Friday, September 20, 2013

~ CERITA TANPA BERCERITA ~

















 
PALING jujur, aku tidak begitu mengenali siapakah Aishah Baharudin sehinggalah kami bertemu empat mata di R.A Fine Arts, Publika beberapa jam tadi. Namanya pernah singgah di telinga sementelah dia bukan sebarang. Tetapi sekadar itu, sekadar tahu dia berhasil baik di dalam karya seninya yang cenderung kepada hidup gigih wanita.
 
Nah.. hari ini, atas hendak mahu seorang sahabat yang sudi membawa aku memanjang langkah, diberinya aku berdepan kesempatan yang manis ini. Kesempatan menikmati hasil seni saudari Aishah dan tentunya juga membuat ketarikan kepada aktres perhatiku, saudari Mislina Mustaffa yang kini sedang hidup bergelandangan atas pilihannya.
 
Aishah tampil dengan hamparan koleksi karya lukisnya yang unik. Hampir kesemuanya bertemakan kehidupan wanitanya. Sungguh, tidak semua yang aku fahami, tetapi aku mendapat serba sedikit suaranya. Aku dimaklumkan, karya yang dikongsi hari ini terkumpul antara tahun 2000 sehingga kini. Pelbagai, tetapi dengan satu maksud.
 
Melengkapkan uniknya dia, wanita yang juga gelarnya ibu ini membuat persembahan seni yang jarang terlihat pada acara biasa. Persembahan yang menunjukkan bagaimana proses membengkung dilakukan. Lebih menarik, si anak yang namanya Arjuna turut menjadi sebahagian dalam persembahan itu. Dan, dalam masa yang sama penonton dan pengunjung pameran pada hari ini turut dipertontonkan dengan sebuah video persembahan Aishah dengan tembikainya. Pelik dan simbolik.
 
Saudari Mislina yang baru sahaja melancarkan buku tulisan jujurnya, 'Homeless by Choice' tidak kurang menarik perhati dengan kesendiriannya. Catatan-catatan jujur, tertancap tulus untuk tatapan mata-mata kami yang mungkin belum bertemu kesempatan membelek isi bukunya. Segalanya begitu menyentuh perasaan.
 
Tidak kurang, Mislina juga berkongsi pengalaman-pengalaman jerihnya ketika melalui 630 hari tanpa rumah atas pilihannya. Bagaimana dia bertemu prasangka keras, perkiraan serong dan halangan lain yang lazimnya bertemu wanita secara berat sebelah. Malah ceritanya pada karya lukisannya juga tidak mahu kalah. Hanya yang perlu adalah sedikit pengertian.
 
Larut. dan aku cukup senang sekali bertemu kesempatan ini.
 
[Me-lehat sisi laen.. tidak salah bukan?]

No comments: