Sunday, June 30, 2013

~ BERAT LANGKAH ~



PETANG hari tadi, aku dam adik ke pusara ayah. Mahu menjenguk ayah sebelum kami kembali ke hiruk pikuk kota meneruskan kehidupan.
 
Sebaik melangkah ke tanah perkubutan yang sunyi sepi itu, hujan turun dengan selebat-lebatnya. Namun kami tetap teruskan hasrat untuk masuk. Lencun.
 
Tuhan mendengar rintihku. Tuhan memberikan hujan ini kerana dia tahu, saat aku memegang nesan ayah, aku tidak mampu lagi untuk menahan emosi. Lalu menangislah aku semahunya di situ bersama tempias hujan yang membasah wajah dan tubuh. Melindung tangis dari dilihat adik yang sugul di situ.
 
Berat kaki ini mahu melangkah pergi. Sakit hati ini terpaksa meninggalkan ayah di sini. Semoga ayah tahu, kami tidak pernah mahu jauh dari ayah. Sungguh. Ayah teragung buat kami.
 
Selamat tinggal ayah. Kita hanya berpisah jasad, tetapi tidak pada lainnya. Ayah akan sentiasa ada di hati kami. Kasih ayah akan tetap kejap dan lekat pada segenap sosok kami. Dan, Tuhan tahu itu.
 
[Kalah..]

Saturday, June 29, 2013

~ BIAR BASAH DIHUJAN.. ~



HARI ini, sebelum berangkat kembali ke ibu kota meneruskan kehidupan yang masih berbaki, kami adik-beradik memutus untuk mengemas barang-barang ayah. Bukan kerana mahu jauh dari ayah, tetapi kami tidak mahu ibu berada di dalam dunia sendirinya.
 
Pasti sahaja selepas ini, ibu akan benar-benar merasa kehilangan jauh lebih besar daripada apa yang kami rasa. Ibu terpaksa menanggung emosi yang jauh lebih punya beban berbanding kami. Demi Tuhan, kami  tidak mahu ibu terus hanyut dengan perasaan itu.
 
Lalu, kami kemaskan barang-barang ayah yang boleh membuat ibu larut dalam dunia emosi itu. Tidak mahu nanti ibu terusik dengan kenangan-kenangan yang mampu menyentap hati dan rasanya. Dan, aku percaya ayah juga tidak mahu melihat ibu begitu.
 
............................
 
Demi Tuhan, aku sendiri tidak dapat menahan perasaan saat mengemas barang-barang milik ayah ini. Sementelah saat membaca isi kandungan diari tulisan ayah yang mencatat segala cerita hatinya. Kesukaan ayah yang satu itu jelas diwarisi aku. Aku juga punya timbunan diari yang mencatat perkara serupa. Kesamaan antara kami itu, hanya dimengerti kami berdua.
 
Namun pada saat mencuri baca tulisan-tulisan itu, jelas tertera namaku dalam sekian banyak catatan ayah. Lalu air mata yang ditahan-tahan, jatuh jua berguguran. Ayah... ayah... ayah... Dan, wahai hujan, turunlah segera membasah bumi. Biar aku lari menangis bersamamu, agar tidak siapa yang tahu dan lihat aku dalam kelencunan emosi begini.
 
Ya Allah...
Kirimkanlah doa dan rindu aku ini kepada lelaki kesayangan yang telah kau ambil itu. Jagakan dia untuk kami. Mudah-mudahan terbaik tempatnya di sisi-Mu.
 
[Maaf-kan aku atas segala dosa yang tidak ter-tanggong ini ayah..]

Friday, June 28, 2013

~ HANYUT ~



MAAFKAN aku kerana masih belum punya kekuatan untuk kembali ke dunia sedia kala. Kehilangan ini terlalu dasyat buat kami seisi keluarga. Terlalu payah untuk kami berlagak seolah tiada apa.
 
Lalu, panggilan dan pesanan-pesanan khabar juga prihatin dari rakan taulan tidak aku pedulikan. Bukan kerana tidak menghargai, jauh sekali sengaja mengangkat sombong diri tetapi sungguh aku tidak punya kekuatan diri untuk berdepan dengan siapa jua.
 
Insya-Allah, mudah-mudahan perasaan ini terpulih sempurna. Hanya Tuhan sahaja yang mampu membalas doa dan keihlasan yang dikirimkan kamu.
 
Terima kasih untuk rakan-rakan dekat yang mengerti. Yang tetap berusaha membuat damping meski aku tidak membuat peduli. Tetap mahu mengirim pesan meski satupun tidak aku balas. Tetap mahu membuat hibur meski aku keras tiada rasa. Tetap mahu memberi semangat meski aku cuba lari dan mengelak.
 
Demi Tuhan, aku sangat menghargai kamu. Erin, Brad, Sahabat Mei, Om, Nurul, Aunty Phia, Suffian, Jessy, Suraya, Mel dan yang lainnya, doa kesejahteraan buat kamu. Dan, aku percaya kamu tahu di mana tempat kamu di hatiku.

Sahabat mei, kamu sungguh berusaha menyenangkan hatiku.
 
Juga untuk lelaki sepet yang seorang itu.
 
[Aku ini adalah yang paling macam-2.. Mohon sahabat-2 dekat yang di-punya aku ini tidak mem-buat jauh..]

Thursday, June 27, 2013

~ BIAR HANYA TUHAN SAHAJA YANG TAHU ~



TIADA sebarang tanda yang ayah berikan. Tidak juga hal luar biasa yang ayah tunjukkan. Lalu kami tidak sedikitpun menyimpan gusar. Senyum ayah masih tidak kurang, pandangan ayah tetap juga menawan, sentuh mesra ayah masih mengalir kasih yang maha dalam.
 
Tidak ada sedetik rasapun yang mencurigakan kami.
 
Namun, kalau sudah itu waktu yang telah ditetapkan untuk ayah, pasti ia tidak akan terawal mahupun terlewat walaupun sesaat. Dan, pada kurang lebih jam 10.30 pagi yang amat hening itu, ayah menghembuskan nafas yang terakhir. Jantung ayah..
 
Pada saat terakhir itu, takdir telah menentukan hanya ibu, aku dan adik sahaja mempunyai kesempatan di tatap paling akhir oleh ayah. Sedang anak-anak ayah yang lain tidak ada rezeki untuk berada di sisi ayah. Sungguh, aku memahami apa yang terkandung di dalam hati abang, malah kakak apatah lagi. Kalau boleh aku menukarkan tempat beradaku, pasti sahaja aku berikan kesempatan itu kepadanya. Bukan kerana aku tidak menghargai kesempatan itu, tetapi kerana aku terlalu mengerti emosi yang kakak galas.
 
Ibu hilang arah. Pinar dengan peristiwa dan kenyataan yang harus didepaninya ini. Kehilangan abadi yang nyata sekali di luar kesediaannya. Aku sedaya cuba berbuat sesuatu untuk tenangkan ibu seperti mana janji yang sering aku bisikkan pada diri sebelum ini. Namun, ketabahan dan kekuatan yang aku fikir mampu aku bina di dalam diri selama ini rupa-rupanya tidak pernah ada. Aku sendiri hanyut dan larut di dalam emosi yang menyakitkan ini.
 
Dan, sungguh momen-momen yang dilalui pada pagi tarikh 14 Syaban 1434H itu sangat-sangat menghiris. Bukan tidak reda dengan ketentuan Tuhan, tetapi ketidaksediaan kami kehilangan insan yang paling amat kami cintai itu nyata mendepani segala yang ada.
 
Paling memilukan, aku dipertanggungjawabkan menguruskan keperluan jenazah. Demi Tuhan, suatu hal yang sungguh di luar mampuku. Menatap wajah redup ayah yang matanya sudah tertutup rapat, yang bibirnya sudah terkunci ketat, yang tubuhnya sudah kaku sejuk sangat-sangat membuat aku hilang arah dan pertimbangan.
 
Lalu biar berjuta kali aku bisikkan pada diri untuk menahan keras emosi menguasai diri, ia tetap juga mahu mengingkari. Lalu air mata yang aku paksa untuk bertahan dari jatuh itu, laju sahaja turun tanpa mahu peduli akan janji-janjiku. Lemah longlai hati dan rasa. Di awangan yang jauh lari dari kenyataan.
 
Sehingga jenazah ayah diturunkan ke liang lahad, aku masih lagi terpinga-pinga. Antara sedar dan tidak, antara nampak dan tidak.. antara menerima dan menolak kenyataan yang satu ini. Ibu tidak mahu mengiringi ayah ke pusara. Bukan kerana tidak sudi mengiringi cinta hatinya itu ke perjalanan terakhir, tetapi gejolak rasa yang ada nun jauh di dalam hatinya itu menolak kenyataan ayah sudah tiada. Lalu, dia tidak mahu ke sana kerana menganggap ayah masih ada, masih bersama kami.
 
Oh Tuhan.. kamu lebih tahu segala-galanya. Mohon lindungi kami dan tetapkan hati kami pada sebuah kebenaran. Kiri-kanan-kiri-kanan-kiri-kanan... emosi mendahului. Seisi rumah bergelap rasa. Menjadi pinar dan hilang arah.
 
Melihat ibu, melihat kakak.. juga pada abang dan adik yang terlalu kehilangan itu, aku cuba kuatkan diri. Menahan emosi yang ada. Menyembunyikan perit rasa di dalam. Menyimpan kemas derita yang tumbuh. Biar hanya aku, biar hanya Tuhan sahaja yang tahu...
 
Selamat pergi ayah. Aku relakan pemergiaan abadimu mengadap Ilahi. Meski bibir dan hatiku jauh tidak seia, aku mendoakan yang terbaik buatmu. Selama-lamanya.. dengan sepenuh jiwa dan raga. Semoga rohmu dicucuri rahmat dan tempatmu yang terbaik dikalangan hambanya yang beriman. Aminn.
 
Al Fatihah.
 
[Tuhan, jaga-kan ayah untok kami..]

Wednesday, June 26, 2013

~ ALFATIHAH BUAT AYAHANDA ~



[Semoga Tuhan jaga-kan ayah untok kami...]

Tuesday, June 25, 2013

~ ALFATIHAH BUAT AYAHANDA ~



[Semoga Tuhan jaga-kan ayah untok kami...]

Monday, June 24, 2013

~ ALFATIHAH BUAT AYAHANDA ~



[Semoga Tuhan jaga-kan ayah untok kami...]

Sunday, June 23, 2013

~ AYAHANDA DIJEMPUT ILAHI ~



AKHIRNYA, Ketakutan kami menjadi kenyataan. Pecah dan ranap. Jam, 10.30 pagi hari ini, 23 June 2013 bersamaan 14 Syaaban 1434H, Ayahanda telah meninggalkan kami buat selama-lamanya.
Selama-lamanya...............................................

Moga kau kuatkan hati kami sekeluarga ya Allah... :(
 
AL-FATIHAH.
Semoga roh ayahanda dicucuri rahmat dan ditempatkan terus dikalangan hamba-hambaNYA yang beriman. Amin.
 
[Tuhan, jaga-kan ayah untok kami..]

Saturday, June 22, 2013

~ MENUMPANG BAHU ~



SEMENJAK tahu duduk kesihatan ayah yang tidak berjalan baik, sahabat dekat yang namanya sahabat mei ini hampir setiap hari membuat damping. Damping melalui tanya khabarnya, dan membuat hibur dengan kata semangat untuk aku, dan untuk kami sekeluarga.
 
Terima kasih. Dan, aku sendiri tidak menyangka dia mendahului mereka yang lain. Mereka yang aku harap-harapkan untuk  melakukan hal yang serupa.  Ada kasih sayang yang mengalir di situ.
Dan, Tuhan lebih tahu.
 
Doa kesejahteraan untuk kamu juga wahai sahabat.

[Dan, tidak hanya ketika tawa..]

Friday, June 21, 2013

~ DIHANYUT ~


 
DOA kesejahteraan buat ayahanda. Aku hanyutkan degup hati ke gelora lautan agar dimengerti seluruh alam betapa keresahan dan ketakutan sedang silih berganti membuat debar.

[Se-moga segala-nya puleh pada sedia kala.. ]

Thursday, June 20, 2013

~ GELORA ~



GELORA. Itulah yang sedang ada nun di dalam sana. Seharian aku menghabiskan masa di sini. Cuba untuk memperlahan degup. Namun nyata, ia semakin hebat. Sakitnya seperti cemeti melibas hati.

[Ayahanda..]

Wednesday, June 19, 2013

~ DEGUP KENCANG ~



PETANG semalam, aku telah mendapat jawapan kepada resah diri yang membuat damping semenjak beberapa hari kebelakangan ini. Adik menghubungiku dengan esak tangis. Kesihatan ayah tiba-tiba membuat ganggu sehingga bingar hati ibu menahan rasa.
 
Lalu hari ini, aku cuba dengan menyiapkan segala tugasan di lantai pekerjaan agar tidak meninggal beban kepada rakan lain sebelum membuat hala terus ke pantai timur semenanjung tanah air esok pagi.
 
Meski tidak dapat membuat tumpu dengan baik, aku cuba untuk kuat. Itu yang sering aku janjikan pada diri.
 
Semoga Tuhan permudahkan aku. Semoga Tuhan menjaga ayah, sementara pulangnya aku membuat damping. Amin.
 
[Degup..]

Tuesday, June 18, 2013

~ CERITA TANPA BERCERITA ~



SUNGGUH, aku serabut seratus. resah yang membuat damping tanpa sebab sejak beberapa hari lalu membuat segalanya menjadi tidak sempurna. Hilang tumpu.
 
Sahabat gelarnya genius ini yang cuba membuat hibur. Meski ceritaku tanpa bercerita, dia memahami duduk diri. Terima kasih untuk keluangan secawan kopi meski tanpa aku minta. Sering membaca aku tetap meski tidak aku tuturkan mahu hati.
 
Simpul seratus.
 
[Syukor Tuhan maseh damping-kan aku dengan sahabat yang mahu meng-erti..]

Monday, June 17, 2013

~ MELIHAT USAHA ~



BUKAN tidak memahami alasan dan keadaan, cuma terkilan dengan tingkah  yang tidak langsung ada rasa menghargai itu.
 
Sungguh tiket pementasan teater yang diingin mahu itu tidak aku aku peroleh dengan mudah. Namun, demi membuat hibur dan memenuh ingin seorang yang namanya sahabat, aku usahakan.
 
Dan, Sabtu lalu usaha itu menyugul diri.
 
Sekali lagi, bukan aku tidak memahami alasan dan keadaan, cuma terkilan dengan tingkah yang tidak langsung ada rasa menghargai usaha orang lain.
 
Lalu, aku simpan kemas dalam gobok.
 
[Menyenang dan me-memang..]

Sunday, June 16, 2013

~ SELAMAT HARI KASIH SAYANG, AYAHANDA ~



SELAMAT Hari Bapa buat lelaki-lelaki yang yang punya tanggungjawab kasih sayang kepada  zuriat yang diamanahkan Tuhan kepadanya. Doa kesejahteraan buat kamu.
 
Buat ayah, meskipun kita tidak menunjuk pada bahasa dan perlakuan, Tuhan tahu betapa kasih sayang yang mengalir dalam akal, dalam hati, dalam darah dan dalam diri kita berdua. Pada nilai yang tidak ternilai. Hanya nyawa taruhannya.
 
Selamat Hari Bapa Ayah...
 
Dan, hati berharap agar aku mampu mengucapinya saban tahun. Yaa.. saban tahun. Meski setiap hari adalah hari kasih sayang untuk ayah, aku tetap merasa sambutan Hari Bapa ini begitu istimewa. Lalu aku berharap ia tidak menjadi kali terakhir.
 
[Ayah tetap se-dunia buat kami..]

Saturday, June 15, 2013

~ TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK ~



TAJUK: Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck
KARYA: Hamka
CETAKAN: Ke-26 (Julai 2002)
PENERBIT: PT Bulan Bintang
HALAMAN: 213
Kenal penulisnya, tahu judulnya.. tetapi baru kali ini punya kesempatan untuk menelaah isinya...
 
[Terima kaseh sahabat june yang ada sedikie ingat..]

Friday, June 14, 2013

~ MOOD RANAP ~



DEGUP jantung semakin kencang hari ke hari. Entah apa yang tidak kena. Aku debarkan sesuatu yang aku tidak tahu apa sebabnya. Aku takut untuk hal yang aku tidak pasti duduknya. Aku ranap untuk rasa yang aku tidak kenal jenisnya.
 
Hati tidak putus memohon agar tidak ada bencana yang bakal membuat damping. Amin.
 
Lalu aku berulang-alik ke tempat yang sering membuat senang pada hati ini. Setiap kali mood ranap menyelinap dala, diri, aku suka menghabiskan masa di sini. Suatu tempat yang kerap dikunjung makhluk Tuhan yang juga punya hak ini... Hutan simpan Taman TAR, Ampang.
 
[Sering larot di-sini..]

Thursday, June 13, 2013

~ RASA UNTUK KE SANA ~

 
SEMPENA persahabatan. Terima kasih membawa aku rasa untuk ke sana. Pada suatu nilai yang tidak ternilai, ingatan. Dan, Tuhan lebih tahu.

[Doa kesejahteraan buat kamu, sahabat]

Wednesday, June 12, 2013

~ BROGA ~



BUKIT Broga. Beberapa kali aku membuat ingin untuk ke sini, tetapi  tidak pernah ada kesampaian. Ada sahaja hal yang membuat halang.
 
Hari ini, rasa ingin itu kembali membuat damping. Dengan begitu keras sekali. ingin yang hadir pada setiap kali debar amarah menguasai diri. Aku mahu membuang kemarahan itu di sana.
 
Ingin sekali. Ia ia hal yang besar padaku.
 
[Menunggu...]

Tuesday, June 11, 2013

~ TUJUAN HATI ~



PENGHUBUNG terbaik kita dengan insan-insan yang disayangi adalah melalui doa. Mintalah kebaikan, mintalah kesejahteraan. Insya-Allah akan sampai kepada mereka dengan sebaiknya.

[Tuhan lebeh tahu..]

Monday, June 10, 2013

~ KEJUTAN ~



KEJUTAN. Sahabat Mei menghiburkan hati sahabatnya yang gundah ini dengan menyediakan hidangan kegemaran, hasil air tangannya. Pertama kali semenjak kami bersahabat. Aku menggeleng-gelengkan kepada kerana aku tahu ia bukan mudah untuknya. Bukan mudah untuk seorang yang terkenal di dada akhabar ini melakukan kesanggupan seperti itu.
 
Terima kasih, dan hanya Tuhan yang mampu membalas kasih sayang sebuah persahabatan yang ada ini.
 
Mohon Tuhan lapangkan jalan untuknya sementelah dia kini mencebur kerjaya baru yang jauh sasar daripada bakat mampu dia selama ini. Kerjaya yang lazim dihurung kaum lelaki yang sering merasa hanya mereka berhak dan mampu.
 
[Meski tidak banyak, te-tapi yang di-hantar Tuhan dengan ter-bilang jari ini sangat meng-erti kaseh sayang]

Sunday, June 09, 2013

~ WAHAI ~

 
[Nun jauh di-dalam sana..]

Saturday, June 08, 2013

~ DI HUJUNG RANTING 2 ~



TAJUK: Di Hujung Ranting 2
KARYA: Indah Hairani
CETAKAN: Pertama & Kedua (2012)
PENERBIT: Buku Prima
HALAMAN: 690
HARGA: RM25.90
[Meng-alir] 
 
 

Friday, June 07, 2013

~ HANYA PEMAIN ~



HIDUP ini bukan dalam rancangan kita. Kita hanya pemain, dan setiap pemainnya telah di tentukan jalan ceritanya. Mungkin sama jalan yang dilalu, mungkin jugak sebaliknya. Justeru, jangan sekali membanding diri dengan tuah atau bahagianya orang lain. Tuhan lebih tahu apa yang lebih baik untuk kita.
 
Itu yang aku harapkan dimengerti seorang sahabat ini. Sahabat yang datang menangis di bahuku hari ini kerana terlalu kecewa dengan lukisan hidupnya yang katanya tidak berpihak pada diri. Bukan aku tidak tahu ranjau duri yang di laluinya, bukan juga tidak mengerti sakit ranap hatinya... cuma aku percaya, Tuhan mahu memberikan yang lebih baik buat dirinya. Jauh lebih baik.
 
Dan, aku percaya itu.
 
[Bukan hitam dan puteh sahaja warna yang wujud di-dunia...] 

Thursday, June 06, 2013

~ TEATER JUTA JUTA KINI 3D ~

 









HARI ini aku memilih untuk berada di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menikmati pementasan teater Juta Juta Kini 3D. Ia merupakan pementasan ulangan, masuk kali ini ia sudah kali ketiga. Aku pernah menonton pementasan pertama dulu, ditempat yang sama ini. Namun, persaan menonton kali kedua ini, masih tetap kekal dengan keterujaannya.
 
Sebabnya hanya satu, naskahnya jujur.
 
Teater arahan Fasyali Fadzly yang menggandingkan tiga pemain serba boleh, Fazleena Hishamudin, Aloy Paradok dan Anas Riduan ini memberikan gambaran yang paling jelas tentang bagaimana tenatnya dunia teater tanah air. Jujur sekali permainannya.
 
Aku bangga dengan penggiat-penggiat pentas bebas dan kecil-kecilan yang selalunya tampil dengan cara dan pengisian naskah yang berbeza. Tidak dipeduli hal-hal komersial kerana mereka tidak mahu membuang kejujuran kala berkarya. Dan aku sungguh hormat dengan prinsip itu.
 
Tanpa wajah-wajah popular, naskah-naskah mereka juga mendapat sambutan hebat. Mereka berjaya buktikan itu apabila naskah mereka berjaya dipentaskan semula beberapa kali. Pada aku, tidak ada salah untuk menyerapkan nilai komersial ke dalam seni persembahan teater, tetapi biarlah ia dilakukan dengan lebih bijak tanpa merosakan prinsip dan nilai seni sedia ada dalam pementasan teater. Malah, kualiti sesebuah naskah itu harus tetap berada pada perkiraan utama selain pemilihan pelakon yang betul dan tepat.
 
Lebih menarik, semenjak akhir-akhir ini seakan berlaku kebangkitan dalam dunia pementasan teater tanah air apabila banyak pementasan teater-teater bebas dan kecil yang kembali menarik perhatian masyarakat. Tidak hanya Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka, tetapi pentas-pentas mini seperti PJ Live Art, Black Box Publika, Black Box ASWARA dan beberapa lokasi lagi kini semakin aktif dengan pelbagai pementasan teater.
 
Bangga. Hanya itu yang mahu aku katakan.
 
Dan, dalam seramai-ramai mereka itu, aku cukup mengkagumi bakat pemain yang dikenal sebagai Fazleena Hishamudin. Berbakat besar dan cukup jelas menggalas prinsip pementasan teater sebenar. Dan aku penggemar no. 1 bakatnya.
 
[Ter-kenang Lantai T. Pinkie...]

Wednesday, June 05, 2013

Tuesday, June 04, 2013

~ YANG NAMANYA, PERSAHABATAN ~



TELEFON bimbit yang sepanjang hari telah aku senyapkan berkelip beberapa kali. Di hujungnya terdengar suara seorang sahabat menutur bual. Menanya khabar.
 
Pada hampir setengah perbualan mudah kami, dia tiba-tiba memohon kemaafan. Ya, tanpa sebab. Lalu balas aku dalam tawa yang separuh, kemaafan itu akan menjadi lebih bermakna jika seseorang yang ingin memaafkan itu tahu apa yang harus dia maafkan itu. Dan, setelah itu, kemaafan itu akan menjadi paling jujur kalau memang dia memaafkan.
 
Dan, dia berterus-terang. Lalu aku menerima kerana mengerti.
 
[Pada suatu nilai, yang tidak ternilai... persahabatan]

Monday, June 03, 2013

~ SALAH PENGANTIN ~



MEMANIS hari. Dan ia membuat lucu yang mengundang tawa yang panjang dariku. Pertama kali seumpamanya yang menyaksikan betapa aku menjadi manusia yang paling kelam-kabut.
 
Awal jam 8.30 pagi, aku sudah siap siaga berada di Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara untuk meraikan majlis ijabkabul seorang kenalan. Tiba di pintu masuk, kedengaran doa sedang dibacakan. Tetamu dan dan pengantin kusyuk memberi tumpu.
 
Aku tanpa berlengah terus mengambil tempat di celah-celah para tetamu yang kurang lebih berjumlah 80 orang itu. Cuba mengintai wajah-wajah yang aku kenali, sementelah kedudukan pengantin yang agak jauh dan terlindung, malangnya semuanya wajah-wajah asing.
 
Rupa-rupanya aku agak terlambat dan majlis ijabkabul telah pun selesai dengan doa yang dibaca. Aku disalami tetamu seorang demi seorang sehinggalah kepada orang yang diraikan, yakni pengantin.
 
Dan, kedua mereka juga rupa-rupanya wajah asing buatku!!!
 
OK, pengantin sebenar yang mahu diraikan belum berkelibat di lokasi ijabkabul kerana majlis mereka bermula pada jam 11.00 pagi. Yaa, tersalah pengantin kerana sikap kelam kabut diri yang yang lama sudah tidak dapat membuat damping.

[OK. Malu.]

Sunday, June 02, 2013

~ CERMINAN ~


 
DULU aku sering meghabiskan waktu pagi hujung minggu di Tasik Titiwangsa ini. Menghirup udara pagi sambil mengeluarkan sedikit peluh. Tidak sekadar itu ia juga menjadi sesi mendengar dan didengar cerita.
 
Seorang sahabat dekat yang namanya BR, adalah peneman setia. Tiada yang tersembunyi, cuma kami cenderung kepada hal yang hampir serupa. Itu sahaja. Namun, setelah dia memenuh tuntutan kerja nun jauh di seberang benua sana, aku lalu hilang peneman dan langsungnya juga meninggalkan sesi segar ini.
 
Pun begitu, semenjak akhir-akhir ini, aku kembali berulang-alik ke sini . Masih dengan tujuan yang serupa, tetapi bukan dengan sahabat dekat yang seorang itu. Udara pagi semakin nyaman meski dengan cerita yang berbeza.
 
Moga Tuhan izinkan kesihatan untuk aku terus menghirup udara pagi di sini.
 
[Doa kesejahteraan untok kamu wahai sahabat...]

Saturday, June 01, 2013

~ KEA ALYISSA ~




TAJUK: Kea Alyissa
KARYA: Arasharrina
CETAKAN: Pertama (2011), Kedua (2012) & Ketiga (2013)
PENERBIT: Kaki Novel Sdn Bhd
HALAMAN: 766
HARGA: RM27.00
“Cinta itu adalah medan perjuangan untuk mereka yang sanggup berjuang..!”

[Lihat...]