Wednesday, April 17, 2013

~ GADIS DAN 2 MENARA ~





KESEMPATAN. Aku memilih untuk mengisi kesempatan itu untuk duduk dan menjadi sebahagian penonton di Stor Teater, Dewan Bahasa dan Pustaka. Lama tidak menonton teater di pentas kecil ini, dan kali kali terakhir, aku menonton 'Juta-Juta'. Aku terlepas 'Neo-Romantika' kerana hal-hal dunia yang mengikat.
 
'Gadis dan 2 Menara' dihidangkan dengan lima persembahan sehingga 21 April ini. Aku memilih pementasan pertamanya, yakni pada malam ini. Mungkin kerana menurut rasa teruja. Kalau di pentas gah Istana Budaya, aku lebih suka memilih persembahan pertengahan.
 
Aku suka Aloy Paradoks (yang aku mula tahu akan bakatnya ketika berjinak dengan acara Maskara). Suka dengan cara meluahkan isi kepalanya. Suka juga apabila dia memilih orang yang betul untuk menjadi pemain kepada cerita dari isi kepalanya itu. Fazleena Hishamuddin, antara yang begitu sinonim dengannya. Kolaborasi yang sering betul pada tempatnya. Dan, mereka menjadi sebab aku memilih untuk berada di sini, meski ada tarikan lain yang menggamit. 
 
Seperti selalu, seperti mahunya, Aloy selaku pengarah meneruskan ekprementasinya dengan gaya yang tersendiri. Membawakan jalan cerita dan skrip yang bijak, aku cukup pasti teater ini akan mencuri tumpu. Mungkin bukan untuk sang penggemar teater 'berduit besar' tetapi kepada pencinta teater yang paling benar. Yang mahu menonton hal-hal jujur atau hal-hal yang bebas untuk jujur.
 
Paksinya pada cinta barangkali. Tetapi pada yang aku rasa, karya ini cuba membawa penonton melihat dengan pandangan yang lebih besar tentang 'kepercayaan' mereka terhadap sesuatu... yaa.. termasuk cinta. 

Meski hanya dengan empat orang pelakon, set dan ruang pentas yang terhad, cerita dan mesej yang dibawakan sampai tepat kepada penonton. Sebuah naskah yang sangat membangun. Dan, ia tidak akan berlaku tanpa persembahan hebat dari mereka yang namanya Fazleena Hishamuddin (aku jatuh kagum pada bakat dan semangatnya), Sofian Bujang, Fathi Shafie dan Aznah Mohamed.
 
‘Gadis dan 2 Menara’ mengisahkan tentang lelaki yang dikenali sebagai William Shakespeare yang hidup beratus-ratus tahun. Pada tahun 1998, selepas menara berkembar dan tertinggi di dunia di bina di Kuala Lumpur, lelaki itu memilih untuk tinggal di sana. Dia berkenalan dengan Julia yang akhirnya menjadi cinta hatinya dan juga Bobo Si Gendut serta seorang perempuan tua.

Sementara itu pada satu kisah yang lain, seorang jeneral yang menganut agama scientology dan seorang engineer fahaman Syiah telah sepakat untuk meruntuhkan menara berkembar dan tertinggi di dunia, KLCC.  Mereka percaya menara tersebut menjadi punca kepada terhalangnya kiamat yang sepatutnya berlaku pada 21 Disember 2012 yang lalu. Lalu atas rasa tanggungjawab, mereka merasakan perlu untuk meneruskan misi tersebut.

Masih punya empat persembahan berbaki, yakni pada 18, 19, 20 dan 21 April, jam 8.30 malam. Lokasi pentasnya di Stor Teater, Dewan Bahasa dan Pustaka dengan bayaran tiket masuk RM25.
 
Aku dengan besar hati mencadangkan kamu untuk menikmati sendiri sebahagian cerita kehidupan yang mereka kongsikan itu. Banyak yang bakal terpinjam. Percaya aku.
 
[Larot... dan benar-2 larot]

No comments: