Wednesday, July 31, 2013

~ SEDIKIT SISI PUTIH ~


BENAR hatiku pernah ranap kerana taufan dan tsunami yang pernah dibawa seorang sahabat ini. Namun kisah setahun lalu itu telah jauh aku tinggalkan. Kalau masih berbaki sekalipun, ia mungkin jauh di dalam sana dan sekadar itu.

Hari ini, sahabat yang namanya Julai ini mempersoalkan tentang itu. Dan, sekali lagi mahu aku katakan, kisah setahun lalu itu telah jauh aku tinggalkan. Aku masih mahu memakai baju ini meski pernah koyak dan bertampal. Cuma mungkin, ia mengambil sedikit masa untuk memberi selesa.

Justeru, usahlah terus-terusan membuat simpul keras kepadaku. Membaca merah dengan hijau secara mahu. Pandanglah aku dengan sedikit sisi putih, sekalipun terlalu banyak bahagian gelapku. Tuhan lebih tahu.

Meski, kamu juga sehingga hari ini tidak pernah memberi jawapan kepada kisah setahun lalu itu.

[Maseh orang yang sama..]

Monday, July 29, 2013

~ KAMU ADA ~




TERIMA kasih kerana mahu ada. Dan, aku tahu memang kamu antara yang ada. Mudah-mudahan aku juga punya kesempatan ada untuk kamu. Amin.

[Tahu kamu ada..]

Saturday, July 27, 2013

~ LOVE YOU MR ARROGANT ~





TAJUK: Love You Mr. Arrogant
KARYA: Aliesha Kirana
CETAKAN: Kelapan (Disember 2012)
PENERBIT: Karya Seni Sdn Bhd
HALAMAN: 462
HARGA: RM18.00

[Dia..]
 



Thursday, July 25, 2013

~ BERJARAK ~



SEMENJAK pemergian ayah tempohari, hubunganku dengan teman jiwa sedikit berjarak. Itu kata lelaki sepet itu lewat perbualan malam tadi. Dan, aku angguk setuju. Aku sering menolak, sering beralasan dan sering membuat diam.

Entah kenapa, aku seperti mahu jauh darinya. Tiada apa yang dia berbuat salah, cuma aku yang dalam selirat seratus. Biarlah begini dulu untuk seketika.

Dan, itu tidak adil katanya.

Aku angguk. Ya, tidak adil. Dan sungguh, dia tidak tahu aku juga sedang berlaku tidak adil kepada diriku ini.

[Tuhan lebeh tahu..]  

Wednesday, July 24, 2013

Tuesday, July 23, 2013

~ SEBULAN ~



GENAP sebulan. Semoga ayahanda tenang bersemadi di sana. Tuhan, jagakanlah lelaki kesayangan kami yang telah kau ambil itu untuk kami. Semoga di kalangan orang-orang yang soleh hendaknya. Amin.

[Rindu]

Monday, July 22, 2013

~ SELAMAT HARI ULANG TAHUN LEO ~



22 JULAI. Selamat hari ulangtahun kelahiran, selamat menjadi manusia yang lebih baik Leo. Mudah-mudahan Tuhan sentiasa melindungi dan memberikan yang terbaik di dalam hidup kamu.

Sebagai sahabat yang sering merasa terhutang dengan kebaikan kamu, aku tidak akan pernah habis mengirimkan doa kesejahteraan buat kamu. Semoga hal-hal kanan yang kau hulurkan buat aku dan sahabat-sahabat lainnya, berbalas dengan sepaling manis.

Allah Selamatkan Kamu
Allah Selamatkan Kamu
Allah Selamatkan Leo
Allah Selamatkan Kamu...

[Terima kaseh untok sa-buah per-sahabatan..] 

Sunday, July 21, 2013

~ KESANGGUPAN ~



DIA tiba-tiba muncul. Menebar salam dan bertanya setelah lama senyap dengan kehidupan barunya. Bertentang sungguh dia hari ini berbanding sebelumnya. Sebagai sahabat, aku tumpang gembira dengan penghijrahannya.

Awal pagi tadi, namanya muncul di skrin telefon bimbitku. Menghantar khabar, yang dia kini sudah menetap nun jauh di pantai timur semenanjung tanah air. Meninggalkan sergam banglo di hiruk pikuk kota raya semata-semata kerana mahu mendiami rumah sederhana berhampiran surau dan berdekatan pantai. Untuk sebuah ketenangan barangkali.

Mudah-mudahan dia bertemu dengan apa yang dicari. Pengorbanan dan kesanggupannya meninggalkan kemewahan dunia yang di miliki itu sangat-sangat aku kagumi. Aku tahu ia tidak mudah, tetapi dia berjaya melakukannya.

[Yaa.. doa kesejahteraan untuk kamu sahabat..]

Saturday, July 20, 2013

~ THE WEDDING BREAKER ~




TAJUK: The Wedding Breaker
KARYA: Evelyn Rose
CETAKAN: Ketiga (February 2013)
PENERBIT: Karya Seni Sdn Bhd
HALAMAN: 642
HARGA: RM25.00

“Selangkah aku menghampiri-Mu, Seribu langkah Kau akan mendekatiku..”

[Lehat..]
 



Friday, July 19, 2013

Thursday, July 18, 2013

~ SESI PENCERAHAN EMOSI ~



SAHABAT MEI. Sepanjang malam hingga ke pagi dia menghabiskan masa untukku dengan memberikan satu sesi pencerahan emosi. Terima kasih. Sesuatu yang tidak aku terfikir akan diperoleh dari dia. Bukan kerana siapa dia.. bukan. Tetapi kerana energi positif yang telah dia serap. Meski dia sering dilihat orang dengan sisi yang berbeza, sahabat ini sentiasa ada meski kala gelap. 

[Dan, aku harap turot dapat menyebar lebar energi positif untok semua kita..]  

Monday, July 15, 2013

~ BUKU CATATAN ~



AKU dan ayah tidak punya banyak persamaan. Malah sikap kami terlalu bertentang dalam banyak perkara. Cuma yang satu ini, kami memperlihat kecenderungan yang sama, suka menulis.

Semenjak mula mengenal huruf, aku tahu ayah suka mencatat. Apa sahaja perkara atau peristiwa yang dianggap penting buatnya akan di catat pada buku notanya. Apa sahaja. Pernah aku terbaca, tidak kurang juga dengan sengaja mencuri baca. Yaa.. catatan ayah sering membuat aku belajar tentang banyak perkara.

Lalu selepas perginya ayah, aku banyak menghabiskan masa untuk menatap segala buku catatat hidupnya. Manis, pahit, suka, duka, gelak tawa. Paling manis, ayah turut membuat catatan terima kasih ketika aku menghadiahkannya sebuah buku nota berlogo Universiti Malaya, Kuala Lumpur, saat pertama kali aku menjejak kaki ke gedung ilmu tertua itu beberapa tahun lalu. Ayah begitu menghargai, biar hal sekecil itu.

Namun, dalam sekian banyak catatan ayah itu, aku begitu tersentuh dengan satu catatan akhirnya. Catatan yang ditulis beberapa hari sebelum perginya barangkali. Dan, begitulah.. takdirnya. Janji ayah dengan yang di atas sana. Al Fatihah.

[Akan teros men-catat..]

Sunday, July 14, 2013

~ SEHARUM CINTA LESTARI ~



TAJUK: Seharum Cinta Lestari
KARYA: Ramlah Rashid
CETAKAN: Pertama (2009) & Kedua (2010)
PENERBIT: Buku Prima
HALAMAN: 612
HARGA: RM19.90

“Suka dan cinta dua perkara yang jauh berbeza meskipun dua perasaan yang hampir serupa, tetapi tetap memberi maksud yang tidak sama..”

[Me-lehat dengan mata hati..]
 



Saturday, July 13, 2013

~ TIADA LAGI KEBISINGAN ~



SENYAP. Ramadan kami yang paling senyap. Umpama terhenti segala rutin yang pernah ada. Sungguh, bukan kami mahu terus meratap. Tidak juga mengekor emosi. Namun, situasi keras menarik kami ke situ.

Mana tidak, rutin Ramadan sebelum ini begitu dikepalai ayah. Dari ibadah sehingga ke juadah. Kami bingung bila semuanya terhenti.

[Tiada lagi bazar Ramadan.. tiada lagi kebisingan...]

Friday, July 12, 2013

~ MIMPI ~


 
MIMPI. Saban malam semenjak beberapa hari terkebelakang ini, tidurku didamping mimpi. Pelbagai. Dan penuh cerita terhafal. Suatu hal yang terlalu jarang dilalui aku sebelum ini. Hal yang selalunya tidak lekat, payah lekat dan jarang lekat.

Lalu datangnya kini, membuat aku tertanya banyak. Dan, Tuhan... lindungilah aku. 
 
[Mimpi me-melok bulan..]

Thursday, July 11, 2013

~ TERIMA KASIH TUHAN ~



TUHAN memberikan ujian lagi. Petang siang hari tadi, adik terlibat di dalam kemalangan. Kereta yang dipandu remuk ranap tiada upaya untuk berwajah. Namun, alhamdulillah... Tuhan masih memberi kesempatan pada adik untuk terus menjadi pelindung buat ibu dan buat semua kami.
 
Bergegaslah kami ke sebuah hospital arah utara semenanjung tanah air. Ampang-Shah Alam-Jalan Tun Razak-Shah Alam-Ampang-Parit Buntar. Setempoh 24 jam.
 
Usah ditanya tentang resah kami.. jangan juga disoal bagaimana emosi kami. Tuhan menjadi saksi atas segala.
 
[Ter-tules takder-nya..]

Wednesday, July 10, 2013

~ 1 RAMADAN 1434H ~



PERTAMA Ramadan, pertama tanpanya. Itulah kenyataan yang harus kami depani hari ini. Buat pertama kalinya sepanjang aku bernafas di bumi, Ramadan ini menjadi Ramadan pertama disambut tanpa lelaki yang paling amat kami kasihi, ayahanda.
 
Segalanya menjadi berbeza. Emosi menjadi duduk perkara yang paling utama. Ayah seperti selalu ada di setiap sudut rumah. Malah rutin ayah pada bulan yang mulia ini berputaran satu demi satu umpama mengadap satu cerita panjang di sinema agung. Dari ibadahnya, sehinggalah kepada kesukaan remehnya.
 
Kehilangan itu mempengaruhi kami atas segalanya. Tiada rasa untuk meneruskan rutin. Dan, ia terhenti.
 
[Al-Fatihah ayahanda..]

Tuesday, July 09, 2013

~ DALAM MAMPU ~



DUGAAN. Selagi kita hidup sebagai manusia yang bernyawa, selagi itulah kita akan diuji dengan pelbagai dugaan. Dugaan yang mematangkan perjalanan kita sebagai manusia.
 
Tengahari siang tadi, seorang rakan beriya mahu meluangkan masa untuk menghirup secawan kopi denganku. Aneh tingkahnya. Sementelah pada setengah cawan kopinya, suaranya bergetar. Emosinya mula mendahului. Sudah tidak mampu dibendung meski selebar dunia senyum pamer pada wajah.
 
Luahnya, rumah tangganya bergoyangan. Sang suami bermain kayu tiga. Ranap hati mendorong dirinya keluar dari rumah yang dianggap syurganya bersama anak-anak kecil selama ini. Pertama kali seumpamanya terjadi semenjap mereka sah diijab kabul.
 
Segenap pancainderanya seperti lumpuh dan hilang fungsi. Kejutan umpama jantung yang terhenti dirodok besi tajam.
 
Aku mendengar tekun. Tidak mampu memberi sebarang kata bimbang kalau ia mendorong kepada sesuatu. Cuma yang aku harapkan dia menerima ujian ini dengan berlapang dada. Bukan kerana mudahnya kata yang boleh diatur mengikut mahu, tetapi kerana dugaan itu membuat jiwa kita menjadi lebih besar. Masalah yang ada harus dihadapi, dan bukan dhindari.
 
Aku mendoakan agar dugaan ini adalah dugaan yang mampu ditanggunginya. Ujian ini adalah ujian yang mempu memberi pelajaran yang berguna kepadannya. Tuhan itu lebih tahu.
 
[Men-chari punca simpol..]

Monday, July 08, 2013

~ CEMETI KEMBALI MELIBAS HATI ~



MEMANG ia adalah cerita lama. Memang ia sepatutnya telah ranap habis terus. Memang sepatutnya begitu. Tetapi sehingga ke hari ini aku tidak pernah diberikan kebenaran ceritanya. Sehingga hari ini.. setelah hampir dua tahun ia membuat cetus.
 
Lalu, hari ini tanpa sengaja ingatanku sebagai manusia biasa ini kembali menyebut hal itu. Dan, sahabat yang seorang ini masih dengan lakonannya meski aku tahu kebenarannya. Dramanya berubah plot. Akhirnya aku yang menjadi antagonisnya.  

Aku cukup tertarik dengan perkataan SEWAJARNYA yang digunakan itu. Sangat tertarik sehingga  cemeti kembali melibas hati.

Jagalah bahasamu. Fikirkanlah aku yang mendengar dan menghadam butir bicara yang kamu tuturkan itu.
 
Doa kesejahteraan buat kamu sahabat..
 
[Di-mana wajar-nya sahabat june.. di-mana??.]

Sunday, July 07, 2013

~ SELAMAT MALAM KEKASIH ~



 
TAJUK: Selamat Malam Kekasih
KARYA: Aina Emir
CETAKAN: Pertama (2010 & 2011), Kedua (2012) & Ketiga (2013)
PENERBIT: Karna Dya Solution Sdn Bhd
HALAMAN: 568
HARGA: RM23.90
 
[ Lena yang ter-indah..]
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Saturday, July 06, 2013

~ MENYENANG HATI ~

 
SAHABAT. Terima kasih kerana cuba menyenangkan hatiku. Sudi duduk berdamping meski tidak banyak bicara yang aku tuturkan. Meski hanya riak-riak tiada rasa yang menjadi lukisan wajah. Meski tiada cerita lain, melainkan hal-hal yang ranap itu.
 
Kamu masih mahu ada.
 
Hari ini, dibawa sahabat yang dikenal genius menghirup secawan kopi dengan menaiki 'Mr Landy' miliknya. Pertama kali dan menjadi suatu hal yang begitu melucukan. Dengan berbaju kurung dan berkasut tinggi, aku menurut. Dan menjalarlah kami bersama Mr Landy di tengah hiruk pikuk kota.
 
Mr Landy menjadi perhatian sepanjang perjalanan kami. Pertamanya kerana hutan batu ini bukan tempatnya yang sepatut. Kedua kerana yang memandu dan berada di sebelah pemandu adalah kami dan bukan lelaki perkasa yang sering sinonim dengan Mr Landy. Manis.
 
"Sbb tu sy tanak jumpa dgn orang. Sy takut org tahu apa yg sy rasa..."
 
Akhirnya ceritanya sampai ke situ juga. Mengiringi kebisingan deru kenderaan yang tidak putus merentasi lokasi kami. Ranap lagi.
 
[Emosi yang ber-ansor ringan..]

Thursday, July 04, 2013

~ MENARIK EMOSI ~



TAKZIAH. Meski sudah hari ke-12, ucapan itu bertali arus menebar salamku. Tidak sekadar dari rakan yang mengenali, tetapi juga dari mereka jauh dari hidupku. Memeluk, menepuk-nepuk belakang dengan kumat-kamit takziah yang membuatkan emosiku kembali mara ke depan.
 
Terima kasih atas doa dan ucapan itu. Sungguh hanya Tuhan yang mampu membalas.
 
Namun, Tuhan juga yang maha tahu, di dalam hatiku ini mengharapkan agar tidak ada ucap-ucapan itu lagi buatku. Bukan kerana tidak menghargai, tetapi ia kerap menarik emosiku untuk kembali kepada momen yang menyentap jiwa pada 23 June lalu itu.
 
Lalu, tengahari siang hari tadi, aku melarikan diri seketika dari kebisingan. Bersembunyi di unta hitam pada cuaca yang panas terik di ruang parkir terbuka lantai pekerjaan. Lari kerana tidak mahu mendengar tanya-tanya atau ucap-ucap yang membawa aku kepada ranap hati lebih seminggu lalu.
 
Tulislah, aku membaca tulisan itu. Kirimlah, aku menerima baik, kiriman itu. Cuma tolonglah tidak depani aku... untuk ketika ini. Yaa.. untuk ketika emosi yang terlalu keras membuat damping.
 
[Al-Fatihah..]  

Tuesday, July 02, 2013

~ PECAH BERDERAI ~



SETELAH lebih seminggu melarikan diri dari semua orang, pada hari ini yang juga merupakan hari pertama aku di lantai pekerjaan, aku memberanikan diri untuk menerima pelawaan  sahabat june untuk secawan kopi. Yaa, dia menjadi orang pertama aku temui selepas melalui saat ranap beberapa hari yang lalu.
 
Selepas lebih seminggu aku mengunci mulut, hari ini segalanya pecah berderai. Entah kerana kesedihan ini sudah tidak tertanggungkan, ataupun kerana rasa percaya yang ada pada sahabat dekat yang seorang ini. Aku sendiri tidak pasti.
 
Apa yang aku tahu, laju sahaja aku melepaskan kecamuk yang bersarang dalam diri satu demi satu. Sepanjang kurang lebih lapan tahun kami bersahabat, inilah perkongsian yang paling besar aku pernah lakukan dengannya. Inilah cerita yang paling banyak aku tuturkan kepadanya.
 
Dan, apabila sudah begitu... sesuatu yang teramat aku cuba elakkan, terjadi juga. Sahabat ini menjadi saksi kepada tangis yang cuba aku sembunyikan dari semua orang sebelum ini. Kala cerita tentang ayah terbuka luas, aku tidak mampu lagi mengawal emosi. Meski sedaya cuba menutup rasa, kenyataannya sahabat ini dapat menghidu.
 
Ya Tuhan...
Sabarkan diriku ini. Kuatkanlah semangatku ini..
 
Buat sahabat June, terima kasih kerana mendengar. Tidak sekelumit mahu menginjit simpati, tapi sekadar meluah rasa ranap yang tidak tertanggungkan ini.
 
Juga pada kesempatan serupa, selamat menyambut hari ulang tahun kelahiran pada 28 June (Yaa.. aku yang paling akhir barangkali) yang lalu wahai sahabat. Ingatan dan doa tulus sentiasa ada padaku. Semoga Tuhan sentiasa memberikan yang terbaik buatmu. Terbaik pada kesihatan, pada rezeki, pada jodoh, juga pada orang-orang yang berkeliling mendampingimu. Allah selamatkan kamu.. Amin.
 
[Lari...]

Monday, July 01, 2013

~ RANAP ~



PONDOK ayah roboh diterbangkan angin kuat dan hujan lebat semalam. Sekali lagi aku seperti tidak mampu menahan tangis. Apa pondok kesayangan aku itu juga akan ikut pergi bersama ayah? Apa semua kenangan bersama ayah akan ranap semuanya???
 
Sabarlah hati.. sabarlah.
 
[Kenyataan]