Thursday, August 09, 2012

~ DAN BUKAN DONGENG ~


PERTANYAAN dan perbualan yang tercetus tanpa sengaja diantara dia dan rakan kedua ibu bapanya lebih 18 tahun lalu menjadi titik ubah kepada keseluruhannya hidupnya. Tekad yang tersemat di dalam diri nyata menjadi kenyataan. Lalu 360 darjah dia menjadi baru.

"Saya dilahirkan bukan sebagai orang yang bijak pandai. Malah sering sahaja mendapat nombor yang tercorot di kelas. Yaa.. seringkali. Dan, mungkin juga ada yang tidak akan percaya bila saya katakan suatu ketika dulu saya adalah budak gemuk yang selalu diejek dan dibuli orang. Ketika itu saya tidak pernah kisah dan meneruskan kehidupan saya seperti biasa.
 
"Namun pada suatu hari, ada perbualan yang berbekas di hati telah berlaku diantara saya dan rakan kedua ibu bapa saya. Perbualan yang membuatkan saya tekad untuk mengubah hidup saya;- Kenapa awak tidak pandai seperti kedua ibu bapa awak? Adakah awak bukan anak mereka?

Yaa.. kerana pertanyaan itulah budak yang digelar sebagai 'ugly duckling' ini bertekad mahu berubah. Sejak itu, 24 jam yang ada pada dirinya digunakan sebaiknya untuk membaiki diri. Bukan hanya untuk lapan hari, atau 38 hari tetapi berhari-hari sehingga satu demi satu kejayaan membanggakan ibu dan ayah diraihnya.

Dia berjaya mengenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di United Kingdom dan disusuli pula dengan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang yang sama di salah sebuah Univeristi di Australia. Tidak berhenti setakat itu, dia kini sedang menyambung pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah di dalam bidang pentadbiran di Universiti Terbuka Malaysia dengan tajaan biasiswa penuh. Sasarannya untuk mendapatkan gelaran Doktor Falsafah sebelum usianya mencecah 30 tahun.

"Tidak sekadar memperbaiki prestasi diri di dalam pelajaran, saya juga berusaha menurunkan berat badan dengan pelbagai cara. Hasilnya seperti yang awak nampak dan kenal saya hari ini. Dan saya cukup pasti tiada siapapun akan percaya jika saya tunjukkan gambar fizikal saya ketika di zaman sekolah dulu..."

"Tekad dalam diri mengatasi segala-galanya buat saya. Semuanya kerana kata-kata pedih yang saya jadikan motivasi diri untuk berubah dan menjadi lebih baik itu..."

Dan, benar.. aku tidak percaya saat diperlihatkan foto-foto di zaman anak-anaknya itu. Yaa.. dia kini tidak ubah supermodel terbilang. Si 'ugly duckling' itu kini telah menjadi gadis cantik yang tidak hanya terlihat pada wajah dan fizikalnya, tetapi juga pada minda dan hatinya. Dia memiliki semuanya.

Dan, ia bukan dongeng.

[Cherita-nya men-jadi motivasi yang tinggi buat diri-ku, malah turot meng-alirkan energi positif yang luar biasa..]

No comments: