Tuesday, July 08, 2014

~ RAMADAN SEPULUH ~


RAMADAN tahun lalu, aku banyak menghabiskan masaku dengan sahabat Mei. Jika tidak sempat meluang waktu untuk secawan mocha, kami akan membuat bual panjang di hujung talian. Dia sentiasa punya cerita, sentiasa ada yang ingin disoalkan untuk meminta buah pandangan. Tidak kira jam satu pagi atau empat pagi, dia tahu aku sentiasa ada untuk mendengar.

Paling membuat ingat, Ramadan tahun lalu juga kami pernah bersahur di tempat cuci kereta. Dari Coffee Bean ke Kedai Mamak, ceritanya masih tidak habis. Hal-hal serius yang sering diseriuskan dia. Lalu aku menjadi pendengar. Aku mungkin tidak banyak membantu membuat selesai, namun mungkin dia mahu aku mendengar.

Jam empat pagi. Cerita masih belum selesai. Lalu dia memutus untuk memandikan keretanya yang sudah comot rupa itu. Mengejar detik jam imsak, kami memutus untuk bersahur di tempat cuci kereta itu. Kebetulan makanan yang dibungkus untuk dibawa pulang masih panas dengan aroma. Lalu di tepi jalan berdepan Flamingo Hotel mengadap ke lebuhraya MRR2 itu kami menyempurnakan sahur kami. 

Sang pencuci kereta yang separuh mamai itu beberapa kali menoleh kami penuh kehairanan. Pelik barangkali dengan sikap selamba sahabat Mei itu. Sementelah wajah 'passportnya' itu dikenali ramai orang. Tetapi bagai selalu, sahabat yang namanya tersohor di dada akhbar ini tidak mempeduli akan itu. Sepanjang mengenalinya, dia sememangnya seorang manusia yang sangat sederhana.

Aku rindukan itu. Rindukan dia juga. Entah apa khabarnya dia pada Ramadan kali ini.

[Semoga ada yang men-dengar..]

No comments: