Tuesday, July 02, 2013

~ PECAH BERDERAI ~



SETELAH lebih seminggu melarikan diri dari semua orang, pada hari ini yang juga merupakan hari pertama aku di lantai pekerjaan, aku memberanikan diri untuk menerima pelawaan  sahabat june untuk secawan kopi. Yaa, dia menjadi orang pertama aku temui selepas melalui saat ranap beberapa hari yang lalu.
 
Selepas lebih seminggu aku mengunci mulut, hari ini segalanya pecah berderai. Entah kerana kesedihan ini sudah tidak tertanggungkan, ataupun kerana rasa percaya yang ada pada sahabat dekat yang seorang ini. Aku sendiri tidak pasti.
 
Apa yang aku tahu, laju sahaja aku melepaskan kecamuk yang bersarang dalam diri satu demi satu. Sepanjang kurang lebih lapan tahun kami bersahabat, inilah perkongsian yang paling besar aku pernah lakukan dengannya. Inilah cerita yang paling banyak aku tuturkan kepadanya.
 
Dan, apabila sudah begitu... sesuatu yang teramat aku cuba elakkan, terjadi juga. Sahabat ini menjadi saksi kepada tangis yang cuba aku sembunyikan dari semua orang sebelum ini. Kala cerita tentang ayah terbuka luas, aku tidak mampu lagi mengawal emosi. Meski sedaya cuba menutup rasa, kenyataannya sahabat ini dapat menghidu.
 
Ya Tuhan...
Sabarkan diriku ini. Kuatkanlah semangatku ini..
 
Buat sahabat June, terima kasih kerana mendengar. Tidak sekelumit mahu menginjit simpati, tapi sekadar meluah rasa ranap yang tidak tertanggungkan ini.
 
Juga pada kesempatan serupa, selamat menyambut hari ulang tahun kelahiran pada 28 June (Yaa.. aku yang paling akhir barangkali) yang lalu wahai sahabat. Ingatan dan doa tulus sentiasa ada padaku. Semoga Tuhan sentiasa memberikan yang terbaik buatmu. Terbaik pada kesihatan, pada rezeki, pada jodoh, juga pada orang-orang yang berkeliling mendampingimu. Allah selamatkan kamu.. Amin.
 
[Lari...]

No comments: