Tuesday, July 31, 2012

~ DAN, SAHABAT ~


DI CELAH-celah kesibukan urusan pekerjaan dan pelbagai perkara membuat dekat, hari ini aku punya kesempatan untuk berbuka puasa bersama  sahabat dekat. Tidak dirancang kerana lazim selalu yang dirancang itu akan mengundang kepada aral yang melintang pukang.

Pada minggu kedua ini, aku cuba untuk meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama sahabat-sahabat dekat. Dan berharap agar tidak ada yang keciciran. Meski sekadar duduk berbuka bersama, namun ia manis untuk Ramadanku. Ramadan yang mengikat erat silaturrahim.

[Doa kesejahteraan untok seluroh sahabat..]

Monday, July 30, 2012

~ KAD RAYA UNTUK KAMU ~


KAD raya.  Meski puasa baru sahaja memasuki hari ke sepuluh, aku sudah mula menerima kiriman kad ucapan raya yang sebahagiannya dari teman-teman lama dan rakan taulan di zaman pangajian dulu. Sungguh terpisah jarak dan kerjaya, sedikit aku masih ada di dalam ingatan mereka.

Terima kasih. Dan sungguh, aku senang sekali saat membaca tulisan ucap dan maaf yang tertera itu. Meski paling ringkas, tanda ingatan itu sangat sentimental. Meneyentuh sehingga ke dalam sana.

Sebenarnya aku juga berhasrat untuk kembali mengutus ucapan Aidilfitri melalui kad seperti mana yang menjadi kemestian suatu masa dahulu. Suatu masa ketika Emel, SMS/BBM/What's App, Facebook, Twitter, instagram  dan yang seumpamanya tidak menjadi hal biasa.

Jika tahun-tahun sebelum ini aku hanya mengirimkan ucapan raya melalui kad kepada saudara-mara dan sahabat terdekat, kali ini aku mahu melakukan lebih daripada itu, yakni untuk semua. Mudah-mudahan tidak ada nama sahabat yang namanya keciciran daripada senarai kirimanku.

Benar-benar ingin lakukan itu. Mana tahu kalau-kalau Aidilfitri kali ini adalah yang terakhir buat aku, atau.. kamu. Justeru, kad itu sebagai tanda ingat ikhlasku pada kamu. Dan ia sungguh.

[Ma'af Zaher dan baten..]

Sunday, July 29, 2012

~ MEMOIR BUKAN MEMOIR ~




TAJUK: Memoir Bukan Memoir
KARYA: Pekin Ibrahim
CETAKAN: Pertama - Jun 2012
PENERBIT: Merpati Jingga Sdn Bhd
HALAMAN: 136

“Tanpa tujuan yang jelas pada awalnya yang kemudiannya menuju ke sutua impian. Sedikit demi sedikit, selari dengan corakan tadkir yang diterimanya tanpa bantah..”

[Dan memoir aku..]

Saturday, July 28, 2012

~ SEMPIT DAN BERAT ~


SETELAH lama aku tidak memerlukannya, harinya aku perlu bernafas dengan bantuannya. Mungkin tangis panjang beberapa hari lalu telah menyempitkan ruang nafasku. Sempit dan berat. Mohon jangan berhenti..

[Dan, kalau ia ter-henti..]

Friday, July 27, 2012

Thursday, July 26, 2012

Wednesday, July 25, 2012

~ AL-FATIHAH YANG PALING INDAH ~

AL-FATIHAH.

DAN, akhirnya dia pergi juga meninggalkan aku, meninggalkan semua. Dan, sungguh tiada kata akhir yang dia tinggalkan untukku.

Pertemuan terakhir kami pada Syawal enam, kurang lebih setahun yang lalu. Setelah itu tidak lagi ada kesempatan berkelibat di depan matanya. Dan pada Ramadan lima ini, sebaik melewati waktu Isyak sebentar tadi, ummi yang aku sayangi dan cintai itu telah terhenti nafasnya dan lena buat selama-lamanya. Dijemput Ilahi dalam keberkatan Ramadhan mengisi dada dan hati.

Rupa-rupanya Syawal lalu itu adalah Syawal terakhir buatnya. Rupa-rupanya, Ramadan Lima hari ini adalah Ramadhan terakhir buatnya. Dan... Rupa-rupanya anak-anak ummi dan aku ini akan berpisah buat selama-lamanya dengan ummi.

Lalu, biar bagaimanapun raga ini menangis hiba, pemergian ibu yang penyayang itu aku relakan. Dan tiada kata terbaik yang mampu aku tuturkan di skrin kosong ini untuk menggambarkan rasa yang ada di dalam diri pada saat ini. Tiada.

AL-FATIHAH terindah buatmu Ummi. Mudah-mudahan dicucuri rahmat ke atasmu. Mudah-mudahan rohmu ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Mudah-mudahan tenang bersemadi di atas sana.

Dan, aku tetap ada di sini untuk kamu ummi. Sentiasa dan selamanya. Sekali lagi, tiada kata terbaik untuk menggambarkan itu.

[Al-Fatihah..]

Tuesday, July 24, 2012

~ DAN PEJAM CELIK SAMA SALAHNYA ~

Juadah Berbuka Puasa Untuk Ramadhan Empat
AKU didatangi dua cerita yang berbeza. Dari orang yang berbeza, dengan isi dan situasi yang berbeza. Cuma yang sama, mereka mahu aku menyebelahi dan memenangkan mereka.

Jam 4.15 aku mendengar duduk sebenar perkara dengan yang seorang ini. Begitu dan begini. Membuat kejelasan agar tidak terlihat simpul dari pandangan mata kasarku mahupun yang selain aku.

Usai 12 minit membuat hujung bual setelah kurang lebih 50 minit mendengar, yang seorang lagi pula mengambil giliran. Seperti berjanji. Juga atas tujuan agar aku mendengar dan menumpangkan bahu.
Sungguh, aku berada di tengah. Benar-benar tidak tahu untuk cenderung ke mana. Yang berdua kamu ini adalah sahabat. Yang meletak aku pada posisi pejam dan celik itu sama salahnya.

Lalu tuturku begitu terbatas, pandanganku menjadi sangat berhati. Tidak mahu melukakan satu antara kamu ini. Cuma biar aku katakan, sempena Ramadhan yang mulia ini, amankanlah hati. Jauhi prasangka, tinggalkan curiga.

Senyumlah untuk dunia, agar dunia juga memayungi dengan kamu dengan senyum. Lalu segala di keliling kamu juga hadir dengan senyum.

[Dan selepas dua sesi berat itu, aku hanya ber-kesempatan ber-buka puasa di-unta hitam sambil menikmati neon di-perjalanan panjang ke-bunga tanjong..]

Monday, July 23, 2012

~ 1 HARI 1 RESIPI ~


TAJUK: 1 Hari 1 Resipi
KARYA: Chef Hanieliza
CETAKAN: Pertama (2011), Kedua (2011) & Ketiga (2012)
PENERBIT: PTS Millenia Sdn Bhd
HALAMAN: 367
HARGA: RM39.90

* 365 Resipi istimewa Chef Hanieliza

[Sempena kedatangan Ramadhan..]

Sunday, July 22, 2012

~ SELAMAT HARI ULANG TAHUN ~


ALLAH selamatkan kamu..
Allah selamatkan kamu..
Allah selamatkan NL
Allah selamatkan kamu..

Selamat hari ulang tahun kelahiran buat sahabat dekat yang jatuh pada hari ini 22 Julai. Semoga dipermudahkan segala urusan kehidupannya, dipanjangkan usia untuk hal kebaikan, didekatkan rezeki untuk amal kebajikan dan disayangi semua untuk berkasih sayang... aminn.

Selamat untuk kamu sahabat!

[Hal-2 persahabatan...]

Saturday, July 21, 2012

~ PERTAMA RAMADHAN 1433H ~


ALHAMDULILLAH... masih diberi Tuhan kesempatan untuk sekali lagi menyambut dan menikmati bulan Ramadhan yang mulia, 1433H. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini memberi lebih berkat buat kami seisi keluarga.

HARAPAN RAMADHAN
by raihan

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna


[Muhon di-ampuni dan di-berseh-kan jhiwa-ku..]

Friday, July 20, 2012

~ LELAH YANG MASIH BERSISA ~


HARI semalam kami melunas urus pekerjaan sehingga awal pagi.. Lebih 17 jam di lantai pekerjaan mengejar tarikh mati. Pagi ke pagi.

Lalu hari ini tidak bermula dengan tenaga yang biasa. Lelah semalam masih bersisa, urat saraf dan tulang-temulang masih belum kembali ke duduk asalnya. Nahh.. hari ini kami dihadapkan pula dengan cerita selirat yang menguji sabar.

Terpulanglah kepada kamu wahai bijak pandai, tiada daya aku untuk membuat bantah. Asal sahaja itu yang terbaik untuk semua, kuturuti walau tidak secara besar hati.

[Serabot seratos...]

Thursday, July 19, 2012

~ MASIH CERITA HOSPITAL ~


KURANG lebih jam 8.50 pagi saat asyik mengatur urus pekerjaan yang bersusun tangga di lantai pekerjaan, aku dihubungi kakak.

Belum sempat aku berkata apa, esak tangisnya membuat seluruh jantungku menjadi getar. Sepatah tuturnya  tidak dapat aku tangkap jelas kerana ia dikunyah tangisan yang begitu besar membuat iring. Berkali aku minta dia bertenang agar dapat aku fahami butir bicaranya.

Sangka awalku, ia menyentuh ayah yang tidak begitu baik kondisi kesihatannya saat ini. Namun, rupanya tidak. Tangisan itu untuk si kecil yang berdepan kemalangan kecil di sekolah. Kebetulan abang berada di luar daerah, lalu kakak menjadi hilang arah dalam emosi.

Si kecil dikejarkan ambulan ke Hospital Kuala Lumpur. Sedang kakak memerlu aku untuk berada di sisinya sesegera saat itu. Lalu tanpa sebarang helah, aku meninggalkan lantai pekerjaan dan bergegas ke hospital. Sekali lagi meredah kesesakan jalan raya yang terlampau untuk ke ibu kota. Kekalutan yang dilalui siang hari tadi, hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Mujur sahaja, keadaan si kecil tidak begitu merunsing. Hanya perlu menghuni sehari dua di bawah seliaan sang doktor dan dibenar kembali ke rum,ah seperti sedia ada. Alhamdulillah. Alhamdulillah untuk di kecil, alhamdulillah untuk kakak dan kami semua.

Saat mengetuk papan kekunci dan mengadap layar skrin ini, aku masih dihenyak urus pekerjaan yang meninggi bak KLCC. Menuntut sempurna megejar tarikh matinya.. Huh..

[Ke-kalotan yang me-nekan..]

Wednesday, July 18, 2012

~ DIUJI PADA AWAL RAMADHAN ~


"Salam. Doakan saya.. :) Jaga diri baik2 ya.."

Aku tiba-tiba dikejutkan dengan kiriman SMS dan sekeping foto dari sahabat yang namanya cukup tersohor di dada akhbar ini. Cuba menghubunginya, tetapi gagal. Menumbuh tanya dan risau yang banyak.

Begitu dia, seorang yang cukup berahsia. Sementelah dia tidak mahu membuat singgah risau pada hati sahabat dan mereka yang dekat. Begitu selalu.  

Namun kalau sudah berada di katil hospital, mana mungkin mereka yang dekat berkeliling tidak hidup bimbang. Mana mungkin aku dapat menerima alasan yang dia berikan selain bergegas membuat ziarah dan mendengar beban sebenar. Namun, hal itu disambut tawa kecil darinya.

Dan begitulah sahabat ini. Hanya pintanya agar dikirimkan doa agar disembuhkan dia secara paling sempurna. Moga dapat lagi dia membuat urus hidup dengan penuh senyum bahagia.

[Apa-pun, ber-terima kaseh... aku maseh di-berita-kan dia..]

Tuesday, July 17, 2012

~ CUBA ~


[Maseh serupa sa-perti yang di-kenal kamu..]

Monday, July 16, 2012

~ REMUK REDAM ~


LELAKI ini amat disayangi kami. Sangat-sangat sayang meski dia terkadang curiga apakah dia tahu dan menghargai kasih sayang kami ini.

Hari ini dia membuat kami seisi keluarga berdamping resah lagi. Degup jantungku laju menekan, sementara kakak menangis kerana hilang kata. Belum lagi disentuh soal ibu yang sering diuji-uji sabar sayangnya.
Diam. Aku hanya diam seribu bahasa. Tiada kata lagi yang mampu menyampai remuk redam hati.  

Mohon Tuhan lapangkan dadanya untuk mengerti kasih sayang kami. Mohon di bukakan pintu hatinya untuk berubah memghargai hal-hal yang termiliki dia.

Arghh.. lelaki ini tetap menjadi kesayangan kami sampai bila-bila. Lelaki yang gelarnya adik dan anak kesayangan ayah ini tetap menjadi buah hati kami meski sering sahaja dia membuat kami menangis.

[Jutawan mana-pun tidak-kan mampu mem-beli- kaseh sayang kami ini..]

Sunday, July 15, 2012

~ WANG KERTAS BAHARU ~


WAJAH baharu pada wang kertas yang menjadi urus-niaga kita seharian. Lebih menarik apabila wang kertas bernilai RM20 kembali diperkenalkan.

KREDIT PETIKAN BERITA: BERNAMA

Bertemakan keunikan Malaysia, siri keempat wang kertas ini akan menggantikan siri yang sedia ada dalam edaran selama lebih daripada 10 tahun, dengan paparan ekspresi tradisional berilhamkan seni dan kraftangan, keindahan alam semulajadi, flora dan fauna, ekonomi dan tradisi.

Ia menggabungkan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan selaras dengan kemajuan terkini dalam teknologi percetakan wang kertas dan mengekalkan beberapa ciri-ciri keselamatan yang sedia ada untuk menghalang pemalsuan.

Potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman ibni Tuanku Muhammad, dan bunga kebangsaan dikekalkan pada bahagian hadapan semua denominasi wang kertas.

Bahagian belakang setiap denominasi wang kertas pula memaparkan ciri-ciri alam semulajadi, tradisi, budaya, flora, fauna dan ekonomi. Wau dipaparkan pada wang polimer RM1 baru.

Denominasi RM5 memaparkan burung enggang badak yang memainkan peranan penting dalam budaya dan upacara tradisional negeri Sarawak manakala wang RM10 menonjolkan bunga yang terbesar di dunia iaitu Rafflesia. Wang kertas RM20 dengan warna jingga pula memaparkan dua spesies penyu terkenal iaitu penyu karah dan penyu belimbing yang merupakan lambang hidupan laut di perairan Malaysia.

Gambaran pada denominasi RM50 tidak ada perubahan ketara yang menonjolkan kelapa sawit sebagai ikon ekonomi negara dan bioteknologi dalam menyokong transformasi ekonomi. Kekaguman Gunung Kinabalu dan pembentukan batu mercu batu kapur di lembah Gunung Api di Taman Negara Mulu, Sarawak dipaparkan pada wang RM100 yang menjadi kebanggaan negara. – BERNAMA

[Maseh setia dengan ke-suka-an mengumpol wang kertas lama pelbagai nilai..]

Saturday, July 14, 2012

~ AIR MATA RINDU ~


TAJUK: Air Mata Rindu
KARYA: Pitteriah Abdullah
CETAKAN: Pertama (2011)
PENERBIT: Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN: 661
HARGA: RM25.90

“Kekasih, tulislah namaku di setiap nadimu… Kekasih, lukislah wajahku di setiap rongga nafasmu…”

[Dan itu harga-nya..]

Friday, July 13, 2012

~ KUDRAT YANG SEKERAT ~


LAZIM selalu, bila mana Ramadhan bakal membuat damping, urus pekerjaan menuntut komitmen berganda. Jam yang berlalu pada minggu-minggu terakhir ini dirasakan begitu laju membbuat pusingan. Lalu tiada urus lain yang sempat kami alihkan pandang selain urus pekerjaan yang mengikat seawal memulakan hari sehinggalah malam gelap menutup hari.

Bukan membuat rungut, cuma menyata situasi diri yang sering disalah erti. Kesuntukan masa tidak membenarkan aku mengalih tumpu. Berilah sedikit pengertian, agar kita tidak terikat salah sangka.

[Lantai pekerjaan-rumah-lantai pekerjaan-rumah.. sa-hingga aidilfitri.]

Thursday, July 12, 2012

~ HANIS ZALIKHA ~


HANIS Zalikha. Mungkin bukan nama asing pada mereka yang biasa mengikuti perkembangan dunia penulisan blog.

Begitu juga aku, mengenali sang penulis ini melalui bicaranya yang sering menghibur di laman blognya. Cerita kehidupannya sering menarik tumpu, bukan sahaja pada aku tetapi juga manusia lainnya.

Hari ini kami kebetulan punya kesempatan duduk semeja. Aku melihat sahaja dia diajukan itu dan ini. Melihat dia menangani rasa ingin tahu orang sekeliling kepadanya. Pada akhirnya, aku menutur satu tanya kepadanya. Apa dia masih akan rancak menulis lagi setelah namanya telah tersenarai dalam direktori dunia hiburan tempatan melalui penglibatannya di dalam sebuah filem baru yang sedang ditangani sekarang?

"Entahlah, saya kurang pasti. Apa nanti orang mahu membaca tulisan saya kerana isi kandungnya atau kerana nama saya yang sudah tersenarai di dalam direktori dunia glamor itu.."

Aku senyum mendengar apa yang ditutur dia. Bagiku, penulis berbakat sepertinya tidak perlu berhenti. sama ada kerana isi kandung atau namanya, itu bukan persoalannya. Paling utama ceritanya sampai menurut ingin.

[Turot mengenali ramai rakan baru me-lalui penulisan di-alam maya ini.. ]

Wednesday, July 11, 2012

~ SAHABAT KECIL ~

KESEMPATAN. Setelah lebih sebulan lalu sahabat kecil ditukarkan ke lantai pekerjaan baharu nun jauh di utara semenanjung tanah air, kami masih belum punya kesempatan untuk bertanya khabar mahupun bertemu muka.

Siang tadi nama sahabat ini tiba-tiba muncul di layar telefon bimbit memberitahu dia kini kembali ke hiruk pikuk kota dan menyuakan keinginannya untuk bertemu sebelum meneruskan perjalanan ke kampung halamannya di paling hujung selatan semenanjung tanahair.

Namun, hati sungguh-sungguh terkilan apabila aku terikat di lantai pekerjaan sehingga tengah malam kerana mengejar tarikh mati urus pekerjaan yang sangat mendesak. Entah kenapa aku benar-benar merasa terkilan kerana tidak dapat bertemunya. Walaupun baru kurang lebih sebulan dia dihantar majikan bertugas di utara semenanjung tanah air itu, kami sebenarnya telah hampir setahun tidak bertemu muka.

Sudahnya, cerita tanya khabar kami hanya berlegar di hujung talian telefon bimbit. Dia juga banyak urusan yang mendesak dan harus segera pulang menyelesai pada hari yang sama. Lucunya kami sama-sama bersedih kerana hal-hal yang mendesak itu.

Sahabat dekat yang seorang ini banyak menumpangkan bahunya untukku, kala senang dan susah. Namun setelah aku dipindahkan ke jabatan lain dan dia pula bertukar majikan, masa untuk kami menghirup secawan kopi agak terbatas dan terhitung jari. Lebih menjadi jauh apabila dia kini berpindah lantai pekerjaan. 

Apapun, mudah-mudahan persahabatan kami tidak terkalih kerana jarak itu. Seperti benar yang pernah diungkap untie phia, persahabatan itu akan jadi paling manis dan jika kita ikhlas menghargainya dan begitulah sabaliknya. Maka andai setiap hari berselisih bahu dan bertemu mata sekalipun tetapi tidak menghargai sebuah ikatan yang namanya persahabatan, apalah ertinya.

[Tikam-lah aku dari depan, biar aku dapat lihat jelas riak puas hati-mu..]

Tuesday, July 10, 2012

~ TUN DR MAHATHIR YANG DISAYANGI ~


ALLAH selamatkan kamu.. Allah selamatkan kamu... Allah Selamatkan Tun Mahathir.. Allah selamatkan kamu..

Selamat hari ulangtahun kelahiran buat pemimpin disegani iaitu mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Yang Amat Berbahagia, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini menginjak usia 87 tahun. Mudah-mudahan dirahmati dan dlindungi oleh-Nya sentiasa.

DIRGAHAYU MAHATHIR
karya a. samad said
Sejak kau katakan dirimu tetap akan bersara
Rakyat hampir serentak tergamam, sekeluarga,
Dengan tekun cuba membaca keganjilan abjad,
Ingin secermatnya menyelam kocakan isyarat-
Bermula dari langkahmu semenjak dua dekad,
Dari awal diseragamkan waktu yang keramat,
Meninggalkan kegoyahan tahta kota Melaka,
Meluru ke sejarah baru di Putrajaya.

Mulanya kau tukarkan derasnya isyarat masa-
Seluruh negara tiba-tiba rasa degupnya.
Dan serentak pula kau dorongi pandang ke Timur,
Kau sedarkan begitu mulanya visi yang makmur,
Kau tegur sejarah Eropah berhati penjajah
Dan gesa rakyat agar segera menginsafinya

Kau seorang pemimpin paling sering mengejutkan
Sehingga dalam panas kami mudah kesejukan
Dan dalam sejuk tiba-tiba kami kepanasan.
Kau seperti damai menyaksikan kami terkejut,
Kau ransang kami jadi juara–jangan takut.
Daki gunung, lawat Antartika, rayapi benua,
Rentasi samudera dan saingi berniaga-
Segala yang puncak-selalunya itu kau pinta.

Kau pengingat bangsamu yang sering benar pelupa,
Penyedar satu perjuangan yang belum selesai,
Juga penghayat tanah airmu yang sungguh damai.
Kau sempat menjadikan ramai manusia gigih,
Di alaf damai, mereka menyemai benih ilmu
Di musim permai mereka membisik kasih syahdu.
Kau gelorakan kejutan yang sebesar-besarnya,
Dan mendorong rakyat menjerit “boleh” segalanya!
Kutahu, kau sentiasa benci kerja yang bebal,
Lebih kau sanjung tiap pencapaian yang global

Kau terlalu gemar mencabar setiap yang payah,
Menyedarkan bangsa, itulah antara caranya,
Meningkat taraf, menebus maruah dan anehnya,
Kau memungkinkannya dengan cara yang istimewa.
Dengan resepi bancuhan amat luarbiasa,
Ramuan asli dari rempah satu citarasa,
Dan dengan tangan dan mata yang selalunya cerah,
Dapur bangsa menyedia sajian peribadi-
Demokrasi lazat dengan zat tersendiri.

Telagah dan teguranmu juga tajam berduri,
Malah dalam sekam yang sebu pun terjelir api.
Dan dalam arus diplomasi dunia terkini,
Selalunya kau berdiri cekal depan sekali,
Lancang bersuara sepejal peluru khursani,
Tanpa pengkalis, sebab, pengkalisnya kau sendiri.
Kawan-kawanmu sesekali dalam percobaan,
Yang akrab terkadang meloncat juga sebelah lawan.
Dan kau memang seorang yang amat keras menghukum,
Serkadang yang patah amat payah sungguh dicantum.
Memang ada yang sentiasa ingin membencimu,
Dan sesekali, soal bahasa yang mampu, aku juga begitu.
Tapi, bakti yang lain wajar jua dikira,
Pemimpin tak semua benar, tak semua salah.
Dan dalam sedikit gulana resah batin bangsa,
Aku tetap menerimamu pemimpin berharga.
Memang kau telah berjaya menyumbang banyak bakti,
Menjadi amat payah untuk sekadar membenci,
Apalagi yang diragukan lebih teka-teki.

Tampaknya kau tahu dimana stesen berhenti;
Sejauh mana pula pemimpin harus berlari.
Dan di antara stesen, kau sedia bersepi-
Menilai masa lalu dan menyukat masa kini.
Kau berhenti ternyata sebelum dirimu mengah,
Meninggalkan secebis peta dalam ribut kencang
Dengan megah di sisi kibaran Jalur Gemilang.
Disayang dibenci, kau harumi taman pertiwi;
Dibenci disayang, hikayatmu juga berseri.

Kau penguji sanubari dengan minda berkira,
Dan dengan lidah dan hati yang belajar berimbang.
Sayang, tidak semua tali pacu yang dapat diregang,
Maklum di mana pun pasti ada kuda yang garang.
Tapi, kau pujangga siasah berpeta pusaka,
Berkeris dan berperisai tangkas hampir serentak,
Merenjis mutiara kata yang payah ditolak.

Tentunya kau masih berada di dalam kawasan,
Merintih dan menyangsi ataupun memerhatikan.
Aku percaya, dalam serba musim dan cuaca,
Kau tidak pergi-hatimu tetap tegap di sini.

[Jasa kamu tidak mampu ter-pulang-kan wahai pe-mimpin yang di-segani sepanjang zaman..]

Monday, July 09, 2012

~ HARGA RON 97 TURUN ~


SETELAH lama tidak mendengar berita sebegini muncul di dadan akhbar atai di saluran berita TV dan radio, hari ini kita didengarkan dengan ini.

KrediT Berita: BERNAMA

Harga petrol RON 97 turun 20 sen

KUALA LUMPUR: Harga jualan runcit petrol RON97 diturunkan sebanyak 20 sen seliter kepada RM2.60 seliter, berkuat kuasa esok.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata keputusan menurunkan harga tersebut berikutan purata harga minyak di pasaran bagi Jun 2012 sudah turun. Sehubungan itu, katanya, kerajaan bersetuju untuk mengurangkan harga runcit petrol RON97 bagi Julai 2012 bermula esok.

"Harga jualan runcit petrol RON97 pada dasarnya ditetapkan secara apungan terkawal di mana harga bulanannya akan diubah mengikut harga pasaran," katanya.

Kerajaan sebelum ini menurunkan harga jualan runcit petrol RON97 sebanyak 10 sen seliter kepada RM2.80 pada 6 Jun lalu. - BERNAMA

[Kata sa-orang teman, ia berita pilihan-raya..]

Sunday, July 08, 2012

~ KONSERT DIR... KOIR KEBANGSAAN MALAYSIA ~










BARU sahaja selesai menonton Konsert Dir... Koir Kebangsaan Malaysia di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Berbaloi harga tiket yang ditawarkan, konsert yang didedikasikan khas buat penghibur tersohor negara, Allahyarham Sudirman Hj Arshad ini sangat-sangat menghiburkan. Meski tidak diumpan dengan barisan artis popular (kecuali Lan Typewritter), konsert pimpinan pensyarah vokal berkalber, Syafinaz Selamat ini tetap menarik perhatian khalayak umum.

Sebelum ini, aku telah beberapa kali berkesempatan menonton persembahan barisan anak muda yang menganggotai Koir Kebangsaan ini. Persembahan terbaik mereka telah mengikat aku untuk sentiasa mengikuti persembahan terkini dan perkembangan terbaru mereka.

Kepada yang tidak begitu mengenali kumpulan ini, ia merupakan kumpulan koir yang bertaraf nasional yang ditubuhkan pada tahun 1991 oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (kini dikenali sebagai Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan). Kumpulan ini kini dianggotai kurang lebih 78 orang anggota. Selain memperjuangkan lagu-lagu rakyar serta tradisional Malaysia, kumpulan ini juga berkebolehan menyanyikan lagu-lagu klasikal, kontemporari dan pop pelbagai bahasa.

OK cukup untuk pengenalan mereka. Tentang persembahan malam ini, apa yang boleh aku katakan konsert yang menggabungkan elemen teaterikal, muzikal serta vokal berkumpulan (koir) ini sangat-sangat hebat dan menghiburkan. Tidak hanya pada vokal dan penghayatannya, tetapi juga pada sketsa dan gerak tarinya. Ternyata anak- buah Syafiaz Selamat ini tidak pernah tampil mengecewakan.

Kurang lebih 24 buah lagu telah didendangkan dengan penuh santai. Antaranya ialah Seruling Bambu, Basikal Tua, Hoore Hoore, Mat Disco, Pelangi Petang, Hujan, Toyol, Aku Penganggur, Punch Card, Pulang Dari Kilang, Milik Siapakah Gadis Ini, Merisik Khabar, One Thousand Million Smiles, Kulit, Salam Terakhir, Terasing dan lain-lain.

Sementara kemunculan Lan Typewritter turut mencuri tumpu dengan alunan lantang vokalnya yang sangat memikat telinga dan hati melalui dua buah lagu popular Allahyarham.

Secara keseluruhannya, Konsert Dir... Koir Kebangsaan Malaysia adalah satu persembahan yang sangat hidup dan mengikat penonton dengan begitu memikat.

[Akan tetap menyokong persembahan mereka pada masa akan datang..]

Saturday, July 07, 2012

~ MENCARI JALAN KE SYURGA ~




TAJUK : Mencari Jalan Ke Syurga
KARYA : Hasliza Ismail
CETAKAN : Pertama (Mei 2010)
PENERBIT : Kaki Novel Enterprise
HALAMAN : 536
HARGA : RM19

“Mengapa sedarkan aku dari lena yang panjang, jika ianya hanya untuk sementara…”

[Lorong-kanlah..]

Friday, July 06, 2012

~ DIAM ~


MENGUIS curiga. Hanya kerana aku tidak bangun untuk membela diri dan melontar kata untuk sebuah rasa percaya. Biarlah masa yang menceritakan kebenarannya kelak.

[Dan, binget hon tidak lagi di-peduli-kan..]

Thursday, July 05, 2012

~ BERTUAN AKU ~


MEMULAKAN hari dengan serabut seratus yang membuat rentang. Lalu, cuai diri hampir sahaja membuat hukum. Mujur sahaja rezeki masih menyebelahi. Mujur sahaja telefon bimbit yang sentiasa membuat damping itu masih mahu bertuankan aku.

Awal pagi tadi, saat berkejaran dengan waktu di lantai MV atas urusan pekerjaan, aku tanpa sedar meninggalkan telefon bimbit secara terbuka di unta hitam. Beberapa ketika sehingga seorang rakan mohon dipinjamkan sedikit info pada nota yang seringnya tersimpan di telefon bimbit.

Nahhh... Terdiam aku seketika sambil di dalam hati memohon doa agar dipanjangkan rezekiku. Dan, alhamdulillah, ia masih terletak di asal.

[Dan, ia juga menyimpan diari rahsia..]

Wednesday, July 04, 2012

~ NISFU SYA'BAN 1433H ~


SEKADAR berkongsi. Diam tidak diam, hari ini kita sudah melewati 14 Sya'ban 1433 dan malam ini merupakan malam ke-15, juga bererti malam yang kita raikan sebagai Nisfiu Sya'ban. Allah mengampuni dosa-dosa para hamba-Nya yang memohon keampunan pada malam ini.

Rasulullah bersabda:

"Sesungguhnya Allah SWT menurunkan (para malaikat dengan perintah-Nya) pada malam Nisfu Sya’ban ke langit dunia, lalu Allah mengampuni dosa-dosa (para hamba-Nya di mana keampunan pada malam itu) lebih banyak dari bilangan bulu-bulu yang terdapat pada kambing-kambing peliharaan (bani) Kalb." ~ Riwayat Imam Ahmad

[Menunggu Ramadhan tiba]



Tuesday, July 03, 2012

~ DIKIR EXTRAVAGANZA ~








SINONIM Julai, Festival Kuala Lumpur pastinya mencuri tumpuan utama. Manakan tidak festival yang saban tahun mengisi kalendar ini tampil dengan rangkuman kepelbagaian komponen seni persembahan, seni tampak, bahasa dan persuratan, permainan tradisi, warisan, pelancongan dan rekreasi masyarakat Malaysia sama ada untuk tatapan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.

Kurang lebih 86 aktiviti kesenian telah dirangka sepanjang bulan ini di beberapa lokasi terpilih di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya. Melihat kepada senarai aktiviti yang dijalankan, ia jelas tidak tertumpu kepada satu golongan sahaja, sebaliknya meliputi pelbagai peringkat umur.

Malah beberapa seni tradisi yang selama ini dipelopori dan menarik perhatian golongan yang sudah berusia telah disuntik dengan unsur-unsur moden untuk menarik lebih ramai generasi muda. Ternyata gabungan idea dan inspirasi ini mencetuskan keterujaan yang lebih besar terhadap budaya dan kesenian tempatan.

Buat pertama kalinya juga pada tahun ini, seni persembahan tradisional masyarakat Kelantan, Dikir Barat diangkat sebagai tema utama pada festival kali ini. Justeru persembahan yang dinamakan sebagai 'Dikir Ekstravaganza' diberi penghormatan menjadi acara pembuka untuk tahun ini.

Persembahan yang diadakan selama dua hari berturut-turut itu mendapat sambutan yang cukup hebat daripada peminat seni tempatan. Manakan tidak, persembahan dikir yang sebelum ini dilihat lebih tradisional itu telah disuntik elemen berbeza dengan menampilkan dikir dalam pelbagai genre muzik seperti pop, reggae, blues, rock dan sebagainya.

[Ter-hibor dengan dikir penyanyi popular sepanjang zaman, Ziana Zain..]

Monday, July 02, 2012

~ BERHATI-HATI PADA LANGKAH ~


BAHAYA di mana-mana. Lalu, berhati-hatilah sentiasa dengan manusia dan situasi sekeliling. Kejadian yang menimpa seorang gadis di parkir Mid Valley beberapa hari lepas harus dijadikan pengajaran.

Kredit Berita: BERNAMA

Pusat Beli Belah Mid Valley Tingkat Aspek Keselamatan

KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan pusat beli-belah Mid Valley meningkatkan aspek keselamatan di kawasan letak keretanya susulan kes rompakan baru-baru ini, telah memasang butang ‘panik’ atau ‘bantuan’ pada tiang terpilih yang bertanda ‘HELP’.

Jurucakap wanita Mid Valley City Sdn Bhd dalam kenyataan berkata bantuan segera akan diberikan sebaik butang panik itu ditekan. Beliau berkata pusat beli-belah itu juga mempunyai perkhidmatan pengiring keselamatan 24 jam yang ditawarkan kepada pelanggan untuk mengambil kenderaan mereka.

Perkhidmatan ini boleh didapati di kaunter keselamatan di lobi letak kereta di Zon A, P1, P2, atau di kaunter maklumat dan menerusi talian hotline keselamatan.

Bilik kawalan keselamatan pusat beli-belah itu beroperasi 24 jam dan boleh dihubungi melalui nombor telefon 03-2938 3244 bagi Mid Valley City dan The Gardens Mall 03-2289 8777. Jurucakap itu berkata pusat beli-belah itu mempunyai lebih 200 kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan parkir dan kawasan sekitarnya dan lebih 2,000 CCTV dalam gedung beli-belah itu.

Katanya CCTV tambahan telah dipasang untuk mempertingkat liputan pengawasan. “Kami juga telah meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan parkir dengan mengatur pekerja tambahan di kawasan strategik dan melakukan rondaan lebih kerap.

“Berhubung insiden baru-baru ini di IGB Annexe Lobby, Tingkat empat, suspek yang dikenal pasti menerusi rakaman CCTV, kini dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut. Pihak pengurusan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung insiden itu,” katanya. -BERNAMA


[Hampir sa-tiap minggu men-jejak lantai Mid Valley...]

Sunday, July 01, 2012

~ SWEET SOUR ~





TAJUK: Sweet Sour
KARYA: Nasz
CETAKAN: 1, 2, & 4 (2010), 5 & 6 (2011) dan 7 (2012)
PENERBIT: JS (Jemari Seni Publishing) Sdn Bhd
HALAMAN: 570
HARGA: RM21.00

**Karya yang berwarna-warni dan santai persembahannya..

[Dan, begitu-lah hidop..]