Monday, September 17, 2012

~ MASIH MARHAEN ~


SYAWAL penghabisan. Aku memenuh janji untuk menemani auntie phia menghadiri majlis rumah terbuka rakan kenalannya. Semenjak ketiadaan Aireen, aku banyak mengisi masa menemani si ibu ini. Seperti mana selalu, aku sering sahaja tidak sampai hati untuk berkata tidak kepada permintaannya.

Lokasinya di sebuah kawasan aman di tengah hiruk pikuk kota. Rumah agam yang tak ubah seperti istana idaman anak-anak kecil yang bermimpikan menjadi sang puteri.

Melangkah kaki ke dalamnya, membuat aku serba kekok. Rasa seperti salah tempat menjejak kaki. Sementelah lagak sang tetamu umpama hadir pada majlis keraian istana kayangan. Ohh, berbeza sungguh aku dengan mereka.

Auntie phia dikenali ramai orang di situ. Tidak henti dia disapa dan menyapa. Aku hanya bertukar balas senyum tanpa larut dalam perbualan dunia mereka. Perbualan bulan dan bintang, emas permata dan segala macam yang jauh dari dunia aku.

Aku tidak memerhati, tetapi cukup rasa diri diperhati. OK, aku berbeza dengan mereka.

Aku mencari sudut sendiri. Tidak sanggup untuk duduk mendengar bual wanita-wanita yang punya pangkat berjela itu. Auntie phia hanya ketawa kecil dengan tindakku. Dia tahu apa yang sedang bermain di fikirku. Kerana pada hakikat dia juga sebenarnya turut mual dengan lagak rakan-rakannya itu.

Di sudut senang, aku memerhati mereka dari jauh. Arghh.. lucunya mereka ini. Dan, bagaimana kalau aku di dunia mereka. Apa aku juga punya hal yang lucu seperti itu?

Berderai tawa auntie phia mendengar ngomelku.

[Dan maseh marhaein..]

No comments: