Friday, October 31, 2014

~ TIDAK KAMU ~


JIKA kamu tidak punya sesuatu yang baik dan positif untuk dituturkan kepada seseorang yang sedang selirat kecamuknya, baik sahaja kamu memilih untuk membuat diam.

Aku mungkin tidak terkesan apa jika kamu itu bukan siapa-siapa kepadaku. Tetapi, kamu itu adalah orang yang dekat berkeliling kepadaku, yang sepatutnya mengenal payah senangnya aku.


[Rasa..]

Thursday, October 30, 2014

~ SALAM AKHIR ~



SUDAH hampir tiga bulan dia terlantar. Dan, selama tempoh itu betapa remuknya hati isteri dan anak-anak yang melihat dia mengharungi derita itu. Setiap hari bertemankan air mata dengan doa yang tidak pernah putus akan Tuhan sembuhkan dia sebagaimana sedia ada. Harapan yang yang begitu jujur ditanam di dalam hati mereka setiap hari. 

Pada ziarahku lewat minggu kelmarin, aku sendiri menyaksikan betapa tubuh kaku lelaki lebih separuh abad ini bertahan untuk hidup. Betapa sayu perasaan mereka  yang terdekat menyaksi kesakitan ini. Hanya Tuhan yang tahu. Aku bersama-sama memanjat doa bersama mereka, agar diberikan yang terbaik untuk lelaki ini sama ada hidup atau matinya.

Dan, sekitar jam tiga petang tadi, ketika kami sibuk berkejaran dengan urus pekerjaan yan terhambat deras, ada teks yang laju memapar diri di layar skrin telefon bimbitku. "Ayah saya telah tiada, mohon dihadiahkan alfatihah untuk arwah.." Mesej ringkas penuh kejutan yang aku terima dari teman sepekerjaan yang juga satu pasukan denganku ini. Ya, mesej kedua untuk hari ini selepas ucap terima kasihnya diatas doa dan ingatanku untuk hari lahirnya yang juga jatuh pada hari ini lewat pagi tadi. 

Ya, Allah... Aku terdiam untuk satu ketika yang agak lama. Cuba untuk menghadam dengan sebaiknya. Sambil emosi tertahan untuk beberapa minit meletak diri di dalam situasi anak isteri yang 
kehilangan ini. 

Alfatihah. Sudah janjinya dengan yang diatas sana. Tidak akan terlewat atau terawal waka sesaat sekalipun. Insya-Allah dipermudahkan perjalanannya ke sana dan ditempatkan terus di kalangan orang-orang yang soleh dan beriman. Amin.

Ya Allah... Seketika aku kembali ke momen-momen terakhir perginya ayah kurang lebih 495 hari yang lalu. Moga ayahanda tenang bertamu di syurgamu ya Allah.

Untuk teman sepekerjaan ini, mohon kamu tabah menerima hal yang tidak mudah ini. Aku memahami keranapan kamu, sementelah perginya ayahandamu pada hari kamu menggenap usia ulang tahun pada hari ini. Moga Allah tabahkan hati teman yang seorang ni. Mudah-mudahan dia kuat untuk mendepani saat-saat keranapan yang begini.

Al-Fatihah...

[Dan, esok itu belum tentu kita punyaa...]

Wednesday, October 29, 2014

~ YANG HANYA DALAM LINGKUNGAN ~


KAMI duduk berbual-bual dengan secawan mocha. Dia tahu aku sama bintang dengannya, Scorpio. Namun dia tidak pernah tahu akan tarikh paling tepat tentang hari wujudku. Lalu sepanjang perkenalan kami, dia akan membuat ucapan selamat kepadaku pada hari pertama dan terakhir tarikh yang berada di dalam lingkungan scorpio. Beza dia.

Sahabat ini telah aku kenal kurang lebih tujuh tahun lalu. Pernah ada yang menyangkakan  dia teman lelakiku kerana kedekatan kami. Namun hakikatnya, dari dulu sehingga kini dia hanyalah seorang sahabat yang sentiasa ada kala aku perlukan dia. Dari seremeh-remeh perkara, sehinggalah kepada hal-hal menangis aku. Dia serba tahu. Meski hanya sesekali punya kesempatan bersua, hubungan kami tidak pernah terjauh.

Sesi hari ini, kami berkongsi tentang soal yang sama. Tentang hari ulang tahun. Aku merai seminggu lebih awal daripadanya. Kata dia, setiap kali hampir tiba hari ulang tahun kelahirannya, dia seperti mahu lari. Semata-mata kerana tidak suka dirai rakan-taulan. Bukan kerana tidak menghargai, cuma baginya ulang tahun hari wujudnya itu hanya perlu dirai dengan mereka yang paling dekat, yang hanya dalam lingkungan dia.

Aghh.. betapa benarnya kata dia. Kerana aku juga punya rasa yang serupa. Memangnya scorpio mempunyai kemahuan yang seperti itu. Kemahuan di dalam hal-hal yang mungkin begitu remeh buat orang lain. Yaa, kerana kami tidak mahu mencuri tumpu. 

[Selamat hari ulang-tahon yaa AA..]

Tuesday, October 28, 2014

~ RASA HORMAT YANG RUNTUH ~


RAHSIA. Ada sebab sesuatu perkara itu perlu dirahsiakan. Atas apa jua alasan sekalipun, sesuatu yang dinamakan rahsia itu harus dipertahankan statusnya. Apatah lagi jika ia melibatkan harga diri, maruah, air muka atau yang seumpama dengannya bagi seseorang.

Soal yang satu ini, aku tiada kompromi. Malah boleh hilang hormat kepada pelaku yang bertindak serong di dalam hal ini. Tidak kira siapa dia atau 'seputih' manapun dia. Kecuali atas suatu asbab yang terpaling harus ditelan pada pilihan terakhir.

Dan, aku hari ini rasa hormatku runtuh kepada seorang yang terlihat begitu besar sisi putihnya. Meski tidak terkait aku, ia tetap mengundang rasa kurang senang. Kesal bila mana amanah yang diberikan orang kepadanya dibuka untuk selain dia tanpa ada rasa silu pada diri. Mungkin pada lihatnya, hal yang terkongsi itu tidak menjejas dirinya, lalu dia memilih untuk berlaku tidak adil sebegitu. 

Aku kira itu hal salah, apatah lagi dengan alasan remehnya yang jelas memperlihat keangkuhan diri dengan kelebihan sementara yang dimiliki. Benarlah kata orang, yang cantik itu tidak sebenarnya cantik pada dalamnya, dan yang buruk itu tidak sebenarnya buruk pada isinya.

Yaa, aku mungkin tidak mengetahui apa yang terkandung di hatinya. Atau membaca tepat apa yang ditimbang dia dalam akalnya. Namun, bukankah menjaga aib orang itu sesuatu yang terpaling harus untuk kita? 

Mungkin aku salah... Dan, Tuhan lebih tahu.

[Masing-2 ada bahagian yang telah di-tentu-kan dalam kehidopan sementara kita ini..]

Monday, October 27, 2014

~ ALAHAI MENANTU ~














ALIH. Penat menghadap deretan teater komersial yang mengisi segenap pentas teater yang wujud di sekitar ibu kota ini, aku teruja dengan mencuri kesempatan. Sepanjang minggu ini, berlangsung Festival Teater Malaysia 2014 yang menyaksikan enam buah teater dari pelbagai genre dipertandingkan di pentas Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

'Alahai Menantu', teater dari Kelab Teater Rimba UKM membuka pentas dengan penuh harapan. Isinya berat, cuma disampaikan sahaja dengan cara dan pendekatan yang ringan. Meski tidak disua dengan wajah-wajah komersial, naskah ini mampu menarik khalayak dengan caranya yang tersendiri.

Aku kira, sudah sampai masanya kumpulan-kumpulan teater dari aliran ini keluar membuka kepak mereka. Bukan sekadar di pentas pertandingan dengan khalayak yang terhad, tetapi mereka juga mampu untuk bergiat aktif di pentas-pentas umum dengan khalayak yang lebih besar. Sayang sekali sekiranya karya-karya menarik seumpama ini hanya untuk tontonan percuma dengan ruang dan peluang yang terhad.

'Alahai Menantu' yang diarahkan oleh Nuex Rosli ini mengisahkan tentang kisah Pak Usop dan Mak Bibah yang menerima perkhabaran gembira tentang kepulangan anak mereka, Judin dari London melalui surat kiriman anak tunggal mereka itu. Namun begitu, perkhabaran gembira itu diselitkan juga dengan berita bahawa Judin akan membawa pulang tunangnya dari London, seorang gadis berbangsa asing bernama Mary. Hal ini amat merunsingkan Mak Bibah yang sebenarnya telah lama memasang hajat untuk menjodohkan anaknya, Judin dengan Normah, seorang gadis kampung yang merupakan anak kepada Pak Lang dan Mak Kiah. Bagaimanakan kesudahan cerita ini? Mampukah Pak Usop dan Mak Bibah menerima Mary sebagai menantu mereka? Apa pula reaksi orang kampung dengan berita kepulangan Judin bersama tunangnya ini?

[Persepsi..]

Sunday, October 26, 2014

~ TERPALING MANIS ~


TERJAGA dari mimpi. Aku membuka mata. Mencari-cari kelibat yang bertamu sebentar tadi. Mencari-cari bau yang menusuk hidung sekejap tadi. Kiri, kanan hanya gelap. Sesekali tercelah sinar neon dari luar jendela mengarah kota Ampang. Sunyi. Sejuk. Dan, penuh dengan getar.

Ya, benar.. sudah beberapa ketika aku tidak menjengukmu di sana, ayah. Tidak juga pada Aidiladha yang lalu. Namun itu tidak bererti aku sudah berhenti merindu. Cuma kesempatan tidak bertemu dan menyebelahi aku.

Pada entri dua hari lepas tentang hari wujudku, aku juga tidak sebutkan tentang ayah. Bukan kerana aku sudah lupa akan adanya ayah dalam tempoh hidup aku itu. Aku ingat, malah terpaling ingat. Rindu yang tidak pernah ada titik henti melainkan hayatku dihujungkan Tuhan... Cuma, aku tidak mahu menangisi lagi. Aku mahu ayah tenang dan baik-baik sahaja di sana. Dan, Tuhan lebih tahu tentang itu.

Terima kasih, kerana sebentar tadi ayah datang menjenguk aku di sini. Datang melihat keberadaanku di ruang sementara ini. Datang dengan senyum paling manis sambil mengucapkan selamat hari lahir buat aku. Hanya itu yang sempat tertangkap di telangaku, atau memang hanya itu yang sempat ayah tutur jujurkan.

Sungguh, itu hadiah yang terpaling manis untuk ulangtahun kelahiran kali ini. Tidak terbanding yang lainnya.

[Semoga ayah tenang ber-tamu di-syurga-Mu ya Allah... Al Fatihah..]

Saturday, October 25, 2014

~ OKTOBER ~


TAJUK: Oktober
KARYA: Amira Atiya
CETAKAN: Kedua (June 2014)
PENERBIT: Terfaktab Media Sdn Bhd
HALAMAN: 222
HARGA: RM20


“Kadang-kadang kita terlalu meminta sehingga membuatkan manusia lain terseksa. Usah pentingkan diri sayang. Hidup ini bukan untuk membebankan orang. Jadi bersabar, bertenang dan lontarkan senyuman yang tidak nampak itu di bulan Oktober…”

[Tidak kerana tragedi..]

Friday, October 24, 2014

~ MESKI BUKAN LANGIT MERAH ~


TERIMA kasih untuk senyum-senyum manis dan tanda ingat yang terberi wahai sahabat-sahabat. Kamu tahu di mana duduk letak kamu dalam hisup singkat aku ini.

Tuhan itu maha adil. Disebalik rasa ranap tergalas, dihulurnya rasa manis yang tidak kau sangkakan. Meski bukan dari orang yang kamu harapkan, ia tetap menjadi harga yang tidak mampu dibayar jutawan mana sekalipun.

Scorpio tidak sukakan kejutan. Namun, kejutan yang satu ini akan aku kenang dengan manis. Jarang sekali aku menitiskan air mata untuk selain sebab disakiti. Namun, baru sebentar tadi ia berlaku sebalik. Seseorang yang aku kira dari kenalan yang biasa-biasa sahaja telah melakukan sesuatu yang diluar jangkau akalku. Hanya Tuhan yang mampu membalas kasih sayang kamu itu.

Ya, kita sering mengharapkan hal yang manis dan doa yang ikhlas dari mereka yang paling dekat dalam hidup seharian kita. Namun ia sering terjadi sebalik, bukan..

Meskipun langit merah tidak kesampaian... Ermm...

[Se-kali lagi terima kaseh atas kaseh sayang..] 


Thursday, October 23, 2014

~ HARI WUJUD ~


23 OKTOBER. Alhamdulillah, Tuhan masih berikan aku kesempatan untuk terus bernafas dan menikmati segala apa yang diciptakan ini. Semoga aku tidak terarah kepada sesuatu yang mensia-siakan dalam hidup singkat ini. Dan, insya-Allah  didatangkan kepadaku manusia-manusia yang jujur dalam berkasih sayang... Mudah-mudahan Tuhan setuju. Amin. 

Terima kasih juga untuk ibu kerana memberikan aku hidup. Menjadi penyebab wujudnya aku di dunia ini. Menjaga dan melindungi aku dari segala yang memudaratkan. Malah menjadikan aku manusia sebagaimana keberadaan aku hari ini. Meski tidak sesempurna yang ibu mahukan, aku berharap mampu membahagiakan ibu, insya-Allah.

Tiada apa yang lebih manis dan bahagia, melainkan kasih sayang yang hadir dalam hidup sementara ini. Tidak hanya dari keluarga, malah sahabat-sahabat dekat yang Tuhan pinjamkan sementara untuk menjadi sebahagian dari hidupku. Aku sudah merasa cukup dengan yang ada ini, dan tidak lebih. Terima kasih atas doa dan ucap ingat yang manis itu. 

Juga untuk kamu, lelaki sepet. Kamu sudah terlalu cukup untukku.

[Terima kaseh sahabat mei..]

Wednesday, October 22, 2014

~ RASA YANG LELAH ~


AKU lelah mengadap rasa dipermudah-mainkan. Entah di mana agaknya duduk nilainya aku, kalau melihat kepada cara keberadaannya membuat tingkah. Berkali aku cuba untuk membuat tidak peduli atas rasa mengerti, tetapi hujungnya tetap berakhir serupa.

Dua hari lalu, tanpa ada asbab mampu dihadam aku, amarahnya terhambur menurut mahunya. Hanya dengan sedikit silap menyusun kata, dia membuat senyap semahu tempohnya. Cukup rasa peramnya, dia datang seolah tiada apa yang berkocak. Dan berharap orang lain juga juga berkeadaan serupa.

Meski pada awalnya, aku tidak mahu membuat peduli, namun hujungnya aku mengalah juga. Kerana aku tidak mahu menjadi seperti dia. Biarpun dalam nada yang tidak seperti biasa, sekurang-kurangnya aku tidak mengulang.

[Ber-henti-lah..]

Tuesday, October 21, 2014

~ LANGIT TUMPAH ~
























HUJAN. Terlalu dekat dengan rasa. Mudah mengerti saat ranap dan sangat indah kala bahagia. Detap bunyinya sentiasa jadi lekat untuk hati. Justeru, setiap kali langit tumpah, aku sering ada mahu untuk merakam momen.

[Aku ingin ber-jalan di-deras-nya langit tumpah agar tidak ada yang tahu aku sedang menangis..]

Monday, October 20, 2014

~ EKSOTIKATA ~






TAJUK: Eksotikata (Musim Dua)
CETAKAN: Pertama (2014)
PENERBIT: Eksotikata Event Management
HALAMAN: 135

HARGA: RM20

[Meng-harap sesuatu yang baru pada acara Eksotikata 1 November ini..]

Sunday, October 19, 2014

~ KOLUMPO KITA PUNYA ~










RAMBANG mata. Acara yang dinamakan Kolumpo Kita Punya ini menyaksikan banyak gerai-gerai buku indie yang tidak di pasaran semasa mengisi ruang. Pelbagai rupa dan isi. Atas inisiatif anak-anak muda yang sayangkan seni, acara seumpama ini semakin mendapat ruang perhati.

Dan, selain lambakan buku-buku yang menarik itu, aku tentunya ke acara ini kerana mahu mendengar dan menyaksikan persembahan puisi daripada wanita berjiwa angkasa, satu-satunya Fazleena Hishamudin dengan lasykarnya. Larut dengan deretan puisi hatinya yang terkongsi. Sentiasa merasa seperti pertama kali mendengar puisinya meski lebih daripada itu.

[Terima kaseh sahabat june yang menerima paksaaan untok mem-buat ikot ke-acara ini..]