Friday, August 17, 2012

~ KASIH SAYANG ~


DAN, aku sudah berada bersama ayah bonda di kampung halaman nun di pantai timur semenanjung tanah air. Abang tidak berkesempatan untuk pulang beraya bersama kami pada tahun ini kerena urus pekerjaannya yang mendesak. Manakala kakak pula terhimpit dengan tugasan yang belum selesai dan hanya akan pulang pada esok malam, yakni malam raya.

Lalu segala urus yang berkaitan dengan persiapan raya tergantung terus ke bahuku. Hal yang tidak menjadi kebiasaan buatku perlu digalas urus dengan sebaiknya kali ini. Jika sebelum ini aku hanya disandarkan tugas-tugas mudah, kali ini segalanya tergantung aku.

Bermula awal pagi tadi sehingga saat jari-jari bercerita di sini, aku belum punya kesempatan untuk melepas lelah. Tidak sampai hati mahu membiarkan ibu bersusah-payah memastikan semuanya urus berlangsung seperti mahu.

Meski begitu, aku tetap senang kerana kami semua senang. Senang kerana senyum-senyum yang paling manis itu sentiasa ada bersama kami. Senang kerana yang manis-manis itu sering membahagiakan kami. Senang kerana yang membahagiakan kami itu masih tidak pernah surut cintanya pada kami. Dan, kami amat senang kerana cinta itulah yang membuatkan kami sentiasa bersemangat untuk terus hidup.

[Senang kalau persahabatan juga kekal memberi kaseh sayang..]

No comments: