Monday, December 10, 2012

~ ENAM TAHUN PEMERGIAN ~


AL-FATIHAH... Semoga rohmu sentiasa dicucuri rahmat dan tenang bersemadi di sana. Amin..

D, maafkan aku. Buat pertama kalinya selepas enam tahun pemergianmu, aku benar-benar terlupa akan tarikh itu, 21 November. Tarikh yang sudah berlalu tanpa ada sedikit ingat mahupun doa buatmu di sana seperti mana lazim selalu. Banyak perkara yang mendesak hambat sehingga aku terlupa banyak perkara untuk beberapa ketika ini... termasuklah tarikh itu.

Maafkan aku. Dan, itu sungguh.

D, aku tidak akan pernah melupakanmu. Itu yang paling pasti. Tidak lima tahun, tidak juga sepuluh tahun. Selagi ada hayat, kamu tu akan sentiasa ada dalam hidupku bersama doa yang tidak akan pernah putus.

Al-Fatihah buat kamu D.. Al-Fatihah..

Enam tahun lalu...

30 minit perjalanan, kami tiba di tempat yang dituju. Debar semakin besar. Resah semakin bergelora. Kaki seperti berat melangkah. Adik arwah beberapa langkah mendahuluiku. Sesekali menoleh ke belakang memastikan aku ada menurutinya. Tiba adik arwah membuka pintu kawasan perkuburan yang redup melambai itu, langkahku seperti terhenti. Keras di situ. Adik arwah menarik tanganku lembut, mengangguk dan mengaturkan langkah perlahan melalui nesan2 yang bertuan. Ya Allah.... Ampunilah segala dosa-dosaku...

Akhirnya kaki adik terhenti di pusara yang masih merah tanahnya. Letaknya di tepi pagar, dibawah sepohon pokok yang redup menutup tanah. Aku mengawal diri. Aku mengawal emosi dengan kuat. Menadah tangan memohon pada Tuhan agar roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang2 yang beriman.

Namun saat adik menghulurkan air dan bunga meminta aku menyirami pusara arwah, air mata yang kuat ku tahan itu akhirnya gugur juga. Semakin laju membasahi pipi dan esak tangisku juga semakin berlagu memecah kesunyian pusara arwah. Adik duduk memelukku. Cuba meredakan tangis yang semakin panjang itu. Beberapa ketika kami begitu. Adik yang sejak tadi tenang saja, turut berhujan air mata. Beberapa kali kedengaran suara halusnya minta aku bertenang dan menghentikan tangis.

Bagaimana aku mahu menghentikan tangis itu sedangkan aku terpaksa mengakui hakikat manusia yang begitu dekat di hati ini telah pergi meninggalkanku buat selama-lamanya... Dan saat ini aku sedang berdiri menyirami mawar di pusaranya. Bagaimana aku mampu melaluinya dengan emosi yang tenang....

Adik membantuku melalui saat2 itu. Kami bersama2 menaburkan bunga di pusara arwah dengan penuh airmata. Dengan penuh luluh di hati. Aku tidak mampu untuk lebih lama di situ. Airmata ini turun tanpa ada tanda mahu berhenti. Semakin laju... Aku tidak harus begini... tetapi aku tidak mampu mengawal diri. Maafkan aku D.. Maaf. Adik juga juga bersetuju untuk meninggalkan pusara arwah lebih awal. Tambahan pula waktu itu matahari sudah mahu menutup hari. Tidak elok dalam waktu yang begini, kami masih di pusara.

Sebaik berpaling untuk pulang, adik menggenggam tanganku erat. Dia cuba menenangkanku walaupun aku tahu di juga tidak tidak ada tenang. Beberapa kali aku menoleh kebelakang... Banyak perkara yang ingin aku perkatakan pada arwah D. Tapi... aku akan datang lagi. Aku akan terus mengunjungimu di sini. Insyaallah...

[Al-Fatihah buat-mu sahabat..]

No comments: