fahaman kecilnya, aku merasa beban terbebas. Malah rasa dilindungi.

Hari ini, dia menunggu pulangku. Bersiap siaga dengan soal tanya yang begitu kecil-kecilan tetapi penuh rasa. Beberapa hari tidak punya kesempatan kerana aku mengelak untuk membawa kusut ke rumah. Justeru, hari ini aku melapangkan rasa melayan mahunya. Menjawab setiap soal tanyanya. Satu-satu dengan jujur sehingga dia mengangguk-angguk tanda faham, atau paling tidakpun bersetuju tentang sesuatu.

Tanyanya juga termasuk tentang soal seliratku beberapa hari ini begitu membuat kusut. Soal fungsi, soal kebiasaan yang terhenti, soal senyapku yang tiba-tiba dan segala yang terlihat di matanya dalam tempoh itu. Ahh.. si kecil ini begitu perhati. Moga besarnya nanti dia mampu menjadi pelindung yang cukup bakti.

Bual kami melarut sehingga beberapa jam sebelum dia lena di sisi.

[Mem-baca warna..]

Sunday, November 16, 2014

~ MATAHARI ~


MATAHARI
by hafiz suip

Matahari tak cukup indah
Pada pagi yang suram ini
Malam ku resah kerana
Malam mungkin kelam

Bumi indah cinta punah
Bintang bintang tumpang berduka
Meratapi nasib
Kenapa hari ini

Matahari bangunlah
Indahkan hari ini
Engkau perlu hidupkan semula mimpi kami

Matahari bangkitlah
Indahkan hari ini
Engkau perlu hidupkan semula cinta kami

Lupakan kisah
Kisah yang terjadi
Mengharap sinar
Sinaran darimu

Matahari bangunlah
Indahkan hari ini
Bagi kami terus melayari hidup kami

Matahari bangkitlah
Indahkan hari ini
Bagi kami terus menghidupkan cinta kami

Lupakan kisah
Kisah yang terjadi
Mengharap sinar
Sinaran darimu

[Rasa sepet... ]

Saturday, November 15, 2014

~ AMARAH INDAH ~


TAJUK: Kumpulan Puisi Amarah Indah
KARYA: Syndi Azrah
CETAKAN: Pertama (April 2014)
HARGA: RM5

[Ber-setuju untok tidak ber-setuju..]

Friday, November 14, 2014

~ PERAM ~


TAJAM kata-kata itu umpama cemeti melibas hati. Dan, saat itu tiada sebutir tuturpun akan bersifat benar. Lalu, aku memutus untuk mengundur. Barangkali itu paling terbaik buatku, agar kamu tidak perlu lagi mengungkit dan membilang.

Dalam diam, aku ulang-ulang baca. Aku ulang-ulang faham. Aku ulang-ulang timbang. Dan, akhirnya aku bersetuju untuk tidak bersetuju.

[Saat diam kamu salah dan tutur kamu juga salah. Lalu, bagi-mana??]

Thursday, November 13, 2014

~ SELAMAT HARI ULANG TAHUN SCORPIO 13 ~


SELAMAT menyambut hari ulang tahun kelahiran buat kamu yang berhati angkasa. Sang scorpio yang besar jiwanya melihat dunia. Semoga kamu itu terus berkongsi setiap cerita kehidupan yang dari sudut pandang kamu, dari celah rasa kamu dan dari benar tumbuh kamu.

Terinspirasi benar dari karya-karya tulis yang penuh rasa, apatah lagi saat ia diperlagu mencuri perhati. Semoga jiwa kamu itu terus membesar beri bahagia. Semoga senyum kamu itu terus menguntum memberi senang. 

Selamat panjang umur yaa... Mudah-mudahan Allah setuju.

[Di-temu..]

Wednesday, November 12, 2014

~ DISUA-SUA LUKA ~


HUTANG budi dibawa mati. Jauh mana pun perginya kita, tinggi hebat bagaimana sekalipun terbangnya kita,  ingatlah dari mana kita bermula. Yaa... permulaan kita pada langkah pertama pada suatu yang pernah.

Cerita hati seorang ibu. Soal luka dicalit si anak.

"Kamu sudah punya ruang untuk berlari-lari tanpa peru dipimpin. Semakin jauh larinya hingga lupa untuk menoleh di belakang saat langkah pertama kamu atur dengan pimpin. Dek teruja dengan soal-soal indah yang tertangkap mata, tegarnya kamu membanding-banding yang terlihat dengan yang pernah termiliki. 

Owhh.. hancur luluh hati si ibu ini. Menitiskan air matanya untuk hal yang dia sendiri kurang pasti untuk apa. Jauh direnung mataku yang bertentang tepat kepadanya. Seperti ada cerita yang tersekat. Aku mengangguk. Dan, yaa hanya menggangguk tanda tahu bahasa lukanya.

Dan, bicara itu terhenti..

[Kerana esok, bukan kita punya...]

Tuesday, November 11, 2014

~ KERANA KITA TIDAK PERNAH SEMPURNA ~


KESERASIAN itu tidak semestinya melalui persamaan. Aku percaya dan masih berpegang kepada prinsip itu sejak ia mula dituturkan kepadaku oleh seorang rakan ketika masih di dalam pengajian beberapa tahun dahulu.

Banyak pengalaman yang aku lalui membuktikan kebenaran tentang itu. Dan sehingga saat ini juga melalui melalui hal yang serupa. Berkeliling dekat dengan orang-orang yang tidak mempunyai persamaan, namun kami mampu serasi tanpa perlu mencari keserasian.

Begitu juga dengan lelaki sepet ini. Persamaan kami hampir tiada, namun serasi. Kerana kami menjadikan kekurangan dan kelebihan diri masing-masing sebagai hal yang saling melengkapi. Segala kekurangan aku ditutupi kelebihan dia dan seadanya kelebihan aku menampung kurangnya dia. Kerana kami tidak pernah sempurna dan cukup serba serbi. Atas ingatan itu, kami masih mampu dalam harmoni meski ada bersulam masam, manis, pahit dan tawar.

Tidak hanya untuk dia, aku juga berpegang prinsip yang serupa dalam persahabatanku. Kurang dan lebih yang ada dimiliki harus saling melengkapi. Tutup yang kurang dengan hal yang lebih, pakaikan yang lebih untuk hal yang kurang. Usah terus-terusan menjadikan kekurangan sebagai hal yang harus difahami orang lain sebagai syarat persahabatan dan apatah lagi menjadikan ia sebagai 'lesen' untuk menghalalkan kita berperilaku sesuka hati.

Bicara seorang kenalan tadi sangat kemas terikat dalam fikirku sehingga saat jari-jari ini bercerita di sini. Hal mudah, tetapi sering kita kusutkan hanya kerana merasakan persamaan itu hanya satu-satunya jalan yang menjadi pembuka kepada keharmonian.

[Timbang kati..]

Monday, November 10, 2014

Sunday, November 09, 2014

~ TEATER BANGSAWAN SINBAD: DENDAM RATU KALA ~














USAHA berterusan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) untuk menyemarakkan kembali minat masyarakat terhadap teater bangsawan seharusnya dicontohi. Ternyata, program Siri Semarak Bangsawan yang telah diperkenalkan semenjak beberapa tahun ini, telah berjaya membuka mata dan menarik minat generasi baru terhadap pementasan bangsawan yang semakin dilupakan ini.

Selepas kejayaan teater bangsawan ‘Kemala Sakti Kesuma Ningrat’,’Jula Juli Bintang Tujuh’,’Puteri Selindungan Bulan’,’Mahsuri, dan ’Badang’ yang mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan, kini tiba giliran bangsawan ‘Sinbad – Dendam Ratu Kala’ arahan Rosnan Nordin untuk mengetengahkan naskah mereka kepada umum. Malah bangsawan ini juga menjadi naskah penutup tirai untuk Siri Semarak Bangsawan 2014.

Menariknya, teater terbitan Bangsawan Grand Opera ini JKNN ini menampilkan kakitangan dari JKKN sendiri yang terlibat di pentas. Tidak hanya pengarah, tetapi barisan pelakon dan tenaga produksinya juga terdiri daripada bakat-bakat terpendam kakitangan JKKN. Penglibatan ini merupakan julung-julung kalinya buat mereka yang sebelum ini lebih banyak terlibat dengan kerja-kerja di belakang tabir.

Bangsawan ‘Sinbad - Dendam Ratu Kala’ ini dipentaskan selama tiga hari, bermula 7-9 November 2014, di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

SINOPSIS

‘Sinbad - Dendam Ratu Kala’  mengisahkan tentang apa yang telah terjadi selepas  kematian Ratu Sheeba, anak kepada Ratu Kala. Ratu Kala ingin membalas dendam di atas kematian anaknya lalu menculik Permaisuri Jasmin sebagai tebusannya. Sinbad menjadi hilang punca arah di mana kedudukan kerajaan Ratu Kala adalah di Alam Hitam.

Dia ingin memulakan pelayaran, sementara itu dia berjanji jika tidak kembali dalam sempurnama, ayahanda saudara Jasmine Jaafar akan menjadi Sultan.  Sinbad meminta pertolongan Tiga Setan Ratu Sheeba yang mengetahui kerajaan Ratu Kala. Sementara  itu, Puteri Jasmin telah ditukar sifatnya menjadi Sheeba oleh Ratu Kala dan pelayaran Sinbad terhalang dengan kuasa sihir setelah berhempas pulas berjuang. 


[Mem-beri hibor degan chara yang ter-sendiri..]

Saturday, November 08, 2014

~ PUISI BERANTAKAN ~






TAJUK: Puisi Berantakan
KARYA: Sofia Nin
CETAKAN: Pertama (Mac 2014)
PENERBIT: Terfaktab Media
HALAMAN: 78
HARGA: RM20 

[Kacau bilau..]

Friday, November 07, 2014

~ UMUR PANJANG ~


FIKIR yang berlimpah saat memandu pulang seketika tadi telah membuat jasadku tidak duduk di asalnya. Menerawang ke sana sini hingga tersasar tumpu mata. Akibatnya, unta hitam membuat onar. Mujur Tuhan masih mahu memberi nyawa. Andai tidak, barangkali jari-jari ini sudah berhenti bercerita di sini. 

Terima kasih, kepada seorang hamba Allah yang menghulur bantu. Meski kita kenal hanya pada urus pekerjaan, kamu sudi membantu umpama aku ini di bawah tanggung jaga kamu. Dan, walau berbatu jauh pada pekat malam, kamu penuh dengan kesanggupan. Sekali lagi, terima kasih dan hanya Tuhan yang mampu membalas.

[Fungsi..]

Thursday, November 06, 2014

Wednesday, November 05, 2014

~ FUNGSI ~


FUNGSI. Setelah sepuluh tahun, dan kamu ditanyakan tentang soal itu. Soal keberadaan kamu saat perlu dan tidak. Sungguh, sel-sel otakku seketika berhenti berhubung saat soal itu menyinggah telinga. Umpama sebutir peluru yang dilepas  laju tepat tembus ke jantung.

Ya, babak yang aku lalui Isnin lalu itu masih kekal dalam hati. Meski aku cuba-cuba untuk tidak membuat ingat, namun tajamnya terlalu meluka. Sepanjang sepuluh tahun itu, sedikitpun tidak pada keberadaan susah payah?

Kata kamu, usah tertalu memberatkan soal koyak tampal ini. Ya, kali ini aku punya alasan untuk meringan longgarkannya. Memenuh mahu.

[Aku simpan ingat ini baik-2..]

Tuesday, November 04, 2014

~ DAYANG NURFAIZAH A CELEBRATION OF 15 YEARS IN MUSIC ~







AKSI solo Dayang Nurfaizah buat pertama kalinya di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) melalui konsert ‘Dayang Nurfaizah A Celebration of 15 Years In Music’ sebentar tadi ternyata mencipta sejarah yang tersendiri buat penyanyi kelahiran Sarawak ini.

Aku bukan penggemar tegarnya, namun sesuatu yang tidak dapat dinafikan tentang penyanyi ini, dia mempunyai vokal yang sangat mantap dan penuh bertenaga, Dayang tampil memukau di pentas dengan mendendangkan lebih 20 buah lagu termasuk medley lagu-lagu popularnya. Dan yang aku tahu, tidak kurang juga yang pertama kali didengar dan ada juga yang mampu buat aku ikut menyanyi di dalam hati. 

Kata Dayang, seleksi lagu-lagu yang didendangkan dia pada konsert yang julung kali diadakan ini sebahagian besarnya merupakan pilihan peminatnya sendiri. Ya, ia jadi begitu istimewa. Satu bentuk penghargaan yang penuh kesederhanaan.

Antara lagu-lagu yang bergema dan memukau hampir 900 orang penonton di dewan berprestij ini ialah ‘Erti Hidup’, ‘Hakikat Cinta’, ‘Pintaku Yang Terakhir’, ‘Mana Mungkin’, ‘Di Pintu Syurga’, ‘Seandainya Masih Ada Cinta’ serta beberapa buah lagu lagi selain medley lagu Inggeris, ‘Get Lucky’, ‘Love Never Felt So Good’ dan ‘Happy’.

Tidak ketinggalan penyanyi yang pernah tampil di pentas DFP ini bersama penyanyi Anuar Zain, dua tahun lalu ini turut tampil di segmen tribute melalui lagu-lagu seperti ‘Dari hati Ke Hati (Rafeah Buang), ‘Kau Pergi Jua’ (Adam Ahmad) dan ‘Kau Tinggi Di Awan Biru’ (Sharifah Aini). Siapa kata Dayang hanya mampu mendendangkan lagu-lagu R&B sahaja... Lagu 'Dari Hati Ke Hati' itu begitu menusuk hati. Suaranya.. 

Konsert yang diiringi barisan pemuzik hebat yang dipimpin oleh pengarah muzik terkenal, Jenny Chin ini ternyata benar-benar berjaya meraikan 15 tahun penglibatan Dayang di dalam industri seni muzik tanahair. Dia sememangnya berada di kelasnya yang tersendiri dan menjadi antara artis yag dikagumi ramai kerana kehebatan vokal dan gaya persembahannya.

Dan, pertama kali di Dewan Filharmonik yang dikatakan cukup berprestij ini.. Bukan kerana tidak punya kesempatan, cuma merasa begitu marhaen dengan kod etika pakaian dan segala macam peraturan yang digaris selama ini.

[Hanya ter-bilag jari, dan dia salah satu-nya]

Monday, November 03, 2014

~LOVE, ROSIE ~






TAJUK: Love, Rosie
KARYA: Cecelia AHern
CETAKAN: Pertama (2004)
PENERBIT: Harper Collins Publishers, London

HALAMAN: 558

[Friendship..]

Sunday, November 02, 2014

~ FESTIVAL TEATER MALAYSIA 2014 ~


Teater Alahai Menantu

Teater Iyakah Tok Janggut

Teater Penggali Intan

Teater Penjuru Empat Karma

Teater Transit Warga Tanah

Teater Vito Il Mafioso

SEMENJAK beberapa tahun kebelakangan ini, pembangunan teater tanah air dilihat semakin berkembang dan menunjukkan perubahan yang positif. Trend penerbitan juga dilihat semakin berdaya saing. Malah, kemunculan panggung dan pentas teater yang semakin banyak ternyata mendorong kepada pertumbuhan industri teater tanah air. 

Tidak hanya tertumpu kepada pentas komersial di ibu kota, aktiviti teater juga kini kembali aktif di setiap pelosok negeri. Peranan yang dimainkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam usaha untuk mengembalikan kegemilangan dunia teater ternyata menampakkan perkembangan yang positif.

Lebih menarik, JKKN juga turut mengajurkan Festival Teater Malaysia (FTM) setiap dua tahun sekali untuk memberi lebih ruang kepada penggiat teater di peringkat negeri bagi memilih naskah terbaik untuk dipertandingkan ke peringkat seterusnya iaitu peringkat kebangsaan.

Objektifnya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memartabatkan dan merakyatkan teater ke arah pembangunan masyarakat selain membawa kecemerlangan pementasan teater yang lebih berkualiti pada masa akan datang.

Menyorot kembali sejarah penganjuran FTM, festival ini telahpun mewarnai dunia seni sekitar tahun 1980’an pada ketika itu dikenali sebagai Pesta Tarian dan Drama. Pada tahun 1990, Pesta Tarian dan Drama telah dijenamakan semula sebagai Pekan Teater dengan format dan pendekatan baru yang hanya memfokuskan kepada genre teater sahaja. 

Namum demikian, sejajar dengan peredaran masa dan perubahan citra rasa khalayak teater moden, program ini telah disemarakkan lagi dengan jenama baru iaitu Festival Teater Malaysia sejak tahun 2002 hinggalah ke hari ini.

Pada tahun ini, FTM kembali menyemarakkan dunia pementasan teater dengan penyertaan 68 buah kumpulan teater  dengan naskah pelbagai genre dari seluruh negara. Namun, daripada jumlah itu, hanya enam daripadanya sahaja yang terpilih untuk dipertandingkan ke peringkat kebangsaan dan dinobatkan sebagai teater terbaik pada tahun ini. 

Enam naskah yang layak ke peringkat kebangsaan ialah ‘Alahai Menantu’ (Kelab Teater Rimba, UKM), ‘Penjuru Empat Karma’ (Persatuan Penggerak Seni Budaya, Kuala Lumpur), ‘Transit Warga Tanah’ (Kumpulan Teater Remaja Harapan, Kedah), ‘Vito Il Mafioso’ (Grup Tetaer Lab, UMS), ‘Penggali Intan’ (Persatuan Seni Persembahan Sifar, Sarawak) dan ‘Iyakah Tok Janggut’ (Anak Seni Pendidikan Kelantan).

Festival yang berlangsung pada 27 Oktober hingga 1 November ini menyaksikan sambutan yang cukup memberangsangkan daripada khalayak yang hadir. Saban malam, Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dipenuhi dengan khalayak penonton yang ‘dahagakan’ naskah teater yang mampu memberikan sesuatu kepada mereka selain elemen hiburan. 

Pada malam kemuncak, naskah ‘Penggali Intan’ yang dipersembahkan oleh Persatuan Seni Persembahan Sifar, Sarawak dinobatkan sebagai teater terbaik FTM 2014. Tampil dengan naskah yang cukup menarik, teater karya Kirdjomulyo dan arahan Abdillah Untong ini mengetengahkan tentang konflik kehidupan manusia yang penuh dengan emosi. Selain Teater Terbaik, naskah ini juga turut merangkul kategori Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik. Sementara tempat kedua pula dimenangi oleh naskah ‘Vito Il Mafioso’ dan ketiga pula adalah naskah ‘Alahai Menantu’.

Manurut ketua juri FTM, Meor Hashim Manap, kekuatan naskah yang bertanding kali ini dinilai menerusi fungsi teater itu sendiri yang bertindak sebagai medium penyampaian, selain aspek arahan dan lakonan. Ternyata masing-masing tampil dengan naskah yang berkesan dan mempunyai kekuatan yang tersendiri dalam menarik khalayak untuk mendekati apa yang cuba disampaikan melalui naskah yang terbabit.

Meski tidak disuakan dengan wajah atau pendekatan yang komersial, naskah-naskah dari aliran teater ini ternyata mempunyai tarikannya yang tersendiri. Kekuatan naskah dan persembahan para pemainnya mampu untuk menarik penonton menyaksikan pementasan mereka.

Mungkin sudah sampai masanya naskah-naskah dari kumpulan-kumpulan teater ini melangkah lebih jauh dan memperluaskan khalayak penonton. Bukan sekadar di pentas pertandingan semata-mata dengan khalayak yang terhad, sebaliknya mereka juga sebanrnya mampu untuk bergiat aktif di pentas-pentas umum dengan jumlah penonton yang lebih besar melalui jualan tiket. Sayang sekali sekiranya karya-karya menarik seumpama ini hanya dipentaskan untuk tontonan percuma dengan ruang dan peluang yang terhad.

Pun begitu penggiat-penggiat teater dari aliran ini khabarnya berdepan dengan kekangan dana untuk membiayai pementasan teater mereka. Sementelah pihak penaja dilihat lebih cenderung untuk membantu dan menaja naskah-naskah yang bersifat komersial sahaja.

Justeru meskipun mereka mempunyai tenaga produksi yang berkebolehan dan naskah yang hebat, mereka tidak mampu untuk bergerak lebih jauh. Malah pementasan mereka hanya berlegar di sekitar khalayak yang sama dan di pentas-pentas kecil sahaja.

Melalui FTM ini sendiri kita dapat melihat betapa usaha dan kesungguhan mereka dalam menampilkan naskah-naskah yang berkualiti. Tidak terarah kepada satu genre sahaja, naskah mereka lebih pelbagai dan memberi lebih pilihan kepada penonton. Malah, kebanyakan naskah yang ditampilkan ini dilihat mempunyai potensi besar untuk di kembangkan dan di persembahkan di pentas yang lebih besar.

Namun perkara itu mungkin tidak akan menjadi kenyataan sekiranya tiada pihak yang sudi memberi mereka peluang dengan menaja pementasan penggiat-penggiat teater dari aliran ini. Melalui pembiayaan dan tajaan yang dilakukan, ia secara tidak langsung menggalakkan mereka terus bergiat lebih aktif dalam menghasilkan karya yang lebih baik pada masa akan. Peranan JKKN dalam menyediakan platform untuk mereka telah diisi dengan sebaik mungkin dan kini tiba masanya pihak-pihak yang berkenaan tampil membantu mereka dengan menyalurkan dana dan seterusnya membantu kepada perkembangan seni teater tanah air.

PEMENANG FESTIVAL TEATER MALAYSIA 2014

Juara 
Teater Penggali Intan
(Persatuan Seni Persembahan Sifar, Sarawak)

Naib Juara 
Teater Vito Il Mafioso
(Grup Teater Lab, Universiti Malaysia Sabah

Tempat Ketiga
Teater Alahai Menantu!!
(Kelab Teater Rimba, Universiti Kebangsaan Malaysia)

Anugerah Khas Juri
Teater Transit Warga Tanah
(Kumpulan Teater Remaja Harapan, Kedah)

Pengarah Terbaik
Abdillah Untong
(Teater Penggali Intan)

Pelakon Wanita Terbaik
Yuhana Mohd Yusof
(Teater Alahai Menantu!!)

Pelakon Lelaki Terbaik
Malek Hassan
(Teater Penggali Intan)

Pelakon Pembantu Wanita
Haslina Hasbi
(Teater Penggali Intan)

Pelakon Pembantu Lelaki
Muhamad Nur Yusof Rosli
(Teater Alahai Menantu!!)

Pelakon Harapan Wanita
Shakirah Fikri Abazah
(Teater Alahai Menantu!!)

Pelakon Harapan Lelaki
Shafik Sofian
(Teater Vito Il Mafioso)

Sinografi Terbaik
(Teater Vito Il Mafioso)

[Teater Lantai T. Pinkie yang sentiasa segar dalam ingat..]