Wednesday, January 29, 2014

~ BABAK PALING MANIS ~



AKU punya sahabat dekat yang hanya mampu terbilang jari. Bukan memilih begitu, namun memang hanya itu yang ada dalam mampu. Kenal hanya dengan mereka yang mahu kenal, bersahabat hanya dengan mereka yang punya ingin kepada itu.
 
Hidup semudah itu, bukan..
 
Siang tengahari tadi, ada babak yang begitu manis di hadiahkan kepada aku. Bertemu sahabat dekat yang lama tidak berhubungan. Meski kami berbumbung kota dan hiruk pikuk yang sama, namun tidak pernah pernah punya kesempatan untuk bertentang mata, apatah lagi untuk duduk menghirup secawan mocha.
 
Semenjak dia bertemu fasa baru dalam kehidupannya, kami sering tidak punya masa untuk melaku kebiasaan dulu. Sementelah kedudukannya yang kini sudah di kerusi kepala di lantai pekerjaannya turut menjadi kekang yang bukan sedikit. Bukan kerana dia sudah melupakan persahabatan kami kerana  kedudukannya, tetapi kesibukan dengan urus pekerjaan dan masa sering menjadi hal yang tidak mudah.
 
Lalu, hari ini Tuhan temukan kami  kembali.
 
Kecil dunia ini. Ketika aku sibuk menjawab telefon di ruang parkir sebuah gedung tersohor, unta hitamku di ketuk. Aku menoleh sekali lalu, tetapi bagai biasa susahnya aku membuat pengecaman. Sementelah sahabat dekat ini sudah berimej baru dengan hijabnya. Dia senyum dan menggelengkan kepala. Tanda dia mengerti itulah aku sahabatnya yang serba kurang.
 
Tanpa sebarang kata sapa atau pembuka bicara, dia terus menarik dan memeluk aku seeratnya. Entah apa aliran yang dibawa oleh energinya menyelur ke tubuhku, aku sebak dan hampir sahaja menitiskan air mata. Tiada sebab yang jelas, tetapi rasa itu hadir dengan penuh rasa kejujuran. Kerana persahabatan kami sentiasa hidup pada tika senang dan susah. Semnejak kenal, masing-masing sentiasa tahu duduk perlu sebagai seorang sahabat.
 
Manis. Aku menepuk-nepuk pipinya beberapa kali sehingga membuatkan dia melepas tawa. Matanya juga berkaca. Betapa kesibukan dengan urus pekerjaan menjadikan kami jauh merenggang begini. Betapa ia mampu membuat kami terlupa tentang persahabatan pada pantas waktu yang berlalu. Sedar-sedar, ia sudah merentas tahun. Ya, tanpa sedar.
 
Namun, pertemuan itu berlangsung di dalam saat yang begitu pantas. Dia dalam hambatan waktu untuk satu urusan yang mendesak, dan aku juga dalam keadaan yang berkejaran dengan janji temu pada waktu yang sudah jauh tersasar. Lalu, kami berlalu tanpa sedikitpun menyedari kami tidak bertukar sebarang bentuk nombor atau kemudahan untuk dihubungi.
 
Owhh.. dan mungkin ada cerita lain di situ.
 
Semoga persahabatan yang masih ada dengan sahabat ini, mahupun dengan sahabat-sahabat lain yang dipunyai aku kekal pada duduk adanya. Amin.

[Harga..]

No comments: