Wednesday, December 31, 2014

~ MENJADI AKHIR ~











BUKAN mudah untuk mengucapkan selamat tinggal. Bukan mudah untuk menghentikan kebiasaan. Bukan mudah juga untuk melupakan pahit manis yang tercipta selama membina hidup di sini.

Nah... pada hari akhir untuk tahun 2014 ini juga menjadi hari akhir aku menjadi 'Perempuan Melayu Ampang'. Hijrah.. Langkah baru, semoga semuanya menjadi baru. 

Mudah-mudahan 'semalam' tidak mengekoriku. Semoga yang pahit-pahit itu ditinggalkan sekali, dan yang manis-manis itu dibawa kelek. Insya-Allah, jauhnya jaraknya ini mampu membuat jauh juga kepada luka.

Selamat berpisah..

[Berat]

Tuesday, December 30, 2014

~ BAH, DAN PANTAI TIMUR SEMENANJUNG TANAH AIR ~

















MELIMPAH. Semuanya terapung hanyut mengikut arus. Deras alirnya membawa segala yang punya tanpa mahu. Bukan lagi sekadar digenang-genang, tetapi naiknya menutup segala yang ada sehingga tinggal ke sayup mata dan rasa. Tidak hanya harta benda yang menjadi igauan, tetapi nyawa juga semakin dekat kepada taruhan.

Pantai Timur semenanjung tanahair, dilanda bah. Bukan pada yang selalu, tetapi paling luar biasa menguji getar rasa rakan-rakan dan keluarga di sana. Dan, sungguh betapa getirnya mereka melalui semua ini.

Justeru, apalah kiranya kita yang tidak berdepan getir serupa, meringankan kepayahan mereka dengan hulur bantu setakat yang ada di dalam kemampuan. Kalau tidak dengan wang ringgit, apalah kiranya pada tenaga. Jika di luar juga pada keluangan, cukuplah sekadar doa dan harapan agar mereka selamat dan kuat dengan ujian ini. Amin.

[Mujur sahaja, rumah ibu tidak digenangi serupa.. alhamdulillah]

Monday, December 29, 2014

~ AIR ASIA QZ8501 ~







SELEPAS kejadian malang yang berlaku kepada MH370 (Mac 2014) dan MH17 (Julai 2014), kita sekali lagi dikejutkan dengan berita kehilangan pesawat Air Asia QZ8501, penerbangan dari Surabaya ke Singapura yang membawa 155 orang penumpang yang terdiri daripada 130 dewasa, 24 kanak-kanak dan seorang bayi. 

Menurut AirAsia, pesawat jenis Airbus A320-200 dengan nombor pendaftaran PK-AXC itu hilang perhubungan dengan pusat kawalan trafik pada jam 7.24 siang hari tadi. Sehingga berita dikongsikan di sini, operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan. Mudah-mudahan pesawat ini segera ditemui dan semuanya selamat.

Dan, Tuhan lebih mengetahui di atas segala-galanya. Semoga keluarga mangsa yang terlibat tabah dan kuat berdepan sebarang kemungkinan yang berlaku. Amin.

[Dan, kali ketiga untok tempoh kurang setahon..]  

Sunday, December 28, 2014

~ BEAUTIFUL PEOPLE ~







Beautiful People
KARYA: Wendy Holden
CETAKAN: Pertama (2009)
PENERBIT: Headline Publishing Group
HALAMAN: 663

[Inspirasi..]

Saturday, December 27, 2014

~ TAMU KATIL DINGIN LAGI..~


KALI kedua dalam tempoh tiga bulan. Kembali menjadi tamu di katil dingin rumah sakit. Dan, aku tidak terfikir sesingkat ini waktu untuk kembali bertamu. Kondisi badan kembali memberi isyarat agar aku sentiasa ingat akan kekurangan dan ketidaksempurnaan sedia adaku. Moga, aku ini masih punya kekuatan untuk berbuat-buat lupa akan kenyataan kondisi diri yang terpaksa aku telan itu.

Apapun, pada saat yang tidak terjangka itu, sahabat dekat yang namanya ZR setia menemani dan menjagaku sepanjang malam di katil dingin itu dari saat lelapnya aku sehingga ketika membuka mata. Terima kasih dengan sesungguhnya.  Tiada kata yang mampu aku tutur, melainkan doa penuh harapan agar Tuhan memberimu sesuatu atas ketulusan hati itu.

Siang hari tadi, sahabat ini mengulang kembali tuturku pada malam pertama aku bertamu di sana. Kala aku melawan beban dengan tangisan.
"Kalau aku dah tak ada nanti, jangan pernah lupa hadiahkan aku fatihah.. kerana aku tak punya ramai kawan yang mahu berikan aku hadiah.."

Dia mengejek, sambil mencebik. Dan, kemudiannya memberi amaran agar aku tidak lagi menuturkan kata seperti itu. Drama, katanya.

Aku hanya tersenyum. Dan, kemudiannya menjawab;
"Aku cakap begitu bukan waktu aku tengah sakit sahaja, sekarang pun aku masih nak cakap benda yang sama.."

Dan, dia terus diam. Memang sungguh, aku maksudkan kata-kata itu. Dan, ia bukan drama.

Terima kasih Tuhan, kerana hadirkan kepadaku dengan manusia-manusia yang berjiwa tulus. Yang membuat dekat kerana aku adanya, dan tiada lain. Moga, kau pupuk aku dengan hati yang serupa agar mampu berjiwa tulus juga untuk manusia lainnya. Agar tumbuh kasih sayang itu dengan hati yang benar-benar ikhlas. amin.

[Ber-ulang alek lagi.. ke rumah puteh itu..]

Friday, December 26, 2014

~ SEPULUH ~


SEPULUH

Andai sepuluh tahun itu
Tidak pernah memberi 
Apa-apa erti buatmu
Dalam sebuah persahabatan
Aku akur menerimanya

Andai sepuluh tahun itu
Tidak tidak pernah ada benarnya
Aku senang untuk memberhentikan
Apa yang pernah ada itu

Andai sepuluh tahun itu
Memberikan sakit kepadamu
Serta luka hati yang menoreh kerana aku
Aku mohon agar Tuhan gantikan
Sepuluh tahun yang penuh sesal itu
Dengan sesuatu yang lebih membahagiakan kamu
Pada hari-hari yang bakal kamu depani nanti

Andai sepuluh tahun itu
Bisa diulang kembali
Aku pasti tidak akan pernah
Mahu ada di sini

Dan,
Andai sepuluh tahun itu
Akhirnya begini
Semoga tiada benci..

[Di-suroh jaga..]

Thursday, December 25, 2014

~ SELAMAT HARI NATAL, 25 DISEMBER ~


SELAMAT menyambut hari Krismas untuk seluruh yang meraikan. Semoga kegembiraan sentiasa ada mengiringi dengan hal-hal yang paling manis bersama keluarga dan manusia-manusia yang bermakna.

Tentu sekali juga untuk lelaki sepet yang tidak pernah putus harap menunggu santa tiba membawa khabaran gembira. Mudah-mudahan Krismas kali ini memberi yang lebih, tidak kira dari sudut apapun.

[Di-luar jendela..]

Wednesday, December 24, 2014

~ DUNIA KECIL ~


DUNIA aku kecil. Kecil di dalam serba serbi. Kemahuan, kebiasaan, kegembiraan, kepunyaan dan semuanya tentang rutinku, hanya dalam ruang lingkup yang begitu kecil. 

Tidak susah meneka-neka apa mahu aku, kemana pergi aku, bagaimanakah rasa aku dan segala satu yang lain. Semuanya mampu dibaca dan ditelah kamu hanya dengan sekali lihat.

Justeru, tiada yang istimewa atau menjadi lebih dari orang lain.

Lalu, kerana kecilnya aku itu, tentu tidak selayaknya untuk aku masuk ke dunia besar orang lain. Dan, ia pernah diakukan oleh sahabat yang aku anggap paling dekat. Ya, jujurnya dia kerana aku bukan lagi dalam keperluan.

Apapun, aku senang dengan dunia kecilku. Dunia serupa dan setia yang tidak pernah mahu pergi meninggalkan sebarang sesuatu yang menyumbang kepada bahagia hidupnya, walaupun hanya secebis. 

Scorpio mengajar aku tentang itu.

[Se-ada-nya..]

Tuesday, December 23, 2014

~ ENERGI POSITIF ~


BENARLAH kata orang, andai kita sentisa dikelilingi oleh pengaruh atau orang-orang yang positif, maka energi positifnya akan sampai kepada kita juga dan begitulah sebaliknya. Banyak kali di dalam hidupku, ia terbukti begitu.

Hari ini, atas urusan pekerjaan, aku punya kesempatan  untuk duduk menutur bual dengan bekas Ratu Cantik Malaysia yang kini sudah bergelar penyanyi dan pelakon, Soo Wincci. Setiap kali punya kesempatan begini, aku tidak lepas untuk menghalakan perbualan tentang inspirasi dan motivasi dalam kehendak hidupnya. Hampir setiap kali bual, aku akan mengulang hal yang serupa.

Dan, sungguh dia seorang manusia yang begitu positif mendepani hidupnya dan mengejar impi yang diciptanya. Jujurnya, banyak sekali yang terpinjam aku dari cerita kehidupannya. Energi positif yang dibawanya turut terkongsi dengan mereka yang berkeliling.

“Semakin banyak kita berkongsi, sebanyak itulah kita dapat dapat balik..”

[Team Scorpio..]

Monday, December 22, 2014

Sunday, December 21, 2014

~ TEATER TAKHTA 3 RATU ~














KEBERANIAN pengarah wanita terkenal, Eirma Fatima mementaskan sebuah karya berat berlatarkan sejarah Kesultanan Melayu Melaka, di pentas berprestij, Istana Budaya seharusnya dipuji. Semestinya bukan sesuatu yang mudah untuk merealisasikannya naskhah dari genre itu, selain berdepan dengan persepi penonton yang masih berkira-kira untuk datang menonton karya berat berbentuk sejarah seperti ini.

Meski hanya sebuah karya fiksyen, pada aku, ‘Takhta 3 Ratu’ berjaya membawa penonton kembali ke era tersebut melalui perjalanan cerita yang dibawa dengan begitu baik sepanjang pementasannya selama dua setengah jam ini. Malah ia turut disokong dengan rekaan kostum dan set pentas yang begitu menarik sekali.

‘Takhta 3 Ratu’ mengisahkan tentang pergolakan emosi tiga wanita penting di dalam hidup Sultan Mansur Shah iaitu Raden Galuh Cenderai Kirana (Puteri Majapahit), Hang Li Po (Puteri China) dan Lela Wangsa (Puteri Inderapura). Ketiga-tiga wanita ini dikahwini oleh Sultan Mansur untuk menjaga kedaulatan dan hubungan diplomatik dengan negeri-negeri terbabit selain meluaskan kuasa.

Erma dilihat mengangkat karya ini dari sudut pandangannya sebagai seorang wanita. Banyak sekali suara dan perjuangan wanita yang ditampilkan melalui watak-watak utamanya. Malah dia juga memperlihatkan bagaimana kuasa wanita mampu mengubah atau melakukan sesuatu yang di luar jangkaan disebalik kelembutan dan jiwa halus yang dimiliki.

Tahniah diucapkan kepada barisan pelakon, Soo Wincci, Lim Mei Fen, Izreen Azminda, Erra Fazira, Awie, Remy Ishak, Beto Kusyairy, Azri Iskandar, Dato’ Rahim Razali, Tasha Shilla dan lain-lain yang rata-ratanya memberi persembahan terbaik mereka. 

Namun, watak Puteri Hang Li Po yang dibawakan oleh Lim Mei Fen/Soo Wincci sangat mencuri perhatian. Persembahan lakonannya begitu kemas dan cukup meyakinkan sehingga watak puteri dari China itu mengundang kebencian penonton.

Mei Fen Lim satu nama yang begitu asing dalam industri seni bagi pasaran Melayu. Meski dia bukan orang baru dan agak popular sebagai model TV komersial dan pelakon drama-drama Cina tempatan, namun tiada yang mengenalinya untuk pasaran Melayu sebagaimana Soo Wincci. Namun, dek kerana persembahan hebatnya menghidupkan watak Puteri Hang Lipo, namanya begitu menjadi perhatian. Rata-rata media Melayu memberi pujian dan mengangkat namanya sebagai yang paling menonjol dalam pementasan ini.  Suatu permulaan yang baik buatnya kukira.

Pun begitu adalah tidak adil untuk membanding-bandingkan Puteri Hang Li Po versi Mei Fen Lim dan Soo Wincci yang dijayakan bersama oleh mereka. Masing-masing punya kelebihan dan kekurangan tersendiri. Apa yang penting watak Puteri Hang Li Po begitu menyerlah di dalam naskhah ini.

Pementasan yang berlangsung pada 14-22 Disember ini diterbitkan oleh gandingan tiga produksi iaitu Rumah Karya Citra Sdn Bhd (milik Eirma Fatima), Erra Fazira Entertainment Sdn Bhd dan Awie Entertainment Sdn Bhd.

[Juga di-hasil-kan dalam format tele-filem yang di-siar-kan di-Astro First..]