Wednesday, January 30, 2013

~ KOBAR ~


SEMANGATNYA tinggi. Lebih dari klcc dan mungkin ke langit kalau ikut hatinya. Dari keinginan yang hanya tumbuh secara tidak sengaja di hati subur membesar sehingga menjadi agenda penting di dalam hidupnya kini.

Aku melihat kobar semangatnya. 

Dari yang paling nipis sehingga yang menebal seperti tidakkan terpecah. Dia mahu membukti, impian yang disertai dengan usaha serta kesungguham, pasti akan memberi hasil. Tuah dan takdir adalah hal yang di luar jangkauan kita, justeru hal itu usah kita kendong resahkan.

Hari ini, sungguh tidak banyak, sungguh belum menyamai ketinggain klcc, usahanya memperlihat keberjayaan awal. Tidak cukup memuaskan hatinya, tetapi cukup untuk menutup mulut yang meragui keboleh-mampuannya selama ini.

"Kata-kata atau anggapan negatif yang diberikan sama ada secara langsung atau tidak, tidak pernah menjadi kudis buat saya. Yang saya tahu, saya ada impian. Dan ia harus dijadikan kenyataan.." ujarnya dalam kebersahajaan yang penuh makna.

Aku angguk. Dan saat pulang ke rumah dan mengatur jari untuk bercerita, aku mengangguk lagi.

Dia mencuba untuk mendapatkan apa yang dimahukan. Sedangkan kita mencuba untuk menggagalkan apa yang dia atau mereka yang lain mahukan. Owhh..

[Me-lehat dengan lebeh jelas..]

Tuesday, January 29, 2013

~ TIDAK SALAH UNTUK BERBEZA ~


PERTENTANGAN pendapat atau percanggahan idea di dalam satu-satu perbincangan atau perbualan itu adalah hal yang lazim. Tidak ada salahnya untuk berbeza fikiran. Berikan, katakan, luahkan...

Namun yang menjadi salah di sini apabila perbezaan itu dijadikan alasan dan sebab untuk kita membina 'sempadan'. Sebagus manapun kita, percayalah ada lagi yang jauh lebih bagus daripada kita. Justeru, tidak perlulah begitu mendabik dada dengan keupayaan diri yang tidak seberapa itu sehingga galak merendah-rendahkan kemampuan orang lain. 

Ya, secara sedar atau tidak.

Dan, apabila wujud situasi begitu apatah pada kalangan sama yang bertepuk tampar setiap hari dengan kewajaran, apa mungkin pagi tidak menjadi gelap?

Ya, aku menjadi saksi kepada babak itu pada hari ini. Sungguh, ia tidak dengan mudah. Lalu, belajarlah sesuatu untuk cerita kehidupan.

[dan, rumpot di-bumi]

Monday, January 28, 2013

Sunday, January 27, 2013

~ MELIHAT DENGAN INDAH ~

 
 

 

 
 
KEBIASAAN yang telah lama ditinggalkan. Dan hari ini aku punya kesempatan ini. Kesempatan untuk duduk mengadap luas hutan batu di hiruk pikuk kota sehingga malam menyimbah cahaya neon. Indah dan asyik. Jauh membawa kepada cerita lama yang punya ribuan episod pecah.
 
Namun, aku masih senang untuk duduk menikmati suasana ini. Masih, seperti dulunya.
 
[Senan-tiasa dengan cherita.. terima kaseh kamu yang nama-nya sahabat..]

Saturday, January 26, 2013

~ BIAR RINDU BERLALU ~



 
TAJUK: Biar Rindu Berlalu
KARYA: Sharifah Abu Salem
CETAKAN: 1 (2007), 2 (2008), 3 (2009) dan 4 & 5 (2011)
PENERBIT: Alaf 21 Sdn Bhd
HALAMAN: 580
HARGA: RM19.90
[Dan, ia benar-2 ber-lalu..]

Thursday, January 24, 2013

Wednesday, January 23, 2013

~ BERBUDI DAN BERBAHASA ~



KADANGKALA aku tertanya sendiri. Apa mereka mendekatiku benar atas paksi kejujuran pada sebuah hubungan insan atau di atas sebab lain.
 
Posisi dan bidang pekerjaanku terdedah pada rasa curiga itu. Manakan tidak, mungkin aku harus disenangi atas sebab kepentingan mereka. Mungkin aku harus dilayani atas paksi agenda yang perlu disempurna.
 
Yaaa.. aku curiga. Hingga pernah rasa gagal melihat mana yang betul duduknya, mana yang layak berdirinya.
 
Pun begitu, aku percaya masih ada manusia jujur yang membuat damping. Yang senyum tanpa perlu maksud lain selain memberi sedekah pengikat silaturrahim.
 
Seperti mana seorang manusia yang punya nama bedar di dada akhbar ini yang menebar salam pagiku. Hanya untuk mengucapkan terima kasih atas beberapa baris tuturku yang disifatkan menyokong pembangunan insitusi yang diwakilinya.
 
Dan, Tuhan tahu segalanya. Aku tidak melakukan itu demi sesuatu yang lain, melainkan atas keinginan hati yang terletak.

[Orang ber-budi kita ber-bahasa..]

Sunday, January 20, 2013

~ KONSERT KLASIKAL ORKESTRA SIMFONI KEBANGSAAN - ROMANTIQUE ~


 
SETELAH sekian lama Orkestra Simfoni Kebangsaan tidak berkelibat membuat persembahan solo di Panggung Sari Istana Budaya, hari ini mereka memulakan cerita. Cerita larut yang membawa aku hanyut dalam bunyi-bunyian indah yang begitu mengasyikkan.
 
Menurut kalendar Istana Budaya, Orkestra Simfoni Kebangsaan akan tampil beberapa kali persembahan istimewa di Panggung Sari pada tahun ini. Mudah-mudahan aku punya kesempatan serupa untuk duduk larut menikmati alunan mereka.

[Lekat pada Beethoven dengan simphony no. 5]

Saturday, January 19, 2013

~ KAPAL KERTAS, LAUTAN API ~






TAJUK: Kapal Kertas dan Lautan Api
KARYA: Siti Zaleha M. Hashim
CETAKAN: Pertama - 2012
PENERBIT: Institut dan Terjemahan Buku Malaysia
HALAMAN: 121
HARGA: RM20.00
 
[Larot...]

Thursday, January 17, 2013

~ AYAHANDA TUN MAHATHIR MOHAMAD ~


KESEMPATAN bertemu ayahanda Tun Mahathir Mohamad secara empat mata buat sekian kalinya amat membuat senang kepadaku. Auranya sebagai seorang pemimpin tersohor juga bapa yang penyayang kepada anak-anak, terasa menyerap.
 
Lazim selalu aku hanya melihat dan memerhatikannya dari jauh. Meski punya peluang untuk menghulurkan tangan untuk bersalam atau bergambar dengannya, aku tidak memilih itu. Entah kenapa, aku lebih senang untuk menyorot ayahanda dari jauh.
 
Dan senyum, kerana punya kesempatan seperti itu.
 
[Muga kehidopan ayahanda di-berkati dan di-panjang-kan umor untok hal-2 kebaikan. Aminn.]

Tuesday, January 15, 2013

~ SABAR ~

[Moga aku di-kalangan itu. Aminn...]

Sunday, January 13, 2013

~ SEMPIT ~

 
SEMAKIN sempit, namun semakin luas pada cerita kehidupan. Meminjam pada suatu hal yang berkeliling membuat cerita saban hari. Tidak pada diri, tetapi pada dunia luar yang penuh rencam itu.

[Tidak sempit hati..]

Saturday, January 12, 2013

~ PEREMPUAN LINDUNGAN KAABAH ~



TAJUK: Perempuan Lindungan Kaabah
KARYA: Hana Ihlami
CETAKAN: Pertama - Oktober 2012
PENERBIT: Penerbitan Karya Seni Sdn Bhd
HALAMAN: 846
HARGA: RM28.00
"Demi mendapatkan redha Ilahi, Hanan cuba bertahan dan mememangi hati lelaki bergelar suami. Tapi… perlukah Hanan mengorbankan prinsip-prinsip hidupnya demi kebahagiaan yang dia sendiri tidak pasti? Diantara cinta kepada suami dan cinta kepada Ilahi, yang manakah harus diutamakan?"
 
[Dan, tiba pada sa-buah pengorbanan yang tidak ter-ungkap dek kata..]

Friday, January 11, 2013

~ PROGRAM ISTANA BUDAYA 2013 ~


















MENERUSKAN kecemerlangan sedia ada usaha untuk  memartabatkan seni pementasan tanah air, Istana Budaya (IB) kembali dengan program-program yang lebih menarik untuk tahun 2013 ini.
 
Melalui pelancaran program yang telah disempurnakan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim baru-baru ini, menyaksikan pelbagai program seni dan budaya mengisi kalendar IB untuk tahun ini.
 
Tidak hanya menumpukan kepada pementasan teater semata-mata, program-program 2013 dilihat lebih menyeluruh dan merangkumi pelbagai elemen pementasan lain seperti tarian, muzik dan sebagainya.
 
Menariknya, barisan program yang dirancangkan ini juga menampilkan lebih kepelbagaian dan pilihan kepada khalayak menonton dari segenap lapisan umur. Tidak sekadar yang bertaraf nasional tetapi tumpuan juga diberikan kepada program-program yang bertaraf antarabangsa.
 
Antara program-program yang bakal menarik perhatian ialah seperti persembahan tarian Song of the Wanderers, Konsert muzikal Scooby Doo, Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan, dramatari, teater adaptasi novel, muzikal, konsert tribute lagenda dan banyak lagi.
 
[Tidak sabar menunggu persembahan Orkestra Seni Kebangsaaan yang bakal mengisi pentas Panggung Sari, Istana Budaya sepanjang tahun ini...] 

Thursday, January 10, 2013

~ IKAN DI LAUT, ASAM DI DARAT ~


TIADA angin, tiada ribut, seorang sahabat dekat ini menghantar khabar gembira. Melalui mesej di skrin telefon bimbit itu, dikongsikan cerita tentang jodohnya yang telah sampai. Jika diizinkan Tuhan dan segalanya dipermudahkan, dia akan disatukan dengan lelaki pilihan pada hujung Februari ini.
 
Perkenalan singkat di alam maya yang hanya bertempoh kurang lebih dua bulan itu sungguh menarik perhatiku. Malah jarak beribu batu antara dia dan bakal sumi juga bukan penghalang bila mana Tuhan tetap menetapkan takdir mereka.
 
Dan itulah jodoh... Benar juga yang dikatakan orang, 'ikan di laut, asam di darat, dalam kuali bertemu juga..'
 
Aku merenung hubunganku dengan teman jiwa. Entah bila sampai jodoh kami. Atau apa ada tertulis jodoh untuk kami berdua? Oh Tuhann.
 
[Selamat pengantin baru dan semuga penyatuan hati ni kekal hingga ke syorga..]

Tuesday, January 08, 2013

Monday, January 07, 2013

~ BUKU BARU ~



BUKU baru, dan aku benar-benat maksudkan itu. Mencuba dengan sepenuh hati walaupun banyak dugaan yang menguji kesabaran.
 
Cerita lama, biar berlalu pergi. Meski pahit dan berat untuk dilepas, aku berjanji untuk membuang jauh. Kalau tidak dengan begitu sempurna sekalipun, setidak-tidaknya aku melakukan untuk sebahagiannya.
 
Mudah-mudahan, pintu hati ini dibuka dengan seluas-luasnya untuk memaafkan dan dalam masa yang sama dimaafkan. Tiada yang sempurna. Tidak juga aku. Kasih sayang itu ada di dalam kebencian, kebencian juga mengisi hal yang serupa. Justeru, bukalah langkah dengan fikiran yang paling waras.
 
Memang ia tidak mudah bagi seorang yang seperti aku. Seorang yang susah melupa atas apa kejadian perit yang menjentik rasa. Namun, aku tetap berusaha untuk itu. Mudah-mudahan mampu berubah menajdi yang lebih baik pada hari-hari yang mendatang. Tidak untuk diri sendiri, tetapi juga untuk mereka yang ada disekeliling.
 
Dan, itulah kehidupan.
 
[Usaha untok men-coba..] 

Sunday, January 06, 2013

~ ANGELINA: UNAUTHORIZED BIOGRAPHY ~






TAJUK: Angelina: An Unauthorized Biography
KARYA: Andrew Morton
CETAKAN: Pertama - Ogos 2010
PENERBIT: St Martin’s Press, New York
HALAMAN: 313
HARGA: US$26.99

[Me-minjam cherita kehidopan..]

Saturday, January 05, 2013

~ DAN, TUHAN MAHA MENDENGAR.. ~


SELAMAT menyambut hari ulang tahun kelahiran. Semoga kerahmatan sentiasa ada untuk adik, untuk ayah ibu dan untuk kita semua. Mudah-mudahan kita dipanjangkan umur untuk hal-hal kebaikan dan dimurahlan rezeki untuk hal-hal kebajikan.
 
Doa kami semua juga agar hari ini menjadi penggerak kepada semangat baru adik yang hampir hilang beberapa tempoh kebelakang ini. Kembalikan senyum yang telah lari bertempiaran itu. Pulihkan kembali keyakinan yang betebaran terbang entah ke mana itu. Anggaplah segala ujian yang datang silih berganti itu sebagai dugaan yang punya hikmah yang tersembunyi. Ada  bahagian lain yang lebih baik menanti selepas ini, insya-Allah.

Allah selamatkan kamu..
Allah selamatkan kamu..
Allah selamatkan adik
Allah selamatkan kamu..
 
Amin.

[Ayah ibu, dan kami semua men-doa-kan yang ter-baek buat adek.. juga buat kamu di-luar sana yang ber-keadaan serupa...]

Friday, January 04, 2013

~ DAN, MEREKA LEBIH MENAKUTKAN.. ~



DIA melihat aku atas ke bawah. Dikecilkan matanya seolah mahu melihat dengan lebih jelas tentang aku. Diberikan senyum sebelum ditutur kata-kata tanya itu dan ini. Semua tutur berbentuk soalan itu menjurus tentang ringgit dan keduniaan.
 
Seawal aku mengenal dia, itulah yang selalu dia pertontonkan kepadaku. Sekuat mana aku cuba mengubah persepsi kepada dirinya, sekuat itu jugalah dia mengekalkan persepsi negatif yang dia perkenalkan kepada orang sekelilingnya.
 
Aku tidak pernah mengenali dia lebih daripada yang aku kenal berkait urus pekerjaan ini. Tidak pernah lebih. Namun kalau benar sekalipun hidupnya sempurna bermandi ringgit, tidak perlulah dia memperkecil orang lain dikeliling dengan begitu jelas. Tidak berlebih dan tidak akan berkurang pun apa yang dia miliki dengan tindakan sebegitu.
 
Tidak ada sesiapa yang cuba mahu menyainginya meski ada yang ternyata lebih memiliki daripda dirinya. Hakikatnya kesempurnaan yang bersifat sementara itu, jika tidak kena caranya pasti akan memberi kejutan yang lain pada pengakhirannya.
 
Untuk dia, untuk kamu dan untuk aku juga... mudah-mudahan terpelihara daripada sikap riak yang memusnahkan itu.
 
[Maseh pada se-helai per-salinan puteh..]

Thursday, January 03, 2013

~ PENGAKHIRANNYA ~



IA tidak akan pernah terawal mahupun terlewat walaupun pada satu saat. Itu kematian. Kami mengangguk-angguk dan sentiasa mengangguk untuk hakikat yang satu itu. Ajal dan maut yang telah ditentukan Tuhan seawal kita diberikan nyawa.
 
Sepanjang sepuluh hari ini, hampir saban hari berita kematian menyinggahi telingaku. Baik dari yang jauh dan mahupun dekat, tangisan dan kesedihan yang diiring bersama itu turut memberiku rasa. Yang bukan sedikit, tetapi membuat bekas yang dalam seolah aku turut di dalam babak itu.
 
Al-Fatihah untuk arwah dan salam takziah untuk seisi keluarga. Relakanlah pemergian mereka, biar berat dan payah hati untuk menerima ketentuan itu. Doakanlah yang terbaik untuk mereka di Sana.
 
Aminn.
 
[Biar-lah pada hari sedia..]  

Wednesday, January 02, 2013

~ PADA SEKEPING KERTAS ~



TAHUN baru. Dan pelbagai perkara baru juga yang mahu singgah berkeliling. Tujuannya hanya satu, untuk menambah-baik apa yang telah sedia ada ini. Harus ada kemajuan dan pencapaian untuk melangkah lebih setapak ke hadapan.

Dan, pihak pengurusan di lantai pekerjaan mengumumkan beberapa pembaharuan temasuk beberapa pertukaran kakitangan ke jabatan lain. Mereka punya alasan paling sempurna biarpun mengundang teka-teki.
 
Ada yang mahu kekal, ada yang mahu pergi. Namun, hal yang menjadi kebiasaan, yang mahu kekal dibawa pergi dan yang mahu pergi dikekalkan.
 
Lalu terimalah kami dengan hati yang terbuka. Semoga percaturan mereka membuahkan hasil yang diinginkan. Baik untuk semua demi sebuah pembaikan yang dilihat pada sekeping kertas. Yaa.. pada sekeping kertas. Aku terlepas untuk kali ni, tetapi ia tidak memberi makna terlepas selamanya mengikut mahuku.

[Ma-lihat dengan lehat yang betol-2 lehat...]

Tuesday, January 01, 2013

~ SELAMAT DATANG 2013 ~



SELAMAT datang 2013. Dari lubuk hati yang dalam, aku mengharapkan dan mendoakan agar hari-hari yang bakal di lalui sepanjang tahun ini akan menjadikan aku lebih baik daripada semalam. Menjadikan aku lebih matang dan lebih kuat mendepani apa sahaja yang membuat rentang.
 
Paling jujur, 2012 banyak meninggalkan hal-hal yang agak jauh dari manis yang diharap. Malah keazaman yang dibenihkan seawal hari pertama menjengah tahunnya, tiada sedikit yang terlaksana. Tiada kejayaan yang mampu digenggam, baik di dalam kerjaya mahupun di dalam hidup seharian. Jadilah aku orang yang kalah.
 
Lalu, untuk tahun baru ini, aku benar amat dapat melakukan sesuatu. Kalau bukan untuk diriku sendiri, biarlahuntuk orang lain. Energi positif ini tidak harus dibiar kering dek racun yang iri. Mudah-mudahan kata ini terkota dengan manis.
 
Amin.
 
[Menunggu sa'at Tuhan mem-beri izin..]