Monday, June 30, 2014

~ RAMADAN DUA ~




TAMAN Tun Abdul Razak, Ampang. Ada suatu yang menarik berlaku di sini pada setiap petang tidak mengira hari. Saat sekumpulan monyet-monyet mengisi rutin mereka untuk berlibur dan mengenal manusia yang ingin mengenal mereka.

Semenjak berpindah ke sini beberapa tahun lalu, aku kerap ke sini. Kerap setiap kali hati gundah gulana dan bersimpul seratus. Juga pada ketika mahu menangis saat diberi singgung. Entah mengapa aku merasa lepas sedikit beban bila membuat keluangan di sini. 

Dan, siang tadi aku ke sana lagi. Ya, hati pecah.. dan masih pecah.

[Pecah sana-sini]

Sunday, June 29, 2014

~ RAMADAN SATU ~


RAMADAN YA KARIM datang menebar salam kembali mengisi aturan ketetapan. Alhamdulilah, Tuhan masih memberi kesempatan untuk aku merai dan menikmati bulan mulia ini. Masih bernafas di sisi ibu dan keluarga yang paling erti buat aku.

1 Ramadan 1435H, menjadi tahun kedua kami melaluinya tanpa ayahanda yang dikasihi. Sesungguhnya cepatnya waktu berlalu sehingga tidak tersedar akan kelangsungan lebih 365 hari tanpa lelaki pertama dalam hidup kami ini.

Rindunya, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Ayahanda seperti ada di setiap sudut aku. Malah rutin ayahanda pada bulan yang mulia ini berputaran satu demi satu umpama mengadap satu cerita panjang di sinema agung. Dari ibadahnya sehinggalah kepada kesukaan remehya. Rindu.

Ya Tuhan... jagakan dia untuk kami. Semoga tenang ayahanda bersemadi di sana. Aku percaya,  segala yang terbaik menjadi keliling ayahanda di sana. Dan, semoga ayahanda mendengar bual-bual kami di sini. Semoga sampai rindu-rindu kami. Semoga resap kasih-kasih kami ini. Juga semoga diterima doa-doa dan hadiah kecintaan yang kami kirimkan seawal hari pertama ayahanda meninggalkan kami dengan pemergian abadi.

Ramadan...

[Rasa yang pecah..]

Saturday, June 28, 2014

~ SELAMAT PANJANG UMUR SAHABAT ~


SELAMAT hari wujud kamu sahabat june. Selamat menyambut hari ulang tahun kelahiran. Allah selamatkan kamu.. Allah selamatkan kamu.. Allah selamatkan sahabat june.. Allah selamatkan kamu.

Semoga hidup kamu di dalam keberkatan dan sentiasa di dalam lindungan-Nya. Aku mendoakan agar doa-doamu didengar Tuhan dan dimakbulkan menurut mahumu. Tiada apa yang lebih membuat bahagia sebagai sahabat, selain melihat kamu dipermudahkan di dalam segala urus kehidupanmu dunia dan akhirat. Dan, semoga kamu didekat dengan mereka yang sentiasa menyenangkan kamu (tanpa pernah dengan syarat).

Dua puluh lapan haribulan enam.

Hampir sepuluh tahun membuat ingat tarikh ini dalam ketawa, menangis, marah, berlucu, sakit hati, menumpang bahu, koyak tampal dan segala macam rasa. Ya, hampir sepuluh tahun.

[Dan pada akhir-nya, dudok-nya di-suatu sudot dinding...]

Friday, June 27, 2014

~ DI BAWAH LINDUNGAN KAABAH ~




TAJUK: Di Bawah Lindungan Kaabah
KARYA: Hamka
CETAKAN: 2011
PENERBIT: PT Balai Pustaka (Indonesia)
HALAMAN: 76


[Chenta yang bukan sebarang chenta..]

Thursday, June 26, 2014

~ DAH CALAR, KATANYA ~


Kredit: Katanya (Puisi Tepi Jalan - Fynn Jamal)

[Orang tidak perenah tanya..]

Wednesday, June 25, 2014

~ SINGGUNG ~


KOYAK-tampal, koyak-tampal.. dan rabak. Kalaulah payah, jauhi. Kalaulah jelik, pergi. Entah cukup hari ini, entah esok barangkali.

Tidak akan pernah wujud syarat. Apa aku ini tidak punya hak untuk merasa singgung?

[Secret Message]

Tuesday, June 24, 2014

~ RUANG MENGERTI ~


BENARLAH sang scorpio memang seorang dekat dengan kerahsiaan. Dan hari ini, dari bual-bual kosong yang tidak sengaja itu, aku dikongsikan babak-babak yang pada awalnya mahu dia diamkan dari pengetahuan banyak orang.

Lelaki yang seorang ini merupakan sahabat dekat yang sering sahaja ada saat aku perlukan dia. Sama ada perlu untuk berkongsi tawa, atau kala mahu meminjam bahu. Dia juga tidak pernah berkira kudrat, saat aku perlu pada bantu. Kami memulakan persahabatan beberapa tahun lalu atas asas-asas pertentangan yang begitu banyak. Siapa sangka hari ini pertentangan itu menjadi hal-hal yang membuat serasi.

Dan, kebetulan kami bernaung di bawah zodiak yang sama Scorpio.

Beberapa jam tadi, aku mencarinya di layar skrin. Tiada tujuan, cuma mahu membuat bual saat hati pecah mengendong rindu terhadap ayah yang menggenap pergi 365 hari yang lalu. Dan, bagai biasa dia sudi mendengar, memujuk dan mengerti. 

365 hari yang lalu, saat aku dikhabarkan berita tentang sakit ayah sebelum pemergian abadinya, aku berada bersama-sama sahabat ini. Lalu dia tahu apa yang berlaku ketika itu. Saban hari dia bertanyakan tentang khabar ayah sehingga hari terakhir ayah. Aku masih ingat itu, satu-satu.

Dek kerana dia juga Scorpio, maka dia tahu lagak sang Scorpio seperti aku. Lagak seolah tabah dan kuat berdepan apa sahaja, sedang hati yang di dalam pecah dan ranap. Lalu dipujuk aku dengan cerita-cerita manis dan harapan yang membangun. 

Pujuknya sehingga membongkar ranap hatinya juga tanpa sengaja. Ya, Tuhan... rupa-rupanya ada kisah besar yang tidak aku ketahui terjadi kepada sahabat ini. Bapanya telah dijemput Ilahi 23 Mei yang lalu akibat kanser. ALFATIHAH.

Tanpa tahu aku, tidak juga pada tahu rakan-rakan dekatnya yang lain termasuk teman serumahnya. Ya, terkilan kerana aku tidak diberitakan hal itu, lalu tidak dapat melakukan hal yang serupa sebagaimana yang pernah dia lakukan untukku. Apapun, aku percaya dia punya alasan tersendiri sebagaimana juga aku yang melaku hal yang serupa saat pergi ayah setahun yang lalu. 

Justeru, aku tidak membuat soal mengapa dia memilih untuk diam dan menyimpannya kemas sebagai rahsia. Malah, aku juga berharap agar teman-teman rapatnya yang lain memberi sedikit ruang untuk mengerti. Soal hati, soal rasa.. yang hanya tuan punya badan sahaja yang tahu.  

Ahh... lelaki Scorpio. Ceritanya dalam tawa, seolah tiada apa yang menjentik rasa. Bicaranya penuh ceria umpama tiada apa yang terkesan di jiwa. Pun begitu, bagaimana hebatpun dia menyembunyi rasa, aku tetap dapat menjejak getar yang ada jauh di dalam hatinya itu. 

Ya, kerana aku juga Scorpio yang tahu lagak Scorpio.

Semoga arwah ayahanda AA ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan tenang bersemadi di sana. Insya-Allah, anak yang ayahanda tinggalkan itu, akan tetap menyayangi dan merindui ayahanda pada seluruh baki hidupnya. Aku percaya itu, kerana dia adalah sahabat yang aku tahu hati budinya.

Buat kamu sahabat, semoga kita terus saling peduli. Kerana rasa peduli itulah yang menjadikan kita sahabat yang sentiasa rasa dimahu. Dan, itulah yang sepatutnya duduk manusia yang kita angkat dan kita pilih dari sekian banyak manusia lain yang kita temui untuk dijadikan sahabat.

[Hanya ter-bilang jari..]

Monday, June 23, 2014

~ PADA MOMEN RANAP ~


23 JUNE 2013, AHAD, 10.30 PAGI. Detik yang tentunya akan menjadi kekal ingat buat kami sekeluarga sampai bila-bila. Detik yang memaksa kami menerima hakikat bahawa lelaki kesayangan kami, yakni ayahanda yang dikasihi telah dijemput Ilahi dan berpisah abadi. Meski tangis berat yang mengiringi pemergian ayahanda saat itu, kami sekeluarga reda dengan ketentuan yang Satu.

Dan, hari ini telah genap setahun pemergiaan ayahanda. Sepantas itu waktu berlalu. Sedikitpun tidak terasa sejarak itu kami telah kehilangan. Yang kami rasa, ayahanda sentiasa ada bersama-sama kami setiap saat dan ketika. 

Mengimbas setahun yang laku itu, paling tidak aku terlupakan bila mana aku menjadi orang yang diberikan tanggungjawab untuk menyiapkan ayah sebelum proses menyempurnakan jenazah dilakukan. Demi Tuhan, hanya Dia sahaja yang tahu betapa ranapnya perasaanku saat itu. Aku tidak punya kekuatan langsung untuk menyempurnakan urus itu.

Namun aku tidak bertemu pilihan. Semnetelah ketika itu, hanya aku dan ibu di sisi jasad ayah. Abang dan kakak masih dalam perjalanan pulang, sedang adik pula berkejaran menguruskan urus perlu berkaitan pengurusan jenazah ayah.

Aku kucup dahi ayah buat kali terakhir dengan iringan air mata. Aku takupkan kedua tangan ayah agar duduk sempurna dengan jeritan di hati, aku betulkan kaki dingin ayah agar selari tubuh dengan rasa ranap yang tak terbendung, aku ubahkan kepala ayah agar lebih memberi selesa dengan penuh luluh di hati. Momen yang paling payah untuk hadap. Dan, ia kekal dalam ingat sampai mati.

ALFATIHAH buat ayahanda. Ayahanda tetap ada di hati pada setiap saat, setiap sudut dan setiap nafas.




[Se-muga tempat ayahanda di-Syorga Allah... amin]

Sunday, June 22, 2014

~ HO CHI MINH CITY ~



























AKU tidak pernah merancang untuk menjejakkan kaki ke sini. Namun ia berlaku atas kebetulan membuat teman kepada tiga manusia yang sentiasa penuh dengan kejutan. Lalu aku menurut untuk membuka mata pada suatu sudut dunia yang memberi rasa berbeza. Lalu, pada 19-22 June 2014, kami berada di sana.

Sepanjang di sana, aku tidak begitu punya kesempatan untuk menjelajah keindahan dan kebezaan milik negara yang pernah berdepan saat getir dalam peperangannya dengan Amerika Syarikat puluhan tahun dahulu. Sementelah mereka yang bersamaku ini tidak terarah kepada keinginan sebegitu, sebaliknya mengisi waktu dengan libur menurut mahu mereka.

Lalu, aku mencari sendiri. Mengenal budaya dan kebiasaan masyarakat di negara unik ini. Paling pertama, aku dihadapkan dengan bunyi hon kereta yang sentiasa memecah sunyi bandar ini. Ratusan motorsikal memenuhi setiap pelosok jalan raya sederhana mereka. Menariknya, bunyi hon itu bukan sebagai isyarat amalan yang biasa ada di tanah air. Mereka tidak membunyikan hon kerana marah kerana ada yang pengguna jalan raya lain yang bertindak melulu. Sebaliknya bunyi hon bertalu yang diberikan sebagai isyarat agar mereka diberi laluan dan di dalam masa yang sama agar pemandu lain lebih peka dengan keadaan sekeliling.

Sepanjang berada di sini, aku lebih suka berjalan kaki menelusuri bandar kecil ini (setelah beberapa kali ditipu oleh pemandu teksi). Di mana-mana sahaja kelihatan wanita bertopi tiga segi mencari rezeki dengan pelbagai bahan jualan. Aku kurang pasti tentang keberuntungan mereka, namun ia menjadi pilihan banyak wanita-wanita di sini selain berniaga di bazar, mahupun pasar malam harian mereka. Kegigihan mereka mencari rezeki sangat mencuri tumpuku.

Tidak susah untuk sajian makanan halal di sini. Mudah diperoleh dan seleranya tidak jauh daripada apa yang menjadi kebiasaan kita di tanah air. Pun begitu, untuk seorang aku yang sangat cerewet tentang makan, ia mungkin sedikit membuat beban. Namun, mujur juga aku seorang yang sangat minimal di dalam apa jua perkara. Lalu aku mengatasi tanpa perlu menyusahkan diri dan orang lain.

Jika ramai yang menganggap bandar ini sebagai syurga membeli kain dengan harga yang paling murah, tidak bagi aku. Aku tidak terarah untuk kemahuan yang seperti itu. Gedung-gedung atau kedai-kedai kain tidak langsung menarik perhatianku. Sebaliknya, aku lebih suka menghabiskan masa dengan mengunjungi lokasi-lokasi dan bangunan bersejarah yang penuh cerita kepada negara ini. 

Tidak terkecuali juga lokasi-lokasi seni yang menawarkan keseronokan yang tidak terbagi. Aku berkesempatan membeli beberapa lukisan menarik hasil lukis pengkarya di sana. Mengadap kerja seni mereka membuatkan aku lekat. Beberapa hari dengan aktiviti yang serupa.

Terima kasih untuk pengalaman dan pandangan yang berbeza. 

[Tentang manusia..]

Saturday, June 21, 2014

~ 2 NYAWA 1 CINTA ~



TAJUK: 2 Nyawa 1 Cinta
KARYA: Hanah Rishah
CETAKAN: Pertama (2014)
PENERBIT: Gede Book Sdn Bhd
HALAMAN: 810
HARGA: RM30.00


“Selagi jantungku berdegup, selagi itu cintaku tidak pernah mati. Yakinlah dengan takdir-Nya, kerana yang tertulis itu adalah suratan terindah buat cinta kita..”

[Seluruh hati]

Friday, June 20, 2014

Thursday, June 19, 2014

~ NASIHAT PERCUMA ~


GOSIP. Pelik dengan sikap sesetengah antara kita yang terlalu suka melihat dan menilai kehidupan orang lain tanpa sebab. Membuat penilaian dan membina persepsi hanya dengan mata kasar, hanya dengan gerak hati, hanya dengan suka-suka.

Geleng kepala.

Bacalah dengan semahu. Simpulkan dengan sejelas. Andai itu yang mampu membuat libur, siapa aku untuk menahan. Cuma, alangkah baiknya jika kita membiasakan diri dengan melakukan sesuatu yang lebih memberi manfaat pada diri.

Diam itu lebih baik daripada kita berkata-kata tentang sesuatu yang tidak memberi apa-apa keberuntungan malah membawa kita kepada sesuatu yang merosakkan.

[Nasihat per-coma]