Tuesday, July 29, 2014

~ RAI ~



AIDILFITRI
by misha omar

Kini tiba masanya berhari raya
Muslimin dan muslimat sembahyang bersama
Menyembahkan diri pada yang kuasa
Bermaaf dan maafan di antara kita

Sesudah bersembahyang di pagi hari
Menziarah pusara kaum keluarga
Bunga ditabur doa pun dibaca
Mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat

Selamat hari raya hari mulia
Dari hati ke hati kutujukan kata
Untuk ayah bonda dan juga keluarga
Putera puteri negara di sempadan sana

Allah Allah Allahu Akbar
Kepada suaminya yang dikasihi
Maaf zahir dan batin mohon si isteri
Kalau salah terkasar bahasaku

Ampun dan maaf kekanda yang dinda harapkan
Kepada kekasihku yang baik budi
Bimbingan dan panduan selalu diberi
Kalau kusalah silap kau maafkan

Mudah-mudahan kita akan berkekalan
Allah Allah Allahu Akbar

[Kurung merah..]

Monday, July 28, 2014

~ SALAM AIDILFITRI SELURUH DUNIA ~


ALHAMDULILLAH... Bertemu kembali 1 Syawal (1435H) untuk kesekian kalinya. Semoga lebaran ini memberi seribu makna buat kami sekeluarga.

Selamat hari raya ayahanda. Kami tahu ayahanda sedang menyaksikan kami hari ini. Sentiasalah lindungi dan rindui kami semua di sini. Ayahanda sentiasa di hati.

Meski serba sederhana, kami merasa raya ini cukup sempurna. Asal sahaja dapat berkumpul dan bertemu mata dengan keluarga tercinta, syurgalah jadi rumah kami. Mudah-mudahan kasih sayang ini terus kekal berpanjangan selagi hayat dikandung badan.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.

[Ketupas palas, lemang dan rendang maseh men-jadi yang per-tama..]

Sunday, July 27, 2014

~ RAMADAN DUA PULUH SEMBILAN ~


KEMAAFAN. Dan, tiada apa yang lebih manis dan membahagiakan selain daripada itu. Pada hari terakhir Ramadan ini, aku benar-benar merasa tentang itu. Menyerap sejuk menutup segala ranap yang pernah dirasa. Terima kasih Tuhan, terima kasih hati.

[Dan, me-nanti 1 Syawal..]

~ BUKAN KERANA AKU TAK CINTA ~




TAJUK: Bukan Kerana Aku Tak Cinta
KARYA: E-Man Sufi
CETAKAN: 1, 2, 3, 4, 5, 6  & , 7 (2013), 8 & 9 (2014)
PENERBIT: Karya Seni Sdn Bhd
HALAMAN: 627
HARGA: RM24.00


“Cinta itu hadir kerana perkenalan, Bersemi kerana perhatian, Bertahan kerana kesetiaan. Namun cinta itu bias gugur kerana satu kebohongan..

[Tuhan lebeh tahu..]

Saturday, July 26, 2014

~ RAMADAN DUA PULUH LAPAN ~



INSYAALLAH, seandainya tidak berhalang pada hal yang menjadi aturan, Isnin nanti kita semua akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, 1 Syawal 1435H.

Lalu hari ini, seawal jam 10 pagi, aku dan kakak meninggalkan hiruk pikuk kota dan menghala ke pantai timur semenanjung tanah air untuk meraikan hari kebesaran dan kemenangan kita itu bersama keluarga tersayang. Kalau mengikut perkiraan lazim perjalanan kami, pada jam tiga petang seharusnya kami sudah tiba di muka depan rumah ibu. 

Namun hari ini, ia tidak berlaku sedemikian kerana perjalanan kami agak panjang dari biasa. Tidak pada jam tiga, tetapi pada hujung hari saat tarikh mahu bertukar ganti, pada waktu jarum jarum mahu tegak di angka dua belas tengah malam, barulah kami tiba di perkarangan rumah ibu.

Alhamdulillah, selain perjalanan yang terlalu panjang selama kurang lebih empat belas jam itu, kami semuanya baik-baik. Tuhan permudahkan kami untuk perjalanan ini. Apapun, pengalaman ini menjadi yang pertama kali buatku sepanjang beberapa tahun memandu sendiri sendiri untuk pulang ke kampung halaman. Empat belas jam, dan aku memandu secara terus-menerus tanpa ganti dan henti.

[Cherita empat belas jam..]

~ RAMADAN DUA PULUH SATU ~






TAJUK: Titik Ke Titik, Hujan
KARYA: Ariff Mohamad
CETAKAN: Pertama (2013)
PENERBIT: Insititut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad
HALAMAN: 43.00

HARGA: RM15.00

[Perasaan yang endah..]

Friday, July 25, 2014

~ RAMADAN DUA PULUH TUJUH ~


TERAGAK-agak, antara mahu dan tidak meneruskan kelaziman saban tahun. Bukan kerana masih ada marah, tidak juga kerana ego bertunggu-tangga, tetapi wujud rasa tanya yang tebal apakah ada peduli andai terkirim atau tidak kad pengganti diri itu.

Namun, entah kenapa petang siang hari tadi unta hitam laju tanpa membuat kira menghala ke destinasi alamat tertera. Rasa tanya yang wujud, diletak tepi. Soal peduli bukan lagi yang di acah nanti. Cuma yang ada di hati; "aku sudah sempurnakan bahagianku. Selebihnya, terpulang kamu.."

Selamat Hari Raya.. Maaf Zahir dan Batin.

[Bila kiri men-cuit kanan..]

Thursday, July 24, 2014

~ RAMADAN DUA PULUH ENAM ~


"AYAH tetap ada dalam hati kami sampai bila-bila. Sayang ayah dunia akhirat.." 

Itu kata-kata yang disebutkan aku dalam hati, saat kakak menangis teringatkan ayah semalam. Aku tahu, kakak rindu. Dan, sebenarnya kami semuanya juga merasa hal yang sama. Cuma, ermm.. aku faham perasaan kakak.

Petang semalam ketika sibuk mencari keperluan terakhir untuk menyambut Aidilfitri, kakak tanpa sengaja turut membelikan persalinan raya untuk ayah. Dan, apabila menyedari apa yang dilakukan itu, dia mula bersedih dan mengingat segala momen dan kebiasaan ayah pada kelaziman hujung Ramadan ini.

Kurang lebih setahun sudah berlalu. Dan, dalam tempoh itu kami meneruskan kehidupan tanpa ayah. Suatu hal yang bukan mudah. Meski aku jarang menyebut tentang  ayah secara terang-terangan, itu tidak bermakna aku melupakan ayah. Jauh di sudut hati, aku sentiasa ranap dengan kerinduan yang sama.

Semoga ayahanda berbahagian di syurga Allah. Amin.

[Al-Fatehah]

Wednesday, July 23, 2014

~ RAMADAN DUA PULUH LIMA ~


IA sebenarnya bukan hal yang pertama kali. Sebaliknya sudah menjadi amalan pihak pengurusan di lantai pekerjaan kami saban tahun. Cuma mungkin kali ini, ia melibatkan ramai orang. Malah hampir di semua bahagian. Lebih parah apabila kali ini pelaksanannya dilakukan secara random (sekadar telahan aku) tanpa melihat kepada kesesuaian dan latar kelebihan mereka yang terlibat.

Oh, begini ceritanya. Rabu kami hari ini agak kecoh dengan perkhabaran yang cukup mengejutkan. Pihak pengurusan telah melakukan rombakan besar di lantai pekerjaan. Berlaku pelbagai macam pertukaran dan pembubaran. Kata mereka, tindakan seumpama itu adalah perlu, malah ia menjadi satu tradisi di sini atas tujuan untuk memantapkan lagi keberadaan syarikat. 

Ramai yang menyifatkan diri sebagai mangsa kala rombakan tersebut melibatkan diri mereka secara tanpa rela. Mereka dipindahkan ke bahagian-bahagian yang dimahukan pihak pengurusan tanpa ada pilihan. Malah ada diantaranya yang dipindahkan ke bahagian yang menyaksikan mereka perlu bertukar bidang atau sesuatu yang sangat bertentangan dengan kemahiran mereka sebelum ini. Lalu lantai pekerjaan kami hari ini terpamer penuh kesugulan.

Dari satu aspek, ia mungkin memberikan hal yang positif apabila dianggap sebagai satu cabaran untuk mencuba sesuatu yang baru. Namun, dari aspek yang lain pula, pertukaran yang dilakukan tanpa asas yang kukuh atau tanpa mengabil kira akan kemampuan seseorang itu, pasti sahaja akan memberikan hasil yang tidak seperti dimahukan.

Dan, sejarah adalah lampu suluh yang paling terang.

Alhamdulillah, aku tidak terlibat di dalam rombakan ini. Namun, dua orang daripada team kami menjadi sebahagian daripada mereka yang melalui situasi itu. Sesi luah meluah berlangsung sehingga matahari membuat condong pada hari. Pun masih tidak habis. Ada diantara mereka yang terlalu kecewa sehingga mahu meletakkan jawatan dalam tempoh 24 jam.

Politik. Dan, ia ada di mana-mana. Tidak terkecuali juga di sini.

Apapun, aku mendoakan yang terbaik buat rakan-rakan yang terlibat. Siapa tahu mungkin pertukaran ini akan memberikan hal yang lebih baik kepada kita. Lihatlah ia sebagai satu cabaran dan bukan bebanan. Mungkin bunyi kata-kataku ini seperti seorang yang tidak membuat peduli, asal tidak terpalit pada diri.

Tuhan lebih tahu. Aku mengerti dan memahami kesugulan mereka. Cuma, siapalah aku untuk merobah keadaan itu. Cuma sebagai rakan setugas, aku mengharapkan diri mampu memberi sokongan kepada mereka. Mungkin ada benda yang lebih baik menanti selepas ini.

Dan, aku masih di sini. Dan berharap tidak menjadi mangsa politik.

[Huru hara]

Tuesday, July 22, 2014

~ RAMADAN DUA PULUH EMPAT ~


22 JULAI, selamat menyambut hari ulang tahun leo. Semoga kamu dipanjangkan umur dan dilapangkan rezeki untuk hal-hal kebaikan. Juga, mudah-mudahan kamu terus menjadi sahabat yang boleh disandarkan bahu. Terima kasih kerana menerima seadanya aku sebagai yang bernama sahabat. 

Selamat hari pertama mengenal dunia..

[Ter-kenang kek coklat sa-bulan lalu yang tidak sampai ke-pada tuan yang emponya...]

Monday, July 21, 2014

~ RAMADAN DUA PULUH TIGA ~



KURANG seminggu lagi, Ramadan bakal berlalu dan Syawal menebar salam. Bersyukur untuk keberadaanku dan reda untuk segala yang tidak seperti mahu. Mudah-mudahan, simpul seratus ini tidak terusan kusut mengusik seluruh hariku.

Di kanan meja yang menyaksi jari-jari ini bercerita saban waktu, ada hadiah berbalut kemas yang belum disampaikan kepada tuan yang empunya. Sedang hari ulang tahunnya yang dirai sudah lama berlalu. Di sisi yang sama, turut terdampar sekeping kad raya yang telah siap ditulis luah hati namun belum diserahkan kepada penama yang berhak. Sedang Aidilfitiri hanya berselang hari untuk bertandang.

Aku renung lama-lama. Aku fikir dalam-dalam. Aku timbang tara-tara. 

Beberapa ketika aku berkeadaan begitu. Akhirnya, aku menarik selimut dan memilih untuk meletak lena. Kisah semalam, dan hari ini pun masih sama. Esok juga barangkali. Dan, Tuhan lebih tahu.

[Hikmah..]

Sunday, July 20, 2014

~ RAMADAN DUA PULUH DUA ~



SALAM AYAHANDA & BONDA
by raihan & hujan

Terkenang Di Ketika Itu
Ku Dimanja Dan Disayang Selalu
Apa Saja Kemahuan Diri
Akan Cuba Dipenuhi

Walau Hidup Dalam Kesukaran
Kau Kan Cuba Untuk Membahagiakan
Demi Anak-Anak Yang Tersayang
Kau Berdua Kan Berkorban

Tetapi Baru Kusedari
Tidak Mungkin Kan Terbalas Budi
Pengorbanan Mu Tiada Ternilai
Hanya Tuhan Kan Membalasnya

Salam Aidilfitri
Ayah Bonda Yang Dicintai
Maafkanlah Anakmu Ini
Kerna Belum Cukup Berbakti

Pabila Menjelang Lebaran
Baju Baru Kan Disediakan
Walau Mungkin Kami Tak Mengerti
Keperitan Saat Itu

Namun Wajahmu Terus Barcahaya
Oh Sucinya Kasih Sayang Itu
Di Bibir Mu Kan Menguntum Senyum
Andai Anakmu Bahagia

Salam Aidilfitri
Ayah Bonda Yang Dicintai
Maafkanlah Anakmu Ini
Kerna Belum Cukup Berbakti 

Di Aidilfitri, Di Aidilfitri
[Dan, rindu]

Saturday, July 19, 2014

~ RAMADAN DUA PULUH SATU ~


REZEKI pada sebuah pertamuan. Setelah lama tidak bertemu dan berjauh dek urusan kehidupan masing-masing, siang hari tadi kami diberikan rezeki untuk bertentang mata. Sahabat lama yang entah bagaimana diberi kesempatan untuk mengisi kebetulan berada di ruang yang sama.

Dari arah belakang, namaku sayup kedengaran dilaungkan. Aku mendengar jelas namaku di sebut, namun dek kerana berada di tengah bingit manusia yang begitu sibuk beriang ria mencari keperluan hari raya di gedung besar itu, aku tidak menoleh. Pada fikirku, mungkin nama yang serupa itu ditujukan kepada orang lain di situ.

Namun kurang satu minit, satu kelibat datang menerpa di depan wajahku dan terus memelukku erat. Tanpa sedikit membuat peduli pada sesak manusia yang ke hulu hilir dengan tuju mahu masing-masing. Ya Tuhan... gembiranya dia sehingga menistiskan air mata. Dan kegembiraanku juga dengan pengakhiran yang sama, cuma tidak aku tunjukkan pada dia, apatah lagi di tengah mata keliling.

Kalau ada yang bertanyakan bagaimana dia sepanjang dikenal aku, pasti sahaja perkataan pertama yang terpacul dari mulut adalah, pemurah. Dia pemurah dengan kasih sayangnya, dengan pengorbanannya, dengan harta bendanya dan dengan pengertiannya. Aku sentiasa mengenang dia sebagai seorang sahabat yang sangat menghargai.

Terima kasih kerana tidak hanya mahu aku menerima dia seadanya, tetapi di dalam masa yang sama sentiasa juga mahu menerima aku seadanya. Kerana itu, kami bersahabat lama. Bertahun.. meski terjarak kerana urus hidup yang berbeza.

Sayang sekali siang hari tadi itu, kami tidak punya kesempatan yang panjang untuk bercerita. Moga ada kesempatan lain, untuk kami duduk secawan coffee, mengenang cerita persahabatan bersalut budi.

[Yang maseh mahu ada.]

Friday, July 18, 2014

~ RAMADAN DUA PULUH: PESAWAT MH17 TERHEMPAS DI TIMUR UKRAINE ~


DI SAAT aku termangu-mangu mengira bintang dengan rasa, telefon bimbitku berkelip tidak berhenti. Bertubi soal dan jawab bergantian. Informasi yang sahih dan tidak, bercampur mengisi ruang kepala untuk ditimbang tara. 

Ya Allah, Ramadan kedua puluh menulis sejarah lagi. Sejarah ulangan pada 8 Mac lalu di saat pesawat Malaysia Airlines MH 370, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China yang membawa 239 penumpang, hilang dan kemudiannya dilaporkan berakhir di Lautan Hindi. 

Kali ini, kita sekali lagi diuji apabila pesawat Malaysia Airlines MH 17, penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang membawa 295 penumpang di laporkan terhempas di timur Ukraine sebentar tadi. Berita yang sungguh mengejutkan kita semua.

Sehingga berita ini aku kongsikan di sini pada jam 12.14am ini, keadaan mangsa masih belum dapat dipastikan hidup matinya. Kita doakan yang terbaik untuk mereka semua. Punca kejadian dipercayai pesawat terhempas akibat ditembak peluru berpandu di kawasan konflik Ukraine-Rusia.

Dan, Tuhan lebih mengetahui segalanya. Sama-samalah kita berdoa untuk kesejahteraan mangsa yang terlibat. AlFatihah.

Mudah-mudahan kita mendapat informasi serta perkembangan terkini sepantas yang mungkin dari sumber yang sahih dan rasmi. Belajar daripada pengalaman kejadian MH370 yang lalu, elakkan membuat atau menyebarkan sebarang spekulasi.

[Pray For MH 17]

Thursday, July 17, 2014

~ RAMADAN SEMBILAN BELAS ~


RAI. Semoga kita mampu untuk terus berkongsi senyum. Bukan kerana nilainya, tetapi kerana kasih sayangnya. Tuhan lebih tahu.

[Merah..]

Wednesday, July 16, 2014

~ RAMADAN LAPAN BELAS ~


DAN, hari ini sudah masuk Ramadan lapan belas. Alhamdulillah, semuanya berlangsung baik dan manis dalam rutinku untuk tempoh itu. Mudah-mudahan berterusan sehingga selesai Ramadan pada tahun ini.

Namun, selama lapan belas hari ini, dan sebenarnya lebih awal daripada itu aku mengharung kekeruhan yang tidak sepatut berlaku. Tanpa mahu tetapi dalam tahu. Meski seolah aku terlihat seperti tidak membuat peduli, namun jauh di sudut hati kecamuknya sangat membuat kacau. Dan, Tuhan tahu itu.

Semoga ada kesempatan untuk mengambil sehari Ramadan yang masih berbaki untuk meluangkan waktu berbuka puasa bersama sahabat dekat yang sangat bertentang ini. Ya, demi Ramadan. Kalau-kalau ia yang terakhir buat aku.

[Anjing dan kuceng..]

Tuesday, July 15, 2014

~ RAMADAN TUJUH BELAS ~


RAMADAN TUJUH BELAS. Nuzul Quran. Hari di mana turunnya ayat Al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad S.A.W hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagai kitab suci Al-Quran.

Peristiwa yang cukup istimea ini berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad S.A.W.  Ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), 
Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; 
Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, 
-Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, 
-Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” 
(al-‘alaq:1-5)

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan Al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, Al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

[Pada seluroh hidop dan rasa..]

Kredit: http://www.islam.gov.my/

Monday, July 14, 2014

~ RAMADAN ENAM BELAS ~


SUDAH separuh perjalanan Ramadan tahun ini. Mudah-mudahan pada separuh perjalanan yang telah dilalui ini memberikan hal yang terbaik untuk kita semua. Tidak hanya dengan mereka yang berkeliling, tetapi juga dengan maha Sang Pencipta. Sesungguhnya Dia mempunyai sebaik-baik perancangan untuk kita sebaik wujud kita di dunia ini sehingga pada saat nyawa terpisah dari badan.

Cerita lain.

Hari ini aku dihadapkan dengan satu babak yang menyaksikan sesi penghakiman dosa yang dilakukan oleh seorang manusia kepada manusia yang lain. Ya, mungkin sempena Ramadan ini, ramai di kalangan kita yang merasa diri terlalu bersih sehingga terlihat kurang yang banyak kepada orang lain. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang pada fizikalnya dianggap tidak sehaluan dan bertentangan.

Aku bersetuju dan tidak pernah menafikan hak kita sebagai seorang Muslim untuk saling menegur demi kebaikan. Sememangnya itu satu kewajipan terhadap saudara seagama, apatah lagi yang wujud dekat dalam kehidupan kita seharian. Namun, harus diingat, menegur dan menghukum itu adalah dua perkara yang cukup berbeza.

Siapa kita untuk menghukum dan menghitung dosa orang lain?

Mungkin hari ini mereka belum memperoleh hidayah, namun siapa tahu esok atau lusa Tuhan membuka pintu hati mereka dengan sepenuh cahaya dan ditakdirkan hidayah itu mengangkat mereka menjadi jauh lebih baik daripada kita sendiri?

Justeru, berhentilah membilang dosa orang lain. Sebaliknya biasakanlah hati kita dengan berdoa untuk kebaikan dan kesejahteraan mereka yang kita anggap bertentang itu. Usah menghukum, hidayah Allah itu boleh datang pada bila-bila masa mengikut mahu-Nya.

[Dan, kita semua sama....]

Sunday, July 13, 2014

~ RAMADAN LIMA BELAS ~














BAZAR Ramadan. Sesekali andai punya kesempatan, aku turut mahu berasak-asak mengintai juadah yang mampu membuka selera. Meski terkadang tidak bertemu pada yang mahu, aku seronok mencari. Dan begitu juga hari ini. Atau esok juga barangkali.

[Ber-akhir kerana bazar Ramadan Wangsa Maju..]

Saturday, July 12, 2014

~ RAMADAN EMPAT BELAS ~


KESEMPATAN. Hari ini, pada Ramadan empat belas aku memenuhi pelawaan si Aries untuk berbuka puasa bersama. Kesempatan Ramadan tentu lain rasanya berbanding keluangan menghirup secawan mocha pada saat di luar Ramadan. Yaa, mana tahu kalau-kalau ini Ramadan terakhir buatku, atau buat sahabat dekat ini. Sekurang-kurangnya kami tidak punya hal yang menyesalkan.

Cerita panjang. Dari kedai buku, sehinggalah ke tempat monyet. Aku mendengar ceritanya satu-satu. Sahabat, tiada satupun diantara kita ini sempurna. Dan tidak akan pernah ada kesamaan melainkan kita hidup untuk saling melengkapi dan menampung segala kurang dan lebih yang ada pada mereka yang dekat.

[Ber-henti sa-buah kebiasaan..]

Friday, July 11, 2014

~ RAMADAN TIGA BELAS ~

"Good Friends Don't Come By In Life That Very Often.."

AKU angguk-angguk. Hargailah. Paling mudah hadam, bukan? Kerana yang ada hanya terbilang jari. Carilah di gobok kamu, kalau punya lebih dari itu.

[Meng-geledah gobok,]

Thursday, July 10, 2014

~ RAMADAN DUA BELAS ~


MINGGU pertama Ramadan, kami sekeluarga selalunya akan memastikan dia masing-masing untuk meluangkan waktu untuk berbuka puasa di rumah. Jika tidak ada keperluan yang benar-benar mendesak, ia bagai menjadi satu kemestian untuk kami berbuka bersama. Segala urus, janji mahupun perancangan yang dibuat haruslah tidak berlaku pada minggu pertama. Itu hal yang menjadi amalan dan kebiasaan.

Berbeza cerita pada minggu ini yakni minggu kedua Ramadan, kesibukan mula membuat jengah. Tidak hanya kerana urus pekerjaan, tetapi juga untuk memenuh pelawa sahabat-sahabat yang mahu berbuka puasa bersama. Bermula Isnin sehinggalah hari ini (malah sehingga Jumaat), aku langsung tidak punya kesempatan untuk berbuka puasa di rumah. 

Berbuka puasa di luar seringkali membuatkan aku merasa seperti mahu terus berpuasa. Suasana dan keadaaan ramai orang terutamanya yang melibatkan makanan buffet, sering sahaja membuatkan aku mengambil keputusan untuk duduk di meja sahaja. Sekadar memilih (atau mengambil tanpa pilihan) segelas air beserta juadah dengan sejenis lauk ringkas, sudah memadai. 

Bukan kerana satu agenda, tidak juga kerana tiada kecukupan tetapi kerana aku tidak suka memilih dengan banyak pilihan. Meski buffet menghidangkan lebih 40 jenis makanan dari hujung ke hujung,  tetapi aku memilih satu yang paling di depan mata. Makan dalam kadar yang begitu lambat umpama ibu mertua sedang menunggu nanti.etap

Kata seorang teman dalam kadar kekerapan lebih 118 kali, aku orangnya terlalu cerewet tentang makanan. Lalu biar makan di hotel lima bintang dengan puluhan jenis makanan tersedia, aku tetap dalam keadaan sukar untuk makan sempurna. Itu kata dia dari dulu sehinggalah sekarang. Aku hanya ketawa dan menggelengkan kepala. 

Yaa... itulah keadaan yang membuatkan aku lebih suka duduk di meja berbanding beratur panjang atau mundar-mandir memilih makanan. Begitu juga hari ini. Aku hanya berbuka dengan segelas minuman bersama kentang putar. Itu pilihan yang tercapai dari lebih 40 menu Ramadan tersedia ada.

Dan, pasti sahaja stuasi itu tidak berlaku kala berbuka puasa di rumah.

[Minggu ke-tiga, minggu ber-buka puasa ber-sama teman-2..] 

Wednesday, July 09, 2014

~ RAMADAN SEBELAS ~


SAYU hati mendengar bual ibu yang mengadu kesunyian. Sementelah pada bulan puasa ini, kesendiriannya lebih dirasai. Sungguh, aku benar-benar rasa mahu menangis saat mendengar luah rasa ibu dalam bual ringkas sebentar tadi.

Ini merupakan Ramadan kedua selepas pemergiaan abadi ayah. Semenjak ayah tiada, ibu tinggal berdua dengan adik lelaki. Lalu, teman berbuka ibu hanyalah adik, teman sahur ibu juga hanyalah adik. Dan, arghh.. bertemankan anak lelaki yang juga sibuk dengan urus mahunya, tentunya sahaja tidak mengurang rasa.

Aku tahu, ibu terlalu merasa hilang teman bual. 

Ibu tidak pernah meminta apa. Tidak juga merungut itu dan ini. Cuma dia sunyi. Meski tidak dia katakan secara terang, aku yang lahir ke dunia ini dari perutnya, sangat-sangat mengerti. Mengerti tentang kerinduannya. Mengerti tentang kehilangannya. Dan mengerti tentang kesendiriannya.

[Selagi ibu kamu maseh ada...]

Tuesday, July 08, 2014

~ RAMADAN SEPULUH ~


RAMADAN tahun lalu, aku banyak menghabiskan masaku dengan sahabat Mei. Jika tidak sempat meluang waktu untuk secawan mocha, kami akan membuat bual panjang di hujung talian. Dia sentiasa punya cerita, sentiasa ada yang ingin disoalkan untuk meminta buah pandangan. Tidak kira jam satu pagi atau empat pagi, dia tahu aku sentiasa ada untuk mendengar.

Paling membuat ingat, Ramadan tahun lalu juga kami pernah bersahur di tempat cuci kereta. Dari Coffee Bean ke Kedai Mamak, ceritanya masih tidak habis. Hal-hal serius yang sering diseriuskan dia. Lalu aku menjadi pendengar. Aku mungkin tidak banyak membantu membuat selesai, namun mungkin dia mahu aku mendengar.

Jam empat pagi. Cerita masih belum selesai. Lalu dia memutus untuk memandikan keretanya yang sudah comot rupa itu. Mengejar detik jam imsak, kami memutus untuk bersahur di tempat cuci kereta itu. Kebetulan makanan yang dibungkus untuk dibawa pulang masih panas dengan aroma. Lalu di tepi jalan berdepan Flamingo Hotel mengadap ke lebuhraya MRR2 itu kami menyempurnakan sahur kami. 

Sang pencuci kereta yang separuh mamai itu beberapa kali menoleh kami penuh kehairanan. Pelik barangkali dengan sikap selamba sahabat Mei itu. Sementelah wajah 'passportnya' itu dikenali ramai orang. Tetapi bagai selalu, sahabat yang namanya tersohor di dada akhbar ini tidak mempeduli akan itu. Sepanjang mengenalinya, dia sememangnya seorang manusia yang sangat sederhana.

Aku rindukan itu. Rindukan dia juga. Entah apa khabarnya dia pada Ramadan kali ini.

[Semoga ada yang men-dengar..]

Monday, July 07, 2014

~ RAMADAN SEMBILAN ~


HARAPAN RAMADAN

by Raihan

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna
Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula
Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna
Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti
Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna
Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna
Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna
Ku memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan
Selangkah demi selangkah
Dengan rahmatMu oh Tuhanku
Ku tempuh jua

[Se-muga di-dengar..]

Sunday, July 06, 2014

~ RAMADAN LAPAN ~


AKU tidak tahu memujuk dan ia menjadikan aku seorang yang tidak suka memujuk. Bukan kerana ego, sombong dan mementing diri. Tetapi kerana aku tahu, pujukku tidak ke mana dan tidak merobah apa. Justeru, aku kekal aku.

Namun jauh di sudut hati, aku cuba mengelak selirat agar tidak membuat kacau pada seluruh hati. Lalu, pada satu insiden siang hari semalam, aku cuba memujuk. Namun ia tidak bersambut baik. Malah, memberi cerita lain. Justeru, biarlah cukup di situ. Benar-benar cukup di situ.

Titik.

[Meng-hadap kesimpulan yang tidak perenah adil]

Saturday, July 05, 2014

~ KEKASIH ~





TAJUK: Kekasih
KARYA: Usman Awang
CETAKAN: Pertama (2014)
PENERBIT: UA Enterprise Sdn Bhd
HALAMAN: 143

HARGA: RM25.00

[Me-rasa di-mahu-kan..]

~ RAMADAN TUJUH ~


AKHIRNYA bertemu kesempatan untuk berbuka puasa dengan si sepet yang semenjak kebelakangan ini agar terhad waktunya. Dengan peluang kerjaya yang lebih baik diperoleh, rutinnya menjadi semakin padat dengan lelah. 

Pun begitu, terima kasih kerana menjadikan aku sering paling dicari. Meski jarak tidak memungkinkan kami selalu bertemu mata, namun komunikasi kami tidak pernah menjadi terhad. Pertelingkahan dan salah faham beberapa sebulan yang lalu semakin kami jauhkan dari ingat. Jodoh masih kuat, barangkali.

Seharian menghabiskan masa. Bagai biasa ia hanya dengan bual. Mungkin pada sesetengah orang ia sesuatu yang membosankan. Namun pada kami, bual menjadi terapi terbaik yang mampu mendekatkan. Bual tentang rutin, tentang ranap, tentang angan dan tentang segala.

Masih tertanya, mengapa lelaki ini memilih aku dari yang banyak. Dan, mahu menunggu.

[Chenta, bulan dan bintang..]

Friday, July 04, 2014

~ RAMADAN ENAM ~

SALAHKAH
by Rossa & Hafiz

Hafiz
Salahkah ku bila mencintamu sepenuh hati
sedang ku tahu pasti keluarga tak merestui 

Rossa 
Biarkan dunia berputar seiring waktu berjalan
sampai saat nanti tiba
waktu merestui cinta yang terlarang 
untuk kita berdua  

Dari jauh ku berlari mengejar mimpi-mimpi
berat rasanya ku dapatkan semua  

Hafiz
Dari situ ku sedari mungkinkah saat nanti
cinta kita berdua bisa ku miliki  

Salahkah ku bila mencintaimu 
mencinta sepenuh hati  

Rossa + Hafiz
Biarkan dunia berputar seiring waktu berjalan
sampai saat nanti tiba
waktu merestui cinta yang terlarang 
untuk kita berdua  

Rossa
Dari jauh ku berlari mengejar mimpi-mimpi
berat rasanya ku dapatkan semua 

Hafiz
Dari situ kusedari
Mungkinkah saat nanti
Cinta kita berdua bisa kumiliki

Salahkah.. salahkah
Salahkah.. salahkah ku..

Dari jauh ku berlari mengejar mimpi-mimpi
berat rasanya ku dapatkan semua 

Dari situ kusedari
Mungkinkah saat nanti
Cinta kita berdua bisa kumiliki

[Char kuetiaw vs asam pedas...]

Thursday, July 03, 2014

~ RAMADAN LIMA ~


ENTAH ini Ramadan terakhir, entah sempat bertemu lagi Syawal. Kita tidak akan pernah tahu. Dan, kalaulah...

Khabar semalam masih membuat lekat. Ia meletak fikir, bagaimana kalau orang-orang paling kita sayangi yang berada di babak itu. Bagaimana kalau keluarga atau sahabat dekat kita yang dikhabarkan berita seperti itu..

Ermm.. Semoga kita saling memaafkan selagi ada kesempatan. Sekurang-kurangnya 'pergi' kita tidak dengan beban di dada dan tidak juga beban di pihak yang satu lagi. Semoga tiada sesal di kemudian hari.

[Kosong-kosong..] 

Wednesday, July 02, 2014

~ RAMADAN EMPAT ~


LIMA tahun lalu, kami bekerja di dalam satu pasukan. Saling kenal dan berurus soal kerja. Diantara yang lapan yang ada, mungkin aku yang paling senyap. Justeru, aku menjadi yang paling kurang mengatur bual dengannya. Mungkin memahami, dia sering menjadi orang pertama yang memula bual. Mengacah usik untuk membuat aku bersuara. Dalam pasukan kami, dia cukup dikenali sebagai seorang yang suka membantu. Sementelah kedudukannya yang lebih senior yang sering kami anggap lebih cekap dan lebih tahu dalam banyak urus.

Setahun selepas itu, aku ditukarkan ke bahagian lain dan dia juga begitu. Masih berbumbungkan lantai pekerjaan yang sama, namun jarang sekali bertemu. Tiap kali bertembung, dia masih tetap menjadi orang yang lebih dahulu membuat sapa. Senyum sekurang-kurangnya jika tidak berkesempatan membuka mulut untuk menegur.

Begitu juga semalam. Setelah agak lama tidak bertemu, kami terserempak di parkir saat kebetulan memakir kenderaan berdepan. Bagai biasa, dia membuat sapa meski kami masing-masing berkejaran langkah untuk pulang mengejar waktu berbuka puasa. Dia terlihat masih orang yang sama.

Awal pagi tadi, saat tiba di lantai pekerjaaan, sang kepala mendekatiku dan menyampaikan khabar yang tidak terduga. Rakan perkerjaan itu dijemput Tuhan seawal jam 5.00 pagi saat awal hari. Doktor mengesahkan arwah diserang sakit jantung. 

Terpana. Ya Tuhan.. rupa-rupanya aku diberikan rezeki untuk bertemu arwah buat kali terakhir petang semalam. Patutlah semalam aku seolah-olah sengaja melengah-lengahkan waktu pulang sehingga menjadi orang yang terakhir dalam pasukan yang meninggalkan lantai pekerjaan semalam. Saat bertemu semalam, dia kelihatan sihat walafiat dan tidak ada yang kurang pada mata kasar. Rakan-rakan di lantai pekerjaan menyifatkan pemergiannya sebagai berita yang cukup mengejutkan.

Siapa sangka, semalam kami bersapa dan awal pagi ini dia telah tiada. Ramadan ketiga 1435H menjadi Ramadan terakhir buatnya. Tuhan lebih mengetahui segalanya. Semoga perjalanan arwah ke Sana dipermudahkan dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.

Daripada-Nya kita datang, dan kepada-Nya kita kembali... Sesungguhnya ajal itu tidak akan pernah terawal atau terlewat walau sesaat. 

ALFATIHAH.

[Andai hari ini men-jadi hari ter-akhir aku ber-nafas, aku me-muhon ampon atas segala tingkah dan tules yang mem-buat singgong...]

Tuesday, July 01, 2014

~ RAMADAN TIGA ~


MENINGGI bak KLCC. Memasuki Ramadan, urusan pekerjaaan bertali arus menjadi ganda yang luar biasa. Segalanya perlu diberi perhatian dalam waktu yang terlalu singkat. Setiap satunyaa mengejar. Urus kerja yang punya tarikh mati selang dua hari.

Lelah.

Justeru masa yang ada terlalu terhad. Malah pada saat jari-jariku bercerita di sini juga, aku sedang bergelumang dengan timbunan kerja yang masih berbaki. Mungkin bunyinya seperti rungutan, namun ia tidak lebih sekadar luah yang terbuku pada saat kamu merasakan apa yang dilakukan itu tidak mendapat perhatian yang sama sebagaimana kudrat yang kamu lelahkan.

[Menunggu keluangan berbuka puasa bersama si sepet]