Thursday, October 31, 2013

~ TEATER KOMPILASI NAM RON ~


 

 

SETELAH sekian lama asyik disajikan dengan teater ringan dan bersifat hiburan semata-mata, produksi Rumah Anak Teater tampil memberikan pilihan yang berbeza. Naskah kompilasi hasil daripada tulisan dan cetusan idea Nam Ron ini menampilkan tiga bahagian cerita yang setiap satu daripadanya menyentuh tentang isu tabu sering dikaitkan dengan kehidupan masyarakat hari ini.
 
Pertama, ‘Aku Ingin Jadi Bintang’ yang diterajui oleh Sharifah Amani. Cerita tentang seorang gadis yang menyimpan impian untuk bergelar artis popular yang akhirnya tersungkur di dunia gelap. Tidak sukar untuk Amani menangani watak ini aku kira. Dia tahu keperluannya dan dia juga terbiasa dengan kemahuan Nam Ron. Justeru, watak Indah dibawanya secukup rasa.
 
Kedua, ‘Laut Yang Tenang’ yang memberi kepercayaan kepada Aqasha dan Vanidah Imran sebagai pemainnya. Vanidah hanya biasa-biasa. Mungkin kerana watak sebagai seorang peguam itu hanya dalam keadaan itu sahaja. Justeru tidak banyak yang dia boleh warnakan. Sementara Aqasha yang bertama kali beraksi di pentas teater melalui watak Laut ini, memberi persembahan yang agak menarik. Tenang, bersahaja tetapi cukup meyakinkan. Dia punya potensi besar untuk meneroka kesempatan lain di pentas teater ini.
 
Dan bahagian akhir iaitu ‘Laut Lebih Indah Dari Bulan’ pula disempurnakan oleh Sofia Jane. Aku paling sukakan bahagian ini. Suka kerana watak Bulan ini adalah yang paling beremosi aku kira. Yang penuh dengan kekalutan dalaman dan mainan perasaan yang maha hebat. Memang Sofia Jane merupakan pilihan teapt Nam Ron. Lontaran monolognya yang cukup berkesan seiring dengan penjiwaan watak yang dibawanya. Sofia benar-benar mengisi watak Bulan dengan begitu baik sekali. Meski lama tidak beraksi di pentas teater, energi dan persembahan Sofia sangat luar biasa.
 
Teater Kompilasi Nam Ron akan dipentaskan di Damansara Performing Arts Centre, pada 1-3 November ini.
 
[Monolog...]

Wednesday, October 30, 2013

~ SALING PILIH ~



SALING PILIH
 
Kamu memilih
Dan aku juga memilih
Soal rasa
Soal luka
Dan, soal yang ditengahnya
 
Kurang lebih lapan
Kau berkoyak tampal
Aku berkoyak tampal
Sehingga ruang ini
Penuh dengan bulat-bulat
Lubang yang tembus
Dekat lekat dan padat
Mengisi rasa
 
Namun, aku percaya
Senyum itu mampu memberi hidup
Pada seluruh hati-hati luka
Pada suatu nilai yang tidak ternilai
 
[Persahabatan]

Tuesday, October 29, 2013

~ INGATAN KASIH SAYANG ~

 
ALLAH selamatkan kamu. Mudah-mudahan dua yang namanya Shaz dan Cp ini diberkati hidupnya sepanjang bernyawa. Semoga terus menjadi insan positif dan menghargai kasih sayang. Juga terus menjadi sebahagian yang menerima aku seadanya. Amin.
 
Doa dan ucapan sempena hari lahir ini sangat membuat senang pada aku. Semenjak kecil terbiasa dengan hal seperti ini. Ibu sering menggalak. Katanya, melalui ingatan seperti ini kasih sayang akan menjadi lebih dekat. Meski hal sekecil yang kita anggap tidak punya apa, tetapi sebenarnya nilanya lebih dari apa yang kita lihat.
 
Justeru, adalah menjadi hal yang paling menyenangkan setiap kali aku membuat ucap selamat seperti ini. Malah kalau dibelek kembali, berderetan entri ucap selamat sebegini mengisi ruang ceritaku di sini.
 
Terima kasih juga untuk semua yang menjadi sebahagian dari hidupku atas ucapan ulangtahun kelahiran minggu lalu. Meski aku tidak bereaksi lebih, kamu harus tahu aku begitu amat menyenangi dan menghargai.
 
[Scorpio..]  

Monday, October 28, 2013

~ KE DALAM DIRI SENDIRI ~



MENJADI pakar rujuk. Tidak pasti tentang kurang lebihnya, namun aku sering didatangi dengan hal yang begitu. Di percayakan rahsia dan dipercayakan kata. Bukan dengan mahu, tetapi scorpio seperti aku bersifat menerima.
 
Aku tidak tahu bagaimana aku mampu menangani baik kecamuk yang terkongsi mereka itu. Bagaimana aku mampu memberi kata-kata yang membuat senang kepada kekusutan mereka. Bagaimana aku mampu memulih harap dengan hal yang positif. Bagaimana itu dan bagaimana ini.
 
Hakikatnya, aku tidak mampu melakukan untuk diri sendiri. Meski sering dilihat sebagai membantu menyelesai untuk orang lain, namun tidak untuk selirat yang dimiliki aku. Meski dilihat orang aku ini sebagai manusia yang paling tenang, namun tidak pada benarnya.
 
Malang.
 
Beberapa minggu terkebelakang ini, aku benar-benar bersimpul seratus. Cuba untuk bersikap positif, cuba untuk menyenangkan hati sendiri, cuba untuk membuat selesai dengan baik. Namun semunya tergantung tanpa ada hujung.
 
Meleraikan kekusutan untuk orang lain, sedang kekusutan diri sendiri semakin bersimpul mati.
 
[Pendam. Simpan.]

Sunday, October 27, 2013

~ TAKKAN MELUPAKAN MU ~



TAJUK: Takkan Melupakanmu
KARYA: Rosa Nur Imani
CETAKAN: Pertama- 2011
PENERBIT: Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN: 613
HARGA: RM25.90
 “Pergilah derita. Kini aku ingin meninggalkan segala derita dan memulakan hidup bahagia, memulakan hidup jauh daripada segala manusia yang telah menitipkan derita ke jiwaku..”
[Suatu masa dahulu...]

Saturday, October 26, 2013

~ MASKARA 2013 ~




SETELAH lama berehat, acara yang paling ditunggu, MASKARA (Malam Baca Naskah & Kawan-kawan Yang Kita Suka), kembali menemui penggemar. Maskara pertama untuk tahun 2013.
 
Cukup berbesar hati saat pertama kali menjejak kaki ke rumah PENA yang berwajah baru (selesai dibaik-pulih) ini. Betapa mereka beriya memberi rasa selesa untuk kawan-kawan yang kita suka menjalankan aktiviti kesenian mereka, mahupun mereka yang sekadar menikmati hasil kesenian itu.
 
Maskara kali ini menampilkan Dr Shamsudin Othman, Ainul Muaiyanah, Cech Adrea, Seakan Bintang, Sattama dan Perimeter Beach dengan dendangan seni mereka.
 
Namun yang paling mencuri tumpu aku pada malam ni, tentulah persembahan Akeem Keroncong dan Azzwin Hashim Al-Yahya. Pertama kali menyaksikan persembahan mereka, namun hati terpaut senang. Semoga ada lebih ruang untuk mereka melebarkan bakat.
 
Tahniah kepada ahli-ahli Sindiket Sol-Jah yang tidak pernah putus asa untuk memberi ruang dan menghidup seni dengan cara yang tersendiri. Meski tidak segah acara besar lainnya, Maskara tetap punya tempat sendiri. Tetapi menjadi penyumbang kepada keberhasilan seni untuk tanah air.
 
[Ter-kenang Fynn Jamal, Taheera Roshera, Asmidar, Nick, Meor dan ramai lagi yang pernah men-churi tumpu di-Maskara sebelum ini..]

Friday, October 25, 2013

~ TIMPA ~


 
AKU kira lukisan langit merah yang menjadi kesukaanku ini semakin menjadi sebahagian aku. Manakan tidak, saat mahu membuangnya jauh dari aku lantaran menuruh emosi, dia memberi tragedi. Seperti tahu, atau seperti tidak mahu.
 
Ya, seawal pagi ini, langit merah ini membuat timpa dan kepala pula membuat tadah. Dan seharian, gegarnya membuat aku hampir hilang ingatan. Keras isyaratnya. Sedang aku baru sahaja punya detik.
Mungkin kerana langit merah ini sering mendengar aku. Barangkali..

[Se-makin larot..]

Thursday, October 24, 2013

~ TRAGEDI ~

 
AKU pasti kita semua maklum dengan dua tragedi keras yang menggemparkan negara lewat beberapa hari ini.
 
Kejadian rompakan yang melibatkan kematian seorang pegawai bank (Am Bank, Subang Jaya) lewat beberapa lalu, dan yang terbaru kes amukan berdarah di stesen LRT (Gombak).
 
Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan Tuhan merahmati kehidupan mereka di sana. Mudah-mudahan juga keluarga mangsa yang terlibat reda dan mampu mendepani saat-saat sukar ini dengan sebaiknya.
 
Untuk kita, hentikanlah untuk mengusik hati mereka yang di dalam tragedi ini. Berhentilah menyebarkan foto mahupun video tragedi yang berlaku itu. Ia adalah satu tindakan yang tidak bermoral walau atas apa tujuan sekalipun.
 
Belajarlah untuk menjadi manusia yang lebih bertanggungjawab dan menjauhi sifat mementingkan diri sendiri. Hari ini, mungkin hari mereka. Siapa tahu esok atau lusa kita pula yang diuji dengan dugaan serupa.
 
[AL-Fatihah..]

Wednesday, October 23, 2013

~ HARI NYAWA TUMBUH ~



ALHAMDULILLAH... Tuhan masih memanjangkan nyawa. Masih memberi kesempatan untuk aku menghirup udara segar di bumi ciptaannya. Masih mengizinkan kesihatan dan ruang untuk aku hidup bersama kasih sayang mereka yang dekat berkeliling.
 
Pada hari tumbuh nyawa ini, aku mohon agar menjadi yang lebih baik dari hari-hari semalam. Pada keperluan fizikalnya dan pada keperluan jiwanya. Dan, sesungguhnya Tuhan lebih tahu itu.
 
Terima kasih untuk mereka yang memberi kasih sayang tanpa henti. Melihat adanya aku seperti mana sememangnya aku. Meski tidak punya ramai, tetapi ia cukup untuk membuat aku senang dan bahagia.

Tiada yang lebih indah melainkan doa dan ingatan dari mereka yang terima wujudnya aku.. sebagai anak, sebagai saudara, sebagai cinta dan sebagai sahabat.. Tuhan pasti balas cinta dan keikhlasan kalian itu. (Bukan harta benda, tetapi nilainya kepada cinta yang kalian hulur itu.)
 
Untuk teman jiwa, tiada janji. Dan aku tidak akan pernah berjanji lagi. Kamu perlu memahami dan pada akhirnya, pasti mengerti.
 
[Se-tas jam tangan setelah seratos dua puloh tiga hari..]

Tuesday, October 22, 2013

~ KESENYAPAN YANG DIAM ~

 
SERABUT seratus. Dan lazim selalu hilang membuat tumpu. Lalu, yang paling baik untuk diri adalah membuat diam dan memujuk hati.
 
Lain daripada urusan pekerjaan yang membuat tuntut, aku hanya menghala unta hitam ke rumah. Setiap hari dengan usaha meletak lena paling sempurna. Seawal jam lapan, aku menghentikan deria untuk hal dunia.
 
Dengan satu harapan, bangkitnya memula hari baru pada esoknya dalam keadaan yang lebih tenang.
Yaa, harapan.
[Kembali men-jadi aku]

Monday, October 21, 2013

~ TIADA MAAF BAGIMU ~



TIADA MAAF BAGIMU
by melly goeslaw


Seperti dalam cerita saja
Ada yang baik dan ada yang jahat
Tapi ternyata kita sama
Tak berhati

Kau menipuku sesuka hati
Hatiku perih jantungku tergoyang
Tak ada pernah
Aku menyangka
Kau sekejam ini

Kau dan aku tak berbeda
Engkau manusia aku manusia
Sama punya hati punya perasaan
Bisa terluka

Mungkin saja aku mendendam
Biarpun ku manis tapi aku benci
Dulu kita baik tapi kini lain
Tiada maafku

Jalan kita memang harus begini
Tak usah menyesal kaukan yang mahu
Kau yang membuat kesalahannya
Tiada maaf bagimu

Kau menipuku sesuka hati
Hatiku perih jantungku tergoyang
Tak ada pernah
Aku menyangka
Kau sekejam ini

Kau dan aku tak berbeda
Engkau manusia aku manusia
Sama punya hati punya perasaan
Bisa terluka

Jalan kita memang harus begini
Tak usah menyesal kaukan yang mahu
Kau yang membuat kesalahannya
Tiada maaf bagimu
 
[Sama punya hati dan perasaan..]


Sunday, October 20, 2013

~ MERAH BIRU ~



MERAH BIRU
 
Kita memang beza
Jelas birunya kau
Memang merahnya aku
Kau tahu dan aku juga tahu itu
 
Bukan tahun lapan atau lebih
Tetapi belum pertama
Aku tahu birunya kamu
Dan, kamu juga tahu merahnya aku
 
Namun hari ini
Jeleknya kamu pada merah aku
Sedang bertahun dulu
Aku bermula merah
Dan, kau pula biru
Tetapi apa pernah
Aku membilang canggung birumu?
 
Biru itu bukan yang paling indah
Merah juga serupa
Tetapi aku sedar biru itu duniamu
Dan merah itu duniaku
Lalu, jeliknya pada sebuah perbezaan itu?
 
[Kita memang beda dari pertama sa-hingga hari ni..]

Saturday, October 19, 2013

~ KOUGAR & TABU ~



TAJUK: Kougar & Tabu
KARYA: Shaz Johar
CETAKAN: Pertama – April 2013
PENERBIT: Buku Fixi
HALAMAN: 532
HARGA: RM29.90
 
Kisah tentang citarasa wanita. Tentang bagaimana mereka cuba untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan orang lain walaupun mahu terus kekal berada di tepi norma hidup masyarakat Malaysia.
 
[Me-lehat ke-dalam aku]

Friday, October 18, 2013

~ CINTA SEPINGGAN CHAR KUETIAW ~

 
 
CERITANYA terlalu banyak di sini. Cerita tanpa bercerita. Bukan hanya kerana sepinggan char kuetiaw yang menjadi sebab, tetapi ia lebih daripada itu. Keseliratan dan pencerahan.
 
Mereka yang dekat tahu, dan aku tentunya. Cuba mengambil hati sendiri setelah tidak terendah. Dan, di sini sering ada rasa itu.
 
[Siang malam pagi petang siang malam pagi petang siang malam pagi petang..]

Thursday, October 17, 2013

~ BABAK ULANGAN ~



KOYAK. Aku merenung sehelai t-shirt putih yang di tangan ini. Penuh dengan koyak tampal sepanjang kurang lebih lapan tahun menjadi milik. Hampir tiada lagi ruang asal yang elok tanpa usik. Dan malam tadi, koyaknya bertambah.
 
Lalu, atas rasa mengalah dan mengerti, aku cuba untuk menampalnya lewat petang tadi. Menutup ruang koyak ini sesegara yang mungkin. Tidak mahu rabaknya membuat musnah. Sementelah lapan tahun menyimpan baik baju ini, tentu sekali sayangnya ada wujud. Justeru, takkan mudah ditukar buang meski aku boleh memilih untuk begitu.
 
Malangnya, yaa aku menyebut perkataan 'malang' kerana cubaan untuk menampal itu menjadi sebaliknya. Koyak semalam menjadi bertambah besar. Niat dan keinginanku tidak setimpal dengan kemahiranku barangkali.
 
Aku sentiasa kalah dan tersakiti dengan bahasa tajam dan keras. Bahasa yang seolah tidak pernah mengenali aku. Tidak pernah merasa aku. Tidak akan pernah. Lalu usaha pencerahan terhenti di situ. Kesal.
 
[Belajar mendengar apa yang di-tutor-kan sendiri..]

Wednesday, October 16, 2013

~ SELAMAT HARI ULANG TAHUN LELAKI LIBRA ~


TERLALU banyak yang dia warisi dari ayah. Tidak fizikal, tetapi sikap dan prinsip yang dipegangnya. Hampir seluruhnya menyamai ayah. Semenjak kecil lagi, abang sememangnya duduk sebagai abang.
 
Aku tidak pernah punya banyak bual dengan abang. Bahkan kerap sahaja 'menikus' lantaran keseriusannya dalam banyak perkara. Katanya selalu sahaja menjadi kata putus. Gelengannya selalu sahaja menjadi hal yang muktamad. Tinggi suaranya atau jeling matanya selalu menjadi isyarat ketidaksetujuan.
 
Aku maklum, dan kami semua maklum.
 
Namun, sebalik sikap keras itu abang sebenarnya seorang yang sangat bersikap pelindung. Sementelah kami hanya punya dia. Lalu dia melihat tanggungjawab di bahunya itu harus dilaksanakan dengan sebaiknya. Dan dia lakukan itu untuk kami.
 
Dari dulu, dan sehingga hari ini.
 
Selamat Hari Ulang Tahun Kelahiran Abang.
Semoga Tuhan panjangkan umur abang untuk hal-hal kebaikan. Semoga Tuhan murahkan rezeki abang untuk hal-hal kebajikan. Semoga abang tetap sayang dan manjadi pelindung kami selamanya. Sementelah kami hanya da abang saat ini.. Amin.
 
Allah selamatkan kamu...
Allah selamatkan kamu
Allah selamatkan abang
Allah selamatkan kamu..

[Lelaki Libra.. owh..]

Tuesday, October 15, 2013

~ 10 ZULHIJJAH 1434H ~

 
SELAMAT hari raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam di dunia yang merai.. Semoga ibadah korban yang dijalankan mendapat keberkatan-Nya.
 
Selamat hari raya ayah... Kalaulah ayah ada..
 
Pengorbanan ayah terhadap kami akan tetap kekal diingat dan dihargai selagi hayat dikandung badan. Kasih sayang ayah menjadi nadi hidup kami selamanya. Mudahan-mudahan Tuhan mendengar. Amin.
 
[10 Zulhijjah..] 

Monday, October 14, 2013

~ SERATUS EMPAT BELAS ~



GENAP seratus empat belas hari ayah pergi. Namun, rasanya seperti baru semalam kami kehilangan lelaki ini. Lelaki tercinta yang amat-amat ada di dalam hati dan mimpi kami sekeluarga semenjak awal usia mengenal dunia.
 
Alhamdulillah, tahlil untuk ayah malam ini berjalan lancar. Semoga doa dan kiriman kasih sayang kami ni sampai kepada ayah di sana. Mudah-mudahan ayah tenang bersemadi di sana. Dan, kami percaya, Tuhan jagakan ayah untuk kami.. Amin.
 
Sayu mendengar takbir raya yang bersahut-sahutan di celah senyapnya malam yang menjadi saksi tahlil untuk ayah.
 
[Al-Fatihah..]

Sunday, October 13, 2013

~ YA MAULANA ~

 
 
TAJUK: Ya Maulana
KARYA: Hana Ilhami
CETAKAN: Pertama – Julai 2013
PENERBIT: Karya Seni Sdn Bhd
HALAMAN: 1021
Dia disanjung kerana ilmu. Doa disayang kerana bakti. Namun tatakala badai datang menguji , mampukah imannya teguh bertahan. Ataupun karam di tengah lautan. Maulana… tegar mencari jalan keredaan Tuhan…”

[Hanya Tuhan yang tahu...]

Saturday, October 12, 2013

~ SENYAP DALAM DIAMNYA.. ~



MENGHALA ke pantai timur semenanjung tanah air. Bertemu bonda yang semakin senyap dalam diamnya.
 
Kalau diturutkan tuntutan urusan perkerjaan, aku sama sekali tidak punya kesempatan untuk pulang meraikan AidilAdha bersama ibu. Namun apapun yang terjadi, tidak akan pernah ada alasan untuk membiarkan  ibu sendirian kala kesenyapannya begini.
 
Aidil Adha yang pertama tanpa ayah. Lelaki yang paling sibuk kala menjelangnya perayaan 10 Zulhijjah ini. Dia sudah tiada, malah dia membawa sekali segala rutin kebersahajaannya. Rindu.
 
Sering sahaja aku mencuri pandang ibu, yang berbuat sibuk di celah resah hatinya menanti fajar 10 Zulhijjah tiba. Ibu kini menjadi seorang yang agak perahsia. Sikap yang tidak pernah ada pada dirinya sebelum ini. Dan, dia semakin berubah semenjak perginya ayah.
 
Tuhan, tolong jagakan dia untuk kami...
 
[Rindu..]

Friday, October 11, 2013

~ FAZLEENA HISHAMUDIN ~




 
YA, Fazleena Hishamudin. Pelakon berbakat yang berhasil cemerlang di pentas teater bukan komersial. Aku tidak terlalu mengenali latar belakang seninya, tetapi aku cukup mengkagumi bakat dan kemampuan diri yang ditunjukkan di dalam deretan persembahan lakonannya di pentas teater indie.
 
Pertama kali melihat dia beraksi ketika persembahan teater 'Juta-Juta' (2011). Aksinya begitu mencuri tumpu. Kebersahajaannya mengauli karektor yang ditangani begitu memikat dan aku cukup sukakan permainannya. Bermula di situ, aku menaruh kepercayaan terhadap setiap persembahan yang disertainya.
 
'Neo Romantik', 'Kotak Hitam', 'Juta-Juta 3D', 'Gadis Dua Menara' (sekadar menyebut beberapa judul), yang namanya Fazleena ini tidak pernah mengecewakan.
 
Sayang sekali, peluangnya tidak dipanjangkan teater yang berskala besar atau pentas gah Istana Budaya. Pelakon berbakat sepertinya seharusnya diberi peluang untuk ke sana. Bukan untuk mengejar komersial, tetapi untuk berkongsi bakatnya dengan audien yang lebih besar. Menyumbang kepada industri secara lebih jelas. 
 
Mahu sahaja aku melihat dia mengetepikan pemain-pemain pentas komersial yang hanya bersandar rupa paras fizikal semata-mata itu. Berikan kepada yang lebih layak. Meski melalui teater 'Maduku Kalut' yang dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya menyaksikan kemunculan pertamanya di pentas Istana itu, ia tidak memadai. Manakan tidak, hanya sebelah kakinya sahaja yang di beri ruang, sedang dia berhak untuk lebih. Aku mendoakan agar suatu ketika, Fazleena didekatkan peluang itu.
 
[Mahu me-lehat mereka yang lebeh ber-hak bermain di-pentas gah, Istana Budaya..] 

Thursday, October 10, 2013

~ RUMAH AWANG ALAK BETATAR ~



SEMENJAK berpindah ke Ampang pada April 2010 yang lalu, hampir setiap hari aku meredah kesesakan di Jalan Ampang ini. Untuk ke tempat pekerjaan nun di bandar Anggerik sana, untuk berlibur, untuk beriadah dan segala untuk, pasti sahaja aku melintasi jalan Ampang ini. Pagi, petang, siang malam.
 
Lalu, apa sahaja yang ada di sepanjang jalan ini, baik di kiri mahupun kanan mudah sahaja aku amati. Manakan tidak, terlalu selalu, terlalu panjang waktu yang terhabis di jalan ini setiap kali melaluinya. Namun, yang paling menarik mata yang memerhati, tentu sahaja Rumah Awang Alak Betatar yang tersergam indah di jalan itu.

Ia sungguh mengundang ketarikan kepadaku. Setiap kali melalui jalan Ampang itu, setiap kali itulah aku tidak akan melepaskan peluang untuk mencuri pandang ke arah rumah itu. Malah sering juga tertanya-tanya siapalah agaknya pemilik rumah agam indah di lokasi paling sibuk ini.

Rumah itu sentiasa senyap dan kosong. Tidak pernah walau sekalipun terlihat kelibat manusia di situ. Namun, persekitarannya sentiasa bersih dan terjaga. Sentiasa indah dan mencuri pandang. Sentiasa membuat aku rasa teringin untuk menjejak ke dalamnya. Setiap kali melaluinya, setiap kali itulah keinginan itu ada. Yaa.. kalaulah ada peluang dan kesempatan untuk menjenguk isi dalamnya... ermmm...

Dan kenapa nama rumah itu Rumah Awang Alak Betatar? Atas rasa ingin tahu yang menebal, aku mencari maklumat di alam maya. Dan, ini yang aku perolehi...

" pada 20 Ogos 2005 Rakyat Malaysia dan Brunei dikejutkan dengan berita perkahwinan Sultan Brunei dan Azrinaz. Azrinaz melangsungkan perkahwinan dengan baginda di Istana Sultan Brunei di Malaysia iaitu di Rumah Awang Alak Betatar di Jalan Ampang, Kuala Lumpur..."

Istana hinggap Sultan Brunei rupa-rupanya... sungguh patik tidak tahu menahu langsung mengenainya... sungguh cetek pengetahuan patik.. ampun tuanku.. Patut sungguh indah dan permai suasananya.


"Sultan Muhammad Shah was the first Sultan of Brunei. He ruled Brunei from 1363 to 1402. He was the first Muslim ruler of Brunei as a result of his conversion to Islam in 1363 for his marriage to a Johorean-Temasik princess. Prior to conversion to Islam, he was known as Awang Alak Betatar."

[Entri ulangan..]

Wednesday, October 09, 2013

~ ASRAMARA ~




 
SUKA. Setelah terlalu selalu disogokkan dengan teater komersial, aku menjadi terlalu menghargai teater-teater kecil yang mengetengahkan isi kandung teater sebenar. Kesempatan hari ini cukup menyeronokkan.
 
Tahniah kepada sang pengarah yang juga penulis skripnya, Khairunazwan Rodzy. Aku sukakan jalan cerita dan idea yang diketengahkan. Brilliant. Kalau dipanjangkan ke skala yang lebih besar pasti sahaja lebih menarik.
 
Aku kurang pasti apakah ini merupakan penampilan pertama pelakon berkarektor, Nadiya Nisaa di pentas teater ataupun ulangan buatnya. Apa yang pasti, dia begitu baik melalui persembahannya di pentas ini. Paling mencuri tumpu pada babak akhir saat dia melontarkan monolog. Cukup mengesankan. Getar suaranya, riak wajahnya dan penghayatan yang ditunjukkannya. Hampir sempurna. Aku mengharapkan dia akan muncul lagi di pentas teater.
 
Sherry Abdullah (Al-Hadad). Dia pelakon kegemaranku. Pertama mengenalinya saat dia muncul di persembahan teater 'Ibu Zain' yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya beberapa tahun dahulu. Semenjak itu, aku mula mengikuti persembahan demi persembahannya. Dan, sungguh.. dia tidak pernah mengecewakan. Baik di pentas kecil mahupun pentas besar, Sherry sentiasa mencuri tumpu.
 
Untuk adik-adik yang pertama kali muncul membuat persembahan pada malam ini, tahniah untuk kesungguhan. Namun banyak yang harus diperbaiki. Belajarlah untuk tidak terlalu lebih, kerana kesederhaan itu sebenarnya selalunya memberi lebih.
 
[Dari Taman Tun Dr Ismail ke Pantai Dalam...]

Tuesday, October 08, 2013

Monday, October 07, 2013

~ BERWAJAH BEZA ~



SESI pencerahan. Seorang rakan yang duduknya dalam celaru kerana dipermainkan perasaan lelaki yang digantungkan harapan selama ini mengajak untuk secawan coffee.
 
Justeru, Sabtu lalu seusai urus pekerjaan, aku membuat luang untuk cerita hati dan perasaannya. Dari saat cerah dari cahaya bulan sehinggalah kepada intai matahari, dia bicara hati ke hati. Sepaling jujur tentang drama sebabak yang dia lalui beberapa hari lalu.  Hal yang jarang atau tidak pernah dari dia.
 
Aku membuat dengar, dan tidak lebih. Begitu selalu pendekatan aku. Sementelah aku bukan pakar rujuk yang selayak. Namun, aku sering diberikan kerusi untuk sesi seperti ini. Barangkali, mereka melihat aku sebagai rakan dengar yang penuh tumpu, tanpa helah. Atau barangkali mudah untuk tangani aku yang paling senyap tanpa jurus api. Atau barangkali tiada sebab tertentu.
 
Aku melihat kekecewaan rakan yang seorang ini. Bukan sedikit, tetapi sepecah kaca yang berderai. Mana tidak, lelaki santun yang dia sifatkan punya pekerti yang sewajar itu rupa-rupanya berwajah beza. Ia bukan hal yang asing pada dunia hari ini, tetapi ya.. iyalah menjadi lumrah, kala kita suka kita hanya akan membicarakan soal yang kita suka sahaja dan begitulah sebaliknya.
 
Tidak dia, aku turut membuat ingat kepada diri sendiri. Yang kita lihat itu belum tentu ada benarnya. Yang kita dengar itu, belum pasti ada jelasnya. Begitu juga yang kita rasa atau fikirkan secara emosi itu.
 
Justeru, bagaimanapun situasi duduk kita, pertimbangan menurut akal adalah hal yang paling harus diajar. Kerana pada saat kehilangan, ia sangat menyakitkan. Kerana pada saat kegilaan, ia sangat menghuru-harakan.
 
[Masing-2 punya bahagian hidop..] 

Sunday, October 06, 2013

~ ANTARA DENDAM DAN RINDU ~

 
 
TAJUK: Antara Dendam dan Rindu
KARYA: Rabihah Nur Ridhuan
CETAKAN :Pertama - 2011
PENERBIT: Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN: 533
HARGA: RM19.90
 
“Aku umpama matahari dan kau umpama bunga. Aku akan terus memberikan cahaya kepada kau untuk terus mewangi..”
 
[Yang di-dalam sana..]

Saturday, October 05, 2013

~ MUSNAH ~


KURANG lebih tiga tahun menggunakan telefon bimbit asal Amerika ini, hari ini kali pertama ia menyerlahkan sisi gelapnya dan kekejamannya kepadaku.
 
Entah di mana silapnya, segala isi dalam membuat kacau. Kosong melainkan yang paling asas tinggal membuat damping.
 
Simpul seratus.
 
Bukan kerana hilangnya nombor kenalan atau keluarga, tidak juga kerana lenyapnya kiriman kata manis dan isi perbualan sahabat dan kekasih... Tetapi sakitnya bila mana foto terakhir ayah yakni saat-saat terakhirnya yang sempat aku rakamkan turut musnah hilang. Tiada satupun yang tinggal untuk aku membuat tatap.
 
Apakah Oktober kali ini masih mahu membuat hukum kepadaku?
 
[Pecah..]

Friday, October 04, 2013

~ BUKAN SEHARI DUA ~



CERITANYA kecil. Tetapi apabila emosi membuat dulu, bacaan menjadi simpul. Tiada kata yang cangung, dia laku yang jelik.. tetapi aku tetap mampu baca kiri kamu. Aku tetap tahu gelojak yang bersarang. Kerana kamu dan aku bukan sehari dua.
 
Pertemuan singkat  sebentar tadi seperti ada cerita lain. Aku pulangkan yang menjadi hak. Dihulurnya aku salam seperti ia menjadi yang terakhir. Meski dengan senyum, meski dengan santun yang tidak berbelah bagi, aku mampu membaca isinya. Kerana kamu dan aku bukan sehari dua.
 
[Pilehan kamu.. dan aku hormati..] 

Wednesday, October 02, 2013

Tuesday, October 01, 2013

~ SELAMAT DATANG OKTOBER ~

 
SELAMAT datang Oktober. Semoga datangmu kali ini dengan hal-hal yang manis dan menyenangkan. Lazim tiba pada musimmu, sering sahaja aku dihimpit resah. Manakan tidak, pada selakan sejarah sebelum, musimmu sering memberikan aku tragedi.
 
Justeru, meski pada musimmu aku menyambut hari kebesaran, ketakutan itu sering sahaja mengekori, memberi ingat dan memberi isyarat.
 
Wahai Oktober, berbaiklah denganku untuk kali ini.
 
[Jauhi aku dari hal-2 yang men-jadi ulangan perit..]