Thursday, October 30, 2014

~ SALAM AKHIR ~



SUDAH hampir tiga bulan dia terlantar. Dan, selama tempoh itu betapa remuknya hati isteri dan anak-anak yang melihat dia mengharungi derita itu. Setiap hari bertemankan air mata dengan doa yang tidak pernah putus akan Tuhan sembuhkan dia sebagaimana sedia ada. Harapan yang yang begitu jujur ditanam di dalam hati mereka setiap hari. 

Pada ziarahku lewat minggu kelmarin, aku sendiri menyaksikan betapa tubuh kaku lelaki lebih separuh abad ini bertahan untuk hidup. Betapa sayu perasaan mereka  yang terdekat menyaksi kesakitan ini. Hanya Tuhan yang tahu. Aku bersama-sama memanjat doa bersama mereka, agar diberikan yang terbaik untuk lelaki ini sama ada hidup atau matinya.

Dan, sekitar jam tiga petang tadi, ketika kami sibuk berkejaran dengan urus pekerjaan yan terhambat deras, ada teks yang laju memapar diri di layar skrin telefon bimbitku. "Ayah saya telah tiada, mohon dihadiahkan alfatihah untuk arwah.." Mesej ringkas penuh kejutan yang aku terima dari teman sepekerjaan yang juga satu pasukan denganku ini. Ya, mesej kedua untuk hari ini selepas ucap terima kasihnya diatas doa dan ingatanku untuk hari lahirnya yang juga jatuh pada hari ini lewat pagi tadi. 

Ya, Allah... Aku terdiam untuk satu ketika yang agak lama. Cuba untuk menghadam dengan sebaiknya. Sambil emosi tertahan untuk beberapa minit meletak diri di dalam situasi anak isteri yang 
kehilangan ini. 

Alfatihah. Sudah janjinya dengan yang diatas sana. Tidak akan terlewat atau terawal waka sesaat sekalipun. Insya-Allah dipermudahkan perjalanannya ke sana dan ditempatkan terus di kalangan orang-orang yang soleh dan beriman. Amin.

Ya Allah... Seketika aku kembali ke momen-momen terakhir perginya ayah kurang lebih 495 hari yang lalu. Moga ayahanda tenang bertamu di syurgamu ya Allah.

Untuk teman sepekerjaan ini, mohon kamu tabah menerima hal yang tidak mudah ini. Aku memahami keranapan kamu, sementelah perginya ayahandamu pada hari kamu menggenap usia ulang tahun pada hari ini. Moga Allah tabahkan hati teman yang seorang ni. Mudah-mudahan dia kuat untuk mendepani saat-saat keranapan yang begini.

Al-Fatihah...

[Dan, esok itu belum tentu kita punyaa...]

No comments: