Friday, October 17, 2014

~ ASRAMA-RA ALL STARS ~

















SEBUAH lagi teater pementasan semula yang menjadi pilihan aku untuk ditonton. Bukan kerana bintang-bintang komersial yang ditampilkan, tetapi kerana isi naskahnya yang berbeza. Teater arahan Kharunazwan Rodzy ini memberikan harapan yang berbeza kepada mereka yang menonton.

Tahun lalu, ketika dipentaskan di bangunan MARA, naskah ini hanya diterajui oleh dua wajah popular iaitu Nadiya Nisaa dan Sherry AlHadad. Pemain lainnya merupakan pelajar bengkel teater yang dikendalikan oleh produksi Revolution Stage yang juga bertindak sebagai penerbit teater ini.

Nadiya Nisaa meskipun baru pertama kali ke pentas teater ketika itu, pada aku memberikan persembahan yang cukup baik dan memberansangkan. Meskipun berlakon di pentas yang kecil dengan bilangan penonton yang terhad, dia memberikan yang terbaik dan menghidupkan naskah yang sudah sedia ada bagus itu. Begitu juga dengan Sherry AlHadad yang tentunya tidak asing di pentas teater. Aku cukup sukakan gandingan keduanya. Mereka saling memberi. Itu cerita tahun lalu. 

Dari bangunan MARA ke Kuala Lumpur Performing Art Centre (KLPAC).

Bermula semalam, teater ini dipentaskan kembali dengan penampilan yang lebih segar dan komersial. Selain Nadiya Nisaa dan Sherry Alhadad, teater ini turut menampilkan Sharifah Amani, Siti Saleha, DIra Abu Zahar, Fynn Jamal, Intan Noor Saina, Amerul Affendi dan Tuan Faisal untuk saling bergandingan. Aku kira, ia lebih kepada untuk menjual tiket dan menarik lebih ramai penonton.

Asrama-Ra mengisahkan tentang sekumpulan pelajar sekolah yang sedang menjalani kem kepimpinan di sekolah mereka, SMK Mulia, sambil diiringi oleh Cikgu Sabariah dan juga Cikgu Adam. Pada malam terakhir mereka di sana, dua orang pelajar perempuan, iaitu Suhaila dan Nabila mengalami histeria secara tiba tiba dan perkara menjadi semakin rumit apabila kejadian demi kejadian berlaku, dan Cikgu Adam dan Cikgu Sabariah juga terlibat dalam kejadian ini. Menariknya, segala yang berlaku ke atas mereka itu terbongkar melalui mimpi. Kesemua mereka mempunyai mimpi yang sama tentang perkara yang sama.

Aku sukakan persembahan mereka. Cuma aku kira jika pembahagian watak itu dibuat dengan lebih tepat lagi, pasti ia mampu memberikan hasil yang lebih baik lagi. Aku lebih sukakan Nadiya Nisaa kekal dengan wataknya sebagai Nur. Kalau tidakpun, mungkin sebagai Nabila. Aku tahu dia jika dia berada di watak itu, dia akan mengangkat watak itu dengan cara yang berbeza. Sayangnya, wataknya sebagai Suhaila kali ini tidak memperlihatkan dia kerana keberadaan watak itu sendiri.

Bagai diduga, kehadiran penonton untuk pementasan ini sangat luar biasa. Tidak lain, tidak bukan kerana barisan bintang-bintang yang ditampilkan (usah terganggung, kerana ia hanyalah pendapat peribadi aku semata-mata). Hampir keseluruhan kerusi empuk berwarna-warni KLPAC ini dipenuhi penonton. 

Kehadiran dan sambutan yang seumpamanya ini tentunya mampu memberikan energi kepada para pemainnya. Apapun, ia boleh menjadi positif dan boleh juga menjadi negatif. Apa yang tertangkap di mata dan dengarku selaku penonton semalam, sorakan dan semangat yang diberikan oleh penonton menolak para pemainnya untuk memberi lebih. Dan, hasilnya keluarlah bunyi-bunyi atau perkataan-perkataan yang mungkin tidak sepatutnya diucapkan oleh para pemainnya di pentas. Aku percaya perkataan-perkataan sebegitu tidak ada di dalam skrip naskah ini, sebaliknya ia adalah adlib pemain itu sendiri.

Apapun, Asrama-Ra adalah satu naskah yang berbaloi untuk ditonton. Pementasan yang sudah bermula semalam, 16 Oktober ini akan berlangsung sehingga 19 Oktober 2014. Semoga kita dapat meminjam cerita kehidupan yang mereka pentaskan.

[Cikgu Sabariah tetap di-hati..]

No comments: