Tuesday, December 31, 2013

~ DI ANTARA KAMU ~

 
LUKA. Dan lencun dek sederetan kata yang menikam tajam. Tembus tepat terus ke jantung. Aku tidak pernah tahu apa yang paling benar ada di hati sahabat julai. Tidak juga mampu meneka apa sebenarnya yang mahu dibuktikan sahabat june. Hanya Tuhan yang lebih tahu.
 
Isi perbualan semalam diangkat menjadi satu tsunami besar yang membuat gila. Hal yang sepatutnya hanya dalam tahu aku kami berdua dipanaskan semasak-masaknya oleh sahabat june. Lalu, seawal tengahari tadi, sehingga ke beberapa jam tadi, aku ditembak dengan sederetan kata yang tajam menusuk sehingga tembus ke hati. Sahabat julai, terima kasih kerana sering mengenalkan siapa kamu kepadaku.
 
Mungkin benar, aku tidak patut ada diantara kamu.
 
[Keliru..] 

Monday, December 30, 2013

Sunday, December 29, 2013

~ THE WEDDING BREAKER ~




TAJUK: The Wedding Breaker
KARYA: Evelyn Rose
CETAKAN: Kelima (June 2013)
PENERBIT: Karya Seni Sdn Bhd
HALAMAN: 642
HARGA: RM25.00
“Selangkah aku menghampiri-Mu, seribu langkah Kau akan mendekatiku..”
 
[Saat itu..]

Saturday, December 28, 2013

~ PROGRAM SENI ISTANA BUDAYA 2014 ~





















SEMENJAK penubuhannya pada tahun 1999 yang lalu, Istana Budaya (IB) menjadi satu-satunya pentas seni berprestij yang menjadi sandaran penggiat seni tanah air untuk mementaskan pelbagai bentuk karya mereka sama ada dari genre teater, tari dan muzik.
 
Justeru, saban tahun kalendar program IB sentiasa padat dengan sederetan karya seni yang ingin dipersembahkan kepada umum. Meneruskan kesinambungan itu, tahun 2014 turut menyaksikan pelbagai program yang bakal berlangsung di pentas keramat ini.
 
Malah pada tahun ini, khabarnya IB menerima permintaan di luar jangkaan daripada produksi dalam dan luar negara yang mahu mementaskan karya mereka di sini. Dek kerana itu, pelbagai ketelitian dan saringan telah dibuat untuk memastikan hanya karya-karya yang terbaik sahaja akan mendapat tempat dan seterusnya dipersembahkan kepada khalayak umum.
 
Mengikut jadual, IB pada tahun ini bakal mementaskan 26 program yang terdiri daripada pelbagai genre seni. Lebih menarik, sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 ini, IB turut membuka lebih ruang kepada kepada program seni bertaraf antarabangsa  dalam usaha untuk menarik minat pelancong asing terutamanya daripada Singapura, Indonesia dan Brunei untuk berkunjung ke Panggung Sari. Malah dalam masa yang sama, ia turut memberi lebih pilihan kepada penonton untuk berhibur.
 
Apa yang menariknya juga, pada tahun ini, kalendar program IB dilihat lebih seimbang apabila memberi peluang yang sama rata kepada penggiat seni teater, tari dan muzik. Tidak seperti tahun lalu, yang mana pementasan di IB dikatakan lebih cenderung kepada acara konsert dan muzikal, kali ini ternyata ia lebih menyeluruh.
 
INFO PROGRAM 2014 ISTANA BUDAYA
 
1. Konsert Gelombang Salamiah Hassan (10-12 Januari)
2. Teater Jam Dinding Yang Berdetak (17-19 Januari)
3. Konsert OTM Bersama Bintang (24-26 Januari)
4. Konsert Diraja UUM Bersama OSK (14-16 Februari)
5. The Next (21-23 Februari)
6. Muzikal Suara Kita (3-9 Mac)
7. Konsert Kuala Lumpur (4-5 April)
8. Muzikal Jersey Boys (10-20 April)
9. Muzikal Matah Hati (25-27 April)
10. Teater Di Bawah Lindungan Kaabah (9-18 Mei)
11. Konsert Ekspress Rakyat Kembara (23-26 Mei)
12. An Evening With Bruno Mars & Neyo (29 Mei)
13. Teater Projek Kahwin (6-14 Jun)
14. Teater Isabella (21-27 Jun)
15. International Ballet Gala 2014 (9-10 Ogos)
16. Mystic India The Musical (15-14 Ogos)
17. Konsert Gemersik Ahmad Jais Dalam Kenangan (28-31 Ogos)
18. Rejang Sebuah Muzikal (21-21 September)
19. Asia Pasific Electrone Festival 2014 (27 September)
20. Inspitari (10-11 Oktober)
21. Konsert 45 Tahun Seniman Ramli Sarip ( 17-19 September)
22. Xuan Zhuang – A Journey To The West Musical (27 Oktober – 9 November)
23. An Evening With James Bond (14-15 November)
24. Yunnan Showcase (21-23 November)
25. Dramatari Gema Zafana (5-7 Disember)
26. Mamma Mia (15-25 Disember)
 
[Tidak sabar menunggu Gema Zafana kembali meng-gegar Panggong Sari..] 

Friday, December 27, 2013

~ EMPAT MATA ~

 
SETELAH bertahun tidak bertemu muka dan jauh dari khabar, aku bertemu sahabat lama saat bersama-sama di lantai Istana Budaya untuk teater.
 
Dia masih dengan sosok yang serupa, bicara yang tidak jauh beza dan laku yang menyenangkan sebagaimana dulu, seawal kami bersahabat. Kami tidaklah terlalu rapat, tetapi saling selesa untuk bersahabat.
 
Hari ini foto yang kami rakamkan bersama, seusai persembahan teater kelmarin dia muatkan di laman instagramnya dengan kenyataan ringkas, "kawan datang dan pergi. tapi alhamdulillah, kawan yang ini kekal sampai hari ini,"
 
Dan, aku membacanya dengan senyum yang paling manis. Hal yang sekecil itu mampu sahaja membuat aku berbesar hati. Manakan tidak, kejujuran itu aku cukup rasai. Kerana aku juga merasakan hal yang serupa.
 
[Pada se-buah harga yang tidak ter-nilai harga-nya..]

Thursday, December 26, 2013

~ TEATER BAHAYANYA WANITA ~












ISTANA Budaya menutup tirai persembahannya pada tahun ini dengan sebuah teater muzikal yang sangat-sangat komersial, 'Bahayanya Wanita'. 
 
Sepanjang lebih dua jam menonton dengan penuh selesa di kerusi empuk Panggung Sari, Istana Budaya, aku mencari-cari apakah sebenarnya yang ingin disampaikan melalui persembahan ini. Namun sehingga ke hujungnya, aku tidak memperoleh apa selain hiburan ringan yang menjadikan poligami sebagai subjek.
 
Pada aku, 'Bahayanya Wanita' bukanlah teater dalam erti kata yang sebenar. Ia tidak lebih daripada sebuah persembahan cerita yang serupa seperti mana drama mahupun filem. Bezanya, ia dipersembahkan secara langsung di pentas.
 
Teater seharusnya membawa satu pola pemikiran atau idea-idea yang konseptual. Tidak salah membuat teater komedi, tetapi ia seharusnya ada isi kandungan yang berbentuk satu aliran pemikiran yang ingin dikongsikan dengan khalayak penonton.
 
Apapun, tahniah kepada team produksi 'Bahayanya Wanita' yang berjaya menarik khalayak penonton dan menjual tiket dengan begitu laris. Juga untuk usaha seluruh yang terlibat dalam menjayakan persembahan ini.
 
[Rindu lakonan hebat Umie Aida dalam naskah teater yang benar-benar teater..]

Wednesday, December 25, 2013

~ MERRY CHRISTMAS ~



MERRY CHRISTMAS. Selamat menyambut Hari Natal kepada seluruh yang meraikan. Untuk teman jiwa tentunya, semoga kegembiraan terus membuat damping pada hari-hari mendatang. Jadilah seperti santa clause yang sering membawa keceriaan.
 
[Maseh menunggu santa clause]

Monday, December 23, 2013

~ MENGHADAP ~



PENAT. Melayan sikap manusia yang hanya tahu mendahulukan emosi sendiri melebihi segala-gala yang ada. Bukan tidak mahu mengerti, tetapi jika membuat ribut sepanjang hari sehingga menyukar kepada segala urus pekerjaan yang melibatkan manusia lain, itu adalah tindak yang tidak wajar.
 
Dan, aku penat menghadap semua ini. Usahlah melibatkan orang lain yang sedikitpun tidak terlibat dengan kerobohan emosi kamu. Aku tidak menghalang kamu untuk beremosi atau melayan lara hati semahu yang ada. Cuma, belajarlah untuk tidak mementingkan diri sendiri. Biarlah tahu beza, antara urus pekerjaan dan peribadi.

Bukan hari ini sahaja, tetapi terlalu selalu. Sehingga aku menjadi terlalu penat untuk menghadap. Sementelah kita perlu membuat urusan pekerjaan dengan komunikasi empat mata. Justeru, usahlah terlalu menurut kehendak diri semata.
 
Permudahkanlah.. Insya-Allah kamu akan dipermudahkan dalam segala kesulitan kamu.

[Diam.. dan diam]

Sunday, December 22, 2013

~ SUARA KUALA LUMPUR: FESTIVAL AKUSTIKA & BACA PUISI 2013 ~



 
KESEMPATAN yang menyebelahi. Setelah lama tidak punya keluangan untuk bersama-sama meraikan acara sebegini, hari ini aku di sini.
 
Dunia puisi sememangnya begitu dekat dengan diri. Terapi kala simpul seratus membuat resah. Pernah bercita-cita mahu membaca di depan pentas seperti ini. Dan, sekiranya aku punya kelebihan seperti mereka. 
 
Persembahan hidup dari Dr Ahmad Razali, Hanis Salwa, Kumpulan Kawan, Arif Muhamad, Lin Haslinas, Mae & Marina, Zaen Kasturi, Agi Ibrahim, Adinda Amirul dan satu-satunya Fazleena Hishamudin bersama Lasykar Pelanginya.
 
Semoga acara seumpama terus bernyawa.
 
[Fazleena Hishamudin cukop ter-sendiri..] 

Saturday, December 21, 2013

~ PUISI JADI SENJATA ~




TAJUK: Puisi Jadi Senjata
KARYA: Pelbagai (Penyusun Fazallah Pit)
CETAKAN: Pertama- 2011
PENERBIT: Fikrah Collective
HALAMAN: 51
HARGA: RM15.00
 
[Sekadar menikmati suara puisi yang ter-kandong… dan tidak lebeh..] 

Friday, December 20, 2013

~ SECARA ISTIMEWA ~



WAYANG. Aku pernah menonton hanya dengan tiga penonton di panggung yang mampu memuatkan 180 penonton di dalam satu masa. Pernah juga lapan, lima belas dan yang kurang dari dua puluh. Saat itu terasa umpama aku menempah khas secara istimewa panggung besar untuk menonton. Dan, rasa istimewa.
 
Situasi itu beberapa kali aku lalui. Selalunya ketika menonton filem-filem biografi dan sejarah. Dan, menjadi kebiasaanku juga memilih untuk menonton sesebuh filem pada saat-saat hujung tayangan. Dalam erti kata lain, aku jarang-jarang  menyertai keghairahan untuk menonton filem seawal tayangan.
 
Dan, hari ini aku melalui situasi serupa. Merasa seperti menempah panggung dengan begitu istimewa. Merasa istimewa kala hilang arah dan membawa diri mencari terapi di layar lebar. Menumpang bersembilan dengan penuh tumpu. Membuang resah tanpa membuat peduli.
 
Simpul seratus lagi, dibuat kamu.
 
[Layar kehidopan..] 

Thursday, December 19, 2013

Wednesday, December 18, 2013

~ BUKAN SEMPURNA ~

 
BERUBAH. Sama ada kerana diri sendiri mahupun kerana orang lain. Untuk siapapun alasannya, ia tidak pernah menjadi salah. Asal sahaja perubahan itu dilakukan dengan hati yang mahu dan untuk kebaikan bersama.
 
Dan, aku sedang dalam usaha itu. Untuk diri aku dan untuk mereka berkeliling aku. Mengubah kebiasaan, mengubah kedegilan dan mengubah keegoaan adalah hal yang paling tidak mudah. Namun, kerana inginkan satu keharmonian dan tidak mahu hidup mengulang hadam babak yang serupa sejak bertahun, aku lakukan itu.

Aku tidak pernah minta ia dilihat, tidak juga harap ia disebut bilang. Cuma yang aku mahukan, sedikit pengertian. Sedikit, dan tidak perlu lebih.  
 
Mengalah untuk kamu yang tidak pernah mahu kalah.
 
[Ya, terima-lah se-ada-nya..] 

Tuesday, December 17, 2013

~ HIKAYAT 1001 MALAM ~

 
BANGSAWAN. Teater yang semakin dilupakan dek keghairahan penonton yang lebih cenderung kepada pementasan muzikal dan komersial. Sementelah teater bangsawan tidak menampilkan wajah-wajah popular sebagai pelaku.
 
Dan, aku di sini. Menonton dengan penuh rasa senang.
 
[Men-jadi se-bahagian..]

Monday, December 16, 2013

Sunday, December 15, 2013

~ TITIWANGSA SENTIASA DENGAN CERITANYA ~



MENGHIRUP udara pagi di Taman Tasik Titiwangsa awal hari ini memberi cerita lain. Mungkin di dalam sedar atau tidak, aku berkongsi suatu hal yang jarang sekali aku lakukan.
 
Dan, itulah scorpio saat dia menaruh rasa percaya. Lalu, usah sekali dikhianti rasa percaya itu, kerana yang satu itulah akan menjadi hal yang bakal membuat punah.
 
Justeru, aku mengharapkan agar sahabat dekat yang seorang ini tahu menghargai sebuah kepercayaan.

[Hal yang serupa kamu, Brad..]

Saturday, December 14, 2013

~ SUARA CINTA KITA ~

 
 
 
TAJUK: Suara Cinta Kita
KARYA: Erisya Riftha
CETAKAN: Pertama- 2011
PENERBIT: Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN: 677
HARGA: RM25.90
 
 
“Andai ini harga sebuah bahagia, akan kubayarnya dengan pasrah dan redha..”
 
 
[Yang di-dalam sana..]

Wednesday, December 11, 2013

~ 11.12.13 ~

 
11.12.13... Cuba menjadi istimewa. Dan, aku juga pernah. Namun pada akhirnya, sedar akan hakikat istimewa itu ada di mana-mana. Asal sahaja, kita tahu menghargai suatu hal yang kita namakan istimewa itu.

[Istimewa kamu dan aku pasti punya beda..]

Tuesday, December 10, 2013

Monday, December 09, 2013

~ TIADA PADA KATA ~

 
RINDU. Dan, kehilangannya kurang lebih enam bulan yang lalu tidak pernah reda. Sungguh, tiada pada kata, dan Tuhan lebih tahu.
 
Aku tidak pernah menjadi sempurna untuknya, atau seperti mahunya. Dan sehingga ke akhir nafasnya, aku tidak pernah menjadi yang terbaik buatnya.
 
Lalu, penyesalan itu tidak pernah mahu berhenti. Dibalik 'topeng' tenang menutup rasa ini, tiada siapa tahu gelojak yang di dalam sana.
 
Mudah-mudahan, tidak ada yang menyumbang tambah.
 
[Gelora..]