Monday, April 30, 2012

~ WANITA ITU II ~


AWAL pagi siang hari tadi, aku berada di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya. Hadir menyatakan sokongan buat seorang wanita yang telah pecah hatinya. Wanita yang telah kehilangan cinta hati, dikhianati janji dan sumpah setia. Menahan air mata dari tumpah, si empunya diri gagah berdiri mendepani takdirnya. Semoha Tuhan merahmati kamu dan anak-anak. Doa kesejahteraan.

WANITA ITU II

Melihat air mata, mendengar cerita
Dan.. merasa deritanya...

Tuhan itu
Menguji hambanya
Atas kemampuan
Tabahlah melalui
Sebahagian kehidupan
Yang mungkin tidak menyebelahi

Melihat air mata, mendengar cerita
Dan.. merasa deritanya...

Lukanya maha dalam
Namun tidak sedikitpun
Air matanya tumpah
Melihat terus ke dalam matanya
Jelas…
Ceritanya tidak sama
Pada senyum di bibir

Melihat air mata, mendengar cerita
Dan.. merasa deritanya...

Pecah hatinya
Hanya Tuhan yang tahu
Lalu, tekadnya hanya satu
Membela nasib anak-anak
Secara yang paling adil!

[Gagah-lah dengan kudrat-mu..]

Sunday, April 29, 2012

~ TANYA SAMA HATI ~



TAJUK : Tanya Sama Hati
KARYA : Rehal Muharis
CETAKAN : Pertama (2011)
PENERBIT : Fajar Pakeer Sdn Bhd
HALAMAN : 348
HARGA : RM18.00

Status tuning Badri menjadi alasan untuk Tisya tidak menerima Fezrul walaupun hakikat sebenar dia tidak lagi menganggap diri sebagai tunang kepada lelaki itu. Namun apabila melihat Fezrul bersama Wawa mahupun Linda Hangat, entah kenapa jantungnya mula berdegup kencang. Kata Haiza dia diserang penyakit C dan C kuasa dua. Cinta dan Cemburu.

[Bila hal yang sukar di-mengerti-kan..]

Saturday, April 28, 2012

~ LAUTAN KUNING ~







HIRUK-PIKUK kota menjadi lautan kuning. Deru kenderaan dengan siul angin di perut jalanraya menjadi bingit dengan laungan menjengkelkan.

Jujur, aku menghormati misi dan perjuangan mereka. Namun satu hal yang harus diingat, niat tidak akan pernah menghalalkan cara. Usah memijak kepala orang lain untuk memastikan langkah kalian menjadi paling depan. Jangan mengorbankan kesejahteraan manusia lain hanya untuk kepentingan mahu kalian.

Mungkin ada hal yang tidak aku mengerti. Namun, jika benar ia untuk rakyat, berhentikan menjadikan rakyat sebagai korban.

[Apa benar perjuangan sebegini untok kita ?]

Friday, April 27, 2012

~ BUKAN BAHAN PERSENDA ~



ANAK yang tidak tahu apa-apa ini, tersenyum manis. Paling manis. Dan sesekali berselang tawa. Mungkin berasa bahagia apabila diberi tumpuan begitu. Sementelah gelak tawa diiring sekali saat tumpuan terberi.

Aku memandang tepat pada ke arah sang guru  wanita berbaju kurung dan bertudung litup penuh sopan itu. Pandangan tajam itu untuk menzahirkan rasa protes atas kelakuannya yang cukup menjengkelkan itu. Aku kurang pasti sama ada dia memahami atau sebaliknya rasa kurang senangku itu. Cuma yang pasti kurang satu minit selepas itu, dia mula mengalihkan bicara. 

Anak ini adalah anak istimewa. Justeru, meski usianya sudah menginjak 14 tahun, perlakuannya tidak ubah sang adik yang berusia enam tahun. Aku mengenalinya ibunya yang punya nama di dada akhbar. Aku pernah tahu tentang perjalanan kisah pembesarannya dari mulut sang ibu. Aku tahu dan aku mengerti.

Namun, bila mana seorang pendidik yang diamanahkan untuk memberi pandu dan ajar yang positif kepada anak istimewa ini sendiri yang menyertai rakan-rakan anak ini untuk mempersenda, aku menjadi sangat terpukul.

Sepatutnya dia mengajar agar anak istimewa ini tidak dibezakan, tetapi sebaliknya dia memilih untuk turut menjadikan anak ini sebagai badut dan bahan persenda. Mudah-mudahan Tuhan berikan dia petunjuk.

[Ber-henti-lah men-jadi pen-didik jika tidak tahu untok men-didik..]

Thursday, April 26, 2012

~ KERANA MATA ~


DIBURU resah. Semenjak akhir-akhir ini aku sering sahaja hilang tumpu. Otak memberi isyarat untuk kanan, tetapi tindak mengatur jelas pada kiri. Huh.. Serabut yang berselirat seratus barangkali.

Aku ke tempat sang pakar, mahu menukar mata. Memilih yang paling mahu pada yang selesa lekat. Usai membuat ketetapan, aku meninggalkan lantai itu kurang lebih satu jam sebelum dikehendaki kembali untuk mengambil mata yang telah sempurna itu.

Setiba di ruang sang pakar, aku mencari-cari sekeping kertas pengesahan pembayaran juga kod nombor mata yang dipunyai aku. Selepas tiga minit terkial-kial, aku mengalah. Mengadap terus sang pakar yang tepat memandang tingkahku.

"Hilang... cicir. Jika tidak menjadi kesulitan atau kesalahan pada posisi kamu, boleh membantu saya untuk mendapatkan mata itu tanpa sekeping kertas itu?"
"Errr... sepatutnya tidak boleh. Tetapi mungkin boleh untuk kamu.."
"???"
"Kerana kamu tidak berdalih,"

Aku senyum. Dia mengangguk. Aku menarik kerusi dan duduk. Dia terkial-kial mencari mataku dengan tekun sehingga ketemu. 

[Cuai.. dan ter-lalu selalu...]

Wednesday, April 25, 2012

~ BERBEZA ~



SEHARIAN tidak mendekat ke lantai pekerjaan. Merenung KLCC dari dua arah berbeza, dua pandangan berbeza, dua ketika yang berbeza dan dua cuaca yang berbeza.

Dan, aku punya rasa yang berbeza hari ini. Sangat berbeza.

[Mem-bidek meng-guna-kan telefon bimbet dari dalam unta hitam..]

Tuesday, April 24, 2012

~ SEBERKAS RESAH ~


AKU duduk. Bangun. Duduk. Bangun kembali. Duduk lagi. Bangun. Mundar mandir ke hilir hulu. Hati menelan puluhan kenapa.

Hal yang terjadi di lantai pekerjaan siang hari tadi sangat mengganggu rasa. Sangat membuat aku tersekat nafas. Arghh.. benar bagai diduga. Meski apa jua alasan yang ditabur untuk menutup rasa, ia tetap jelas dibaca. Tidak hanya aku, malah si buta sekali pun marhum akan itu.

"Nasib si bisu seperti kamu!".. getus satu suara tiba-tiba.
"Barangkali..." aku angguk, perlahan-lahan.

Lalu sehabis waktu pekerjaan, unta hitam terus terhala ke tasik naga, nun di putarajaya sana. Lama tidak menjejakkan kaki ke sana, dan hari ini aku kembali ke situ. Suatu tempat yang mampu membuat aku senang dan tenang. Tasik naga itu pernah menjadi saksi kepada berpuluh ratus cerita yang pernah aku muntahkan di situ. Mujur sahaja dia bisu di situ, jika tidak segala apa yang pernah aku khabarkan kepadanya itu pasti sahaja menjadi hal yang menyesakkan dada barangkali.

Aku menarik nafas yang dalam. Melepaskannya perlahan satu demi satu. Mohon ada kesabaran, mohon ada kekuatan, mohon aku mampu berdiri tegap tanpa sebarang emosi yang mengambil alih pada diri. Sungguh-sungguh aku mohon itu. Biar sahaja hal-hal 'berpuluhan kenapa' itu tertutup dari mataku agar hati ini tidak tidak lagi mempersoalkannya secara keras.

[Tasik naga yang sa-makain meng-erti ]

Monday, April 23, 2012

~ HAL YANG BUKAN AKU ~

DARI lantai ke lantai. Membuat habis segala yang ada. Bukan dengan keperluan yang mendesak, sekadar memenuh ketekanan yang membuat singgah. Ia bukan terapi terbaik (aku tahu itu), tetapi hal sementara yang membuat senang.

Buat pertama kali, si kecil yang membuat ekor. Itu dan ini dalam pertimbangannya. Banyak hal yang bukan aku, tetapi diturut satu-satu.

Yaa.. tiada kejelasan itu. Hal paling biasa kala serabut seratus membuat simpul.

[Lagi 'mata' baharu...]

Sunday, April 22, 2012

~ KEMBALI MENEBAR SALAM ~

TIBA-TIBA kedengaran suara yang begitu dikenali di corong telefon bimbit. Yaaa.. dia muncul setelah sekian lama menghilangkan diri. Senyap yang sangat lama. Paling senyap.

Dihulurnya salam, disapanya aku dengan begitu sopan dan beraturlah khabar disusuli permohonan maaf yang menyentuh. Aku angguk-angguk, beberapa kali.

Sahabat yang namanya Pieces ini menyebut azam, prinsip dan janji baharu. Bersaingan dengan segala yang baharu itu, no telefon bimbitnya juga baharu, kediamannya juga, pekerjaannya juga dan kelilingnya juga. Aku angguk-angguk, beberapa kali.

Dia membuat jelas di atas segala tuduhan, salah faham, pertentangan dan kecurigaan yang diletak galas dalam beberapa bulan ini. Jalinan babak itu diurai satu demi satu dengan alasan penuh satu. Aku angguk-angguk, beberapa kali.

Lama kami menutur bual. Atau lebih tepat lagi mendengar dia menutur bual. Dia membuat simpul tentang persahabatan, kesetiaan dan kejujuran. Membilang-bilang kesilapan yang sudah dia lihat jelas. Membilang-bilang keberuntungan yang telah dia lepaskan. Membilang-bilangsesal yang telah dia jumpa. Aku angguk-angguk, beberapa kali.

Dan... sebelum menamat cerita panjang itu, aku menemui cerita lain dari sahabat ini. Yaaa.. cerita lain! Aku angguk-angguk lagi dan mula mengerti (akan suatu hal yang lain).

[Hal-2 peesahabatan yang tidak mudah untok di-campak buang...]

Saturday, April 21, 2012

~ DI HUJUNG RANTING 2 ~


TAJUK: Di Hujung Ranting 2
KARYA: Indah Hairani
CETAKAN: Pertama (2012)
PENERBIT: Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN: 690
HARGA: RM25.90

"Lukisan-lukisan itu seolah-olah memandangnya dengan simpati..”

[Kesah Hati...]

Friday, April 20, 2012

~ DAN SERBA TIDAK KENA ~

BEBERAPA bulan terkebelakang ini aku berusaha keras untuk membuat aturan normal pada waktu lenaku. Kondisi badan sudah tidak mampu menampung kudrat bila hanya mampu meletak lena sekadar 2-3 jam atau kurang daripada itu hampir setiap hari.

Nah... semenjak beberapa minggu ini aku mula merasa perubahan jelas, waktu lena kembali kepada aturan yang sepatutnya. Lalu kala malam sudah setengah membuat singgah, langsung sahaja aku tidak mampu tegap lagi.

Jika sebelum ini, aku hanya akan mampu meletak lena sekitar jam 2-3 pagi, dan kemudiannya kembali bersiap siaga memulakan hari sekitar dua jam selepas itu, kini tidak lagi. Kala jarum jam di dinding putih itu menunjukkan ke angka 10.00, aku sudah mahu hanyut.

Dan.. tentu sahaja ia merubah begitu banyak aktiviti harianku. Sukar untuk menyesuaikan diri dan ada kalanya menjadi marah lantaran banyak urus yang biasa aku lakukan kala lewat malam itu menjadi hal yang tertangguh pada esok harinya.

Dan.. Kurang lebih..

[Segar untok hal-2 rasa..]

Thursday, April 19, 2012

~ SURATAN ATAU KEBETULAN ~


SURATAN ATAU KEBETULAN
by Kenny, Remy & Martin



Sesuatu yang tak disangka
Seringkali mendatangi kita
Itukah suratan dalam kehidupan
Atau hanya satu kebetulan

Kita asyik membicarakan
Persoalan hidup dan pilihan
Sedang kejujuran semakin berkurang
Masih tiada bertemu jawapan

Walau kita dihadapkan
Dengan berbagai pilihan
Mengapa sering terjadi
Pilihan tak menepati

Hingga amat menakutkan
Menghadapi masa depan
Seolah telah terhapus
Sebuah kehidupan yang kudus

Pertemuan sekali ini
Bagi diriku amat bererti
Tetapi ku bimbang untuk menyatakan
Bimbangkan berulang kesilapan..



[Dan... itu-lah takdir-nya...]

Wednesday, April 18, 2012

~ PERNAH ~


SETELAH lama hilang dari pandangan, kami bertembung kelibat. Si penunggang dan si pembonceng, yang jelas di dalam kenalku. Aku melihat jauh, bukan dengan mahu tetapi di tetapkan situasi ketika itu begitu.

Doa kesejahteraan untuk kamu.

[Dan bukan tempoh yang singkat..]

Tuesday, April 17, 2012

~ ULTRAMAN ~

(Sebahagian koleksi ultraman milik si kecil)

"Siapa yang buat kat AL? Biar adik suruh ultraman adik gi firee diaa... bertukarrr. hiarghh"

AKU senyum. Senyum yang paling manis barangkali. Si kecil yang bakal menginjak ke usia lima pada pada 29 April nanti itu seringnya cuba memahami. Biar sukar untuk diperjelaskan kepada dunia kecilnya itu, namun dia sentiasa mahu mengerti.

Dan aku merasai kasih sayangnya itu.

[Dan.. kalau-lah ultraman itu benar wujud sa'at ini.... pasti saja..]

Monday, April 16, 2012

~ ADA PADA HARGA ~


AKU tersenyum mengenangkan pengkhianatan kamu terhadap aku. Aku masih mahu senyum kalau-kalau kamu ingin memberitahu kenapa aku dikhianati begitu.. tetapi aku tidak akan berhenti senyum pun, walau kamu tidak akan pernah mahu memberikan jawapannya.. kerana aku memang ingin menghadiahkan senyuman itu untuk sahabatku... iaitu kamu!

[Hadiah pada harga sa-buah persabatan yang men-jadi sabahagian...]

Sunday, April 15, 2012

~ MENCURI PERHATI ~






INDAH. Tertarik dengan penuh tumpu untuk melihat dan memiliki. Mini pameran yang berkebetulan mencuri tumpu saat melewati lantai Space U8, Shah Alam. Mengharap kesempatan yang serupa pada lain ketika.

[Menunggu janji pada cherita lukisan..]

Saturday, April 14, 2012

~ DI HUJUNG RANTING ~


TAJUK: Di Hujung Ranting
KARYA: Indah Hairani
CETAKAN: Pertama (2009), Kedua & Ketiga (2010) dan Keempat (2012)
PENERBIT: Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN: 567
HARGA: RM19.90

“Dia tidak pernah menyakiti, namun dia disakiti...”

[Dan, aku di-sini..]

Friday, April 13, 2012

~ HILANG DALAM RAMAI ~


SUDAH jatuh ditimpa tangga. Cuai sendiri, lalu menyusahkan diri sendiri. Dan itu yang aku lalui pada awal pagi ini.

Beberapa jam lalu, aku berada di lantai e@Curve atas urusan pekerjaan. Separuh malam sehingga larut ke awal pagi. Hari sudah memasuki tarikh baru, aku sedaya upaya memendekkan urusan dengan pelbagai helah, dan lolos.

Mundar-mandir, hulu hilir. Beberapa kali menyelongkar, membuat ingat. Peluh sudah membasah. Jam hampir menunjukkan ke satu pagi. Tidak berkelibat satu manusia pun di situ. Degup jantung semakin laju.

"Kena bayar denda RM30.."
"Tak ada cara lain?"
"Ermm.. macam nilahh.. bagi saya RM20 dan saya akan cuba.."
"OK, tak apalah, saya bayar denda RM30".

Yaa.. kehilangan token parkir yang menyesakkan dada.

Sebaik lolos sempurna, kala unta hitam menuju ke laluan utama, tiba-tiba tumpu hilang bertempiaran.Jalan yang baru siap pembinaannya itu dan menjadi laluan pertama kali buatku, memberi keliru yang banyak. Lalu tersasar arah entah ke mana di tengah pekat malam yang gelap menanti embun membuat singgah.

Marah, takut, gusar, malu.

Mencari arah dengan getar rasa yang bukan sedikit telah membawa aku menikmati panaroma awal pagi yang dingin menggigit. Mujur sahaja, aku dikasihankan lalu kurang lebih satu jam, di atur ke pangkal arah.


[Cuai diri. Dan aku belajar itu..]

Thursday, April 12, 2012

~ SEKADAR MENJENGAH MIMPI ~


Setelah berakhir projek amal untuk anak-anak yatim yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa di kampusku minggu lepas, barulah aku dapat bernafas sedikit. Ibu juga asyik merungut dengan kesibukanku hingga kadang-kadang langsung tidak sempat bertemu muka dengannya. Aku akui hubunganku dengan ibu terlalu rapat berbanding dengan abah. Sarah selalu menyuarakan rasa cemburunya melihat keakrabanku dengan ibu, bukan sahaja sebagai hubungan anak dan ibu tetapi lebih dari itu. Ibulah teman, ibulah guru dan ibulah segala-galanya. Sayangku pada ibu tidak dapat dizahirkan degan kata-kata. Itu hakikat.

“Mak Piaaahhhhhh...”

Aku menyergah Mak Piah dari belakang sambil mencuit pinggangnya. Apa lagi, terkejutlah orang tua itu sambil mulutnya tidak henti-henti meleteriku. Namun, apabila melihat aku tersengih sambil duduk di sisinya, terus dia tersenyum dan mencubit pipiku. Itulah sikap Mak Piah, suka memanjakanku. Selain Ibu, Mak Piah adalah orang paling memahamiku. Kata ibu, sejak aku berusia dua tahun lagi, Mak Piah telah bersama kami sekeluarga. Kehidupannya yang sebatang kara itu membuatkan dia memilih untuk terus bersama kami.

“Lain kali jangan buat macam tu lagi tau. Silap haribulan terus mati terkejut Mak Piah nanti,”
ujarnya sambil menghulurkan segelas jus kepadaku.

“Alaa.. Mak Piah ni gurau sikit pun tak boleh... Macam guru besar pulak,” balasku menguntum senyum tanpa sedikit pun rasa bersalah.
“Ibu mana Mak Piah ?”

Belum sempat Mak Piah membuka mulut, terdengar suara ibu memberi salam dari ruang depan. Melebar senyum ibu melihat aku ada di rumah. Terus ciuman kasih ibu singgah di pipi kananku. Sejak sebulan yang lalu, jarang sekali aku berada ke rumah pada waktu-waktu begini. Kesibukanku dengan aktiviti di kampus begitu menyempitkan ruang untuk aku berduduk-bual dengan ibu, abah jauh sekali.

“Awal ibu balik hari ni,” tegurku sambil menarik kerusi di sebelahku untuk ibu.
“Laa.. awal apa pulak. Macam biasalah ni. Mel tu yang selalu balik rumah lewat, sampai dah tak tahu nak bezakan siang dan malam ye,” Ibu mengenakan aku balik.
Aku hanya menyengih mengakui kesilapan sendiri.

Aku sebenarnya bernasib baik kerana dilahirkan dalam keadaan yang serba cukup, serba sempurna. Walaupun tidak mempunyai adik-beradik lain, hidupku begitu sempurna dengan kasih ibu, begitu lengkap dengan sayang abah. Itulah yang selalu diperkatakan Mak Piah kepadaku.

"Yaa.. semua itu ada benarnya…" getusku tiba-tiba.

Entah mengapa tiba-tiba aku terfikir tentang keberuntunganku. Berbanding Sarah, hidupku begitu berbeza. Sarah dan adik-adiknya membina hidup tanpa kehadiran seorang bapa di sisi mereka. Segala-galanya tergalas di bahu ibunya membuatkan Sarah kadang-kadang cuba membantu dengan membuat kerja sambilan sebagai jurujual di sebuah kedai buku.
"Hellooo… excuse me, jangan nak suka-suka hati yaa. I yang berjam-jam tunggu teksi kat sini, you pulak yang senang-senang nak naik, ” aku menjadi marah apabila seorang lelaki tiba-tiba meluru masuk ke dalam teksi yang berhenti di depanku.

"Hello saudari, jangan nak suka-suka hati sound saya yekk. Awak berjam-jam tunggu tapi awak tak tahan teksi ni kenapa? Saya yang tahan, sayalah yang naik,” balasnya sambil tersengih dan terus menutup pintu teksi.

“Lain kali, kalau nak berangan tunggulah balik rumahlah,” sambungnya lagi sambil ketawa kecil.

Entah apa yang kelakarnya pada dia, aku sendiripun tak tahu. Sakit betul hati aku. Menunggu begitu lama, dah dapat orang lain pula yang naik. Aku sampai 15 minit lewat ke kelas Cik Aishah. Semua mata tertumpu kepadaku. Aku terus menuju ke kerusi di sebelah Sarah.

Cik Aishah memandangku persis aku melakukan jenayah berat. Sebelum kelas berakhir, Cik Aishah mengingatkan kami agar menyerahkan tugasan sebelum pukul 10 pagi esok dan kalau lambat, tugasan kami akan dianggap mengganggunya. Aku tahu kata-kata itu ditujukan kepadaku. Walhal inilah kali pertama aku lambat ke kelasnya. Itupun kerana keretaku rosak sejak dua hari yang lepas.

Kemarahanku kembali menyala dengan menjadikan lelaki tadi sebagai penyebab. Sarah tergelak kecil melihat mukaku merah padam menahan kemarahan.

“Jom pergi minum. Siram sikit apa-apa yang panas tu,” Sarah menarik tanganku sambil tersenyum.
“Kalau ye pun, muncung tu janganlah sampai ke Singapore,” sambungnya lagi memilih meja yang paling tepi.

" Haa.. kat sini ok, baru clear nak dengar suara Abby Fana kan,” ujar gadis berlesung pipit ini lagi sambil mengarahkan matanya ke arah radio di sebelah meja kami.

Aku hanya menjeling tindak-tanduk Sarah dan dia tahu aku memerhatikannya.
“Mel kau tahu tak, muka kau tu kalau marah macam adik aku yang tengah berebut TV kat rumah tu. Cute sangat, macam cendol basi. " Sarah menggiat lagi. Terus aku menjenggilkan mata kepadanya yang dari tadi asyik tersengih macam kerang busuk.

“Aku geram betullah dengan Cik Aishah tu. Macamlah aku ni selalu datang lewat, hari ni je. Tu pun pasal mamat lipan tu,” aku meluah rasa.

Sarah hanya menggelengkan kepalanya mendengar ceritaku. Seronok sangat dia ketawa, macamlah apa yang aku cerita tu suatu yang melucukan.

Sebaik sahaja sampai di depan rumah, kelihatan sebuah kereta yang bernombor pendaftaran Singapura megah menyinggah di situ, yang pastinya bukan dari kenalan aku.

“Kawan ibu kot..” aku meneka sendiri. Setahu aku, kenalan abah tidak pernah sampai ke rumah ini kecuali hari raya.

Aku memberi salam menghormati tamu yang datang. Salamku disambut tetapi aku merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena. Wajah ibu suram, abah juga juga begitu. Hanya kedua tamu itu sahaja yang menghulur senyum kepadaku, terutamanya wanita lewat 40’an itu. Aku pasti, lelaki disebelahnya itu mungkin anaknya.

Mataku terarah pada ibu, wajah ibu tidak memberi sebarang reaksi. Lagak mereka seolah sedang berdiskusi tentang masalah negara yang begitu berat. Abah memberi isyarat dengan matanya agar aku menyertai mereka.

Aku akur dan duduk di sebelah wanita tadi memandangkan hanya kerusi itu sahaja yang kosong. Lagaknya yang asyik memerhatikan aku dari atas ke bawah menyebabkan aku tidak senang duduk. Malah, aku bertambah tidak senang duduk apabila mengetahui tentang apa yang mereka diskusikan dari tadi. Kenyataan itu padaku hanya satu gurauan yang menyakitkan hati.

Sejak seminggu yang lalu hatiku diamuk resah yang berat. Menelan sesuatu yang dikatakan hakikat walaupun kebenarannya cukup kuragui. Semalaman aku tidak dapat melelapkan mata. Memikirkan bagaimana harus kuhadapi kesuraman yang bakal bertamu di mahligai indah yang telah menjadikan aku hidup selama ini.

Marah, geram dan sedih bersatu dibenakku. Sesungguhnya ini semua adalah satu kejutan buatku. Dan sehingga ke hari ini aku masih tidak dapat menerimanya. Kedatangan wanita itu telah meragut bahagiaku. Tangis ibu membuatkan nafasku sering terhenti. Resah yang menyimbah jiwa abah terasa kencangnya hingga sampai ke pipiku.

Terngiang-ngiang di telinga ini tatkala abah memperkenalkan wanita itu sebagai ibuku. Ibu kandung yang tidak pernah kukenali sehinggalah hari itu. Terus aku menarik tangan ibu memohon kepastian dan apabila ibu menganggukkan kepala, air mata deras membasahi pipi. Lagakku seperti anak kecil, menangis dan menghiba di sisi ibu. Ibu hanya membatukan diri, tidak memujukku seperti selalu. Namun, aku tahu di hati ibu juga sarat dengan tangisan yang menghujan.

“Aku benci dengan kenyataan ini,” tiba-tiba bibir menutur kata, penuh ikhlas.

Kecamukan hatiku terhenti dengan ketukan pintu dan panggilan Mak Piah yang bertalu-talu dari luar.

“Mel… Melissa turunlah makan. Kesian ibu, dari tadi lagi tunggu Mel,” pujuk Mak Piah dari luar. Aku diam membatukan diri beberapa ketika. Namun, kemudiannya merasa bersalah pula dengan tindakanku itu.

“Masuklah, pintu tak kunci,” jawabku pendek sambik membelek majalah pura-pura sedang membaca.

“Mak Piah tak tahu nak cakap apa. Mak Piah orang luar, tak patut ikut campur. Tapi Mak Piah tak senang hati tengok Mel macam ni, Mak Piah sedih tengok ibu Mel asyik menangis. Jangan salahkan dia Mel, dia tak bersalah. Terimalah kenyataan ini sebagai ketentuan dari Tuhan,”

“Sudahlah tu, kesian ibu... dari tadi lagi tunggu Mel. Sedihlah Mak Piah kalau Mel terus macam ni,” Mak Piah bertentang denganku, sedaya upaya memujuk hatiku.

Tidak sampai hati pula melihat hiba Mak Piah, aku mengendurkan degilku dan menurutinya turun ke ruang makan. Ibu segera menjengah senyum ke wajahku. Abah hanya berlagak biasa seolah tiada apa yang berlaku. Ibu segera menyendukkan nasi untukku. Aku hanya diam, menelan nasi di pinggan sekadar mahu menyenangkan hati ibu.

“Mel takkan pergi pada orang tu,” Aku tiba-tiba membuka mulut apabila melihat abah hampir selesai makan. Terus ibu mengangkat kepala dan menoleh pada abah menunggu reaksi.

Abah terdiam seketika, berlagak tenang sambil menghirup kopi segar Mak Piah. Aku menguis makanan yang masih bersisa di pinggan.

“Mel, abah sayangkan Mel dan langsung tidak terniat untuk melukakan hati Mel. Kerana sayangkan Mel yang membuatkan abah sanggup melarikan Mel dari mama setelah kami berpisah dulu. Bukan salah dia, bukan juga kerana ibu. Waktu tu, Mel baru berumur dua tahun, terlalu kecil untuk memahami semua ini. 17 tahun dia menjejak Mel. Abah sudah merasa terlalu berdosa pada dia Mel. Mel anak abah, tapi Mel juga adalah anak dia, anak kandung dia. Itu adalah kenyataan,” Abah tepat memandangku. Ibu masih berdiam seribu bahasa.

“Kalaupun abah dan ibu dah tak mahukan Mel pun, Mel takkan pergi pada dia. Mel boleh hidup sendiri,” keras bunyinya kenyataanku itu menyentakkan ibu yang dari tadi hanya berdiam diri.

“Sampai hati Mel cakap macam tu. Bukan itu yang ibu mahukan. Mel tetap anak ibu dan hanya Mel hidup ibu. Cuma kenyataannya mama Mel lebih berhak. Mel, jangan kita menghukum orang yang tidak bersalah.. " bergenang air mata ibu dalam bicaranya yang begitu sebak itu.

Sarah seperti menikus denganku sejak kuberitakan hal sebenarnya yang menimpaku. Dia tahu aku begitu keras dan degil orangnya. Namun, satu yang membanggakanku, dia adalah pendengar yang baik. Malah, boleh juga kalau disifatkan dia sebagai pakar kaunseling yang baik. Bukan sehari dua aku mengenalinya. Lantaran itulah aku tidak mampu menyimpan rahsia dengannya.

“Mel, aku tak rasa apa yang kau buat ini betul. Aku tahu bagaimana rapatnya hubungan kau dengan ibu kau. Betapa sayangnya dia pada kau walaupun kau bukanlah anak kandungnya. Tetapi hakikat yang satu itu tak siapa dapat nafikan. Mama kau lebih berhak,” Sarah bersuara, agak perlahan sampai ke telingaku.

“Semua orang nak bercakap pasal hak.. bagaimana pula dengan hak aku?” aku membalas dengan nada yang sedikit keras. Sarah terdiam.

“Tapi mama kau tidak bersalah. Bukan dia tak mahukan kau dan bukan dia membuang kau. Keadaan yang memisahkan korang. Kalau dia tak kisah, takkan dia mencari kau sampai bertahun," Sarah cuba mengendurkan keadaan. Tiba-tiba telefonku berdering, dari ibu.

“Mel, ibu sekarang kat airport, nak berlepas ke Tokyo. Demi Allah.. bukan ibu melarikan diri dari masalah.. tapi ibu tahu, Mel sukar untuk membuat keputusan kerana adanya ibu,” suara ibu kedengarannya begitu jauh.

Aku hanya berdiam membiarkan air mata menghujani diri. Air mata yang begitu mahal untuk gadis degil sepertiku.

“Mel tak anggap ia sebagai satu pengorbanan ibu...” pedas bunyinya kenyataan itu. Aku benar-benar tidak berniat untuk melafazkan kata-kata itu pada ibu. Aku tahu ia mengguris hati ibu. Ibu hanya membisu sebelum berpesan agar aku segera menemui mama. Ada esak tangis di hujung bicara itu. Bicara yang tidak disahut olehku.

Sarah yang berada di sisi memegang bahuku, cuba menenangkanku tatkala melihat aku buat pertama kalinya aku beresak tangis di depannya.

“Sabarlah Mel.. kau duduk jelah kat rumah aku kalau kau rasa mahu bertenang seketika dari kejutan ini,” Sarah bersuara.

Menurut Mak Piah, semalam sudah dua kali mama datang mencariku di rumah. Katanya, dia akan pulang ke Singapura lusa dan menerima seadanya kalau aku benar-benar menolaknya. Namun, pintanya hanya satu untuk bertemu denganku sebelum berangkat pulang. Aku langsung tidak terasa apa-apa dengan berita itu.

“Baguslah kalau macam tu. Pesan kat dia, jangan datang sini lagi,” aku memberikan reaksi pada Mak Piah.

“Melissaaa...” Mak Piah seperti kurang senang dengan jawapan itu.

Perlawaan Sarah aku tolak dengan baik. Tidak elok rasanya menyandar beban pada mereka sekeluarga. Biarlah apapun yang berlaku, aku redah sajalah. Kata Mak Piah juga, saban hari ibu menelefonnya bertanyakan khabarku.

“Kenapa ibu tak call Mel?” Pertanyaanku tidak dijawab Mak Piah. Sebaliknya mengalihkan topik perbualan.

“Mel, dia cakap dia adik kau. Dari tadi lagi dia tunggu, ada hal katanya,” beritahu Sarah sebaik sahaja aku meletakkan tesis Kak Ina yang ku pinjam sebentar tadi.

“Adik aku?? Oo budak tu.. macamana dia boleh cari aku sampai kat sini?” tidak syak lagi, lelaki yang pernah datang bersama mama ke rumah tempohari. Melihat kelibatku, dia terus mengukir senyum dan duduk di depanku tanpa dijemput.

“Tak apalah Mel, aku pergi jumpa En. Iman dulu, nanti kita jumpa kat foyer yekk.. " Sarah cuba memberi ruang kepadaku.

“Kenapa cari saya sampai kat sini? Kalau setakat nak bagitahu awak nak balik esok, saya dah tahu. Semoga gembira sepanjang berada disini,”

Aku berkata tanpa sedikitpun rasa bersalah. Dia hanya memandangku kosong dan kemudiannya menggelengkan kepala lalu disusuli dengan senyum yang agak sinis. Perlakuannya itu menyakitkan hatiku.

“Kak Melissa... kalaulah saya tahu akak begini orangnya, saya takkan tolong ibu cari akak. Tak sangka pulak saya ada kakak yang tak tahu berpijak di bumi yang nyata macam ni,” Belum sempat aku membuat kenyataan balas, dia terlebih dahulu memberi isyarat agar aku memberi peluang kepadanya menghabiskan kata-katanya.

“Saya hanya nak memberitahu akak satu perkara. Mama cari akak bukan kerana nak mintak apa-apa dari akak. Cuma dia nak sangat jumpa anak kandungnya yang hampir 17 tahun terpisah darinya sementara hayatnya masih ada. Selama beberapa tahun ini hidupnya tidak keruan, menjejak akak tanpa jemu. Sudah beberapa kali kami datang ke Malaysia, cuma kali ini baru dapat bertemu dengan akak. Tapi tak sangka pulak begini jadinya,” kata-kata Harris mengundang tanda tanya kepadaku.

“Mama sekarang ada Gleneagles Hospital. Kalau akak nak jumpa mama, saya boleh bawakan. Jangan cakap saya desak atau paksa akak. Saya sekadar memaklumkan agar tidak merasa bersalah pada diri sendiri kelak,” tenang Harris menuturkan bicaranya.

Aku terdiam, membatukan diri untuk beberapa ketika sebelum menganggukkan kepala tanda setuju. Keliru. Aku seperti tidak sempat berfikir apa-apa. Setibanya di hospital, aku amat terkejut melihat ibu ada di sana.

“Abah ada kat luar, tengah discuss dengan doktor,” ibu memelukku erat. Melepaskan rindu setelah hampir seminggu tidak bersua. Tanpa dipinta aku terus duduk di sisi mama dan menggenggam erat tangannya.

“Sudikah terima buah pinggang saya untuk menjadi sebahagian daripada diri mama? Aku sendiri tidak tahu bagaimana aku boleh menuturkan kata-kata itu. Apapun, ia lahir dari keikhlasan hatiku,”

Mama tersenyum hiba sambil menarikku agar lebih hampir kepadanya. Aku merasa gegar hati dengan situasi ini.

“Mama datang cari Mel bukan kerana mahu mengambil apa yang ada pada Mel. Mama sudah cukup bahagia bila Mel sudi panggil mama. Sudah lama mama menunggu saat ini Mel. Hasrat mama sudah tercapai, mama senang,”

Mama mengukir senyum pada abah yang tiba-tiba ada di sisi katil. Senyum juga untuk ibu tanda terima kasihnya. Situasi ketika itu benar-benar mengharukan. Namun....


(bersambung…)

[Ter-jumpa sabahagian draft novel yang maseh di-dalam simpanan sejak be-berapa tahon dulu..]

Wednesday, April 11, 2012

~ SETELAH TIGA KALI.. ~


MELIHAT air mata, mendengar cerita, dan.. merasa deritanya. Tuhan itu menguji hambanya atas kemampuan. Tabahlah melalui sebahagian kehidupan yang mungkin tidak menyebelahi. Doa kesejahteraan untuk kamu dan anak-anak.

[Dan, aku benar-2 maksod-kan itu..]

Tuesday, April 10, 2012

~ PADA SUATU KEJELASAN ~

AKHIRNYA persoalan yang tinggal menjadi tanda tanya sejak Januari lalu, terjawab hari ini. Cerita kehidupan sahabat Mei sering melorongkan aku pada satu pandangan baru terhadap sesuatu.

Dan cerita baru membuat singgah pada pertemuan sebentar tadi. Aku mengangguk perlahan. Mengangguk pada satu kejelasan. Dan itulah hakikat.. cerita kehidupan yang ada kalanya jauh terkeluar daripada apa yang kita jangkakan. Lalu, masing-masing berhak di atas pilihan.

Dari bunga tanjung ke himpunan anggerik. Moga ada energi baharu yang melorongkan semangat positif untuk hari-hari esok.

[Pada sa-buah ke-perchayaan..]

Monday, April 09, 2012

~ DAN, ITULAH TAKDIRNYA ~

(Kredit Foto: Filem Ombak Rindu)

"Aku dah kahwin.."
"Haa..?"
"Yaaa.. kahwin. Dah kahwin dengan dia.."

Aku benar-benar terkejut dengan perkhabaran ini. Bukan kerana tidak gembira dengan berita yang telah lama aku tunggu dari sahabat yang seorang ini, namun bagai tidak percaya ketetapan hati mereka sampai ke situ juga akhirnya.

Dek berdepan segala rintangan dan halangan yang membuat rentang, sahabat ini akhirnya memilih untuk berkahwin di sempadan hujung Februari lalu, saat menyambut hari ulang tahun kelahirannya.

"Sorry, baru sekarang sempat bagitahu.. tidak ada orang lain yang tahu pun sebenarnya. Aku dah tekad. Dan bersedia untuk berdepan dengan apa sahaja kemungkinan yang akan jadi selepas ini. Doakan aku, yaa!

Perbualan di corong telefon beberapa hari lalu itu benar-benar menangkap perhati. Betapa cinta itu tidak mengenal siapa, tidak juga gentar akan apa sahaja. Aku bersetuju untuk yang halal itu, tetapi aku tidak pernah menyokong hal penyelewengan pada hati.

Apapun, doa kesejahteraan untuk sahbaat ini. Mudah-mudahan kehidupan baru ini akan memberi lebih bahagia buat dirinya... :)

[Ajal, maut, jodoh.. pertemuan..]

Sunday, April 08, 2012

~ DAN BERSIMPUL SERATUS ~


"Tuhan sedang menguji kita...," kata-kata ibu terngiang di telinga.

Aku percaya kepada segala ketentuan Tuhan, aku percaya ada hal yang lebih manis menanti kami kelak. Mudah-mudahan kami mampu bertahan dan melalui semua ni dengan berlapang dada.

Suku tahun pertama 2012 benar-benar menguji kami. Sederet kacau bilau membuat singgah. Membuat ayah terduduk, membuat ibu tergamam, membuat aku terdiam.. membuat adik dan kakak menangis panjang.

Apa yang kami pertahankan itu terlepas juga. Dan, dengan kejam. Hal jarang yang menjadi kenyataan, dan bukan lagi igau. Yaa.. kenyataan yang harus ditelan. Biat kelat, biar mudarat.

"Jangan putus berdoa, agar hal-hal luka ini beransur jauhhhh tinggalkan kita," getus kakak saat kami bertangis-tangisan beberapa hari lalu.

Aku menadah wajah ke langit. Memohon simpati pada sang bintang yang memerhati. "Lihat aku.. lihatlah aku bintang..."

[Dari sini ke-bintang-2]

Saturday, April 07, 2012

~ AKHIRNYA AKU KAHWIN ~


TAJUK: Akhirnya Aku Kahwin
KARYA: Herna Diana
CETAKAN: Pertama, Kedua (2011) & Ketiga (2012)
PENERBIT : Alaf 21 Sdn Bhd
HALAMAN: 481
HARGA: RM19.90

“Didi, gadis comel yang periang. Dia tidak pernah kisah dengan pandangan orang lain yang sering memperlekehkannya. Baginya dia tidak peduli semua itu asalkan tidak menyusahkan orang. Sebagai seorang insane, dia punya keinginan untuk mencinta dan dicintai. Dia tidak pernah jemu menanti cinta sejati walau hatinya sering dipermainkan..”


[Dan.. bila tiba sa'at-nya..]

Friday, April 06, 2012

~ DI SEBELAH PANTAI TIMUR SEMENANJUNG SANA ~


KURANG lebih lima belas minit, aku akan menghala ke pantai timur semenanjung tanah air. Kini semakin menjadi kebiasaan memandu tanpa ganti untuk perjalanan kurang lebih lima jam untuk sampai ke kampung halaman ini.

Kali ini abang dan adik lelaki menurut serta. Namun melihat lelah panjang yang mereka lalui sepanjang hari yang penuh kalut ini, aku menawarkan diri untuk memandu penuh. Tidak sampai hati memberat kudrat mereka yang begitu menipis pada hari ini.

Aku mohon agar dilimpahkan kesejahteraan untuk kami seisi keluarga. Aku juga mohon agar tidak ada kekusutan lain yang membuat lingkar dalam seharianku buat ketika ini. Kerana saat ini, kami sedang berdepan saat-saat sukar.

[Cukop-2 sudah..]

Thursday, April 05, 2012

~ BILA KITA PERNAH ~


SEGALA apa yang diceritakan jari-jari di ruang yang sedang kamu tatap ini adalah kisah selingkar dunia sempit aku. Ada manis, pahit.. ada juga suka, luka dan segala satu rasa yang terbit dalam dalam sana.

Mungkin ceritanya boleh jadi menyenangkan, barangkali juga menjengkelkan. Aku tidak pernah menetapkan agar ia diterima sebagaimana apa.. Kerana, ia sekadar cerita tentang aku. Cuma yang aku pohon, usah dijadikan ia sebagai bahan cerca menurut penafsiran sendiri. Mohon sungguh-sungguh, dan aku benar maksudkan itu.

"Orang muslim yang mendoakan temannya secara diam-diam, akan disambut malaikat dengan berkata: Semoga untukmu juga.."

Dan, begitulah sebaliknya.

[Ambil sahaja peluru. Tembak teros tembos tepat ke-jantong-ku.]

Wednesday, April 04, 2012

~ MOHON ATAS DASAR PESAHABATAN ~


BICARA dari dalam sana,

"Jika kebencian kamu itu mengatasi segala-galanya, jauhilahhh.. dan berhentilah 'berkata-kata' tentang sesuatu yang menjadi 'kebencian' itu. Tinggal, buang, padam. Agar ia tidak menambah sakit hati kamu, juga tidak 'merosakkan' hati orang yang dimaksudkan kamu itu.."

[Aku, ma'af-kan kamu.. tidak perelu kita ber-temu cukop kau tahu..]

Tuesday, April 03, 2012

~ DAN, AKU... ~


MEMETIK kata-kata dari Imam Syafie,

"Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku. Sahabat yang baik adalah yang sering sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas aku mati. Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tidak luntur baik dalam keadaan suka atau duka. Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan selalu setia padanya. Kuhulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana aku akan berasa senang. Semakin ramai aku peroleh sahabat, aku semakin percaya diri..."

[Dan.. men-jaga nama-ku di-depan dan di-belakang..]

Monday, April 02, 2012

~ SUDAH CUKUP SUDAH ~


SUDAH CUKUP SUDAH
by nirwana band

Inikah caramu membalas cintaku
Kau nodai cinta yang ku beri
Inikah caramu membalas sayangku
Kau lukai sayangku untukmu.

Teganya kau menari diatas tangisanku
Kau permainkanku sesuka hatimu

Sudah cukup cukup sudah
Cukup sampai disini saja
Daripada hati gelisah
Cintaku kau balas dengan dusta

Sudah cukup cukup sudah
Cukup sampai disini saja
Daripada batin tersiksa
Lebih baik ku pergi saja

Tlah berulangkali kucoba mengalah
ternyata sabarku tak berarti untukmu

[Cukop-2 lah... mari sertai hidop yang tenang dan men-damai-kan menurot ingin masing-2..]

Sunday, April 01, 2012

~ TIDAK PADA KESEMPATAN SEMPURNA ~






(Foto-foto yang dibidik dari dalam kenderaan panjang yang melarutkan..]

HARI
terakhir di utara semenanjung tanah air. Memanjang langkah sehingga ke tanah Padang Besar, mencuri kesempatan. Hijau permandangan sepanjang merentas perjalanan ke hujung sempadan itu amat mencuri tumpu. Kalaulah... ya akalaulah ada kesempatan yang sempurna untuk membidik lukisan indah ini, pasti menjadi hal yang tidak terlupakan.

[Ter-kenang insiden 'April Fool' be-berapa tahon sudah..]