Wednesday, September 03, 2014

~ KETAKUTAN ~



BEBERAPA ketika aku berdiam diri tanpa meluncurkan sebarang kata. Menarik nafas panjang sambil berusaha mencari perkataan terbaik untuk menyenangkan hatinya. Aku benar terkejut dengan perkhabaran yang dia kongsikan. 

Sungguhpun aku senyap tanpa kata, dalam getar dia masih berkongsi tentang kenyataan yang harus digalasnya sebaik sang doktor menyampaikan tentang penyakit tidak terduga yang dihidapinya itu. Lebih membuat debar, dia bakal menjalani pembedahan pada Sabtu ini.

Tuturnya jelas. Satu-satu dia butirkan agar aku mendapat gambaran sebenar situasi yang dia hadapi. Meski nadanya sedikit dalam getar, aku dapat merasakan betapa kuat dan tabahnya dia. Positif, meski dia sendiri gentar dengan apa yang bakal dilaluinya Sabtu ini.

"Orang yang baik-baik, memang sering diuji Tuhan..."

Tiba-tiba aku menuturkan kata-kata itu. Bukan sekadar mahu menyenangkan hatinya, tetapi itulah kenyataan yang sering sahaja bertemu aku. Sahabat yang seorang ini juga aku sifatkan sebagai antara manusia-manusia baik yang ditakdirkan Tuhan berkeliling aku. Dan, hari ini dia diuji keras.

Mengenalinya masih dalam tempoh yang sekejap, tetapi persahabatan yang terjalin ini umpama sudah bertahun mengikat kasih saudara. Dia adalah manusia yang paling menghargai pernah aku kenal. Biar sedikit kebaikan atau kesenangan hati yang kita suakan, sampai bila-bila akan dikenang sebut dia. Sehingga kita pula yang malu sendiri bila mengenangkan apa yang terberi itu tidaklah seperti mana.

"Seumur hidup saya tak pernah masuk hospital dan operation. Takut dia lain macam. Tapi, insya-Allah... Allah ada kan. Saya nak spread positivity je awak. Saya tak nak orang tahu. Just kawan-kawan rapat.."

Aku hampir mahu menangis. Tidak tahu apa yang sedang bermain di hati, tetapi aku seperti turut sama merasai ketakutan itu. Ya, Allah.. aku mohon semoga sahabat yang seorang ini dilindungi dan dipermudahkan uji duganya. Mudah-mudahan dia segera sembuh dan boleh terus berkongsi kebaikannya kepada manusia lain. Amin.

[Dan, sudah tentu perancangan dari Tuhan itu jauh lebeh baek dan semporna..]

No comments: