Friday, January 31, 2014

~ SELAMAT TAHUN BARU CINA 2014 ~

 
GONG XI FA CAI. Selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada seluruh yang meraikan. Semoga Tahun Kuda yang diraikan pada tahun ini memberikan lebih kemakmuran, kegembiraan dan kekayaan.

[Hanya makan kechil dengan teman jiwa dengan bicara besar yang paling manis..]

Wednesday, January 29, 2014

~ BABAK PALING MANIS ~



AKU punya sahabat dekat yang hanya mampu terbilang jari. Bukan memilih begitu, namun memang hanya itu yang ada dalam mampu. Kenal hanya dengan mereka yang mahu kenal, bersahabat hanya dengan mereka yang punya ingin kepada itu.
 
Hidup semudah itu, bukan..
 
Siang tengahari tadi, ada babak yang begitu manis di hadiahkan kepada aku. Bertemu sahabat dekat yang lama tidak berhubungan. Meski kami berbumbung kota dan hiruk pikuk yang sama, namun tidak pernah pernah punya kesempatan untuk bertentang mata, apatah lagi untuk duduk menghirup secawan mocha.
 
Semenjak dia bertemu fasa baru dalam kehidupannya, kami sering tidak punya masa untuk melaku kebiasaan dulu. Sementelah kedudukannya yang kini sudah di kerusi kepala di lantai pekerjaannya turut menjadi kekang yang bukan sedikit. Bukan kerana dia sudah melupakan persahabatan kami kerana  kedudukannya, tetapi kesibukan dengan urus pekerjaan dan masa sering menjadi hal yang tidak mudah.
 
Lalu, hari ini Tuhan temukan kami  kembali.
 
Kecil dunia ini. Ketika aku sibuk menjawab telefon di ruang parkir sebuah gedung tersohor, unta hitamku di ketuk. Aku menoleh sekali lalu, tetapi bagai biasa susahnya aku membuat pengecaman. Sementelah sahabat dekat ini sudah berimej baru dengan hijabnya. Dia senyum dan menggelengkan kepala. Tanda dia mengerti itulah aku sahabatnya yang serba kurang.
 
Tanpa sebarang kata sapa atau pembuka bicara, dia terus menarik dan memeluk aku seeratnya. Entah apa aliran yang dibawa oleh energinya menyelur ke tubuhku, aku sebak dan hampir sahaja menitiskan air mata. Tiada sebab yang jelas, tetapi rasa itu hadir dengan penuh rasa kejujuran. Kerana persahabatan kami sentiasa hidup pada tika senang dan susah. Semnejak kenal, masing-masing sentiasa tahu duduk perlu sebagai seorang sahabat.
 
Manis. Aku menepuk-nepuk pipinya beberapa kali sehingga membuatkan dia melepas tawa. Matanya juga berkaca. Betapa kesibukan dengan urus pekerjaan menjadikan kami jauh merenggang begini. Betapa ia mampu membuat kami terlupa tentang persahabatan pada pantas waktu yang berlalu. Sedar-sedar, ia sudah merentas tahun. Ya, tanpa sedar.
 
Namun, pertemuan itu berlangsung di dalam saat yang begitu pantas. Dia dalam hambatan waktu untuk satu urusan yang mendesak, dan aku juga dalam keadaan yang berkejaran dengan janji temu pada waktu yang sudah jauh tersasar. Lalu, kami berlalu tanpa sedikitpun menyedari kami tidak bertukar sebarang bentuk nombor atau kemudahan untuk dihubungi.
 
Owhh.. dan mungkin ada cerita lain di situ.
 
Semoga persahabatan yang masih ada dengan sahabat ini, mahupun dengan sahabat-sahabat lain yang dipunyai aku kekal pada duduk adanya. Amin.

[Harga..]

Tuesday, January 28, 2014

~ PERTIMBANGAN ~



AKU mencuri sedikit masa pada saat sunyi pagi memecah hening ini. Membuat sedikit pertimbangan pada pelawaan seorang kenalan lama untuk menyertainya misinya untuk memahat nama. Jika demi wang, sementelah atas kecenderungan.. pasti sahaja aku mahu menerimanya dengan kiraan saat.
 
Aku dicari kerana semenjak awal kenal, dia sememangnya tahu akan kecenderunganku dalam bidang yang mengarah kepadanya misinya itu. Justeru aku dituju, untuk menang dia dan untuk ingin aku semenjak sekian lama.
 
Menjadi kebetulan, sebelum datang pelawaannya, aku terlebih dahulu disuakan dengan perkara serupa oleh kenalan dari tempat pekerjaan lama. Ia bermula cakap asal antara aku dan sahabat dekat, sahabat june yang telah lama melihat ke kecenderungan itu. 
 
Pun begitu, perkara itu tidak pada hujung cantik apabila aku dan sahabat june tidak pada kesepakatan serupa dalam memutus sesuatu. Cara kami melihat cukup beda bila tiba pada hal-hal keseriusan begini. Lalu aku memutus untuk lepas, tetapi dengan penuh sokong.
 
Dan, hari ini aku ditarik kembali di dalam keadaan serupa. Sekali lagi, jika demi wang, sementelah atas kecenderungan.. pasti sahaja aku mahu menerimanya dengan kiraan saat.
 
Namun pada saat tenang dan damai membuat pertimbangan ini, aku memilih persahabatan dan menolak pelawaan kenalan lama itu. Tiada rasa ragu kerana aku tahu persahabatan yang dimiliki kami itu berlebih segala nilai tawaran yang ada. 
 
[Atas rasa mahu ]

Monday, January 27, 2014

~ MENJADI MANUSIA CUKUP ~



REZEKI. Kita tidak tahu bila, di mana atau sebanyak mana yang Tuhan mahu berikan atau telah tetapkan untuk kita.
 
Saat aku berhempas pulas mengejar impian untuk mengenggam segulung ijazah beberapa tahun dulu, aku langsung tidak punya detik untuk berkecimpung di lapangan pekerjaanku sekarang. Minat dan kecenderunganku saat itu bukan suatu dorongan  ke lapangan ini.
 
Namun, Tuhan telah menetapkan laluan ku di sini. Menetapkan rezekiku di lapangan ini dan sebanyak ini. Aku tidak pernah menyesal, sebaliknya percaya ia akan menjadi suatu hal yang paling baik jika kita melakukannya dengan baik.
 
Lalu, meski ia bukan lahir asal dari hati aku tetap melakukan yang sehabis baik. Ia sepenuhnya kerana aku mencari rezeki yang halal di sini. Selagi keberadaanku di sini, maka aku akan memberi sepenuh kudratku tanpa iringan bingit.
 
Nah, hari ini aku dan pasukan kerja mendapat perkhabaran gembira. Rezeki Tuhan kirimkan kepada kami berlebih dari biasa. Berlebih dari apa yang kami fikir dan sangkakan. Dan, ia pertama kali terjadi sepanjang aku menjejak kaki di lantai pekerjaan ini.
 
Bersyukur. Dan, aku paling harap tidak menjadi atau jatuh di dalam kalangan manusia yang tidak tahu cukup. Percayalah, ada sebab mengapa sebanyak itu untuk kita dan ada alasan untuk hal sebaliknya.
 
[Dan, tangan kanan itu..]

Sunday, January 26, 2014

~ FITRAH KASIH ~



TAJUK: Fitrah Kasih
KARYA: Ilani Mysara
CETAKAN: Pertama (2008) & Kedua (2009)
PENERBIT: Alaf 21
HALAMAN: 463
HARGA: RM18.00
 “Rasa ini menjelma tanpa dipinta menyelinap di kalbu lalu menyelimuti hati…”


[Dalam sedar...]

Saturday, January 25, 2014

~ KEKASIH ~

 
RINDU. Dan, rasa itulah membuatkan aku hilang mimpi dan hilang tumpu. Lalu, aku membawa rasa itu kembali ke kampung halaman nun di pantai timur semenanjung tanah air untuk berdamping dengan ibu, si cinta hati ayah dan juga seluruh kami.
 
Meski pada kesempatan yang kurang 48 jam, ia cukup untuk mengubat rindu. Ia sempurna untuk berkasih sayang. Ia manis untuk dikenang-kenang. Terlalu cinta kamu wahai ibu, wahai kekasih, wahai cinta hati.
 
Terima kasih Tuhan.
 
[Nyawa yang ada..]

Friday, January 24, 2014

~ KISAH CINTA ~

 
CINTA. Dek kerana cinta ayah dan ibu, maka lahirlah aku dan kami adik-beradik seluruhnya. Cinta yang juga menghidupkan kami menjadi kami seperti mana hari ini.
 
Menurut ayah..
Cinta mereka wujud pada ketika yang cukup singkat. Namun, tidak pernah disangkakan oleh mereka berdua ia mampu kekal panjang sehingga ayah menutup mata. Cinta mahal yang asyik disebut ibu sehingga hari ini.
 
Kata ayah..
Saat mula kenal, dia tahu ibu menaruh cinta kepadanya. Tanpa silu, ayah mengakui ketampanannya sering menjadi sebab dirinya mahu didekati sang gadis, termasuk ibu. Malah tanpa mahu menjaga hati, ayah mengatakan ibu awalnya tidak ada pada mata ayah kerana ibu sentiasa kalah dari ukur fizikal berbanding gadis-gadis lain yang wujud di dalam hidupnya ketika itu (Ibu tidak pernah menunjukkan minat untuk mengulas kenyataan ayah itu..). Namun tanpa tahu ibu, ayah dalam diam jujur mengakui ibu sentiasa menang bila berkait soal hati budi.
 
Jelas ayah..
Dek kerana lebih ibu yang bukan biasa itu, dia tekad memilih ibu untuk sehidup semati. Dia mahu ibu melahirkan bakal zuriatnya. Dia percaya ibu mampu memberikan kasih yang paling mahal untuk dia dan untuk kami semua. Dia percaya pada kata hatinya.
 
Ujar ayah..
Sepanjang hidupnya di samping ibu, dia merasa bahagia yang penuh. Meski barannya sering menakutkan ibu, meski tegasnya sering menyesakkan ibu, meski tempiknya sering menyentak ibu, meski katanya sering mengusik hati ibu, meski segala kurang dan jeliknya dipertontonkan habis-habisan kepada ibu... ibu tetap setia di sisinya. Tetap ada untuknya (sehingga pada ketika dia menghembuskan nafas terakhir).
 
Pesan ayah..
Jagalah cinta ayah itu selagi hayat kami dikandung badan. Berpegang pada setiap kata cinta ayah itu untuk membahagiakannya. Selalulah di samping cinta ayah itu untuk membenar kasih sayangnya. Warisilah segala nilai terbaik yang ada pada cinta hati ayah itu kerana ayah mahu bahagia kerana itu.
 
Wahai Ayah..
Hanya Tuhan sahaja yang tahu, betapa agungnya duduk cinta hati ayah itu di dalam jiwa dan hidup kami. Selama-lama, selama mana dipinjamkan Tuhan  kepada kami.
 
[Al-Fatihah..]

Thursday, January 23, 2014

~ KERANA SECAWAN COFFEE ~

 
SESI. Aku didatangi lagi dengan perkongsian cerita. Aku mendengar, dan tidak pernah ada masalah untuk mendengar. Cuma sesekali ada rasa takut apabila bahu berat tergalas hal kerahsiaan yang jika silap perhitungan mampu merobah duduk sang empunya badan.
 
Hari ini, aku dan seorang kenalan ini memenuh kesempatan menghirup secawan coffee sementara menunggu sesi urus pekerjaan bermula. Kami tidak dekat, hanya saling mengenali atas urusan pekerjaan semata. Malah ini merupakan kali pertama kami duduk semeja di luar waktu pekerjaan.
 
Entah apa yang membuat dia punya rasa percaya, aku dikongsikan dengan segerombolan cerita yang menekan emosinya. Berkali dia mengulang, agar aku hanya menyimpan untuk aku. Sementelah sebahagian watak disebut itu dikenal aku meski kami bukan dari lantai pekerjaan yang sama..
 
Sepanjang mengenal teman yang seorang ini, dia seorang yang cukup ceria. Gemar berlucu dan disenang ramai orang. Dia dikenal antara yang tidak pernah mahu bercerita tentang perihal manusia lain melainkan pada hal keperluannya.
 
Dan, hari ini dia menitiskan air mata. Meluahkan rasa kecewa dan hal ketekanan yang merosak sabarnya. Terbarai emosinya dek kerana sikap manusia keliling yang melihat orang jenisnya sebagai kalangan sasaran yang harus dimangsakan. Lebih ranap, manusia-manusia itu sentiasa menerima baik senyum manisnya selama ini.
 
Di hujungnya, dia berkongsi tentang tekadnya. Mahu meninggalkan lantai pekerjaannya dan mencari sesuatu yang baru serta manusia-manusia baru yang mampu memberi energi yang positif kepadanya. Aku hanya mengangguk-angguk tanda mengerti, tanda menyokong dan tanda isyarat harapan.
 
Mohon agar Tuhan mudahkan dia.
 
Lumrah. Manusia yang terlihat cukup manis itu tidak semestinya memberi indah. Dan yang kelat kelam itu tidak juga membawa maksud setara itu. Apakah jenis kesenangan yang hati perolehi andai kemenangan kamu itu berhasil dari memijak manusia lain?
 
[Perchaya. Terima kaseh untok rasa per-chaya..]

Wednesday, January 22, 2014

~ POSITIF ~



PERANCANGAN. Dan menjadi kemestian pada setiap tahun apabila setiap pasukan yang ada di bawah bumbung dan selantai pekerjaan kami untuk membentangkan perancangan gerak kerja kami untuk perjalanan satu tahun 2014 yang bakal dilalui ini.
 
Kami tidak terkecuali.
 
Meski dua hari yang lalu pelbagai respon yang 'kurang memberangsangkan' yang kami dengari dari pasukan-pasukan lain yang sudah melakukan perbentangan, nyata pasukan kami berada di dalam situasi yang sebaliknya.
 
Alhamdulillah berkat usaha dan kerja keras dari kami satu pasukan, perbentangan yang dilakukan mendapat respon yang cukup positif. Malah, kami juga dijadikan contoh kepada pasukan-pasukan lain.
 
Dan, semestinya ia bukan atas usaha individu tetapi kesemua kami di dalam pasukan ini. Masing-masing memberi sumbangan pada satu keperluan yang sama. Aku berbangga menjadi sebahagian mereka ini.
 
Semoga tiada yang melorongkan kepada hal yang negatif.
 
[Menang semangat..]

Tuesday, January 21, 2014

~ BUKAN WANITA BEDA ~

 
CEMBURU. Dan, hari ini aku disuakan dengan tanya yang menuntut aku untuk memberi jawapan yang ada dari dalam hati.
 
Ya, scorpio seorang yang cukup perahsia. Jarang sekali berkongsi tentang rasanya, kecuali pada suatu hal yang dirasakan pasti dan pada manusia yang dilihatnya dengan penuh percaya.
 
Aku di hiruk pikuk kota besar ini dan teman jiwa nun di selatan semenanjung tanah air sana. Jarak memisahkan kami berdua. Namun alhamdulillah, semuanya masih mampu kami atur baik sehingga ke hari ini (kecuali pada tahun pertama kami berjarak dahulu) biarpun pelbagai kacau bilau pernah silih berganti tempat.
 
Lewat tengah malam tadi, dia bercerita tentang seseorang. Seseorang yang aku tahu sedang mahu mendekatinya. Aku memberi reaksi bersahaja (seolah tidak sedikit pun terganggu). Dan aku senang begitu kerana hubungan jarak jauh seperti kami ini tidak seharusnya disaratkan dengan pelbagai perkara remeh yang mampu membuat serabut seratus.
 
Namun kebersahajaan aku itu akhirnya menjadi punca perselisihan faham kami. Katanya, aku perlu cemburu. Kerana, dengan rasa cemburu itu dia merasa selamat dan dimiliki.. Yaa.. itu katanya. Kata ulang yang pernah disebutkannya sebelum ini.
 
Owhh.. lelaki sepet... Mana mungkin ada wanita di dunia ini yang tidak punya sifat cemburu itu. Mana mungkin! Dan, aku bukan wanita yang beda. Aku juga adalah dari kalangan wanita-wanita sedunia itu.

Lalu, ambil kembali soalan yang kamu suakan. Kerana jawapannya sudah ada di situ.
 
[Biarlah hanya di-dalam sana..]

Monday, January 20, 2014

Sunday, January 19, 2014

~ TEATER JAM DINDING YANG BERDETAK ~


 

 

 

 

 

 

 
 
AKU kira ia satu kelainan dan keberanian. Pada saat penonton kita dilihat begitu terarah dengan teater muzikal bersifat komersial, Revolution Stage sudi mengembalikan kita kepada arah teater sebenar. Kita dibawa kembali ke era teater 80'an yang banyak mengangkat tema realism ke pentas. 
 
Memilih tema kemiskinan dan kekeluargaan sebagai subjek utama, naskah ‘Jam Dinding Yang Berdetak’ tampil dengan pemikiran yang cukup kritis. Kemiskinan yang mampu menggugat institusi kekeluargaan. Malah, disebalik konflik demi konflik yang tercetus, penonton dibawa untuk menyerap harapan yang dibawa oleh setiap wataknya untuk keluar daripada permasalahan yang dilalui oleh mereka.
 
Pemain-pemain yang mendokong karya ini yang terdiri daripada Kirin Muhamad, Siti Suya Suryani, Nadiya Nisaa, Ameerul Affendi dan Sherry Al-Hadad ternyata berjaya menghidupkan peranan yang diberikan kepada mereka dengan cukup baik. Mereka mendapat karektor yang betul membuatkan ia mampu dicerna mudah.
 
Aku sukakan watak Erna (Nadiya Nisaa) yang penuh degan harapan. Meski dia sedar kemiskinan hidup yang mereka lalui adalah sesuatu yang cukup menyakitkan, dia masih tahu untuk senyum dan gembira seadanya. Malah dia seorang gadis yang penuh dengan harapan. Dan, Nadiya Nisa memberikan persembahan yang cukup cemerlang. Dia bukan pelakon asal teater, tetapi dia merupakan seorang pelakon yang tahu menggunakan ruang dan peluang dengan baik. Aku mengharapkan dia lebih berani untuk terus berlakon di pentas selepas ini.
 
Teater adaptasi daripada karya Indonesia yang diarahkan oleh Aloeng Silalahi ini dipentaskan di Lambang Sari Istana Budaya semenjak Jumaat lalu dan hari ini merupakan pementasan terakhir mereka.
 
Sempat menonton sebanyak dua kali. Kerana naskah dan sebagai tanda sokongan.
 
[Menunggu mereka men-dapat peluang untok ber-aksi di-panggong sari, istana budaya...]

Saturday, January 18, 2014

~ CIK BUNGA DAN ENCIK SOMBONG ~

TAJUK: Cik Bunga dan Encik Sombong
KARYA: Airisz
CETAKAN: Dua Belas (Oktober 2013)
PENERBIT: Karya Seni Sdn Bhd
HALAMAN: 593
HARGA: RM22.00
“Untuk hidup berdua, haruslah setia..”
[Melengkapi..]

Friday, January 17, 2014

Thursday, January 16, 2014

~ SEE YOU GO ~



SEE YOU GO
by yuna

 Hey, why you worry
 I see it in your eyes
 Why won't you trust me
 'Cause you know even if you're a million miles away
I'd still be thinking of you

Lovely, why you're so jealous
 This is just me
 I'm mischievous
 But you know that I'm not the kind of girl
That would do anything that would break your heart in two

I want you, if you didn't know yet
 Need you, might not show it
 Love you, more and more
 And I really hope I never have to see you go,
See you go (see you go)

Baby, I'm a Scorpio
 I'm independent
 I'm in control
 Don't think I don't care, that I'll never be there;
I'll answer the phone whenever you call

My dear, why you so insecure
 You know I love you
 And so much more
 You mean everything to me,
I'm never gonna leave you,
Oh you know that's for sure

I want you, if you didn't know yet
 Need you, might not show it
 Love you, more and more
 And I really hope I never have to see you go,
See you go (see you go)

Lately, you've been angry
 Well you can tell me
 What you're thinking
 I'll tell you everything that'll make you okay,
Just stay and you'll be smiling again

My love, you're my story
 I'm your princess
 You're Prince Charming
 Run away with me, we'll find a castle,
Live there and grow old together

I want you, if you didn't know yet
 Need you, might not show it
 Love you, more and more
 And I really hope I never have to see you go,
See you go (see you go)

Oh, my love
 My dreams came true
 Finally found someone like you

Oh, you gotta be crazy to think I'll leave
 You're the only thing that's real to me

I want you, if you didn't know yet
 Need you, might not show it
 Love you, more and more
 And I really hope I never have to see you go,
See you go (see you go)

I want you, if you didn't know yet
 Need you, might not show it
 Love you, more and more
 And I really hope I never have to see you go,
See you go (see you go)
 
[I'm a Scorpio..]

Wednesday, January 15, 2014

~ SALAH HALA ~



BUKAN sekali, dan bukan juga dua. Tetapi terlalu selalu aku di dalam keadaan yang serupa. Pada saat hilang tumpu, kerap sahaja tersilap menghalakan mesej kepada nombor dan nama yang salah. Meski ia tidak melibatkan hal kerahsiaaan, tetapi salah hala itu terarah bercerita tentang aku. Dan, aku tidak sukakannya.
 
Lebih parah, bila mana salah hala itu pergi kepada seseorang yang aku mahu senyapi atau tidak sepatutnya. Ophelia... 
 
[Tumpu..]

Tuesday, January 14, 2014

~ 12 RABIUL AWAL 1435H ~



 
SALAM maulidur rasul. Selawat ke atas junjungan Nabi Muhamad S.A.W. Mudah-mudahan kita menjadi umatnya yang sentiasa menuruti dan berpegang kepada segala sunnah dan ajarannya sehingga menutup mata. Amin.
 
[Dan, sesunggoh-nya Nabi Muhamad itu pesuroh Allah..]

Monday, January 13, 2014

~ MEMILIH BARU ~

 
SELEPAS 205 hari ayah meninggalkan kami semua, kakak seisi keluarga membuat keputusan untuk berpindah ke kampung halaman kami, nun di pantai timur semenanjung tanah air. Mengorbankan apa yang dia punya di hiruk pikuk kota ini demi untuk dekat dengan ibu, demi untuk sering mengunjungi pusara ayah.
 
Awal hari ini dia bakal membuat permohonan untuk ditukarkan di negeri tempat kelahiran kami. Bulat hatinya, tekad pendiriannya.
 
Dan, aku punya detik yang serupa. Meski keputusan kakak itu tidak bersangkut pengaruh kepadaku, namun aku punya fikiran yang searah. Aku juga mungkin meninggalkan segala yang ada di sini untuk kembali ke tempat asal kelahiran. Bukan atas desak sesiapa, tetapi atas ingin hati. Tidak aku suarakan kepada kakak atau sesiapa, kerana  itu aku.
 
Bukan sahaja bersebab ayah atau ibu, tetapi soal lain yang turut menolak aku kepada ingin itu. Sudah tiba masa, barangkali. Dan, pada ketika aku akan meninggalkan apa yang ada ini, aku tidak akan pernah terjejak lagi. Menjadi baru pada suatu hal yang paling baru.
 
[Semoga di-permudah-kan..]

Sunday, January 12, 2014

~ SAHABAT ~



AKU kira sang scorpio sering mampu menyembunyikan gelora rasa. Mahu hanya diri yang tahu pada kala resah dan pahit membuat hambat. Namun, pada suatu ketekanan, rupanya tetap kalah.
 
[Me-lehat aku..]

Saturday, January 11, 2014

~ AWEK BUKU & CORNFLAKES MADU ~

 

TAJUK: Awek Buku & Cornflakes Madu
KARYA: Annis Rizani
CETAKAN: Pertama (2012) dan Kedua (2013)
PENERBIT: Buku Prima
HALAMAN: 499
HARGA: RM19.90
 
“Realiti dan kenangan, yang mana satu harus ku bersandar?”
 
 
[Dan, lehat...]

Friday, January 10, 2014

~ TIADA DESAKAN ~

 

 
AKU tidak pernah merasa terikat. Malah merasa senang kerana ada yang mahu mengambil tahu setiap langkah dan setiap apa yang dilakukan aku. Terbiasa semenjak awal mengenal dunia dan masih selesa biarpun usia sudah menginjak dewasa..
 
Ia sebuah kasih sayang. Ya, dengan cara tidak memberi beban resah, ketakutan, kebimbangan dan pelbagai kebarangkalian lain. Itu aku, itu kakak dan itulah kami.
 
Meski ada diantara rakan-rakan yang melihat betapa terikatnya aku, betapa berperaturannya aku, betapa terbatasnya langkahku, aku tidak pernah mahu peduli. Ini cara kami, cara kami berkasih sayang.
 
Dan, meski pada usia sematang ini, setiap langkahku masih dalam tahu kakak, dalam tahu ibu dan dalam tahu mereka. Tidak juga atas desakan atau permintaan, tetapi atas selesa aku sendiri.
 
Justeru, usahlah berfikir salah.
 
[Pada se-buah pelokan..]

Thursday, January 09, 2014

~ HARUM ~

 
SECAWAN kopi. Pada sebuah kesempatan untuk bertukar cerita, aku dan seorang teman menghabiskan masa di sebuah kopitiam lama di Kepong. Sedikit jauh dari kebiasaan kami.
 
Cerita kami terganggu dek harum coffee yang ada. Sangat menusuk dan begitu mesra pada indra bauku. Manakan tidak, harumnya seperti milik ayah. Seperti yang selalu menjadi pilih ayah. Harum yang punya dia setiap kali memilih coffee.
 
Rindu. Dan hilang tumpu.
 
[Hanya sechawan...]

Tuesday, January 07, 2014

~ BENCANA: TANAH RUNTUH ~







 

Tanah Runtuh: Laluan Dari Parlimen Ke PWTC Ditutup

KUALA LUMPUR: Sebahagian laluan Lebuhraya Mahameru, iaitu dari Parlimen menuju Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), ditutup sementara berikutan kejadian tanah runtuh di tebing berhampiran kawasan berkenaan, Selasa.
 
Jurucakap polis dari Bilik Gerakan Trafik Kuala Lumpur berkata runtuhan tebing bukit jalan itu yang berlaku kira-kira 5.20 petang dipercayai berpunca daripada hujan lebat pada sebelah petang.
Runtuhan seluas 10x10 meter persegi itu juga didapati menutupi jalan, menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk terutama di kawasan sekitar namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Tanah runtuh di Jalan Mahameru menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk, petang Selasa.
"Orang ramai yang hendak ke kawasan itu ketika ini dinasihat menggunakan laluan alternatif di Jalan Duta dan Parlimen sebelum mereka tembus di Bulatan Segambut di sini," katanya ketika dihubungi.
 
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sentul Zahari Mohamad berkata sejumlah 17 anggota dan pegawai serta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul dan Hartamas dikejar ke tempat kejadian setelah dimaklumkan tentang kejadian tanah runtuh berkenaan.
 
Pihak penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut berada di lokasi kejadian bagi memantau dan membersihkan runtuhan serta mengawal lalu lintas. Runtuhan ini merupakan yang kedua di kawasan itu selepas kejadian pada Mei lepas. - BERNAMA
 

ALHAMDULILLAH. Tiada nyawa yang terkorban. Mudah-mudahan kita sama-sama mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku hari ini.

[Dan, laluan utama untok pulang ke-rumah..]

Monday, January 06, 2014

~ BERPALING ~


 

 


AWALNYA aku fikir, keputusan untuk tidak lagi duduk di tempat yang sama dan melalui hal yang serupa itu datangnya ketika aku di dalam keadaan yang cukup beremosi tempohari. Ketika amarah membuat raja dan mendahului segala yang ada pada fikir dan hati.
 
Namun, saat ini ketika aku berada di dalam keadaan hati yang tenang dan jauh dari gelora rasa emosi, aku masih dengan keputusan yang sama. Mahu bergerak dan berpaling. Dengan akal yang waras. Ternyata sembilan tahun itu sebenarnya tidak pernah cukup untuk menjadi yang mengerti.

Dan, hari ini aku mula membuat lenyap dan menghalang akses untuk segala bentuk komunikasi yang sering ada. Mudah-mudahan dengan ketetapan.
 
[Reset]

Sunday, January 05, 2014

~ TAKDIR ITU MILIK AKU ~

 
TAJUK: Takdir Itu Milik Aku
KARYA: Siti Rosmizah
CETAKAN: Pertama - 2012
PENERBIT: SR Publication
HALAMAN: 1055
HARGA: RM33.90
 
“Perlukah kau bertanya tentang hatiku sedangkan sejak itu kau telah tahu betapa kukecewa oleh perbuatan yang tiba di luar jangkaan..”
 
[Pasrah itu menyerah, reda itu ikhlas..]

Saturday, January 04, 2014

~ PADA SEBUAH HAK ~

 
HAK. Semua orang bercakap tentang hak mereka, dan bagaimana dengan hak aku? Apa aku tidak berhak untuk satupun hak yang ada?
 
Dan, hari ni aku merasa teramat ranap. Diperlakukan demikian rasa seperti harga diri tiada duduknya. Seperti sampah. Disuap bingit yang teramat bingitnya. Bingit yang membuat luka yang bukan kepalang. Kasar, keras  dan menekan. Terpaling kasar, terpaling keras dan terpaling menekan sebenarnya.
 
Dan, aku perlu berhenti. Bimbang emosi menjadi liar. Resah tutur di luar kawal. Gusar kalau tindak tanduk membelakangi waras.
 
Terima kasih kerana melihat aku berhak kepada bingit kau ini. juga kerana sering mendulu ataskan segala kurangku. Pintaku hanya satu. Berhentilah merasa istimewa, kerana istimewa kau itu telah memijak terlalu banyak rasa orang lain, termasuk aku.
 
Semua orang merasa mereka perlu difahami dan bagaimana dengan aku?
 
[Hak dan berhak.. hak dan berhak.. hak dan berhak..]

Friday, January 03, 2014

~ KE ASAL ~



CUBA untuk memulih. Tidak lagi bersifat menunggu. Aku ranapkan segala ego yang ada, lenyapkan marah yang menyala. Sungguh, aku tidak mahu lagi terperangkap dengan kekesalan yang serupa. Sepenuh kudrat yang ada aku melakukan itu (meski tidak terlihat begitu pada pandangan orang lain).
 
Namun... ia dimainkan dan mematahkan hati.
 
Lalu, mungkin aku perlu ke asal aku. Bukan kerana tidak punya kental rasa, cuma aku melihat ia tiada beza. Tiada sedikit tanda untuk diberi aku.
 
Dan, aku kembali ke sifat menunggu. Carilah kalau mahu, jauhlah jika perlu.
 
[Berubah untok satu perobahan..]

Thursday, January 02, 2014

~ TSUNAMI YANG MENEKAN ~



DEMAM sejak beberapa hari lalu. Namun, hal tsunami yang menekan seiring itu lebih memberi kesan kepada tubuh badan. Serabut seratus yang tidak terleraikan meski aku mengalih fikir berkali untuk tidak mengambil peduli pada apa yang berlaku tempohari.
 
Dan, itu yang terjadi selalu apabila ribut-ribut begini membuat damping. Terlalu selalu. Ya, hal seperti ini begitu mampu memberi pengaruh besar kepada perjalanan seharianku. Hilang tumpu.
 
Hari ini selepas dua jam di lantai pekerjaan, aku pulang ke rumah tidak semena. Atas alasan remeh tertinggal jam tangan. Hanya kerana itu aku meredah sesak jalan raya dari bandar bunga anggerik ke bunga tanjung dan kembali ke bunga anggerik. Hampir dua jam lebih perjalanan.
 
Bukan kerana jam tangan, tetapi hal yang membawa ketekanan yang keras itu. Dan, aku tidak sukakan itu.
 
[Ber-baloikah untok aku..?]

Wednesday, January 01, 2014

~ SELAMAT TAHUN BARU 2014 ~

 
SELAMAT tinggal 2013, dan selamat datang 2014. Meski 2014 membuka tirai dengan cerita pedih, aku tetap mengharapkan agar perjalananku untuk tahun ini (jika dizinkan usia) akan menjadi lebih baik berbanding sebelumnya.
 
Saat detik 2014 ini menjengah, aku tidak di bawah mana-mana percikan bunga api. Hanya di ruang empat segi berdinding putih ini melayan rasa yang pelbagai.
 
Dan, hakikatnya aku tidak pernah menang pada kata. Tuhan lebih tahu itu.

[Haros kembali ke-asal aku, diam..]