Tuesday, September 30, 2014

~ JALAN ~


KITA saling belajar tentang kehidupan. Merah, biru, hijau kuning, putih... dan jangan dilupakan hitam juga adalah warna yang wujud.

Belajar kita tidak hanya dengan buku, tidak sekadar dengan cerita, bukan juga terikat kepada pesan dan tutur, tetapi ia lebih daripada itu.

Hari ini, ada suatu jalan yang telah terbuka. Mudah-mudahan Tuhan setuju. 

[Terima kaseh sahabat mei..]

Monday, September 29, 2014

~ HIKAYAT CINTA DI PEMATAH HATI ~






TAJUK: Hikayat Cinta Si Pematah Hati
KARYA: E-Man Sufi
CETAKAN: Kedua (November 2012)
PENERBIT: Karya Seni Sdn Bhd
HALAMAN: 1050
HARGA: RM35.00

[Me-minjam..]

Sunday, September 28, 2014

~ KETIGA DALAM HIDUP ~


AKHIRNYA yang paling aku takuti terjadi juga. Dan, aku sering sangkakan, kedegilanku mampu menampung kudrat yang sekerat ini. Malangnya tidak.

Dalam sejarah hidup, aku hanya pernah dua kali menjadi penghuni rumah sakit. Kali pertama, ketika masih di bangku sekolah kerana sakit yang aku punya. Kali kedua dan yang paling panjang tempohnya, ketika dalam pengajian di universiti. Berdepan dengan kemalangan di depan kolej kediaman, di dalam kampus. Hampir sebulan aku terlantar di Pusat Perubatan Univerisiti Malaya dan menjadi penghuni katil yang entah berapa kali menerima kematian ketika itu. 

Itu kali terakhir. Selebihnya hanya ulang alik biasa bagi memenuhi keperluan sedia ada yang sudah terikat bertahun lalu.

Seminggu dua kebelakangan ini, sememangnya kesihatan diri tidak begitu baik. Dengan masalah yang berkeliling membuat damping, dengan asak kiri dan kanan yang membuat tekan, juga sakit sedia ada yang sesekali mahu datang membuat jengok (barangkali).

Semenjak Khamis, aku sudah dapat merasakan kondisi diri yang sedikit luar biasa. Petangnya, aku terpaksa mengadap sesi dengan sang doktor, Tidak seperti biasa di mana aku hanya perlu membuat ujian ulangan yang ringkas, kali ini tidak. Berlebih dari biasa. Malah aku diminta untuk kembali datang pada Selasa depan. Pulang dari sesi itu, aku tidak mengambil pusing langsung kerana aku sudah terbiasa mendengar kata-kata ingat, pesan, ancaman dan sebagainya. Sesi ulangan, tiada apa yang baru. 

Namun seawal membuka mata pada pagi Jumaat, kondisi diri bertambah tidak selesa. Namun, aku yang penuh kedegilan ini, tetap ke lantai pekerjaan. Nah sepanjang di lantai pekerjaan, aku langsung sudah tidak punya energi. Mata kabur, kepala seperti bergentayangan. 

Sekitar jam dua, kondisi semakin menakutkan diriku sendiri dan aku mengaku kalah. Pada perkiraan aku, selepas pulang ke rumah dan mengambil rehat untuk sedikit waktu, ia akan kembali seperti biasa. Malangnya, kali ini ia tidak berlaku seperti itu. Sebaik sahaja membuka mata, sedar-sedar aku sudah berada di katil rumah sakit dengan berselirat wayar di sini dan sana. Owhh.. 

Apapun, terima kasih buat sahabat yang sudi ada pada saat-saat sukar aku ini. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas budi baik. Dan, ada seorang hamba Allah yang telah membuatkan aku menitiskan air mata  petang Jumaat lalu. Terima kasih atas rasa peduli itu walaupun aku tidak tahu daripada mana tahunya tentang apa yang terjadi ke atasku ini. Hal yang terlalu mahal walaupun untuk tanya khabar yang mudah.

Sepanjang malam pertama di sana, aku langsung tidak mampu melelapkan mata. Sepanjang hari kedua di sana, aku langsung tidak mampu mengisi perut. Sepanjang awal pagi hari ketiga di sana, aku bergelisah kerana takut dilanjutkan hari untuk meneruskan rutin menyeksakan itu untuk hari keempat.

Alhamdulillah, aku masih mampu hidup seperti biasa. Insya-Allah... selagi diizinkan Tuhan. Awal pagi tadi, sekitar jam 10.00, aku dibenarkan keluar (atau mungkin lebih tepat, meminta diri untuk keluar). Menurut mereka di sana, aku sepatutnya dilepaskan pada hari Isnin. Namun disebabkan pelbagai janji manis yang aku tutur, aku dibenarkan melangkah keluar pada hari ini. Isnin esok aku hanya perlu kembali untuk sedikit ujian ringan dan pemeriksaan ringkas untuk melengkapkan prosedur.

Ya, cerita petang Jumaat yang langsung tidak terjangkakan.

[Lubang-2 halos menyentap urat saraf maseh te-rasa sa-hingga saat ini...]

Friday, September 26, 2014

~ SELIRAT DAN SERATUS ~














PULANG dari menjalani medical checkup lewat petang tadi, aku membuat singgah ke sini. Bukit Monyet Taman Tun Abd Razak, Ampang. Tempat selalu membuang resah. Serabut.

[Senyap dalam bingar..]

Thursday, September 25, 2014

~ KONSERT CLASSIQUE - KOIR KEBANGSAAN MALAYSIA ~











TAMPIL dengan konsep dan tema yang berbeza setiap tahun, persembahan Koir Kebangsaan Malaysia sentiasa mencuri perhati. Jika tahun lalu, persembahan mereka berkonsepkan Kembara Muzikal Teater dan Filem, kali ini mereka memilih tema klasik.

Di bawah pimpinan pengarah persembahan merangkap juru vokal, Syafinaz Selamat, persembahan mereka dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama menyaksikan rangkaian lagu-lagu klasik popular dalam bahasaInggeris dan bahagian kedua pula menjurus kepada lagu-lagu klasik trasional Melayu.

Tahniah untuk kesemua yang terlibat. Kali ini kelihatan banyak muka-muka baru yang tidak pernah dilihat pada persembahan sebelum ini. Apapaun, semoga pasukan Koir Kebangsaan ini terus suksek dan meraih kejayaan bukan hanya di tanah air sendiri tetapi juga pada masyarakat luar.

[Hanyot dengan lagu Mozart yang sunggoh men-jadi terapi,, ]

Wednesday, September 24, 2014

~ TEATER BANGSAWAN BADANG ~

















PADA suatu kesempatan yang jarang sekali diperoleh. Semenetelah generasi muda hari ini lebih cenderung kepada pementasan komersial. Tahniah untuk JKKN yang sentiasa mengerah usaha untuk memperkenalkan dan mendekatkan khalayak hari ini dengan teater bangsawan.

[Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur]

Tuesday, September 23, 2014

~ KEHILANGAN ~


SEORANG demi seorang tampil ke depan berkongsi rasa hati mereka. Satupun tidak aku kenali wajah mereka. Namun aku sangat percaya segala apa yang keluar dari mulut mereka semua. Sedikitpun aku tidak terkalih dengar, apatah lagi untuk berganjak dari kerusi kayu nipis yang disusun penuh hingga ke hujung pagar berbayang cahaya suram itu.

Benar, setiap kali diminta untuk berkata sesuatu tentang seseorang yang telah pergi meninggalkan kita, pasti sekali hanya hal-hal yang positif sahaja terluncur dari bibir. Malah terkadang kita menokok tambah untuk menyedapkan cerita dan penghargaan kepada si mati.

Namun, entah kenapa untuk setiap yang aku dengari hari ini, di majlis peringatan untuk mendiang uncle Pete aku terasa benar akan ikhlas luah rasa tetamu yang hadir ini. Apa yang mereka kongsikan tentang mendiang, tiada satupun yang aku diragui. Manakan tidak, segala kebaikan mendiang yang mereka katakan itu memang benar wujud sepanjang aku mengenali mendiang. Malah itu jugalah yang bermain di kepalaku saat mengenang mendiang ketika hayatnya.

Ternyata mendiang sewaktu hidupnya begitu disenangi dan memberikan hal-hal yang positif kepada banyak orang. Lalu perginya begitu dirasai, kehilangannya begitu ditangisi. Dan, aku tidak terkecuali. Meski aku bukan siapa-siapa untuknya, tetapi perkenalan dan persahabatannya dengannya amat-amat aku hargai.

Di hujung majlis, ketika mahu meminta diri untuk beredar, isteri mendiang menghampiriku. Menarik aku untuk duduk di suatu sudut sementara tetamu lain sibuk berbual sesama mereka. Aku tidak begitu mengenali wanita separuh abad ini. Hanya pernah bertemu sekali, ketika dijemput menghadiri majlis makan-makan mereka tahun lalu. 

Wanita ini membuka cerita. Cerita yang tidak pernah menjadi topik perbualan antara aku dan mendiang sepanjang umur mengenalinya. Katanya, dia dan mendiang pernah bercerai ketika tahun keempat perkahwinan mereka. 

Menurut isteri mendiang  yang dikenali sebagai auntie Jane ini, dia seorang yang begitu mendominasi dalam perhubungan mereka. Sementelah dari segala sudut dia mempunyai kelebihan yang jauh mengatasi mendiang. Baik dari segi rupa paras, kerjaya, pergaulan dan sebagainya. Kepunyaan-kepunyaan itu mungkin secara tidak langsung telah membentuk dirinya sebagai seorang yang sentiasa mahu dirinya didengarkan dan dipenuhi kehendak. Malah dia turut berasakan betapa bertuahnya mendiang memilikinya.

Namun, semakin bertambah tahun perkahwinan mereka, semakin kurang bersefahaman yang mereka perolehi. Saat timbul sesuatu masalah, dia sering menuntut mendiang untuk memahami dirinya seadanya. Mengungkit tentang ikrar perkahwinan mereka yang mana setiap pasangan itu harus menerima kekurangan dan kelebihan pasangannya. 

Ikrar itu dijadikan lesen untuknya menghalalkan segala 'kejelekan' yang diperlakukannya sama ada secara sengaja atau tidak. Dek sifat mendiang yang tenang, bertolak ansur dan positif itu, segala lakunya diterima dengan berlapang dada meski sesekali wujud pertengkaran tentang itu.

Sehingga tiba pada satu masa, lelaki yang dia sifatkan sebagai seorang yang penyabar dan sanggup berkorban apa sahaja untuknya itu mengusulkan perpisahan. Bukan kerana mendiang mempunyai cinta baru dengan wanita lain, ataupun auntie jane sendiri  bermain kayu tiga, tetapi kerana telah wujudnya satu perasaan di dalam hati mendiang yang merasakan dirinya tidak lagi diperlukan.

Meski sedikit terkejut dengan apa yang disuarakan oleh mendiang, auntie jane bersetuju kerana ketika itu dia merasakan hidupnya tidak terkesan apa dan tetap berlangsung biasa. Mereka membawa haluan masing-masing. Mendiang keluar dari rumah kelamin yang mereka diami dan bertukar tempat kerja. Hilang jejak tanpa sebarang tanda.

Pada bulan pertama perpisahan mereka, auntie jane menjalani rutin yang tidak terkesankan apa. Sementelah dia sentiasa dikeliling rakan dan kenalan yang sentiasa memenuhi hendaknya. Tidak ada yang terkurang pada fikirnya. Namun pada hujung bulan kedua, ketiadaan mendiang mula terserap dalam hatinya. 

Perasaan yang mula datang apabila dia menyedari sebanyak manapun manusia yang berkeliling memberi senyum kepadanya, tidak pernah ada yang bersanggup korban dan menerima adanya dia sebagaimana yang dilakukan mendiang. 

Pada saat rasa kehilangan datang itulah dia mula belajar untuk menghargai apa yang dipunyainya. Barulah ada rasa sedar dalam dirinya betapa banyak perkara yang mendiang lakukan untuknya sedangkan terlalu sedikit balasan balik yang diberikan untuk mendiang.

Sayang kepada perhubungan manis yang ditakdirkan Tuhan dalam hidupnya itu, auntie Jane tekad menjejak mendiang. Dan ia tentunya tidak mudah. Hanya setahun selepas itu barulah dia kembali bertemu mendiang atas bantu bekas rakan-rakan sekerja mendiang. Mereka berkahwin semula dan dikurniakan dua cahaya mata penyeri hidup.

Lalu saat rakan-rakan dan ahli keluarga terdekat cuba menenangkan dan memberi kata-kata semangat buatnya agar tabah menerima pemergiaan abadi mendiang ini, auntie jane hanya tersenyum.

"Saya relakan pemergiannya ini dengan hati yang senang. Kerana sebelum ini saya telah pernah kehilangan dia dan kehilangan itu lebih memeritkan berbanding yang ini. Ketika itu saya kehilangan dia dengan sengaja. Kehilangan yang terjadi kerana sikap dan ketidakpekaan saya kepada kasih sayang serta pengorbanan orang lain. Kehilangan yang saya boleh elakkan, tetapi saya tidak berbuat demikiam.

"Kehilangan hari ini adalah bebeza. Kehilangan ini adalah suatu destinasi yang telah ditentukan untuk semua orang. Kita tahu akan tiba waktu ini tanpa mampu kita tahan atau halang. Saya sedih dengan kehilangan dulu kerana saya tidak menghargai dia, tetapi kali ini perasaan saya berbeza kerana saya kehilangan dia ketika dia tahu dia memang dimahukan dalam hidup saya dan anak-anak.

"Pesan saya pada kamu, pastikan kita tidak kehilangan apa-apa sahaja yang telah kita sedia punyai dengan sengaja. Jangan dekatkan diri dengan perkara yang boleh mendekatkan kita kepada kehilangan, melainkan kehilangan abadi yang telah tertulis dalam takdir..."

Itu antara isi tutur wanita separuh abad yang masih manis pada usianya ini kepada aku ahad lepas. Sangat terkesan. Mungkin ada antara baitnya yang tertinggal, tetapi kurang lebih, begitulah maksud yang dapat aku fahami darinya.

Dan, tentunya cerita kehidupannya begitu terkongsi.

[Rest in peace buat uncle pete..]

Monday, September 22, 2014

~ SENYAP ~


LELAKI sepet ini sebenarnya seorang yang memahami. Namun entah kenapa lewat hari semalam dia bertindak sebaliknya. Ya, buat kesekian kalinya kami berselisih kata tentang soal yang sama. Soal tsunami sahabat dekat yang seorang itu sungguh membuat ganggu kepada dirinya. 

Aku yang gagal menutup rasa pecah yang bertakung berat di hati dan fikir. Lalu dapat dihidu dia. Meski tidak aku kongsikan tentang tsunami itu secara jelas, namun sebagai manusia dekat yang tahu membaca aku, pasti sahaja dia mampu melihat keluarbiasaan sikap yang tanpa sengaja telah aku tunjukkan.

Oh Tuhan... semoga aku ini ditetapkan sabar dan sentiasa mendahulukan akal.. amin.

[Pecah..]

Saturday, September 20, 2014

~ TANDA SEPULOH ~


DAN, akhirnya aku menerima seadanya keberadaan diri. Berbahasalah seindah manapun, beranalogilah sehalus manapun, bertimbanglah sebanyak manapun... harganya tetap tidak pernah ada.

Lalu, beginilah akhirnya.

[Harga..]

Friday, September 19, 2014

~ SEBUAH KEPEDULIAN ~


AKU melalui hari yang begitu memenatkan hari ini. Penat fizikal, mental, hati dan perasaan. Syukur masih berpeluang punya nafas untuk melihat dunia ajaib Tuhan ini. 

Sepanjang minggu ini keadaan kesihatan tidak begitu baik. Punca biasa yang sudah aku lalui sejak bertahun dulu. Mungkin juga kembali menyapa dek kerana kekalutan fikir dan amarah galak yang diacah-acah kepadaku semenjak kebelakangan ini.

Sehingga saat jari-jari ini bercerita di ruang ini, kurang lebih 42 jam aku masih berjaga tanpa lelap. Sepanjang malam tadi, aku langsung tidak dapat meletak lena. Mata langsung tidak mahu katup biar cuba dipujuk dengan gelap. Akhirnya ia berkesudahan dengan aku bangkit mengira bintang di langit dari celahan jendela yang memapar neon kota Ampang.

Sudah lima hari kakak di luar daerah dan selama itu juga aku bertangguh untuk bertemu lelaki berkaca mata dengan seragam putih itu. Namun dek kerana hari ini, fizikal sudah tidak mampu menampung diri, awal pagi tadi aku terpaksa suakan diri dengan rela. Berpuluh gula-gula pelbagai warna dan bentuk dibekalkan kepada aku dengan seribu satu pesanan (yang mana satupun tidak aku rasa mahu membuat peduli).

Usai urus terpaksa itu, (dengan tangan yang masih kebas dan berbekas lubang halus itu), aku bergegas untuk ke rumah keluarga mendiang Uncle Pete untuk memberikan penghormatan terakhir. Bertemu wajah-wajah sugul yang tidak sanggup untuk hadap wajah mereka.

Entah kenapa berat sungguh perasaan ini membuat hiba. Berbaur pecah mengingat saat pergi ayah pada empat ratus lima puluh empat hari yang lalu. Masih basah dan masih jelas segalanya. Lalu, situasi serupa hari ini, aku tidak mampu berlama. Sengaja tidak mahu membilang manisnya  momen sangat mendiang masih ada.

Usai membuat perlu, aku menghala unta hitam ke lantai pekerjaan. Sungguhpun fikir begitu sarat dan hati penuh emosi, aku tiada pilihan untuk menyelesai urus kerja berbaki yang punya tarikh mati ini. Sepatutnya sebelum jam 10 pagi tadi, aku perlu melunas siaga. Namun, entah dari mana datangnya ketidakpedulianku tentang itu. Aku memaksa diri menyudahkankan seada-ada. 

Kurang lima jam selepas itu, aku sudah di ruang bilik  di rumah mengadap dinding putih kosong yang lapang. Telefon tiba-tiba bimbit bergetar memberi isyarat beberap kali. Hanya kali pada kali kelapan menyapa, barulah aku menjenguk lihat. Tertera pesanan ringkas agar aku ke parkir Kayu Petronas dengan segera. Tidak diendah soalanku yang bertanyakan apa ada urusan yang mendesak untuk pesan yang tiba-tiba itu.

Melihat sungguh nada yang diberi, aku bergegas ke sana meski kemalasan benar-benar menguasai diri. Sementelah urat-urat yang ditusuk jarum tajam pagi tadi sudah mula membengkak memberi reaksi. Aku hanya fikir mahu meletak lena.

Tiba di tempat yang dijanjikan ini, sahabat yang mudah pecah hati ini menghulurkan beg kertas hitam pekat. Mengintai ke dalam, terserlah aroma charkue tiaw mencucuk hidung. Aku pandang dia sambil menggelengkan kepada. Dia angguk sambil sengih. Meminta aku agar pulang segera, dia tidak memanjangkan bual. 

Begini. Siang tengahari tadi, saat aku bertempiaran di  menara berkembar tanpa tuju, aku dan sahabat dekat yang bintangnya saggit ini berlaga bahu  pada satu laluan. Namun, bual kami tidak panjang, kerana aku meminta diri lebih dulu untuk bergegas ke lantai pekerjaan. Sebenarnya itu hanyalah alasan. Aku cuma tidak mahu dia menghidu emosi berat yang jelas terlihat pada wajah dan sosok diri ketika itu. Tidak mahu ditanya-tanya.

Namun, sahabat dekat yang seorang ini mudah membaca aku. Meski tidak aku tuturkan satu perkataanpun tentang kecamuk diri, dia begitu perasa. Tajam deria hatinya untuk hal-hal seperti itu. Disebabkan dia tidak pernah tahu akan duduk lokasi kediamanku, dipanggilnya aku ke Kayu Petronas itu demi sebungkus char kuetiaw panas milik Mailis Corner. Dan, yaa.. dia seperti ditahunya aku belum menjamah apapun dari semalam. Tujuannya hanya itu??

Suatu hal yang mungkin remeh untuk sesetengah orang. Tetapi rasa kepedulian ini membuat aku rasa dimahukan. Sahabat yang ada bila mana kita benar-benar perlu. Tanpa perlu meminta, tanpa perlu menjelas segala. Jika dia benar dekat dalam persahabatannya, pasti dia punya rasa kepedulian ini.

Alhamdulillah, disebalik rasa berat yang terkendong hari ini, hati disenangkan dengan tingkah sahabat yang mahu ada ini. Semoga, aku juga mampu berlaku serupa kepada dia dan manusia kelililing yang yang mahu aku ada.

[Lelap-lah wahai mata..]

Thursday, September 18, 2014

~ ADA DALAM HATI ~


TEPAT jam 11.56 minit tadi, kami telah kehilangan seseorang yang begitu mulia hatinya, Uncle Pete. Setelah koma selama dua hari, mendiang akhirnya meninggalkan segala yang dia punya di dunia ini.

Aku hilang kata dan terduduk menerima kejutan yang langsung tidak terfikirkan ini. Lelaki lebih separuh abad yang sering meminjam semangat positifnya kepadaku selama ini telah pergi dengan senyuman manisnya. Tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal.

Saat ini, aku termangu-mangu melayan kosongnya fikiran. Tidak tahu mahu bereaksi apa dan mengingat apa. Kehilangan..........................................................

Seringkali datang dengan jiwa pedih.


[Ada dalam hati..]

Wednesday, September 17, 2014