Friday, August 31, 2012

~ MERDEKA 55 ~


SELAMAT menyambut ulang tahun ke-55 kemerdekaan negara tercinta, Malaysia. Semoga keamanan dan kesejahteraan tetap menjadi milik bersama selamanya.

WARISAN
by sudirman

Disini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Disini tersemai cita cita
Bercambah menjadi warisan
Andai ku terbuang tak diterima
Andai aku disingkirkan
Kemana harusku bawakan
Kemana harusku semaikan cinta ini

Betapa
Di bumi ini ku melangkah
Keutara selatan timur dan barat
Ku jejaki

Aku
Bukanlah seorang perwira
Gagah menjunjung senjata
Namun hati rela berjuang
Walau dengan cara sendiri
Demi cinta ini

Ku ingin kotakan seribu janji
Sepanjang kedewasaan ini
Ku ingin sampaikan pesanan
Aku lah penyambung warisan

[Ya, dengan chara-ku sendiri..]

Thursday, August 30, 2012

~ SINAR INI ~


SINAR INI
by maya karin & yasin

Ku menatap langit, dari jendela,
Di celah awan, bima suria.
Ku merasakan Mu.
Ku rasa kasih yang lindungi ku.

Seakan aku dengar Dikau berkata
Lalu dalam diam kita berbicara
Ku senyum padaNya,
dan seraya ku kata;

Bahagia yang sempurna perlukan lagi sikit masa.
(dan) kutetap bahagia di sisi yang Kau pasti mana.
Kau semestinya, yang terakhirnya
Ku luah rasa sebelum ku terlena

Pada impian ku, dan yang Kau mahu, kerana;
Dugaan ini hampir aku atasi.
Dan kau pun tabah selama ini bagai pasti
Di sebalik menanti, bahagia mengiringi sinar ini.

[Sediket untok aku..]

Wednesday, August 29, 2012

~ AL FATIHAH ~

"Ia tidak akan terawal mahupun terlewat walau sesaat" - itu kematian.

SALAM takziah untuk kamu sekeluarga dan Al fatihah untuk arwah ayahanda. Mudah-mudahan dipermudahkan perjalanannya ke sana dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.

Aku tahu, kamu itu kuat. Kamu itu tabahnya menggunung tinggi. Kamu itu mampu mengendong segala rasa hati secara bersendiri.

Namun aku tetap mahu katakan, semoga kamu itu mampu menyejuk dan memujuk hati sendiri. Mudah-mudahan doaku agar kamu itu bisa jadi paling tenang menerima ketentuan takdir, sampai juga kepadamu. Biar kamu menghambur puluhan tidak, aku tetap mahu katakan itu.

Hanya sebagai seorang teman. Yang mungkin mengerti, barangkali juga tidak.

[Salam takziah untok kamu dan keluarga sfg..]

Tuesday, August 28, 2012

~ MUNGKIN BUKAN AKU ~


AKU kira hal-hal begini tidak lagi membuat damping kepadaku selepas meninggalkan alam sekolah/universiti. Dan sungguh, aku rimas.

Begini. Jujurnya aku ini adalah orang yang paling membosankan di dunia. Dan, jika kamu kenal dekat denganku, kamu akan tahu itu. Malangnya, untuk mereka yang tidak pernah tahu, mereka mahu cuba untuk tahu.

Lalu beberapa minggu terkebelakang ini, muncul seorang manusia yang mahu memasuki dunia kebosananku. Saban hari di depan pintu. Dan sungguh, usahanya itu benar-benar merimaskanku.

Aku pada mata ramai orang, mungkin seorang yang perahsia dan paling berat mulut. Sebenarnya tidak. Cuma aku membosankan. Lalu, usah dijangkiti kebosanan itu.

Dan, berhentilah berusaha. Kerana dunia kebosananku ini hanya bisa difaham seorang. Lelaki sepet itu.

[Tidak mem-buka mulot, bukan ber-erti aku be-rahsia..]

Monday, August 27, 2012

~ TERIMA KASIH DAUN KELADI ~


HARI pertama di lantai pekerjaan selepas cuti panjang menyambut Aidilfitri, aku dihambat urus pekerjaan yang bersusun tangga. Sementelah aku dipertanggungjawabkan untuk mengepalai satu acara saat beberapa rakan lain dalam pasukan masih bercuti.

Mujur sahaja ada teman-teman yang menghulur tangan demi meringankan beban yang ada. Terima kasih daun keladi untuk kamu yang membantu. Meski tidak diminta pada perkataan, sesungguhnya persahabatan itu berbicara sendiri.

[Doa ka-sejahteraan buat kamu..]

Sunday, August 26, 2012

~ KEMBALI KE HIRUK PIKUK KOTA ~


AKU memeluk ayah erat. Dan seperti biasa, dia membisikkan beberapa pesan kepadaku. Pesan yang serupa setiap kali aku mahu meninggalkannya untuk kembali ke hiruk pikuk kota. Tanpa sebarang kata, aku angguk. Tanda setuju, tanda memahami. Dan begitu selalu komunikasi senyapku dengan ayah.

Tiba giliran ibu, dia menarikku rapat kepadanya. Mengusap kepalaku dan kemudiannya mencium kedua pipiku. Lazim lakunya dia saat kami mahu berpisah. Ibu tidak memberi sebarang pesan. Dia hanya mengiring senyum. Itu restu buatku.

Sayu.

Dan dengan berat hati, aku kembali ke hiruk pikuk kota setelah lebih seminggu berdamping ibu ayah nun di pantai timur semenanjung tanah air sana. Aku memilih untuk memandu bersendirian kurang lebih lima jam lalu merentasi banjaran titiwangsa sambil melayan gundah hati yang bersarang.

Doa kesejahteraan buat mereka keduanya, buat mereka seluruh yang turut berkongsi kasih sayang.

Kuala Lumpur, aku kembali kepadamu.

[Perasaan-nya men-jadi laen..]

Saturday, August 25, 2012

~ YANG INDAH HANYA MIMPI ~



TAJUK: Yang Indah Hanya Mimpi
KARYA: Sharifah Abu Salem
CETAKAN: Pertama (2012)
PENERBIT: Alaf 21, Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd
HALAMAN: 903
HARGA: RM30.00


“Jangan bermimpi tentang cinta andai tak bisa memaknakannya…”

[Novel ini di-angkat  men-jadi drama rantaian 40 episod, ‘Trilogi Cinta 2’ yang kini sedang ber-siaran di-TV1, sa-tiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam]

Friday, August 24, 2012

~ ANGGUK ~


BEGITU kata mereka.

 "The art of moving on is don't try too hard to erase. Instead, write new story."

[Buku baharu kini di-tangan..]

Thursday, August 23, 2012

~ UCAP-UCAPAN AIDILFITRI ~



SEDAYA aku cuba membalas ucap-ucapan Aidilfitri yang dikirimkan rakan taulan serta sahabat handai. Terima kasih kerana masih mengingat aku sebagai yang wujud dalam hidup kalian. Mudah-mudahan persahabatan dan silaturrahim ini kekal terjalin selagi nyawa dikandung badan.

Tidak sekadar itu, aku turut menerima ucapan daripada mereka yang tidak terjangkakan. Mereka yang pernah membuang aku sebagai sahabat kerana silap membuat tafsiran dan sesungguhnya Syawal yang mulia ini telah membuka pintu hati mereka dan juga pintu hatiku untuk saling menerima.

Alhamdulillah, kemaafan sentiasa ada. Tidak pernah kering, tidak pernah hilang. Dan, keikhlasan itu menjadi tunjang atas segala. Terima kasih sahabat. Tidak hanya kamu, sesungguhnya aku juga manusia biasa yang tidak pernah lepas daripada melakukan kesilapan. Aku juga manusia yang tidak pernah sempurna yang punya hati yang sangat rapuh dan nipis.

Justeru, aku juga memohon hal yang sama. Agar dimaafkan aku atas segala yang mencuit hati kamu pada perbuatan mahupun tutur kata. Bersahabatlah kita selagi ada yawa dikandung badan. Amin.

Dan Tuhan, terima kasih kerana masih memberikan aku hati. Hati yang belum hitam dan masih tahu erti kemaafan, sama ada memohon atau menerima. Juga masih mampu untuk melihat benar dan salah pada tempatnya.

Alhamdulillah.

[Senyom se-endah suria.. yang mem-bawa cahaya.. senyom-lah dari hati.. dunia-mu ber-seri..]

Wednesday, August 22, 2012

~ SYAWAL EMPAT ~


SYAWAL empat, barulah kami punya kesempatan untuk membuat ziarah sanak saudara terdekat. Untuk sehari hari ini. Maklum seperti mana yang pernah aku kongsikan sebelum ini, kami tidak begitu mempunyai ikatan yang dekat dengan saudara mara. Justeru hanya yang menjadi kemestian dekat sahaja membuat kami sampai.

Sedikit berbeza seperti mana tahun-tahun sebelumnya, aku membuat singgah pada laluan pertama kali. Menurut atas permintaan ayah dan ibu. Mudah-mudahan ikhlas hati kami ini tidak dilihat selainnya. Tiada lain, hanya silaturrahim yang kami harap dijunjung tinggi.

[Lalu, kaseh sayang men-jadi mahal...]

Sunday, August 19, 2012

~ SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI ~


ALLAHUAKBAR... Salam 1 Syawal, salam Aidilfitri untuk seluruh muslimin dan muslimat. Untuk kamu yang menjadi sahabat di sini atau yang pernah menjadi sahabat dalam sebahagian hidupku, Maaf Zahir dan Batin. Mohon dipadamkan segala murka yang ada andai pernah aku melakukan hal yang menyakitkan sekeping hati kamu itu. Mungkin dari tingkah, atau  tutur kata dari seorang aku yang bergelar manusia biasa ini.

Alhamdulillah, sekali lagi pada tahun 1433H ini, kami sekeluarga diberi kesempatan untuk meraikan hari kemenangan ini. Mudah-mudahan kesempatan yang diberi ini menjadi sebaik kesempatan untuk berkasih sayang antara sesama.

Mudah-mudahan Syawal ini menjadi yang terindah, penuh bermakna dan mengirim hal yang paling manis untuk aku, untuk kamu dan untuk kita semua.

SUATU HARI DI HARI RAYA
by m. nasir
Satu hari di Hari Raya
Ku lihat cahaya bersinar indah
Langit cemerlang tak terkira
Tanda kuasa yang Maha Esa
Memberi nikmat pada manusia

Satu hari di Hari Raya
Ku dengar irama yang sungguh indah
Ku coba mendekati padanya
Kira irama itu adalah
Suara pujian pada yang Esa

Satu hari di Hari Raya
Aku menangis tanda gembira
Aku menangis tanda ku cinta kepadaNya

Satu hari di Hari Raya
Ku lihat wajah suci ibuku
Ku lihat wajah kasih ayahku
Ku gembira
Mungkin inilah dia kebahagiaan

[Dan. mari kita ber-kaseh sayang..]

Saturday, August 18, 2012

~ ADAM & HAWA ~


TAJUK: Adam & Hawa
KARYA: Aisya Sofea
CETAKAN: 1, 2, 3, 4, 5, 6 (2006) 7, 8, 9, 10, 11 (2007) 12 (2008) 13, 14 (2009) 15, 16 (2010) 17, 18, 19 (2011) & 20, 21, 22, 23 (2012)
PENERBIT: Alaf 21, Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd
HALAMAN: 492
HARGA: RM19.90

“Dekat di mata, jauh di hati… Mampukah cinta menewaskan benci?”

[Adam & Hawa di-angkat men-jadi drama rantaian 80 episod yang kini sedang ber-siaran di-Astro Mustika HD (134) sa-tiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam]

Friday, August 17, 2012

~ KASIH SAYANG ~


DAN, aku sudah berada bersama ayah bonda di kampung halaman nun di pantai timur semenanjung tanah air. Abang tidak berkesempatan untuk pulang beraya bersama kami pada tahun ini kerena urus pekerjaannya yang mendesak. Manakala kakak pula terhimpit dengan tugasan yang belum selesai dan hanya akan pulang pada esok malam, yakni malam raya.

Lalu segala urus yang berkaitan dengan persiapan raya tergantung terus ke bahuku. Hal yang tidak menjadi kebiasaan buatku perlu digalas urus dengan sebaiknya kali ini. Jika sebelum ini aku hanya disandarkan tugas-tugas mudah, kali ini segalanya tergantung aku.

Bermula awal pagi tadi sehingga saat jari-jari bercerita di sini, aku belum punya kesempatan untuk melepas lelah. Tidak sampai hati mahu membiarkan ibu bersusah-payah memastikan semuanya urus berlangsung seperti mahu.

Meski begitu, aku tetap senang kerana kami semua senang. Senang kerana senyum-senyum yang paling manis itu sentiasa ada bersama kami. Senang kerana yang manis-manis itu sering membahagiakan kami. Senang kerana yang membahagiakan kami itu masih tidak pernah surut cintanya pada kami. Dan, kami amat senang kerana cinta itulah yang membuatkan kami sentiasa bersemangat untuk terus hidup.

[Senang kalau persahabatan juga kekal memberi kaseh sayang..]

Thursday, August 16, 2012

~ MENGADAP ILAHI ~

"Ia tidak akan terawal mahupun terlewat walau sesaat" - itu kematian.

AL-FATIHAH. Mereka di jemput Ilahi pada bulan Ramadan yang penuh barakah ini. Mudah-mudahan perjalanan mereka ke sana dipermudahkan dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.

Jam kurang lebih 2.10 pagi semalam, saat usai melunaskan segala urusan kerja-kerja akhir sebelum pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman masing-masing, salah seorang daripada rakan pasukan kami menerima berita kehilangan. Saat itu hanya beberapa selepas minit selepas kami bersalam-salaman raya di parkir kereta sebelum meninggalkan ruang pekerjaan.

Adindanya yang paling bongsu ditakdirkan terlibat dalam kemalangan jalan raya di pantai timur semenanjung tanah air sana dan nyawanya terhenti di situ. Dan remuk redamlah hati si abang mengenang tutur bicara adinda yang teruja menanti tibanya 1 Syawal yang hanya berbaki tiga hari lagi. Dia menangisi pemergiaan adinda di parkir itu dengan iring embun jantan yang sudah mula menitik. Lencun. Aku mengerti, kami mengerti. Dan paling penting, Tuhan lebih mengerti dan maha mengetahui diatas segala-gala yang telah dia tentukan.

Tidak sampai 24 jam dari berita kematian yang aku terima seawal pagi itu, aku dikhabarkan pula akan kepergian bonda kepada seorang sahabat di lantai pekerjaan lama. Berita yang cukup mengejutkan diterima sebaik sahaja usai berbuka berbuka puasa untuk Ramadan 27 ini. Kata sahabat ini, perginya bonda akibat komplikasi penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Dan sekali lagi apabila bercakap soal perasaan, soal penerimaan, soal sabar dan tabah, aku hilang kata-kata. Bagaiamana baik menyusun kata untuk menyenangkan hat-hati mereka yang kehilangan ini, ia tetap tidak mampu menyapu gundah mereka.

Lalu, mohon kamu dan sahabat-sahabat lainnya menghadiahkan Al-Fatihah untuk arwah keduanya. Mudah-mudahan tenang bersemadi di sana.  

[Hari ini, hari mereka. Esuk, lusa dan hari-2 seteros-nya, mungkin aku.. mungkin kamu atau mungkin mereka yang ber-ada di-sekeliling kita..]

Monday, August 13, 2012

~ DALAM SIMPANAN ~


MASIH dalam simpanan meski ia sudah laku untuk diurus-niagakan. Banyak cerita dan banyak kenangan. Lalu aku simpan sahaja sebagai koleksi untuk dikenang-kenang pada kemudian hari nanti.

[Tidak sekadar pada yang indah]

Sunday, August 12, 2012

~ SEPATU DAHLAN ~


TAJUK: Sepatu Dahlan
KARYA: Khrisna Pabichara
CETAKAN: 1&2 (Mei 2012), 3 (Jun 2012) & 4 (Julai 2012)
PENERBIT: Noura Books (PT Mizan Publika - Indonesia)
HALAMAN: 369
HARGA: RP65,000

“Mata berkunang-kunang, keringat bercucuran, lutut gemetaran, telinga mendenging. Siksaan akibat rasa lapar ini memang taka sing, tetapi masih saja berhasil mengusikku. Sungguh, aku butuh tidur. Sejenak pun bolehlah. Supaya lapar ini terlupakan..”

[Maseh menunggu Andrea Hirata yang ter-baharu..]

Saturday, August 11, 2012

~ NADIA ELENA COMANECI ~




ADA sesuatu yang menarik dan menjadi menjadi momen yang paling manis dalam sejarah temasya Sukan Olimpik yang berlangsung pada tahun 1976.

Ketika itu, seorang gadis yang baru berusia 15 tahun menyertai kejohanan Olimpik musim panas di Montreal, Kanada. Beliau hanyalah seorang daripada ribuan atlet ketika itu. Namun, bermula dari langkah kecil dan biasa, atlet Romania itu, Nadia Elena Comaneci kemudian menjadi satu fenomena gimnastik dalam sejarah kejohanan Olimpik.

Pada ketika itu, Nadia bertanding dalam kategori ‘all-around’ yang memerlukan dia menyelesaikan empat disiplin. Nadia memilih disiplin batang titian sebagai permulaan kategori ‘all-around’. Sebaik beliau bermula, seluruh stadium terpegun dengan gerakkan sempurna dan sangat halus tetapi teratur yang dipamerkan Nadia.

Para penonton dalam stadium tersebut teruja melihat ketangkasan serta teknik yang dipamerkan anak gadis itu. Setelah selesai disiplin batang titian, seluruh penonton di dalam stadium itu tidak sabar menunggu keputusan di papan markah elektronik.

Namun, tidak beberapa lama selepas itu, markah yang terpapar di papan markah sama sekali tidak mencerminkan mutu persembahan unik yang dibuat anak gadis itu. Mengejutkan Nadia serta seluruh penonton apabila dia hanya mendapat markah 1.00.

Satu markah untuk persembahan yang terlalu hebat? – mungkin itu yang terlintas di benak penonton ketika itu yang tidak percaya dengan apa yang dilihat di papan markah.

“Mungkin ada kesilapan saya sewaktu menyelesaikan disiplin tersebut,” memetik kata-kata Nadia menerusi klip yang dimuat naik di laman Youtube.

Para penonton mula ‘kecoh’ akibat tidak berpuas hati dengan keputusan itu. Selepas beberapa minit, akibat kekecohan yang wujud, pihak urusetia terpaksa tampil membuat pengumuman.

“Kami terpaksa meletakkan 1.00 kerana papan markah elektronik ini tidak boleh mempamerkan 10.00. Itu adalah markah Nadia,” jelas urusetia kejohanan.

Markah tertinggi yang mampu dipamerkan papan markah ialah 9.95 sahaja – 10 difikirkan sebagai jumlah yang tidak mampu dicapai manusia.

Seluruh penonton di stadium bersorak dan berdiri memberi tepukan yang gemuruh kepada Nadia. Rupanya Nadia menerima markah yang tidak pernah diterima mana-mana atlet gimnastik olimpik. Hakikat ketika itu ialah, tidak pernah difikirkan akan ada atlet yang mampu mencapai tahap persembahan seperti itu.

Itu adalah antara sejarah Olimpik yang paling sukar dilupakan apabila pembuat papan markah elektronik tersebut, Omega SA tidak pernah menjangkakan seseorang atlet itu mampu mendapat markah 10.00.

Hakikat itu berubah di tangan seorang gadis berumur 15 tahun.

Nadia yang menyertai sukan gimnastik pada waktu itu telah memonopoli segala disiplin yang dipertandingkan. Dia juga berjaya menewaskan pasukan gimnas dari Rusia yang dahulu dikenali sebagai ‘Union of Soviet Socialist Republics’ (USSR). USSR adalah segalanya pada masa itu bila sukan gimnastik diperkatakan.

Bukan sekali, sepanjang kerjayanya, Nadia mencapai tahap mata sempurna yakni 10 sebanyak tujuh kali.
Untuk atlet sukan sehebat Nadia – maka kata-kata yang bahawa tidak ada apa yang mustahil di dunia ini memang amat tepat sekali. Disebabkan kejayaan Nadia itu, papan markah selepas itu dibuat dengan kemampuan memaparkan markah 10 – yakni tahap SEMPURNA.


[Bangga kerana atlet terjun 10m platform negara, Pandelea Rinong juga men-catat sejarah-nya yang ter-sendiri di sukan olimpik..]

Friday, August 10, 2012

~ PANDELELA RINONG ~


PANDELELA RINONG. Satu nama yang begitu asing pada masyarakat kita sebelum ini. Namun pada awal hari ini, nama gadis 18 tahun kelahiran Sarawak ini meniti di bibir masyarakat di seluruh pelusok tanah air. Dari kanak-kanak sehingga golongan dewasa, semua tahu Pandelela Rinong Pamg telah beraksi cemerlang di Sukan Olimpik 2012 di kota London dengan membawa pulang pingat gangsa untuk acara sukan yang diwakilinya, Terjun 10m Platform Individu Wanita.

Lebih membanggakan, atlet yang mula berjinak-jinak di  dalam acara ini seawal usia lapan tahun ini  menjadi atlet wanita pertama yang memenangi pingat di temasya Sukan Olimpik semenjak tahun 1956 yang lalu. Pingat yang diraih Pandelela ini sekaligus menjadi pingat kedua buat negara selepas pingat perak yang disumbangkan oleh pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei beberapa hari lalu.

"Perasaan saya sangat gembira ketika ini walaupun pingat saya itu sekadar gangsa. Semua orang tahu betapa sukarnya untuk mendapat pingat di temasya besar seperti Sukan Olimpik ini. Gangsaa ini bagaikan emas buat diri saya.."

Tahniah dari kami seluruh rakyat Malaysia yang berbangga dengan segala pengorbanan dalam usaha untuk mengharumkan nama negara di mata dunia. Kami percaya ia tidak bertitik tolak ataupun berarah kepada habuan dan ganjaran yang menjadi taruhan, tetapi lebih kepada semangat kecintaan yang tinggi kepada negara yang kita cintai ini.

[Kita bolih, Malaysia bolih..

Thursday, August 09, 2012

~ DAN BUKAN DONGENG ~


PERTANYAAN dan perbualan yang tercetus tanpa sengaja diantara dia dan rakan kedua ibu bapanya lebih 18 tahun lalu menjadi titik ubah kepada keseluruhannya hidupnya. Tekad yang tersemat di dalam diri nyata menjadi kenyataan. Lalu 360 darjah dia menjadi baru.

"Saya dilahirkan bukan sebagai orang yang bijak pandai. Malah sering sahaja mendapat nombor yang tercorot di kelas. Yaa.. seringkali. Dan, mungkin juga ada yang tidak akan percaya bila saya katakan suatu ketika dulu saya adalah budak gemuk yang selalu diejek dan dibuli orang. Ketika itu saya tidak pernah kisah dan meneruskan kehidupan saya seperti biasa.
 
"Namun pada suatu hari, ada perbualan yang berbekas di hati telah berlaku diantara saya dan rakan kedua ibu bapa saya. Perbualan yang membuatkan saya tekad untuk mengubah hidup saya;- Kenapa awak tidak pandai seperti kedua ibu bapa awak? Adakah awak bukan anak mereka?

Yaa.. kerana pertanyaan itulah budak yang digelar sebagai 'ugly duckling' ini bertekad mahu berubah. Sejak itu, 24 jam yang ada pada dirinya digunakan sebaiknya untuk membaiki diri. Bukan hanya untuk lapan hari, atau 38 hari tetapi berhari-hari sehingga satu demi satu kejayaan membanggakan ibu dan ayah diraihnya.

Dia berjaya mengenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di United Kingdom dan disusuli pula dengan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang yang sama di salah sebuah Univeristi di Australia. Tidak berhenti setakat itu, dia kini sedang menyambung pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah di dalam bidang pentadbiran di Universiti Terbuka Malaysia dengan tajaan biasiswa penuh. Sasarannya untuk mendapatkan gelaran Doktor Falsafah sebelum usianya mencecah 30 tahun.

"Tidak sekadar memperbaiki prestasi diri di dalam pelajaran, saya juga berusaha menurunkan berat badan dengan pelbagai cara. Hasilnya seperti yang awak nampak dan kenal saya hari ini. Dan saya cukup pasti tiada siapapun akan percaya jika saya tunjukkan gambar fizikal saya ketika di zaman sekolah dulu..."

"Tekad dalam diri mengatasi segala-galanya buat saya. Semuanya kerana kata-kata pedih yang saya jadikan motivasi diri untuk berubah dan menjadi lebih baik itu..."

Dan, benar.. aku tidak percaya saat diperlihatkan foto-foto di zaman anak-anaknya itu. Yaa.. dia kini tidak ubah supermodel terbilang. Si 'ugly duckling' itu kini telah menjadi gadis cantik yang tidak hanya terlihat pada wajah dan fizikalnya, tetapi juga pada minda dan hatinya. Dia memiliki semuanya.

Dan, ia bukan dongeng.

[Cherita-nya men-jadi motivasi yang tinggi buat diri-ku, malah turot meng-alirkan energi positif yang luar biasa..]

Wednesday, August 08, 2012

~ REZEKI YANG DIKONGSI ~


DAN sekali tentang Bubur Lambuk. Hari ini aku dan rakan sepasukan serta beberapa nama tersohor di dada akhbar berkongsi tenaga untuk mengagihkan kurang lebih 2,000 bungkusan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya di laluan tol bandar anggerik ke hiruk pikuk kota.

Meski berpanas dan berpeluh di tepi lebih raya yang begitu sibuk dan bising itu, kami tetap bangga menjadi sebahagian daripada yang menggerakkan acara ini.

Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lanjar dan terima kasih kepada sang penyumbang, hamba Allah ini yang berhati mulia ini. Mudah-mudahan di lapangkan jalan rezeki yang berkat untuk seisi keluarga. Amin.

Lelah menjalar, tetapi kepuasan menerpa jelas.

[Muga ada kesempatan laen..]

Tuesday, August 07, 2012

~ MELEPASI TARIKH MATI ~



MATI. Lantaran kecuaian diri sendiri, aku langsung tidak menyedari lesen memanduku telah tamat tempoh hayatnya semenjak empat bulan lalu. Empat bulan? Ya!

Dan mujur sahaja digerakkan hatiku untuk memeriksa tarikh matinya saat sesak jalan raya di jalan menghala ke bandar bunga tanjung gara-gara sekumpulan pasukan beruniform menjalankan tanggungjawab mereka.

[Macam-2. Yaa.. aku sa-makin macam-2...]

Monday, August 06, 2012

~ BUBUR LAMBUK ~


BUBUR Lambuk Terengganu. Menjadi juadah wajib buat kami sekeluarga kala tiba Ramadan. Ia tidak sama dan cukup berbeza dengan Bubur Lambuk yang tersohor di hiruk pikuk kota ini.

Ibu paling pakar di dalam menyediakan resipi kegemaran ini. Tidak terbanding dan itu turut mengikat rindu kami adik-beradik kala jauh dari ibu.

[Peng-ikat kaseh sayang]

Sunday, August 05, 2012

~ KURUNG MERAH KOSONG ~


SHOPPING. Atau lebih tepat lagi menemani orang lain bershopping. Sehari suntuk aku mendedikasi diri untuk menemani kakak membeli-belah barang-barang keperluan sebagai persiapan terakhir menjelang Syawal.

Dan kami berada tiga di lokasi yang berbeza utara selatan demi hal itu. Aku menurut kerana lazim selalu tidak punya kesempatan begini bersama-sama kakak. Dan dia sentiasa menuntut itu dari aku. Lalu, hari ini aku hanya mengangguk untuk sekian mahunya.

Sempat juga mendapatkan beberapa pasang kurung pilihan untuk Aidilfitri nanti. Dan bagai biasa, pilihanku kosong tidak bercorak. Bezanya hanya pada warna. Dan itu telah membuat bising yang banyak kepada kakak. Dan kerana 'sakit hati' dengan pilihan serupaku hampir setiap tahun, dia memutus untuk menghadiahkan aku kurung menurut pilihannya.

Lucu. Gayanya seperti sang ibu yang cuba mencari padanan baju raya terbaik untuk si kecil. Aku geleng kepala. Sementelah keributannya itu mencuri tumpu pembantu kedai yang sepertinya begitu tertarik untuk mengetahui drama sebabak kami.

Mahu kurung merah kosong.

[Dan, lebaran begitu meng-gamit..]

Saturday, August 04, 2012

~ DAN SEBENARNYA CINTA ~


TAJUK: Dan Sebenarnya Cinta
KARYA: Syafa’ Ikhwan
CETAKAN: Pertama – Jun 2012
PENERBIT: Karya Seni Sdn Bhd
HALAMAN: 626
HARGA: RM23.00

“Benar awak memang cinta pertama yang hadir. Tetapi selagi dia masih memegang erat tangan ini, bererti awak bukan segala-galanya dalam hidup saya…”
[Ber-warna-warni secara paling wajar..]

Friday, August 03, 2012

~ LEBIH 20 JAM ~


SEMALAM ini, aku dan beberapa rakan dalam pasukan pekerjaan mengdap kerja-kerja yang punya tarikh mati kurang lebih 20 jam. Dari jam tujuh pagi semalam sehinggalah ke jam tiga pagi hari ini.

Lalu kudrat yang sekerat ini terhimpit lelah yang bukan sedikit. Energi positif yang sering ada di dalam diri bertempiaran lari membebas diri. Huhuhu... Arghh.. urus pekerjaan yang tidak pernah mahu habis.

Dan, saat memandu pulang dari bandar anggerik ke bunga tanjung bersaksi embun yang membuat singgah, aku beberapa kali terlelap. Mujur sahaja batang jalanketika ini kosong lengang tanpa mudarat.

[Dan, lebih separoh dari hari ini, aku mem-buat lena yang mati...]

Thursday, August 02, 2012

~ NOSTALGIA ~


SAAT mengemas bilik beberapa hari lalu, aku menemui gugusan syiling yang dibungkus rapi. Nostalgia. Syiling-syiling aku aku gunakan beberapa tahun lalu ketika aktif menggunakan kenderaan awam untuk ke lantai pekerjaan.

Lalu bila punya unta hitam untuk membawa aku ke mana mahu, syiling-syiling yang masih berbaki itu aku simpan kemas dan tidak pernah digunakan. Setelah sekian lama, aku kembali menemui bungkusan syiling ini di celah timbunan buku-buku lama di bilik.

Nostalgia. Dan aku akan terus simpan syiling ini.. :)

[Perenah ma-naiki be-berapa jenis kenderaan awam yang ber-beza untok ke-lantai pekerjaan sa-tiap hari..]

Wednesday, August 01, 2012

~ MOGA TUHAN LINDUNGI DIA ~


"Ramai yang ingat i sudah masuk Islam. Tak. I masih lagi Budhis. And I tak ada boyfriend Melayu pun, i tak buat semua ni for sumone. I puasa kerana I sudah janji dengan Tuhan, if I dapat 'benda ni' I mahu puasa penuh satu bulan di bulan Ramadan ini sebagai tanda respect untuk kawan-kawan muslim.."

ITU sebahagian cerita yang dibualkan kepadaku dengan penuh jujur oleh seorang teman beberapa jam tadi. Dan kami duduk menutur cerita yang panjang. Aku mendapat sesuatu. Belajar sesuatu. Dan memahami sesuatu.

[Moga di-buka-kan pintu hati-nya..]