Friday, November 30, 2012

~ AURA SANG BERJASA ~



BERTEMU bonda Tun Siti Hasmah dan ayahanda Tun Mahathir sekali lagi. Dan, sungguh.. betapa besar hati diberi kesempatan ini. Kekagumana terhadap ayahbonda berdua tiada pada kata.

Sesungguhnya jasa ayahanda dan bonda untuk kami dan untuk negara akan terkenang sampai bila-bila. Mudah-mudahan Tuhan lindungi dan berkati kehidupan ayahanda dan bonda selagi hayat dikandung badan. Amin..

[Doa kejeahteraan dan terima kaseh dari kami..] 

Thursday, November 29, 2012

~ BUDI ~


"Sekiranya tidak mampu membalas budi, memadailah kita mengenang budi..."

[Cherita per-sahabatan di-sabalek cafe latte..]

Wednesday, November 28, 2012

~ HAMPIR MENUTUP MANIS ~


SEGALANYA terhenti sekitar Oktober tahun lalu. Hanya kerana mahu membuat jauh kepada seseorang, aku juga menutup ruang itu untuk semua yang lain. Tiada lagi berkelibat, di layar skrin seperti lazim sebelumnya. Mungkin baik untuk kedua-duanya.

Dan, kejadian itu telah setahun berlalu.

Mudah-mudahan yang pahit-pahit itu sudah tawar dek masa yang berlalu. Justeru, sempena tahun baru yang bakal membuat damping nanti, aku membuat tekad untuk cuba  melupa semua. Kembali sebagaimana sedia ada aku sebelumnya.

Pahit itu hampir menutup semua yang pernah manis. Tragis.

[Cukop, cukop sudah..]

Tuesday, November 27, 2012

~ SECAWAN MOCHA ~


KAMI saling mengenali sekitar tujuh tahun lalu. Adakala dekat, sering kali juga jauh. Tidak putus bertanya khabar dan pernah juga sepi tanpa cerita dalam tempoh yang lama. Bukan kerana bertentang kata atau bermasam muka, cuma urus hidup masing-masing yang kadangkala membuat halang.  

Hari ini, Tuhan memberi kami kesempatan duduk untuk secawan mocha. Aku ketawa, dan sahabat ini juga melepas tawa yang besar. Mengenang cerita persahabatan kami. Persahabatan yang terbina bukan kerana nilai ringgit, tidak juga kerana senyum tawa.

Ya, kami bersahabat untuk susah senang walaupun tidak kami sedari sebenarnya. Baik dia mahupun aku, kami ada saat susah masing-masing. Tanpa perlu menyebut apatah lagi meminta.

"Saya mahu bayar budi.."

Aku menggeleng-gelengkan kepala. Manakan tidak, meski ini mocha pertama kami setelah beberapa tahun hilang kesempatan, dia masih mengingat hal-hal dulu.

Sahabat, selagi tiada pengkhianatan antara kita, budinya sudah berbayar di situ.

[Dan, bukan hanya untuk sa'at mata-hari terang mem-buat damping..]

Monday, November 26, 2012

~ MENUTUP SALAH DIRI ~


HABIS kesalahan orang keliling dibilangnya. Satu demi satu. Seolah segala apa yang tidak manis terjadi kepadanya, semuanya bersebab orang keliling. Tiada satu pun berpunca dia.

Tiada satupun?  

Aku menunggu dia berkata sesuatu bagi pihak dirinya. Dan, sehingga akhirnya tiada. Yang canggung pada diri, sedikitpun tidak pada lihat. Manakan tidak, ralit menuding jari kepada selain diri.

Begitulah lumrah manusia. Aku, kamu.. dan mungkin juga mereka. Sering sahaja mahu mencari dan melihat kesalahan orang lain. Sedang pada hakikat, diri sendiri yang membuat haru.

Lalu bagaimana?

[Lehat-lah diri kamu itu... lehat-lahhhh..]

Sunday, November 25, 2012

~ SUATU YANG PERNAH ~


[Se-cebis kesah mengenal sa-orang kamu..]

Saturday, November 24, 2012

~ LAGENDA BUDAK SETAN SAGA 3: KATERINA ~


TAJUK: Lagenda Budak Setan: Katerina
KARYA: Ahaadiat Akashah
CETAKAN: Pertama (1997)
PENERBIT: Ghost Writer
HALAMAN: 448
HARGA: RM20.90

“Aku telah mengenali dua wanita hebat yang sempat aku labuhkan kasih sayangku. Juga… yang pernah aku cintai setulus hatiku. Walaupun aku tak dapat miliki kedua-dua mereka, aku tetap berpuas hati dan bersyukur kehadrat Ilahi. Setidak-tidaknya aku sempat membahagiakan mereka walau mungkin untuk sementara..”

[Cherita hari esok yang mungkin tidak sampai pada fikir..]

Friday, November 23, 2012

~ PEMENTASAN SEMULA TEATER TUN SITI HASMAH ~


KURANG lebih sepuluh hari pementasan tribute teater Tun Siti Hasmah berakhir, aku diberitakan pihak penerbitnya mahu membuat pementasan semula.

Diam. Perasaan senang dan kecewa mula berbaur.

Kalau benar, ia bersebab atas permintaan ramai, yaa.. aku paling senang. Namun kalau ia dilakukan bersebab pulangan yang tidak mencapai tingkat harap, aku paling kecewa. Dan... entah kenapa aku lebih merasakan pementasan semula ini dilakukan atas sebab kedua.

Apapun, jika pementasan semula ini benar menjadi kenyataan, mohon sang pengarahnya menambah-baik beberapa aspek yang menjadi perhati ramai orang. Tidak salah mengambil teguran dan kritikan yang diberikan dengan pandangan yang lebih positif untuk kebaikan bersama.

Pementasan semula ini akan kembali mengisi Panggung Sari, Istana Budaya pada 28 November hingga 3 Disember 2012 ini. Masih mengekalkan barisan pelakon yang sama kecuali Lisa Surihani yang mempunyai komitmen yang lain.

Sama-sama kita memberikan sokongan kepada dunia teater tanah air.

[Bonda Tun Siti Hasmah yang sentiasa me-minjam-kan cherita penoh inspirasi..]

Thursday, November 22, 2012

~ WARNA SEBENAR ~


MANUSIA yang tidak jujur akan sanggup melakukan apa sahaja demi melepaskan dirinya atau untuk kepentingan dirinya. Dan ketika ini, dia tidak lagi mengenal siapa yang didepaninya itu. Saudara mahupun sahabat, bukanlah lagi hal yang menjadi ukuran.

Dan, hari ini aku bertemu lagi dengan salah seorang daripadanya.

Melihat dia dengan watak putih sehingga tiba pada satu situasi menekan, terpapar jelas sisi hitamya. Diberikan dia tanpa silu.

Gamam.

Mujur Tuhan melindungiku, menyempurnakan doa tulusku. Lalu, aku terselamat dari peluru yang bakal dihadap terus untuk tembus tepat ke jantung.

Sedar, dia sebenar hanya diuji aku untuk gurau bersahaja pada alam, dia jadi gamam. Sedar pada amukan emosi yang menunjuk warna sebenar dia, dia lagi gamam. Lalu, dia cuba untuk menarik kembali tingkahnya. Sedaya cuba mengembalikan putih yang aku lihat pada mata hati.

Dan, sudah terlambat.

[Sahabat yang punya sekalian warna hidop..]

Wednesday, November 21, 2012

~ TERAPI ~


TERIMA kasih daun keladi. Isi kandung yang cukup membuat senang pada diri. Sementelah pelantun pilihan, Nina Simone turut mengisi terapi.

101 Classic jazz favourites to swing the night away...

[Larot..]

Tuesday, November 20, 2012

~ BIRU DAN DIBURU ~






SEPANJANG hari aku tidak berganjak daripada memerhatikan langit biru dan laut biru. Cerita biru yang pada akhirnya membuat hati juga menjadi biru di Pantai Cenang.

Kecintaan yang paling aman pada deru ombak dan angin sepoi yang menjamah diri. Laut luas dan hampat langit tidak pernah membuat jauh pada diri. Paling memadai untuk membuat bahagia buatku.

Terima kasih untuk rasa yang paling aman ini.

[Dan, cherita lalu mem-buat damping..]

Monday, November 19, 2012

~ PULAU SUMPAHAN ~




TANPA satupun rancangan diatur laku, aku saat ini berdiri di pulau lagenda yang pernah disumpah seorang wanita bernama Mahsuri kurang lebih tujuh keturunan yang lalu.

Bukan atas tujuan bercuti atau membawa diri jauh di hujung utara semenanjung tanah air ini. Namun ia sebuah hal yang menjadi kebetulan demi seorang yang namanya sahabat yang memerlu bantu dari hulur tangan teman jiwa.

Lalu, aku diminta membuat damping untuk tiga hari sepanjang di sana. Sementelah kosong pada waktu, aku mengangguk untuk perkara yang bukan selalu ini. Mengharapkan tiada hal rumit yang menambah garam.

Dan, tenangnya menghirup udara segar di sini.

[Tidak susah, ta-tapi tidak juga mudah..]

Sunday, November 18, 2012

~ MASKARA SHOWCASE NOV 2012 ~


Ijah Amran

O!MG

Fadzly Razman
Kawan
Orange In The wood
Azfar Alias

SETELAH sekian lama tidak mempunyai kesempatan untuk duduk menikmati Maskara, hari ini aku punya kesempatan itu. namun kali ini bukan di Rumah Pena seperti mana lazim selalu.

Bertempat di Auditorium Perpustakaan Kuala Lumpur, bakat-bakat besar yang belum dikenali di dalam muzik arus perdana, tampil mmebuat persembahan memikat.

'Ijah Amran' merupakan nama yang pertama kali kudengar. Bagaimanapun, setelah dirisik-risik, dia sebenarnya bukanlah orang baru. Malah penyanyi yang juga komposer berbakat ini telah dikenali serata kawa-kawan yang kita suka dengan barisan karyanya yang menusuk. Kata mereka, Ijah suka membuat lagu tentang diri dan persekitaran hariannya. dalam erti kata lain, setiap apa yang dilaluinya dalam kehidupan, akan dirakamkan dalam bentuk lagu untuk menyampaikan cerita. Arghh.. orang berbakat, begitulah.

'Fadzly Razman' tampil dengan muziknya yang penuh dengan falsafah. Meski ia mungkin sukar untuk diterima oleh khalayak penonton biasa, permainan dan pemilihan muziknya tetap unik dan tersendiri.

Persembahan 'Kawan' pertama kali ditonton. Namun persembahan vokalis utamanya dengan petikan Ukelele pernah disaksikan sebelum ini bersama saudara Sani Sudin. Alunan muzik yang sanga-sangat santai. Malah lagu 'Bulan Ditutup Awan' yang pernah dinyanyikan oleh penyanyi lama Rokiah Wanda itu sangat menghiburkan.

Selain itu, antara yang turut membuat persembahan pada amlam ini ialah Azfar Alias, O!MG dan Orange In The Wood.

Malang sekali kerana Maskara siri kedua esok malam yang menampilkan penyanyi kegemaran, Taheera Rosheena tidak dapat aku sertai atas urusam mendesak yang lain. Sangkaku, Taheera akan berlagu malam ini, tetapi ternyata malam ini bukan malamnya.

Bagaimanapun, semoga ada kesempatan lain yang membuat damping andai masih ada nyawa pada hari esok dan seterusnya.

[Maskara ini untok semua orang, namun bukan semua orang yang tahu menikmati Maskara...]

Saturday, November 17, 2012

~ DI LANGIT CINTA ~




TAJUK: Di Langit Cinta
KARYA: Lily Haslina Nasir
CETAKAN: Pertama (2008)
PENERBIT: Alaf 21 Sdn Bhd
HALAMAN: 496
HARGA: RM19.90

“Cinta tidak bererti  memiliki. Tetapi cinta juga bukan bermaksud melukai..”

[Dan, di-sini aku..]

Friday, November 16, 2012

Thursday, November 15, 2012

~ SALAM MAAL HIJRAH ~


SELAMAT menyambut tahun baru hijrah 1434. Mudah-mudahan hari ini menjadi permulaan untuk kita memulakan langkah untuk menjadi yang lebih baik pada hari ini. Kita tidak mungkin mampu mengubah hari-hari kita yang lalu, tetapi kita ternyata mempunyai peluang untuk mengubah hari-hari esok yang bakal dilalui dengan satu pengakhiran yang lebih baik, insyaAllah.

[Untok kamu, untok kita semua sahabat...]

Wednesday, November 14, 2012

~ JAUH GARIS SEMPURNA ~


MINGGU yang pendek. Urusan pekerjaan yang lazim berlangsung lima hari itu dipercepat kepada dua hari. Lalu setiap minit yang ada menyaksikan aku berkejaran mengejar hal-hal yang punya tarikh mati.

Namun di dalam kalut mengatur urus itu pada awal pagi Isnin lalu itu, aku disapa seorang sahabat ini. Yaa... awal pagi yang bukan menjadi satu kebiasaan buatnya. Lebih menjadi luar biasa apabila dia mahu meminta sedikit masa daripadaku untuk mendengarnya.

Aku lihat jam di dinding putih lantai pekerjaan, tepat menunjukkan 9.46 pagi. Kami memula bual. Saat ini dia sedang memikul tugas dan tanggungjawab besar dalam kerjayanya. Satu-satunya peluang dia membukti kemampuan diri di bidang baru pertama kali dilangkah dia. Namun dalam keterujaan dia memberi sepenuh tumpu, rakan seangkatan membuat kacau, mahu membunuh segala langkah yang ada.

Aku melongo, kerana yang disebut dia itu bukan calang-calang orangnya. Bukan yang sepatutnya yang menjadi saingan dia. Bukan sepatutnya yang menjadi gusar akan kehadiran dia. Bukan. Belumpun separuh perjalanan ceritanya, kedengaran esak tangisnya di hujung talian mohon aku mendoakan kelancaran pekerjaan buatnya. Dan, sungguh sepanjang mengenal dia inilah kali pertama aku mendengar dan menyaksi dia berkeadaan begitu. Yang jarang-jarang dari sang capricorn ini.

Sahabat ini di mata banyak orang adalah paling tiada cela. Paling terpilih andai mahu dijadikan menantu. Namun dalam bersih dirinya di mata orang, dalam jujur rasa yang dia memotret diri, dalam telus dia menghulur senyum dan salam, masih ada yang mahu mencari canggung dia. Yang tidak senang melihat dia putih begitu. Ohh.. manusia.

"Saya tidak tahu mahu berdepan bagaimana. Setiap langkahnya umpama mahu menghancur yang saya miliki. Demi Allah, saya sangat takut tersungkur atas hal yang bukan dari perbuatan saya,"

Berkali dia menutur perkataan yang sama. Berkali juga dia memohon aku memanjatkan doa untuknya. Ketegasan yang bersulam esak tangis begitu menarik tumpuku. Aku berusaha menyenang rasanya, namun seberat mana aku memandangnya, pasti sahaja tidak mampu membuat atas pada berat bahunya yang memikul.

Begitu bersih dia terlihat, masih ada tumbuh kebencian yang diberikan dengan sengaja. Lalu bagaimana dengan orang seperti aku? Yang terlalu jauh dari garis sempurna, tidak juga bersih searah putih... apa lagi besar dan mudah kebencian keliling membuat singgah? Yaa.. manusia itu tiada yang sempurna. Aku, dan semua kita juga tahu tentang itu.

Aku menoleh sekali lagi di dinding putih lantai pekerjaan. Jam menunjukkan 11.53 pagi.

[Sa-minggu yang penoh kebetolan..]

Tuesday, November 13, 2012

~ TRIBUTE TEATER TUN SITI HASMAH ~



  


















AKHIRYA, teater tribute yang didedikasikan khas buat bonda Tun Siti Hasmah mengisi pentas Panggung Sari, Istana Budaya bermula 9 November lalu sehingga 19 November ini. Dan, Ahad lalu, kesempatan berpihak kepadaku untuk duduk menonton teater yang paling amat ditunggukan itu.

Suatu hal yang tidak dapat dinafikan, mementaskan sebuah kisah perjalanan hidup seorang tokoh terbilang yang dikenal ramai, sementelah yang empunya diri masih lagi hidup bukanlah suatu hal yang mudah. kalau tidak dengan penyelidikan dan pengamatan yang mendalam, pasti sahaja hasilnya tidak membuah seperti hal yang sepatutnya.

Melihat kepada pelbagai dugaan dan kekangan masa yang dilalui pihak produksi sebelum ini, aku dapat merasakan betapa tidak mudahnya sang pengarahnya, Eirma Fatima untuk membangunkan naskah Tun Siti Hasmah yang cukup sensitif di mata khalayak ini. Manakan tidak dalam tempoh yang hanya sebulan, dia harus melakukan pelbagai perkara untuk merealisasikan teater ini. Paling menakutkan, ruang masa penyelidikan untuk mengkaji kehidupan bonda Tun Siti Hasmah sangat terhad!

Pun begitu, tahniah aku ucapkan buat Eirma Fatima, pihak penerbit yakni World Islamic Network Television Sdn Bhd dan tentunya barisan pelakon yang berhabis baik menyempurnakan tugasan mereka demi kelangsungan teater paling istimewa ini.

Terbahagi kepada dua bahagian yang mengkisahkan tentang kehidupan di zaman muda dan dewasa bonda Tun.

Aku teruja untuk mengetahui lebih dalam perjalanan hidupnya di zaman beliau belum bergelar 'wanita pertama negara'. Zaman di mana beliau berjuang menjunjung pendidikan kala wanita lain dianggap tidak bersesuaian di situ serta zaman di mana beliau menggunakan sepenuh kepakaran yang dimiliki untuk berjasa kepada masyarakat setempat sebagai doktor wanita Melayu pertama/kedua negara.

Namun, lain yang jadinya apabila tumpuku lebih tercuri kepada bahagian kedua pementasan yakni saat beliau menjadi orang belakang disebalik perjuangan suaminya bergelar orang penting negara. Ada yang tidak kena pada bahagian pertamanya. Tumpuanku terbagi mungkin kerana terlalu bingit dengan pengkisahan melalui muzikal pendek yang diterapkan sebagai jalan mudah untuk bercerita. Malah kisah dan tumpuan kepada bonda Tun itu tidak menyeluruh. Banyak momen menarik yang tidak sempat dikembangkan dengan baik. Sekali lagi, aku melihat kekangan masa pengkajian menjadi sebab utamanya.

Namun pada separuh masa kedua, di tangan Eja, pelakon yang pertama kali mengisi pentas teater, aura bonda Tun mula menyerap masuk. Monolog yang dipersembahkan begitu larut mengaut emosi. Meresap terus ke dalam jiwa. Begitu rasanya di sebalik senyum manis bonda Tun. Pun begitu, aku masih merasakan kalaulah sorotan tentang suaminya yakni mantan Perdana Menteri, ayahanda Tun Dr Mahathir diminimakan lagi, mungkin lebih membuka ruang kepada khalayak untuk lebih memahami pergolakan sebenar yang ada di dalam diri bonda Tun.

Paling mencuri tumpu, saat bonda Tun berdepan dengan keputusan sang suami yang membuat keputusan untuk menolak menjalani pembedahan jantung di luar negara dan memilih untuk mendapat rawatan di Hospital Besar Kuala Lumpur/Institut Jantung Negara. Betapa getar hatinya saat nyawa sang suami menjadi pertaruhan hanya kerana mahu membuktikan perjuangan kepada masyarakat. Begitu juga momen beliau berdepan babak perletakan jawatan sang suami yang penuh kejutan itu. Segalanya begitu menyentuh rasa.

Meski emosinya mampu dikembangkan dengan lebih dramatik lagi, aku kira Eja sudah melakukan yang terbaik bagi pihak dirinya meskipun dia adalah pelakon yang paling akhir menyertai kumpulan pementasan ini. Tahniah sekali lagi.

Dan aku kira pendekatan monolog yang diguna pakai sang pengarah ternyata memain peranan besar untuk mengerah emosi penonton. Pun begitu, kalaulah jalan ceritanya diperkemaskan lagi, tentu sahaja teater tribute ini akan memberi lebih impak kepada semua. Juga sekiranya lagu-lagu curahan jiwa yang dipaparkan itu dilantunkan sendiri oleh sang peran, aku kira lebih membuat runtun.

Cuma satu hal yang ingin aku perkatakan di sini adalah sang pengarah adakala tersasar fokus sama ada secara sedar atau tidak. Harus diingat, teater ini adalah teater istimewa buat bonda Tun Siti Hasmah. Justeru fokusnya harus seatus-peratus kepadanya. Meski lelaki yang paling dekat dengannya, yakni ayahanda Tun adalah nasionalis tersohor negara, fokusnya tidak harus terbagi. Ini kerana teater ini dihasilkan untuk kita melihat dari sudut bonda Tun sendiri. Sedang dari sudut ayahanda Tun terlebih dahulu telah kita selami melalui teater Tun Mahathir yang pernah dipentaskan selama dua musim sebelum ini.

Justeru, babak yang memaparkan konspirasi musuh-musuh ayahanda Tun di dalam politik dan babak kesibukan ayahanda Tun ketika bersama dengan pembantunya di pejabat mungkin tidak perlu difokuskan. Malah suatu hal yang paling ketara juga ketika babak ayahanda Tun meletakkan jawatan, aku kira fokus harus lebih besar diberikan kepada emosi dan keadaan bonda Tun. Namun sayangnya, pengarah turut memberi sorotan yang sama seperti mana yang pernah dipaparkan di dalam teater khas untuk ayahanda Tun sebelum ini. Mujurlah monolog bonda Tun selepas itu berjaya menarik kembali tumpuan dan fokus penonton kepadanya. Justeru, pengarah harus lebih peka akan hal itu aku kira.

Akhir sekali, terima kasih kerana berkongsi kisah bonda yang penuh warna-warni itu dengan kami semua. Meski bukan yang paling agung, namun ia tetap menyumbang dan meminjamkan sesuatu dalam kehidupan kita hari ini. Justeru, jika kamu di luar sana punya kesempatan, luangkanlah sedikit masa untuk menonton pementasan ini.

INFO PEMENTASAN:
TEATER: Tun Siti Hasmah
TARIKH: 9-19 November 2012
TEMPAT: Panggung Sari, Istana Budaya, Jalan Tun Razak, KL
MASA: 8.30 Malam
PENERBIT: World Islamic Network Television
PENGARAH: Eirma Fatima
PELAKON: Eja (Bonda Tun dewasa), Lisa Surihani (Bonda Tun Muda), Esma Danial (Ayahanda Tun Dewasa), Nazim Othman (Ayahanda Tun muda), Azizah Mahzan (Kekaanda bonda Tun - Siti Saleha), Dira Abu Zahar, Radhi Khalid, Syanie dan lain-lain
TIKET: RM38, RM58, RM78, RM108, RM158, RM188 (Tiket boleh didapati di kaunter boxoffice Istana Budaya: 0340265888 @ boleh layari www.ticket2u.biz)

[Bonda dan ayahanda Tun tetap men-jadi idola sepanjang zaman buat-ku..]