Wednesday, October 31, 2012

~ PEMERGIANNYA..~


AL-FATIHAH. Awal pagi ini, aku disinggahi perkhabaran sayu. Gambar pusara yang menempatkan arwah ayahanda seorang sahabat yang baru sahaja dijemput Ilahi lewat hari semalam membuat singgah.

Hilang kata. Sungguh.

Beberapa hari lalu, saat dia berkongsikan situasi 'berat' arwah ayahandanya, aku melihatnya dengan energi yang cukup positif. Memberitahunya agar dikembangkan energi itu dengan rasa percaya kepada kesejahteraan yang menjadi milik. Sementelah ayah juga berkeadaan serupa dan aku mencontohkan itu untuk menyenangkan hatinya.

Namun, hari ini sebaliknya berlaku. Berlaku kerana tiada sesiapapun yang mampu menahan walau sesaat apabila Tuhan telah menetapkan itu.

Al Fatihah. Mudah-mudahan dipermudahkan perjalanannya ke sana.

Buat sahabat yang namanya GB ini, doa yang paling telus aku tadahkan untuknya, agar menerima segala inci yang Tuhan tentukan ini dengan tabah hati. Tiada kata yang lebih dari itu kerana aku juga tidak tahu bagaimana aku andai berada di situasinya.

[Al-Fatihah..]

Tuesday, October 30, 2012

~ HITAM DAN PUTIH ~


SAHABAT itu. Tidak pernah aku katakan dia manusia sempurna, tidak juga aku katakan dialah sahabat yang terbaik. Cuma, yang aku tahu.. aku banyak meminjam hal yang positif darinya meski antara kami terlalu banyak pertentangan. Aku sering ada rasa hormat kepadanya meski antara kami sering berkomunikasi dengan cara bermasam muka dan bertikam lidah.

Dan hari ini, mereka bercakap tentang hal yang 'kurang-kurang' dipunyai sahabat ini. Aku diam, mendengar. Tidak membantah, tidak juga mengiya. Meski sebahagian besar cerita yang dituturkan mereka itu sudah lama larut dalam tahuku, aku tidak memberi sebarang reaksi.

Cuma kalau tiba pada satu saat mereka secara keterlaluan membilang, aku akan bangun berkata sesuatu untuk sahabat dekat itu.

Hitam itu tidak semua, putih juga begitu.

[Kerana pada-ku, mem-bilang keburokan orang laen itu umpama mem-bilang yang ada pada diri juga...]

Monday, October 29, 2012

~ MENGALIH TUMPU ~


CUBA menutup rasa. Mengalih segala yang ada di dalam sana dengan membuat tumpu kepada hal selainnya.

Bercerita tentang hal menyimpang siur, membuat tawa pada laku yang bertentang, dan segala satu yang mampu mengalih aku.

Namun sebanyak mana aku cuba lakukan itu, hakikatnya aku masih di situ.

Hari ini, ayah kembali ke katil hospital lagi. Dan, bagaimana aku mampu mengalih lagi? Lalu, Scorpio yang keras hati ini sudah kalah.

[Kata mereka, sang scorpio peng-gemar rahsia..]

Sunday, October 28, 2012

~ THE MOON REPRESENT MY HEART ~


THE MOON REPRESENT MY HEART
by teressa teng

Ni wen wo ai
Ni you duo shen
Wo ai ni you ji fen
Wo de qing ye zhen
Wo de ai ye zhen
Yue liang dai
Biao wo de xin

Ni wen wo ai
Ni you duo shen
Wo ai ni you ji fen
Wo de qing bu yi
Wo de ai bu bian
Yue liang dai
Biao wo de xin

Qing qing de yi ge wen
Yi jing da dong wo de xin
Shen shen de yi duan qing
Jiao wo si nian dao ru jin

Ni wen wo ai
Ni you duo shen
Wo ai ni you ji fen
Ni qu xiang yi xiang
Ni qu kan yi kan yue liang dai
Diao wo de xin

[Dan, larot...]

Saturday, October 27, 2012

~ DARI MILAN KE MARAN ~






TAJUK: Dari Milan ke Maran
KARYA: Norhayati Berahim
CETAKAN: Pertama (Februari 2012)
PENERBIT: NB Kara Sdn Bhd
HALAMAN: 1029
HARGA: RM32.90

“Cinta dapat merubah segalanya…”

[Dan, pada kamu lelaki sepet...]

Friday, October 26, 2012

~ SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA ~


SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA... 

Semoga hari yang penuh bermakna untuk seluruh kita ini menjadi hari yang paling baik untuk memuhasabah diri. Mensyukuri segala nikmat yang Tuhan berikan, dan mendinding tinggi sabar  atas segala yang kurang diri.

Mudah-mudahan pelajaran yang pernah ditinggalkan oleh baginda Nabi Ibrahim tentang soal pengorbanan itu sentiasa dekat di hati. Dekat untuk dijadikan panduan dalam menerus arah hidup yang masih berbaki.

[Beraya di hirok-pikok kota... dan ia bukan di-dalam mahu..]

Thursday, October 25, 2012

~ MENYIMPANG SIUR ~


SETELAH sekian lama menyimpang siur, kami ditakdir untuk berkelibat di satu ruang yang sama. Tanpa diatur duga setelah Oktober menggenap setahun.

Tidak lebih yang kuharap, melain sahabat yang seorang ini baik-baik sahaja menjalani kehidupan manisnya tanpa serabut aku. Semoga kami saling belajar menjadi lebih baik.

Tentang soal persahabatan tentunya.

[Saling tidak mengenal diri..]

Wednesday, October 24, 2012

~ TIDAK PERLUKAN LEBIH ~



KADANG-KALA, kita tidak sedar yang kita sebenarnya memang tidak perlukan lebih.

Mungkin hanya untuk secebis roti. Atau pada duduk satu ucap perkataan. Yang sedikit, tetapi mampu membuat cerita bahagia yang panjang selagi hayat dikandung badan.

Dan beberapa hari ini, aku melalui hal yang sama. Merasa senang yang paling larut ada dalam diri. 

Terima kasih untuk semua. Yang pernah dan sentiasa memberi makna.

[Terima kaseh yang nama-nya sahabat...]

Tuesday, October 23, 2012

~ DAN HARI INI 23 OKTOBER ~


ALHAMDULILLAH.

Sehingga awal hari ini, 23 Oktober 2012,
Tuhan masih memanjangkan umur buatku.
Mengizinkan aku untuk terus bernafas dan menikmati hidup di bumi indah ini.

Mudah-mudahan juga Tuhan terus memanjangkan usiaku untuk hal kebaikan dan didekatkan rezeki untuk amal kebajikan, insya-Allah.

Terima kasih ibu, juga ayah.
Kerana telah mengenalkan aku pada dunia. Kerana telah memberi didik sempurna dan menjadikan aku seperti mana adanya aku saat ini. Yang kurang dan buruk itu, tentunya atas pilihanku dan bukan bersebab ibu dan ayah berdua.

[Terima kaseh juga untok teman jhiwa yang maseh mahu ada kala aku menikmati detik ini..]

Monday, October 22, 2012

~ CINTA ISTANBUL ~


"Awak, jom kita ke Istanbul.."
"Istanbul? Ada yang menarik di sana?"
"Entah. Nanti kita pergi, kita tahulah.."

Lelaki sepet itu terus merenungku dan kemudian disusuli senyum panjang. Pelik kerana tiba-tiba aku menyebut destinasi yang begitu asing buat kami sebelum ini.
Mimpi membawa aku ke sana. Menerusi satu lukisan yang menjamah mata, aku menjelajah ke beberapa lokasi yang cukup indah dan menyenangkan.

Larut. Ada sesuatu yang menarik aku ke sana. Tiba-tiba. Dengan sangat mahu.

Dan Istanbul...

[Terima kaseh untuk teman jiwa yang maseh mahu memahami..]

Sunday, October 21, 2012

~ KEPUL NIKOTIN ~


LEBIH setahun lalu, ayah berhenti menyedut nikotin untuk mengepam paru-parunya. Namun sebulan sebelum Ramadan membuat damping, dia kembali kepada tabiat itu. Tidak ibu, tidak abang, kakak mahupun aku mampu untuk menahan dia.

"Kalau ajal sudah tiba, tidak kira bersebab apapun, nyawa tetap akan pergi", itu kata ayah kala disuakan harapan agar dia berhenti membekalkan asap nikotin tu ke ruang paru-parunya.

Lalu, dek kerana tabiat lama yang disambungnya kembali itu, salur-salur ke jantungnya kembali tersumbat. Itu hal pertama yang diberitahu sang doktor saat ayah berselirat dengan wayar yang punya fungsi pada setiap satunya itu.

Ibu menentang tabiat ayah itu dengan protes yang tersendiri. Setiap satu kotak rokok yang ayah habiskan, di susunnya dengan rapi. Hingga pada satu ketika susun itu meninggi dengan jelas untuk dilihat sendiri ayah. Mudah untuk menghitung rosaknya diri, senang juga mengira belanja yang berhabis.

Lama aku merenung susunan kotak-kotak rokok itu. Terdetik dalam hati, apa rasa yang bermain di fikiran ayah saat merenung kotak-kotak yang sama aku renungi ini yaa... ?

Ermmm...

[Maseh dengan degop kencang...]

Saturday, October 20, 2012

~ I LOVE YOU, STUPID ~





TAJUK: I Love You, Stupid
KARYA: Melur Jelita
CETAKAN: Pertama (September 2012)
PENERBIT: Karya Seni Sdn Bhd
HALAMAN: 1389
HARGA: RM39.00


“Cukuplah Allah ada dan dia ada untukku”

[Dan, kamu itu aku..]

Friday, October 19, 2012

~ MENUMPANG BAHU ~


PENGGEMAR rahsia! Itu yang sering mereka yang dekat menghujah kepadaku. Ohh, barangkali benar, mungkin juga tidak.

Cuma hakikat yang paling aku sedar, aku adalah manusia yang paling berat untuk berkongsi rasa. Tidak mudah untuk aku taruhkan percaya kecuali bila hati jelas memberi izin atas jujur yang aku percaya.

Namun antara yang masih terbilang jari itu, sahabat yang aku kenal awal sebagai OL ini sering mudah membuat aku membuka mulut. Lalu segala pecah rasa seminggu saat berdepan cerita ayah di pagi yang gelap itu aku luruhkan pada dia.

Dan, buat pertama kali aku memberi jawapan selain "saya OK dan semuanya OK".

Terima kasih sahabat. Kerana mahu menjadi pendengar yang paling jujur. Meski tidak mengubah apa, kamu sentiasa ada pada duduk itu.

Terkenang seorang sahabat dekat yang sering tinggi aku taruhkan percaya untuk hal-hal yang begini. Meski bertentang banyak perkara, aku senang membuka mulut dengannya. Dan, Oktober ini genap setahun kami hilang sapa.

[Kamu tahu, di-mana dudok kamu..]

Thursday, October 18, 2012

~ SEBAHAGIAN HIDUP YANG TIDAK MENYEBELAHI ~


DIA memberikan aku senyum. Senyum yang paling manis. Tuturnya laju dan jelas. Namun matanya berkaca, malah degupnya jantungnya seperti mampu ku dengar satu demi satu.

Lalu aku menariknya ke satu ruang, agak jauh daripada bingar rakan-rakan lain yang membuat damping. Aku menatap dia, bertanya apa hal sebenar yang ditutup dia disebalik senyum manis yang paling seksa untuk dia kuntumkan itu.

Dan, gugurlah manik jernih menuruni pipinya. Rupanya sang arjuna hati sudah berkalih arah. Janji untuk mengikat cinta setia telah hilang jejak. Malah rancangan untuk ke jenjang pelamin hanya tinggal pada kata. Kala berat dia berdepan hakikat, keluarga dan teman dekat membuat harap tanpa tahu berat yang tergalas di bahunya.

Sungguh, itulah hakikat hidup yang kadang-kala perit untuk kita telan. Namun, setiap satu antara kita ini telah tertulis bahagian untuk masing-masing. Justeru, terlepas sesuatu yang dimahukan itu bukan bererti terlepas seluruh hidup yang masih berbaki ini.

"Tuhan lebih tahu apa yang terbaik untuk kita.. semalam, hari ini dan hari-hari akan datang".

[Doa kesejahteraan untok sahabat ini..]

Wednesday, October 17, 2012

~ SEDAR RUANG ~


TIDAK semua yang kita mahu itu mampu singgah di riba. Itu hakikat dunia yang harus kita tahu. Lalu belajarlah untuk menerima apa yang ada dengan sebaik yang harus. Setiap satu yang diberi Tuhan, pasti ada memberi baik untuk kita meski tidak terlihat pada mata kasar.

Sebelum ada pada duduk hari ini, aku pernah melalui jalan-jalan liku dengan penuh lelah. Juga berdepan hal-hal jengkel yang sering membuat aku pasrah. Pun begitu, tidak pernah walau sekalipun aku cuba mahu 'menjaja' tempat yang memberi rezeki hidup kepadaku untuk beberapa tahun itu..

Apatah lagi untuk mengungkit soal itu kala ada pada duduk sekarang. Tidak juga membuat sebarang perbandingan untuk hal itu kala enak di kerusi empuk ini. Kerana padaku, disebalik hal-hal jengkel itu, turut ada hal-hal manis yang diserap aku sepanjang menaungi diri di situ.

Lalu kala bertemu seorang teman yang galak membawa segugus cerita kesal dan rungut tentang tempat lamanya kala diberi kesempatan Tuhan untuk bersenang di di bumbung baru, aku menggeleng-gelengkan kepala. Sedar atau tidak dia, kalau tidak kerana pengalaman di tempat lamanya itu, mungkin tidak dia pada duduk sekarang. Jika tidak kerana rezeki yang diberi dulu, mana mungkin dia bersenang-lenang seperti mana hari ini.

Hanya kerana beberapa hal yang berlaga setuju dengannya, lalu seluruh yang pernah dikecapi dianggap racun. Seolah tidak pernah ada yang berguna sepanjang menumpang teduh di situ. Ohh.. malang ku kira!
Cubalah sedar ruang. Sedar nikmat Allah itu mampu ditarik balik pada ketika Dia mahu. Belajar untuk bersyukur, walau hanya untuk setitik air yang masuk ke mulut.

[Maseh tetap aku..]

Tuesday, October 16, 2012

~ SELAMAT HARI ULANG TAHUN LIBRA ~

SELAMAT hari ulang tahun kelahiran buat satu-satunya abang yang dicintai. Lelaki yang sering mahu melihat aku sihat dan bahagia seumur hidupku. Mudah-mudahan Allah menjaga dan melindungi dia untukku. Amin..


Allah selamatkan kamu
Allah selamatkan kamu
Allah selamatkan abang
Allah selamatkan kamu...

[Panjang umor, murah rezeki.. untok abang, untuk kita..]

Monday, October 15, 2012

Sunday, October 14, 2012

~ MEMBACA KACA-KACA RETAK ~



SEMINGGU yang lalu, hidup kami seisi keluarga agak porak-peranda. Selama ayah di katil hospital, sedikit pun tiada rasa senang yang membuat jengah kepada kami seisi keuarga. Kecamuk yang seratus.

Lalu, selain hal ayah tidak satu hal yang menjadi perhatiku dalam tempoh itu. Menjadi paling bisu dan jauh dari capaian orang sekeliling. Dan teman jiwa tidak terkecuali.

Bukan sengaja mahu meminggirkan lelaki sepet itu, cuma bimbangku andai kecamukan yang berselirat itu mampu membuat tempias kepadanya. Sementelah aku juga terlalu berat untuk menjawab apa sahaja soalan yang diajukan. Hampir seluruh soalan yang diajukan kepadaku bertemu jawapan yang hanya satu,

"Saya OK, dan semuanya OK.."

Namun, lelaki sepet ini memaham aku lebih daripada itu. Lalu dia melihat jelas kaca-kaca retak yang ada di dalam sana. Terima kasih kerana tempat yang sentiasa ada untukku.

[Chenta yang sudah ter-lalu lama..]

Saturday, October 13, 2012

~ KALAU MEMANG BEGITU ~





TAJUK: Kalau Memang Harus Begitu
KARYA: Acik Lana
CETAKAN: Pertama (Oktober 2012)
PENERBIT: Kaki Novel Sdn Bhd
HALAMAN: 1030
HARGA: RM36
“Tak mungkin musim cinta ini berlalu, seandainya hatimu seperti hatiku…”

[Akor pada sa-buah ketentuan..]

Friday, October 12, 2012

~ SEBUAH KESEMPATAN ~



DAN, kesempatan yang tidak pernah ada dalam impi. Sungguh, pertemuan dengan bonda Tun Siti Hasmah secara empat mata pada petang siang tadi sangat-sangat memberi kesan di hati.

Bukan tidak pernah bertemunya sebelum ini, tetapi pertemuan itu selalu hanya dari kejauhan yang tidak memungkin aku mengjangkau tangan menghulur salam apatah lagi untuk menyapa tutur kepadanya.

Dan, hari ini Tuhan memberikan aku ruang dan peluang yang tidak aku duga sama sekali. Pertemuan kali ini ternyata lebih intim dan memberi bekas di hati. Hari ini, aku berpeluang untuk mengenali lebih dekat wanita yang punya aura luar biasa ini.

Bonda Tun Siti Hasmah yang juga isteri mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ini sangat istimewa di mataku semenjak aku mula mengenal ABC. Bukan kerana duduknya sebagai wanita pertama negara ketika itu, tetapi lebih kepada pencapaian peribadi yang diperolehi seawal usia remajanya.

Meski bergelar doktor wanita pertama dan kemudiannya sebagai wanita pertama negara, dia sentiasa sear ruang. Setinggi mana duduknya, dia sentiasa tunduk merendah diri. Sikap itu masih ada di dalam dirinya sehingga hari ini. Setiap kali dia membuka mulut bercerita tentang pengalaman lalunya, aku diam tekun membuat larut. Aura positifnya begitu kuat membuat damping. Malah, jelas sifat penyayang yang dimiliki dia sepanjang pertemuan itu.

Jujur pada mula, aku asyik memikirkan soal protokol yang harus dipersiap untuk berdampingan dengannya. Namun bonda Tun Siti Hasmah tidak memilih untuk itu. Malah, dia sangat menghormati aku dan setiap sosok tubuh yang membuat dekat dengannya tanpa ada jurang. Dia dilihat amat menghormati orang lain tidak kira siapa atau apa duduknya.

"Behind every great man, there's a great women.."

[Dan, bonda Idola sepanjang zaman..]

Thursday, October 11, 2012

~ KEMBALI TERJALIN ~


SENYUM. Saat ini terasa kecilnya dunia ini. Kecil dengan persahabatan yang kembali bertaut setelah lama senyap terpisah situasi.

Petang tadi, aku disapa seorang teman di laman instagram yang kerap aku dampingi kini. Satu kejutan yang tidak terjangkakan. Sementelah nama pena yang aku gunakan di laman ini dan di laman instagram sana langsung tidak punya kesamaan. Entah bagaimana dia mampu meneka dan membaca aku hanya menurut bahasa tuturku yang menjadi lazim selalu. 

Perkenalan yang bermula di sini, di ruang tempat jari-jari ini bercerita ini akhirnya berkembang menjadi persahabatan atas kesamaan dan keserasian yang ada. Ya.. hanya di ruang ini tanpa sua muka, tanpa tutur cara pada ruang lainnya. Tapi, kami masih boleh bersahabat dengan cara kami sendiri.

Hari ini, setelah sekian lama tidak bersapa dek 'pelarian' aku, kami ditemukan kembali. Sungguh, aku senang sekali dengan pertemuan kembali ini.

[Fikir-ku, dia sudah berada di-dunia Hamburg sana..]

Wednesday, October 10, 2012

~ BISU ~


SETELAH matahari separuh membuat condong, aku tiba di lantai pekerjaan. Perjalanan yang disambung terus dari pantai timur semnenanjung tanah air tanpa singgah. Setelah lima hari meinggalkan hiruk pikuk kota untuk menerima ayah di katil hospital, setengah petang ini aku kembali meneruskan rutin yang setinggi klcc membuat tunggu.

Aku dikenal sebagai seorang yang diam. Biar sebanyak mana aku membuat ramah tutur, aku masih paling senyap di antara rakan sepekerjaan. Lalu apabila pada saaat kecamukan yang begini dan aku memilih untuk membuat tumpu kepada urusan pekerjaan yang setinggi klcc itu, teus sahaja menjadi bisu aku ini.

Mereka memberi ruang. Malah mengambil kisah pada setiap laku bisuku sepanjang hari ini. Tidak kurang yang mengirim bicara ringkas sebagai tanda sokongan dan semangat memahami. Dalam kebisuanku yang terlalu ini, aku amat sangat berterima kasih atas rasa perhati mereka itu.

Dan, semoga kebisuan ini tidak menjengkelkan kamu.

[Ter-kenang sa-orang sahabat.. sahabat dekat..]

Tuesday, October 09, 2012

~ BAHASA MATA ~


KATIL di depan ayah bertukar penghuni. Seorang lelaki sebaya ayah ditempatkan berseorang di situ. Dia beberapa kali melihat kelibatku yang setia di sisi ayah. Tanpa kata, hanya ekor mata yang menyapa.

Ketika di tempatkan di situ, tiada siapapun yang mengiringinya, melainkan dua jururawat muda yang bertugas. Matanya sangat sayu, dan hiba yang diterjemahkan melalui renungannya itu menarik tumpuku.

"Pakcik rehat dulu yaa. Sekejap lagi adalah tu anak pakcik datang.." ucap jururawat yang datang membuat jengok.

Dia tidak memberikan sebarang reaksi. Malah tidak satupun bicara yang keluar dati mulutnya. Aku mencuri pandang ke arahnya lagi. Dia seperti dalam dunianya. Mengenang sesuatu barangkali.

Beberapa jam dia di situ, satu kelibat keluarganya belum kelihatan. Jururawat tadi kembali datang. Dia menghulur secawan minuman dengan penuh rasa kemanusiaan kepada lelaki ini. Sempat dititipkan pesan agar lelaki ini tidak menbuat serabut seratus pada diri andai orang yang ditunggunya tidak kunjung tiba.

Selang beberapa minit, seorang wanita sebayanya tiba di muka pintu. Pengelihatannya mungkin tidak begitu jelas sehingga perlu dipandu pimpin seorang pembantu hospital. Di tangannya kelihatanya satu beg kecil yang memuatkan keperluan lelaki tadi.

Dia terus ke sisi lelaki tadi, membisikkan sesuatu dan kemudiannya mengusap dada yang menempatkan jantung lelaki itu. Air matanya hampir menitis, tetapi ditahan kemas. Lelaki yang sejak tadi sugul hiba itu, tiba-tiba bersinar matanya. Menyambut sekeping roti yang dihulurkan kepadanya. Diambilnya separuh, dan separuh lagi dihulurkan kepada wanita yang bergelar isteri itu. Lelaki ini menitiskan air mata.

Hiba yang dipertonton itu menyerap masuk ke dalam hatiku. Meski tanpa sebutir bicara yang keluar daripada mulut mereka berdua, aku seperti memahami jalan ceritanya. Betapa sokongan dan semangat daripada orang yang kita cintai mampu mengubah derap yang ada.

Dan duhai anak-anak, mengertilah akan hal itu.

[Tidak perenah jaoh..]

Monday, October 08, 2012

~ TUHAN, LINDUNGI DIA UNTUK KAMI ~


ALHAMDULILLAH. Hari ini ayah dibenarkan keluar dari CCU dan ditempatkan di wad pemulihan jantung, di tingkat 7. Pun begitu, peraturannya masih sama. Ayah hanya dibenarkan menerima dua orang pelawat sahaja. Itupun pada waktu kunjungan pelawat yakni jam 1.00-2.00 petang dan 5.00-7.00 petang.

Waktu terhad itu sangat menyakitkan hati kami adik-beradik. Namun apa pilihan yang kami ada selain menerimanya dengan hal yang positif demi keselesaan ayah yang tentunya memerlukan rehat yang cukup tanpa ada gangguan termasuk dari kami.

Aku melihat ibu. Resahnya tidak terbendungkan. Jasadnya sahaja di depan kami, yang selainnya hanya dia dan Tuhan sahaja yang tahu. Aku memahami apa yang dirasa ibu. Turut mengerti beban rasa yang ditanggung ibu. Namun apa dayaku untuk melerai segala yang dikendongnya itu, melainkan memohon agar Tuhan melindungi dirinya.

Semoga ayah cepat sembuh. Dan kembali untuk kami.

[Maseh gelap..]

Sunday, October 07, 2012

~ LANGIT VANILLA ~



TAJUK: Langit Vanilla
KARYA: Wani Ardy
CETAKAN: Pertama (2012)
PENERBIT: Sang Freud Press Sdn Bhd
HALAMAN: 173
HARGA: RM20.00

“Kau memang baca buku, kan? Kau lihat muka depannya saja. Kau ingat kalau aku ceraikan isi buku dengan kulit luarnya, dan aku jual, mana yang lebih mahal? Kau nak beli kulit?”

[Dan, aku ber-lari ke-langet itu..]

Saturday, October 06, 2012

~ JANTUNG AYAH ~


SEAWAL pagi, kami sudah berkumpul di depan Hospital Sultanah Nur Zahirah yang mengadap terus laut China Selatan itu. Malangnya, kami adik-beradik tidak dibenarkan masuk untuk menjenguk ayah.

Situasinya ayah berada di wad CCU yang tidak dibenarkan menerima pelawat pada waktu selain yang dibenarkan. Lalu hanya tepat jam satu tengahari, barulah kami dibenarkan naik ke tingkat tiga yang menempatkan wad tersebut.

Sekali lagi, kami berdepan dengan peraturan yang sangat menyentap rasa. Hanya dua orang sahaja dibenarkan masuk bertemu ayah dengan masa yang ditetapkan hanyalah kurang lebih limit setiap antara kami.

Sepanjang menghabiskan masa menunggu di depan pintu masuk wad tersebut, kami semua menjadi bisu. Mengunci diri tanpa berkata apa. Berdiri umpama patung tidak bernyawa meski seratus manusia berlalu lalang di situ membuat sapa pada mata.

Tepat jam 1.49 tengahari, tiba giliran aku menjenguk ayah. Longlai kaki ini melangkah masuk. Sekuat daya aku menahan diri agar tidak menitiskan setitik pun air mata untuk segala apa yang aku lihat dan aku rasa saat ini. Sudah cukup air mata ibu, kakak dan adik yang sambung-menyambung membuat lagu.

Lalu, aku berjanji untuk menjadi yang paling tenang. Menjadi tempat untuk mereka sandarkan resah gelisah, menjadi pelindung dan pemberi semangat untuk mereka saat berdepan situasi berat ini. Hal yang di dalam sana dalam diriku ini, biarlah hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Mata ayah rapat. Nafasnya sangat lemah. Wajahnya pucat lesi. Wayar-wayar yang setiap satu dengan fungsi yang berbeza menyelirat di tubuh kecil ayah. Dua monitor yang mecatat data tentang duduk jantung ayah, berfungsi jelas di sisinya.

Aku cium tangan ayah, aku cium dahi ayah. Aku peluk tubuh kecilnya. Aku senyum dengan sebesar hati. Sambil di dalamnya kuutus doa berjuta kali agar Tuhan memberi peluang kepada ayah untuk sembuh dan bebas dari keperitan dan kesakitan yang ditanggungnya saat ini.

Hanya itu kesempatan yang diberi kepada aku. Dan kami tetap mahu menunggu di depan pintu wad CCU itu sehingga siang menutup hari.

[Serangan jantong. Dan ia men-jadi kejadian ke-dua kepada ayah yang menyentap kami sa-keluarga..]

Friday, October 05, 2012

~ DEGUP KENCANG ~


ESAK tangis kakak mengisi terang corong telefon bimbit. Kuat dan panjang sehingga aku sukar untuk menangkap isi butir bicaranya.

"Ayah di CCU, kita balik malam ni jugak.."

Ketika kakak menyampai berita yang hampir menghentikan degup jantung itu, aku masih di lantai pekerjaan. Tidak punya hal yang mendesak cuma mahu lari daripada sesak perut jalan raya yang membuat damping saat langit tumpah ini.

Lantas aku memacu unta hitam sepantas yang daya. Hilang tumpu hilang rasa. Lalu air mata yang kuat ku tahan daripada tadi, jatuh berguguran menyaingi deras langit tumpah di luar sana. Ya, aku gagal membuat kuat pada diri. Aku gagal untuk bertahan agar diri kelihatan tenang dan baik-baik sahaja.

Lalu hala ke utara semenanjung tanah air yang telah dirancang rapi pada esok pagi dan tiga hari berikutnya terbatal terus. Lalu cuti tahunan yang siap siaga dipohon lebih seminggu lalu itu bertukar menjadi hal yang sebaliknya.

Kurang lebih 11 minit lagi, kami akan terus membelah banjaran titiwangsa dalam gelap malam menuju terus ke pantai timur semenanjung tanah air.

Debar. Sehingga aku menulis di sini, aku belum tahu akan duduk sebenar situasi ayah di sana. Mohon Tuhan, berilah sedikit kelapangan kepada kami. Semoga ayah baik-baik sahaja. Aminn...

[Dan, ia ber-ulang..]

Thursday, October 04, 2012

~ TUHAN BERI AKU CINTA ~


TUHAN BERI AKU CINTA
(ost ketika cinta bertasbih)
by ayu shita

Walau aku senyum bukan berarti
Aku selalu bahagia dalam hari
Ada yang tak ada di hati ini
Di jiwa ini hampa

Ku bertemu sang adam di simpang hidupku
Mungkin akan ada cerita cinta
Namun ada saja cobaan hidup
Seakan aku hina

Tuhan berikanlah aku cinta
Untuk temaniku dalam sepi
Tangkap aku dalam terang-Mu
Biarkanlah aku punya cinta

Tuhan berikanlah aku cinta
Aku juga berhak bahagia
Berikan restu dan halal-Mu
Tuhan beri aku cinta

Ku bertemu sang adam di simpang hidupku
Mungkin akan ada cerita cinta
Namun ada saja cobaan hidup
Seakan aku hina

Tuhan berikanlah aku cinta
Untuk temaniku dalam sepi
Tangkap aku dalam terang-Mu
Biarkanlah aku punya cinta

Tuhan berikanlah aku cinta
Aku juga berhak bahagia
Berikan restu dan halal-Mu
Tuhan beri aku cinta

[Terima kaseh kerana mahu menunggu...]

Wednesday, October 03, 2012

~ DAN, LARI LAGI.. ~


YA, aku lari lagi. Bukan kerana duduk lokasi sebelum ini tidak aman, cuma biarlah cerita kosongku ini tidak menjadi besar.

Merah, biarlah dibaca merah. Dan biru biarlah tetap dibaca biru.

Lalu, aku mengharap agar ruang kecil yang dipunyai aku ini tidak dilihat pada hal yang sebaliknya. Ia hanya seputar tentang dunia kecilku, angan kecilku, kebahagiaan kecilku, rasa kecilku dan cerita kecilku. Tidak lebih. Tidak akan pernah sampai mengganggu yang selain aku.

Justeru, mengertilah. Aku hanya punyai ruang kecil ini.

[Maseh tetap aku yang sama..]

Tuesday, October 02, 2012

~ FENOMENA MATAHARI HALO ~


KURANG lebih jam 1 tengahari tadi, kami di lantai pekerjaan dikejutkan dengan kemunculan satu bentuk matahari yang luar biasa duduknya. Ia kelihatan seperti satu bulatan kawah besar yang dikelilingi garisan seperti pelangi dan begitu hampir dari pandangan.

Biarpun berada di dalam ruang yang tertutup, aku sempat mencuri bidik bentuk matahari yang pertama kali aku saksikan dengan mata yang bukan sepet ini. Nah, meski hasilnya tidak begitu sempurna, ia masih jelas untuk dilihat.

Menurut Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), fenomena 'Matahari Halo' adalah fenomena semulajadi yang berupa lingkaran cahaya di sekitar Matahari atau Bulan, dan kadang-kadang juga boleh berlaku pada sumber cahaya lain seperti lampu jalan. Ada berbagai jenis Halo tetapi secara umumnya Halo muncul disebabkan oleh kristal ais pada awan cirrus yang sejuk yang berada pada ketinggian 5 hingga 10 kilometer di lapisan atas troposfera. Ini bergantung kepada bentuk dan arah kristal ais, cahaya matahari dipantul dan dibiaskan oleh permukaan ais yang berbentuk prisma sehingga sinaran matahari menjadi terpecah kepada beberapa warna kerana kesan sebaran udara dan dipantulkan ke arah tertentu, sama seperti kejadian pelangi.

[Dan, bumi serta sekalian alam semesta ini ada-lah milik-NYA..]

Monday, October 01, 2012

~ LAWAK KER, DER @ ISTANA BUDAYA ~


LARI seketika dari ketekanan yang sering membuat damping. Lalu duduk aku di kerusi empuk Panggung Sari, Istana Budaya untuk menikmati persembahan komedi paling serius yang disebut mereka sebagai 'Lawak Ker Der'.

Ia merupakan persembahan musim kedua setelah persembahan pertama mereka sekitar Februari lalu mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan. Itu kata mereka.

Tukang komedi yang serius itu terdiri daripada Nabil Ahmad, Harun Salim Bachik & Afdlin Shauki (Boboi), Johan & Zizan Razak (Jozan) serta satu-satunya Harith Iskander. 

Gelak tawa memecah panggung yang cukup dingin itu, tetapi aku hanya keras kaku di situ.  

Cuba untuk mengerti komedi yang mereka persembahkan itu, tetapi gagal. Cuba untuk menggeletek hati sendiri dengan lagak laku mereka di pentas, tetapi tidak berhasil. Owhhh... Mungkin inilah dia komedi yang paling serius pada mereka.

Lalu, biar aku berlaku jujur. Hanya Harith Iskandaer dan Nabil Ahmad sahaja yang faham apa itu komedi yang paling serius. Hanya mereka berdua sahaja yang berjaya menarik tumpu dan menggeletek hati penonton dengan hal yang paling wajar (ia hanya menurut pandangan peribadi aku sahaja). Mereka membuat komedi dengan pemerhatian, dengan kajian, dengan pemahaman dan dengan mesej. Paling penting bukan sekadar mempamer laku yang 'mendesak' penonton untuk melepas tawa.

Tahniah untuk keduanya.

[Daphne Iking juga perenah men-churi tumpu dengan gaya 'standup comedian' nya..]