Tuesday, November 27, 2012

~ SECAWAN MOCHA ~


KAMI saling mengenali sekitar tujuh tahun lalu. Adakala dekat, sering kali juga jauh. Tidak putus bertanya khabar dan pernah juga sepi tanpa cerita dalam tempoh yang lama. Bukan kerana bertentang kata atau bermasam muka, cuma urus hidup masing-masing yang kadangkala membuat halang.  

Hari ini, Tuhan memberi kami kesempatan duduk untuk secawan mocha. Aku ketawa, dan sahabat ini juga melepas tawa yang besar. Mengenang cerita persahabatan kami. Persahabatan yang terbina bukan kerana nilai ringgit, tidak juga kerana senyum tawa.

Ya, kami bersahabat untuk susah senang walaupun tidak kami sedari sebenarnya. Baik dia mahupun aku, kami ada saat susah masing-masing. Tanpa perlu menyebut apatah lagi meminta.

"Saya mahu bayar budi.."

Aku menggeleng-gelengkan kepala. Manakan tidak, meski ini mocha pertama kami setelah beberapa tahun hilang kesempatan, dia masih mengingat hal-hal dulu.

Sahabat, selagi tiada pengkhianatan antara kita, budinya sudah berbayar di situ.

[Dan, bukan hanya untuk sa'at mata-hari terang mem-buat damping..]

No comments: