Thursday, May 31, 2012

~ SENYUM ~

SENYUM
Senyum seindah suria
Yang membawa cahaya
Senyumlah dari hati
Duniamu berseri

Senyum umpama titian
Dalam kehidupan
Kau tersenyum ku tersenyum
Kemesraan menguntum

Senyum... kepada semua
Senyumanmu amatlah berharga
Senyum... membahagiakan
Dengan senyuman terjalinlah
Ikatan...

[Senyum untok dunia, meski ber-hujan kelam di-hati..]

Wednesday, May 30, 2012

~ ENAM TAHUN.... AL-FATIHAH ~


30 MEI. Dan aku mengenang hal yang lalu. Genap enam tahun pemergian seorang sahabat yang gelarnya dr jiwa. Al Fatihah. 

Nun pusaranya jauh di utara semenanjung tanah air sana telah lama sepi dari ziarahku. Urusan di lantai pekerjaan yang sering menghambat deras hari-hariku membuat hasrat untuk ke sana sering sahaja terhenti.

Kurang tiga jam lalu, aku menghubungi ibu arwah membuat ingat akan kehilangan ini dan ia telah menjadi hal yang paling rutin setiap 30 Mei semenjak enam tahun lalu. Tanpa gagal. Yaaa... tanpa gagal.

"Ibu rindu. Rindu sangat-sangat." Bicaranya yang sering sahaja menguis hibaku.

Kenangan bersama arwah ketika sedang mengejar segulung ijazah di universiti tertua di lembah pantai itu bertali arus menerjah. Ia menjadi sebahagian hidup yang paling manis buatku.

Untuk kamu sahabat, aman dan tenanglah bersemadi di sana. Al-Fatihah.

[Al-Fatihah..]

Tuesday, May 29, 2012

~ DEJA VU ~



DEJA VU
by shila amzah

Aku bukan lemah tanpa cinta
Hanya tidak mampu sendiri tanpanya
Biarkan aku menangis kerna derita

Dia hadir mengubatkan rindu
Mengajarkan aku erti cinta
Namun semua tidak seindah ku sangka

Dialah yang aku inginkan
Dia cinta yang kudambakan
Namun semua hanya tinggal mimpi
Terpisahnya cinta

Aku harus melupakannya
Aku harus memadam rasa
Namun hati tidak pernah mampu
Melepas kau pergi

Dialah yang aku inginkan
Dia cinta yang kudambakan
Namun semua hanya tinggal mimpi
Terpisahnya cinta

Setelah sedar dari mimpi
Harus ku terus hidup tanpamu
Kini ku pasrah segalanya
Tentang cinta

[Dejavu.. utara semenanjung tanah air..]

Monday, May 28, 2012

~ INGIN DEKAT ~


RINDU. Mahu bertemu dan bertentang mata dengan ibu. Meski aku ini orangnya tidak tidak banyak bual dan ceritanya, aku senang-senang sahaja menjadi pendengar kepada cerita ibu yang sentiasa bersambungan itu. Dan hari ini, aku benar-benar terkenang itu.

[Mau dudok men-dengar..]

Sunday, May 27, 2012

~ SEMBANG TEPI JALAN ~




TAJUK: Sembang Tepi Jalan – Syurga Yang Hilang
KARYA: Meor
CETAKAN: Pertama (April 2012)
PENERBIT: Merpati Jingga
HALAMAN: 134
HARGA: RM20.00
“Jangan ganggu kebebasan saya berkarya..” - Meor

[Mengenali bakat-nya di-acara MASKARA lazim di-rumah PENA anjoran Sindiket Sol-jah]

Saturday, May 26, 2012

~ BINTANG, PANDANGLAH AKU ~


CERITA beberapa tahun yang lalu kembali bertebaran. Berputar satu demi satu umpama marathon di layar lebar. Sejuk seluruh tubuh menahan rasa. Ohh.. benar sekali, betapa kecilnya dunia ini.

Aku menoleh ke arah bingit hon yang mengiring langkah kecilku. Memandang dengan penuh tanda tanya kerana tiada yang salah pada halaku. Cermin kereta gelap itu diturunkan. Lelaki di kerusi pemandu menyapaku. Menyapa dengan nama lengkapku. Dan itu menjadi ketarikan buatku.

Aku memandang lagi, lalu dia mengundurkan sedikit badannya ke belakang dan mataku terus tertangkap jelas pada sosok tubuh yang cukup aku kenal pada sejarah hidup yang lalu. Dia memberi senyum serupa dan bersuara menanya khabar.

Dan sungguh, aku sentiasa gagal untuk menutup kalut di jiwa. Lalu pada riak wajah yang tiada rasa ini, bahasaku mungkin jelas dibaca dia. Oh Tuhan.. Kenapa harus bersua lagi dengan lelaki ini.. Bertemu dan bertentang mata pada seinci bahu di celah ribuan manusia yang berkumpul di Himpunan Sejuta ini. 

Meski aku mengalih tumpu kepada banyak perkara pada hari ini, hakikatnya babak pertemuan siang hari tadi lekat membuat singgah. Kelibatnya masih di mata. Dan sungguh, aku tidak mahu itu. Tidak mahu!

[Bintang, pandang-lah aku.. pandang-lah aku bintang...]

Friday, May 25, 2012

~ KESEMPATAN ~


KAMI punya kesempatan itu. Lalu hari ini, aku dan kamu berkongsi bingit bingar dalam cerita yang tiada kesudahan. Menikmati pada sebuah kesempatan yang diberikan Tuhan. Alhamdulillah.

[Hanya pada kesempatan ini..]

Thursday, May 24, 2012

~ AKU ITU AKU ~


BEGINI. Aku senang sahaja untuk bersahabat dengan siapapun sahaja yang menghulurkan silaturrahim. Tidak aku soalkan siapa kamu atau mereka, kerana pada hakikatnya siapa juga aku di mata kamu dan mereka. Dan itu sungguh.

Lalu, usah dibaca diam aku dengan begitu terlalu. Aku tetap membaca merah itu sebagai merah dan biru itu sebagai biru.

[Tetap men-chentai bintang..]

Wednesday, May 23, 2012

~ DAN, MUNGKIN ~


PERLAHAN-LAHAN melupakan hal-hal yang terlalu selalu, meninggalkan kebiasaan dan berhenti menelan puluhan kenapa.

[Doa kesejahteraan buat kamu..]

Tuesday, May 22, 2012

~ DAN, REJAB MEMBUAT DAMPING ~


ALHAMDULILLAH... 1 Rejab kini menjengah.Bererti kurang lebih 58 hari lagi, kita bakal bertemu Ramadan.

Sempena Rejab yang hadir ini, dengan rendah hatinya, aku mohon sesungguh kemaafan untuk segala kesalahan yang telah aku lakukan sama ada di dalam atau luar sedar terhadap kamu. Mohon agar kamu di luar sana melepaskan aku dari segala dendam, amarah mahupun prasangka andai ada wujud di hati kamu selama hari ini.

Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 36,

Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, (demikian) di dalam Kitab Allah, sejak hari Dia menjadikan semua langit dan bumi. Daripadanya adalah empat yang dihormati. Demikianlah agama yang lurus. Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu pada bulan-bulan itu…”

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, bahawasanya beliau berkata:

“Rasulullah SAW apabila telah masuk bulan Rejab, Baginda SAW berdoa; Ya Allah Ya Tuhan kami, limpahilah berkat kepada kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami (dengan selamatnya) ke bulan Ramadan.

[Dan bulan ber-ganti bulan..]

Monday, May 21, 2012

~ SEBELAS PATRIOT ~



TAJUK: Sebelas Patriot
KARYA: Andrea Hirata
CETAKAN: Pertama dari Bintang Pustaka, Indonesia (2011) & Pertama dari PTS Litera (2012)
PENERBIT: PTS Litera Sdn Bhd
HALAMAN: 71
HARGA: RM10.00

Buku ini adalah kisah yang menggetarkan hati dan menyuntik inspirasi berkisar perihal cinta seorang anak, pengorbanan seorang ayah dan kegigihan menggapai impian.

[Dan... Andrea Hirata..]

Sunday, May 20, 2012

~ TIGA HARI YANG LELAH ~


TIGA hari berlalu dengan penuh lelah. Setelah lama meninggalkan aktiviti-aktiviti lasak yang meregang seluruh urat dan tulang-temulang, aku kembali melakukan selama tiga hari ini.

Ia tidak menjadi hal yang payah kerana aku gemarkan aktiviti yang seumpama ini. Cuma dihambat resah status kesihatan diri yang ada kala tidak mengizinkan untuk aku menyertai beberapa aktiviti. Mendaki bukit 45 darjah pada ketika angin pagi masih menggigit di hari kedua hampir sahaja membuat aku hilang nafas. Mujur sahaja mampu bertahan.

Paling berat, sepanjang berada di sini aku harus berdirikari dalam banyak perkara. Juga menjadi 'ramah-ramah' walau itu bukan aku. Aku menggeleng-gelengkan kepala setiap kali harus berdepan ini. Bukan mudah membuat tutur yang banyak terutama pada manusia yang tidak aku kenali. Dan, aku harus lakukan itu di sini. Huh..

Dan.. hal yang tidak akan aku terima mudah saat setiap kami harus tampil ke depan membuat persembahan di malam penutup. Getar hati tidak sedikit membuat kacau. Pada yang mengenali aku dekat, pasti sahaja tahu ia bukan hal yang mudah kepadaku. Berdiri di depan puluhan pasangan mata untuk dikumpulkan perhatian adalah satu hal yang paling amat menakutkan buatku.

Aku cuba... dan seperti selalu, aku tidak pernah berjaya..

[Ohh.. koishie..]

Friday, May 18, 2012

~ URUSAN MEMBINA DIRI ~


KURANG lebih tiga jam lagi, aku akan berangkat ke Dusun Eco Resort, Bentong, Pahang. Urusan membina diri atas aturan lantai pekerjaan.

Mudah-mudahan aku mampu bertahan selama tiga hari di sana. Ada kerisauan yang panjang saat kaki mahu melangkah ke sana. Bukan kerana aktiviti keras yang diaturkan pada jadual, tetapi cerita lain yang membuat tekan.

[Dan, tiada alasan..]

Thursday, May 17, 2012

~ DAN, MEMINJAM SESUATU ~


PERJALANAN ke bandar bunga tanjung menjadi sangat perlahan. Bukan kerana sesak perut jalan raya pada saat peralihan hari itu, tetapi kerana tumpu berat yang aku berikan kepada cerita seorang teman yang turut menumpang ke arah yang sama ini.

Cerita tentang seorang wanita (yakni ibunya) yang menumpahkan rasa setianya kepada sang suami dengan sepenuh hati. Menurut sang anak ini, selama lebih 30 tahun berada di dalam perkahwinan, wanita itu tidak pernah sekalipun meninggalkan sang suami atas apa jua alasan dan desakan.

Meski dizinkan sang suami untuk dia mendahuhui keluarga terutamanya saat aidilfitri menjelang, dia tetap mahukan syurganya. Tidak jelas tentang isi hati yang ditanggungnya, namun hal yang disebut sebagai pengorbanan dan kesetiaan itu memberi bahagia yang bukan sedikit buatnya.

Suara teman yang galak menutur cerita ini tiba-tiba menghulur getar. Dan dia mahu menjadi seperti ibunya.

[Maseh setia dengan si-sepet...]

Wednesday, May 16, 2012

~ SELAMAT HARI GURU ~

SELAMAT hari guru buat pendidik-pendidik sedunia yang telah mencurahkan budi dan bakti untuk membina generasi baru yang berilmu dan berguna kepada nusa dan bangsa.

Pengorbanan yang diberikan demi memastikan setiap anak bangsa terisi ilmu hidup amatlah dihargai dengan sepenuh tulus. Moga ada bahagian kamu dari yang diatas sana.

Untuk barisan guru yang pernah bersamaku sepanjang alam persekolahan sehingga ke menara gading, dengan rendah hatinya ingin aku ucapkan rasa terima kasih yang paling tinggi buat kamu. Mudah-mudahan anak-anak bangsa yang pernah bersamamu dulu  dan kini menjadi 'seseorang' mampu dibanggakan.

[Ter-kenang Puan Hanizah yang mem-perkenalkan aku kepada dunia maritim..]

Tuesday, May 15, 2012

~ P. RAMLEE THE MUSICAL 3 ~

KHABARNYA rancangan untuk mementaskan P. Ramlee The Musical Musim Ketiga telah dibatalkan. Kurang pasti apakah punca sebenar pementasan yang ditunggu ramai ini tidak jadi dipentaskan setelah diwar-warkan di pelancaran kalendar Istana Budaya untuk tahun 2012 awal tahun lalu. 

Menurut khabar angin yang bertebaran, muzikal ini tidak dapat dipentaskan kembali kerana berdepan dengan masalah mendapatkan penaja. Maklum sahaja kos pementasan yang menelan nilai juta-juta itu bukan senang untuk diperoleh. Justeru daripada membuat pementasan yang ala kadar dengan bajet seadanya, syarikat produksi yang bertanggungjawab ini memutus untuk membatalkannya. Baik juga begitu. Kredit untuk pihak produksi terbabit yang begitu bertanggungjawab untuk setiap karya terbitan mereka.

Dan.... peranan Saloma yang pernah ditangani oleh Liza Hanim selama dua musim itu bererti tidak akan beralih ke tangan orang lain. Mungkin baik begitu kerana 'Saloma' yang terbaik adalah di tangan Liza Hanim. Biar sahaja kejayaan manis itu lekat menjadi milik Liza Hanim. Dialah jerlmaan Saloma!

[Tidak sabar menunggu pementasan Teater Tun Siti Hasmah yang bakal di-arah-kan oleh saudara Adlin Aman Ramli..]

Monday, May 14, 2012

~ SELAMAT HARI ULANG TAHUN SAHABAT MEI ~

Allah Selamatkan Kamu
Allah selamatkan Kamu
Allah Selamatkan Sahabat Mei
Allah Selamatkan Kamu..

Selamat hari ulangtahun kelahiran buat sahabat mei pada hari ini, 14 Mei 2012. Mudah-mudahan dipermudahkan segala urusan kehidupan, dipanjangkan usia untuk hal kebaikan, didekatkan rezeki untuk amal kebajikan dan disayangi semua untuk terus berkasih sayang.

Amin...

Selamat Hari Jadi.

[Me-minjam kamu...]

Sunday, May 13, 2012

~ SELAMAT HARI IBU ~



UMI
by dato shake

Umi...
ku tahu engkau derita
Hidup... dalam duka sengsara
Namun... diiringi doa
Agar kau bahagia

Umi...
ku sunting kuntum melati
Harum... sewangi kasih suci
Umi... ku bawa penawar
Hapuskan derita

Apalah ertinya kehadiran ku di sisimu
Andai ku tak daya membuat kau gembira

Umi... ku petik bintang bintang
Menyinar... cahaya hidup mu
Umi... dekatlah wajahku
Yang selalu rindu

Ku tak relakan kau menderita selamanya
Biarlah aku yang menanggung derita mu
Ohhh...

Umi... ku ingin kau menyaksikan
Sinar... yang ku cipta untuk mu
Umi... berikan senyuman
Agar kau bahgia
Umi... Umi cinta padamu

Tiada kata yang mampu mencerita tentang kasih yang ada ini terhadapmu ibu. Mudah-mudahan Tuhan paling merahmati ibu. Berkurang sakit sengsara yang kau tanggung selama ini. Percayalah, aku akan sentiasa ada, selagi nyawa dikandung badan.

Juga untuk ibu-ibu sedunia, selamat hari ibu.

[Untok ibu dr jiwa... salam kaseh sayang yang tidak perenah kurang buat kamu..]

Saturday, May 12, 2012

~ ADIK DATANG ~

TAJUK: Adik Datang
KARYA: Dato’ A. Samad Said
CETAKAN: Pertama (2012)
PENERBIT: PTS Litera Pop Sdn Bhd
HALAMAN: 358
HARGA: RM25.00

“Jarum-jarum hujan ini pernah menghiburkan suatu waktu dahulu. Jarum-jarum yang ramah menjadi marah. Serasa kedinginan ini menghantar sesuatu makna..”

[Dan, langit tumpah..]

Friday, May 11, 2012

~ BILA NYAWA DITARUHNYA ~


PANAS terik matahari sedikitpun tidak menghalang dirinya. Ngauman keras kenderaan silih berganti di kiri kanannya juga tidak mengubah tekadnya. Di bahunya tergalas satu beg lusuh sarat dengan isi kandung. Di tangannya, beberapa tisu poket yang digenggam kemas.

Setiap kali lampu isyarat di atas jalan tinggi itu menyala merah, dia akan cepat-cepat berlari dari satu kenderaan ke satu kenderaan. Peluh yang membasah baju bukan lagi hal yang harus dipedulikan. Nyawa juga ditaruhnya untuk mencari sesuap nasi.

Aku memaku tajam pandangan dari dalam unta hitam. Sedih dan tidak sampai hati. Wanita sebaya ibu itu begitu mengusik rasa yang dalam. Aku berusaha menggerakkan unta hitam agar tiba paling hampir dengannya.

"Makcik, jalan ini sangat sibuk dan merbahaya.. tolong jangan buat macam ni.." kataku sambil menghulur segala yang ada dari unta hitam. Dia membalas dengan memberikan aku tisu poket yang sudah separuh basah dalam genggamannya. Sepatah bicara pun tidak keluar dari mulutnya.

Aku memerhatinya dari cermin pandang belakang. Dia masih berjalan di celah-celah kenderaan mengharap belas. Langsung tidak dipedulinya berpuluh kenderaan yang hanya kurang 15 inci dari tubuhnya.

Aku tunduk, dan air mata menitis. Doa kesejahteraan untuk kamu.

[Ber-syukor apa ada-nya..]

Thursday, May 10, 2012

~ KELIRU ~


KAMI pernah bekerjasama untuk beberapa kali atas urusan pekerjaan. Jujur aku katakan, aku tidak pernah senang dengan sikap dan keperibadiannya. Hidupnya menongkat langit sehingga lupa rumput hijau yang dipijaknya di bumi. Sikap bongkaknya sering membuat aku mahu mengelak daripada berurusan dengannya. Sedaya upaya.

Namun sekeras mana aku lari menjauhi, sedekat itulah kami dipertemukan untuk bekerjasama. Huh.. Aku kira dia juga tahu akan rasa kurang senangku terhadapnya. Sikap dinginku beberapa kali gagal disembunyi.

Lalu hari ini, kami sekali lagi berurusan. Tidak dapat tidak, aku harus lagi mengadap lelaki bongkak ini. Atas dasar profesionalim di lantai pekerjaan, aku berlagak seolah tiada apa. Seolah baru mengenali dan cuba membuat urus sesempurna yang mungkin.

Namun, dia menjadi orang lain pada hari ini. Jauh sasar daripada sikap selalu yang dia pamerkan kepadaku. Kali ini dia sepertinya benar-benar mahu mengambil hatiku. Dari saat mula menyapa sehingga pada akhir kaki mahu melangkah, dia tampil dengan sikap yang cukup berbeza. Malah, sangat-sangat berbeza.

Beberapa kali aku mencubit pipi, apa aku sedang bermimpi? Keliru.

[Men-jadi padi..]

Wednesday, May 09, 2012

~ SEIRING EMOSI ~



SEMENJAK beberapa minggu terkebelakang ini, serabut seratus membuat singgah. Hilang tumpu dan hilang rasa.

Lalu, sahabat yang tahu membaca rasa ini cuba menghiburkan aku dengan kesendiriannya. Dibawanya aku menghalakan langkah berbelas kilometer di selatan hiruk pikuk kota. Diperkenalkan aku kepada beberapa 'menu' yang pertama kali aku dengar untuk menghibur lara.

 Pilih sahaja jenis minuman berdasarkan emosi kamu pada ketika itu. Lalu aku melepas tawa yang panjang. Menjadi macam-macam.

[Cherita tentang persahabatan yang kembali singgah..]

Tuesday, May 08, 2012

~ HIDAYAH ~

DIA memelukku erat. Seerat-eratnya, seperti tidak mahu dilepaskan. Babak itu mencuri pandang berpasang mata di gedung membeli-belah tersohor itu. Pertemuan itu adalah pertama kali buat kami setelah dia mendapat hidayah untuk berhijab. 

Matanya berkaca, seperti mahu menumpahkan manik jernih. Aku senyum dan mengangguk-angguk. Dia juga membalas dengan anggukan. Kami bersahabat lama dan aku cukup mengenal dia yang dulu. Justeru, dia tidak mampu menahan sebak apabila kami bertentang empat mata.

Syukur alhamdulillah. Tuhan memilih sahabat ini. Mudah-mudahan ia dipermudahkan dan tidak dibolak-balikkan hatinya. Dia benar-benar berusaha untuk menjadi yang lebih baik. Jauh lebih baik dari hari semalam, malah lebih baik daripada aku yang telah lama mengenakan hijab ini ku kira.

Meminjam sesuatu, untuk sesuatu...

[Men-jadi sahabat yang ada..]

Monday, May 07, 2012

~ MENDUGA DASAR ~


PADA awalnya, ia sekadar memenuh ingin seorang sahabat. Manakan tidak, ia langsung di luar kecenderunganku.

Namun hari ini, aku memperoleh senang. Rupa-rupanya melempar tali pancing beserta umpan ke tengah dasar dan menunggu riak adalah suatu hal yang cukup menyenangkan. Menyenangkan bila mana kita punya saat-saat untuk merenung tentang sesuatu. Bila mana kita membisik supaya menambah sabar. Bila mana kita mengharapkan suatu harapan menjadi kenyataan.

Aku senyum, sahabat ini juga senyum. Kami sama-sama senyum.

[Yang lepas, biar jadi sejarah...]

Sunday, May 06, 2012

~ RINDU IBU ~



TAJUK: Rindu Ibu
KARYA: A. Samad Said
CETAKAN: Diterbitkan semula - Pertama (2012)
PENERBIT: Wira Bukit Sdn Bhd dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad
HALAMAN: 108
HARGA: RM15.00

** Rindu Ibu adalah antologi puisi kanak-kanak Pak Samad yang pertama.

[Sa-hingga bila-2..]

Saturday, May 05, 2012

~ DI BALIK TIMBUNAN BUKU ~


Rezeki bertemu Pak Samad.

Aku memiliki naskah asalnya sebelum diterjemah kepada bahsa asing.

Sentiasa mencuri perhati.

Turut mendapatkan terbitan terbaharu, Kumpulan Puisi Pilihan Kemala.

Lelaki yang sering membuat aku larut dengan bait-bait puisinya yang tajam.



Lamaaaa... telah aku miliki novel 'Puteri Lindungan Bulan' ini... Beberapa tahun yang lalu.



TIDAK dengan kesempatan yang mudah aku berada di sini. Hanya pada hari ini, keluangan itu mengizinkan aku untuk meredah bingit manusia di balik timbunan buku pelbagai isi ini. Itu pun kebetulan punya urus pekerjaan yang berkait di sini.

Usai segala yang memerlu kepada kudrat aku dan rakan sepasukan, aku memutus untuk meredah timbunan ilmu ini. Sayang sekali rakan-rakan yang lainnya tidak punya kecenderungan yang sama dan lebih senang memilih untuk berhibur dengan cara yang tersendiri.

Tidak mengapa, aku masih senang jika meredahnya bersendiri. Mungkin lebih mudah dan menyelesakan tanpa sebarang ganguan. Dan, aku benar-benar terhibur menjelajah dari satu rak ke satu rak. Nahh.. tanpa sedang kurang lebih enam jam aku membelek, membaca, menelaah dan memilih.

Paling membuat besar hati, aku akhirnya berjaya mendapatkan naskah 'Rindu Ibu' tulisan Pak Samad yang telah lama aku buru semenjak di perkenal oleh saudari Taheera Rosheena di Malam MASKARA (rumah pena) tidak lama dulu. Bezakan ia diterbitkan dengan kulit depan yang baru, namun isinya masih sama. Paling manis, saat aku mendapatkan naskah karya terbaru Pak Samad, 'Adik Datang', lelaki hebat ini ada di ruang timbunan buku itu. Lalu muka depan naskah itu sempat aku hulurkan untuk mendapatkan tandatangannya. Sungguh, itu hal yang membuat besar hati padaku.

Tidak sekadar itu, buku '11 Patriot' yang aku idam dari Andrea Hirata juga turut aku perolehi dari penerbitan PTS. Dan usah ditanya bagaimana besar hatiku saat ini. Cuma buku 'Ayah' tulisan penulis yang sama gagal aku temui di sini. Mungkin perlu mencarinya di tanah sebarang sana barangkali.

[Me-menoh ingin ....]

Friday, May 04, 2012

~ MALAM PUISI PENA MEI 2012 ~





LAMA, tidak punya kesempatan yang begini. Dan hari ini aku berada di rumah pena untuk menikmati karya-karya indah di Malam Baca Puisi Pena .

Malam ini, aku benar-benar tercuri tumpu pada seorang wanita misteri yang aku kurang pasti siapa dirinya. Namun saat dia mendeklamasikan 'Kudung' dengan penuh kesendirian membuat aku diam terpaku. Hanyut dan masuk mengekor pada bait-bait yang dia tuturkan.

"Maafkan saya atas kekurangan ini", bicara pertama yang keluar dari bibirnya saat mata tertumpu kepada sebatang rokok yang masih terkepit di jarinya. Lalu dia menyedut dan kemudiannya melepaskan asap nikotin itu ke udara dengan begitu pankang. Seperti ada cerita lain.

Seusai majlis aku cuba mahu mendapatkan dia. Paling tidak menyapa, jika punya kesempatan tentunya mahu lebih dari itu. Namun, wanita misteri ini telah hilang. Menurut sang penganjur, dia meninggalkan majlis lebih awal. Punya urusan yang lebih mendesak barangkali.

Saat ini aku masih mencari-cari siapa dirinya. Mahu tahu, mahu meminjam dan mahu menumpang ilmu (jika ada ruang untuk itu).

KUDUNG

Ada rahsia yang kusimpan
Tentang pertemuan kita hari ini
Bila ku tatap wajahmu
Hatiku kenal
Aku sedang melihat cermin diriku

Suara membisik
Ini dia... sayaaa...
Ke umbi hatimu
Kurasa kukenal mesra
Setiap lekuk, setiap lencong
Sama sahaja
Tapi berbeza
Bak dua tangan menadah
Kiri dan kanan bersama

Tapi aku bukan kidal
Aku kanan yang aktif
Kau yang masih tak tahu
Menulis membicara rasa
Bisu di tangan
Berkata-kata di mata

Kau sangka
Aku tak faham bahasa mata
Bertanya mereka mencari di mana
Terdiam di mulut
Terpenjara di malu
Hati terlolos keluar
Antara kenyitan

Rindu berbisik pada kutuju
Harapan menggunung
Yang aku akan mengerti
Yang kau terpennjara tak dapat lari
Kau mahu aku nanti?
Tapi aku bukan kudung
Aku mahu dua tangan
Mendah saksama
Mengharap rahmat Ilahi

[Kesendirian-nya yang me-mikat tumpu..]

Thursday, May 03, 2012

~ SEOUL TOWER ~


TERIMA kasih buat yang mengirim ingat. Kalau umur panjang dan punya kesempatan, aku juga mahu menjejak di Seoul Tower ini. Dan, ada cerita lain.

[Eiffel Tower yang meng-gamit ...]

Wednesday, May 02, 2012

~ LANGIT MERAH & KECINTAAN ~











TIADA kata yang mampu aku tutur. Melihat matahari merah di persisir pantai dengan begitu larut, adalah kecintaan yang amat menyenangkan buatku.

Kesempatan itu datang siang hari semalam. Tidak terkalih pandang pada keindahan ciptaan Tuhan yang satu ini. Mohon aku terus punya kesempatan yang begini.

[Terima kasih untok sang peneman yang meng-erti..]