Saturday, March 31, 2012

~ CINTA YANG KU RASA ~


TAJUK: Cinta Yang Ku Rasa
KARYA: Anis Ayuni
CETAKAN: Pertama (2011) & Kedua (2012)
PENERBIT: Alaf 21 Sdn Bhd
HALAMAN: 637
HARGA: RM25.00

“Aku mencetus situasi dan reaksi yang menekan perasaanmu agar kau membenci. Hakikatnya Laila… aku mengoyak hati sendiri..”


[Dan... mohon di-meng-erti..]

Friday, March 30, 2012

~ UTARA SEMENANJUNG TANAH AIR ~


SEPATUTNYA aku saat ini berada di pantai timur semenanjung tanahair. Hal yang kini menjadi rutin setiap minggu untuk beberapa ketika terkebelakang ini lantaran keadaan ibu yang merisaukan.

Namun atas urusan pekerjaan yang mendesak, tidak dapat tidak, aku kini berkelibat di utara semenanjung tanah air sehingga Ahad ini. Bersama beberapa rakan yang turut sama memberi komitmen penuh kepada amanah yang bergalas di bahu.

Kami menempuh perjalanan yang panjang, lebih dari perjalanan biasa. Bermula jam 10.20 pagi, sehingga sembilan jam kemudiannya. Dan usai menyempurnakan urusan penginapan, kami terus ke lokasi perlu untuk urusan yang dipertanggungjawabkan.

Kudrat yang hanya sekerat ini memapah lelah yang bukan sedikit. Hampir malam menutup hari dan tarikh bertukar angka, kami masih menadah langit.

Telefon bimbit bergetar. Teman jiwa menuntut janji. Lalu hatiku tersorot ke sayup bintang. Mohon mengerti.

[Mahu mem-bidik bintang yang sering men-churi pandang..]

Thursday, March 29, 2012

~ KEPANIKAN DI MENARA BERKEMBAR ~



SEPARUH hari aku berada di sana. Melewati ruang-ruang kegemaran sebelum akhirnya leka pada gedung pembacaan tersohor di situ. Segala-galanya baik-baik sahaja tanpa ada yang menguis curiga.

Kurang lebih jam enam, aku meninggalkan menara berkembar yang menjadi mercu tanda kebanggaan suluruh rakyat tanah air itu. Baru sahaja menelusuri keluar parkir sejarak 200 meter atau lebih, telefon bimbit menyala tanpa henti. Tidak sempat aku sambut lantaran tumpuan penuh kepada perut jalan jalan yang agak sesak ketika itu.

Berdepan Holiday Villa yang tersergam indah, aku berselisih dengan dua buah trak bomba yang meluncur dengan laju yang keras meminta diberikan laluan. Telefon bimbit menyala lagi. Beberapa teks menyusul.

Sebaik tiba di rumah dan merehatkan unta hitam, barulah aku punya kesempatan untuk membuka telefon bimbit. Rupa-rupanya. panggilan yang bertalu dan teks yang bersusun masuk ke skrin tidak lain, tidak bukan untuk bertanyakan keadaanku setelah perkhabaran menara berkembar terbakar telah tersebar luas di ruang maya.

Kebetulan rakan-rakan ini tahu keberadaanku di sana kerana terdahulu sebelum itu, aku telah menaikkan status di laman facebook berkongsi tentang itu.

Aku baik-baik sahaja.. :). Malah saat aku berada di sana, situasinya masih baik-baik tanpa seincipun petanda kecurigaan. Insiden panik itu terjadi saat aku meninggalkan lantai menara kembar itu.

[Mau me-lihat dan mem-bidik atoran hirok-pikok kota dari atas jambatan yang meng-hubong-kan dua menara ter-tinggi ini..]

Wednesday, March 28, 2012

~ PILIH ~


PILIH

Titik kasar itu menerjah
Nyaring membuat bingit
Tumpu jadi berbagi
Pada resah yang indah

Basah dengan rintik bunyi
Aku cuba memayung rasa
Kutip satu-satu
Biar teduh

Usah dibohongi hati
Carik jadi cebis
Titik kasar itu harus jadi indah
Jika diterima dengan indah
Bingit itu jadi ketakutan
Andai ditadah dengan takut

Dan,
Aku memilih indah
Aku memilih takut

[Me-mileh salah pada kebetulan..]

Tuesday, March 27, 2012

~ KERANA BISU ~

AKU memilih tangga daripada lift di lantai pekerjaan kerana mahu mengelakkan dari 'suasana' bisu yang merimaskan di dalam kotak besi itu.

Kotak besi di tempat pekerjaan ini menjadi tempat sang penumpangnya mencari informasi. Ramah mesra yang cukup merimaskan. Kesempatan beberapa minit di dalamnya itu digunakan sepenuhnya untuk mengorek cerita yang di luar urus pekerjaan.

Aku pula, pada mata mereka yang mengenali, seorang yang pembisu (dan sangat bertentang dengan bidang pekerjaanku saat ini). Lalu, suasana di kotak besi itu seringnya memaksa aku berpura-pura senang, walhal tidak. Dan aku tidak sukakan itu. Sungguh.

Bunyinya mungkin agak keterlaluan, tetapi ia benar untuk aku. Lalu, aku memilih untuk menuruni 22 anak tangga itu dari menjadi bukan aku di kotak besi itu. Hal yang bukan datang dari hati selalunya akan memberi hasil yang sangat menjengkelkan diri sendiri. Dan itu terjadi pada hari ini! Uuh... Koishieee!!!

[Ter-kenang cherita di-anak tangga saat maseh di-tempat pekerjaan lama..]

Monday, March 26, 2012

~ SEBUAH KENYATAAN ~

(Kredit Foto: Filem Chantek]

PUTUS cinta. Aku difahamkan oleh EJ tentang keadaannya. Dari seorang yang ceria, dia kini menjadi pemurung. Dari seorang yang suka bergurau-senda, dia kini menjadi baran. Tumpuannya kepada urus pekerjaan bertempiaran lari. Bukan seinci, tetapi berjauh jauh.

Benar, kata seorang teman. Lelaki kalau sudah putus cinta yang benar, situasi jauh lebih berat dari sang gadis.

Pernah punya kesempatan, aku mendengar isi hatinya. Tangisan mengisi ruang, lalu wajahnya jauh dipalingkan dari arah kami bertentang. Malu kerana ego lelakinya tercalar dengan laku itu.

Aku menggeleng-gelengkan kepala.

Si gadis yang dimaksudkan dia telah beralih cinta. Mahu kepada yang lebih ada. Cinta kepada lebih atas. Lalu janji lepas digadai. Tidak ada derita kerana yang diperoleh lebih menyedap mata.

Biar jelas ditolak kecurangan, lelaki ini masih mengharap. Meminta desak si ibu menghantar rombongan. Merayu-rayu lebih dari sebahagian hari kepada gadis yang ditumpahkan cinta. Hilang rasa, hilang tanggungjawab, hilang tumpuan dan hilang segala-galanya.

Aku memerhati dia dari jauh. Apa aku sendiri tidak mengerti soal cinta yang dia galas? Atau aku sukar memahami keinginan rasanya yang begitu berat?

Aku menggeleng-gelangkan kepala.

Hari ini, perkhabaran singgah di telingaku, lelaki ini ditamatkan perkhidmatannya sebagai penjawat awam kerana masalah disiplin yang berat. Yaa... segalanya bermula dari episod putus cintanya dengan si cinta hati.

[Belajar untok menerima kenyataan itu ada-lah hal yang paleng meng-uji, dan.. paling manis barang-kali..]

Sunday, March 25, 2012

~ JODOH ~


"Kami baru berkenalan dua bulan. Namun Tuhan permudahkan segalanya... inilah yang dikatakan jodoh. Dan saya sendiri tidak terfikirkan itu.."

KATA itu terngiang di telinga. Kata yang dituturkan seorang sahabat saat kami menutur bual selepas dia sah menjadi milik cinta hatinya petang semalam.

Aku melihat perhubunganku dengan teman jiwa. Lama kami kenal. Lama juga menumpah cinta dan kasih. Bukan sedikit, tetapi seluruh yang ada. Namun, kami masih begini. Masih tidak pada kesudahan yang diingin.

Ayah, aku mohon kamu mengerti. Tidak akan pernah aku memaling kerana kamulah yang mengenalkan aku pada dunia. Dan... lelaki sepet itu mengenalkan aku pada cinta.

[Nina simone meng-isi ruang empat segi ini dengan alonan Ne Me Quitte Pas..]

Saturday, March 24, 2012

~ BUKAN HANYA SESAAT ~


TAJUK: Bukan Hanya Sesaat
KARYA : Ainul Hazrah
CETAKAN : Pertama (2011) & Kedua (2012)
PENERBIT : Alaf 21 Sdn Bhd
HALAMAN: 532
HARGA: RM21.00

“Bergaduh-gaduh dan kemudian berbaik semula. Itulah rutin harian Maryam dan Arief. Apa sahaja yang tidak kena pada Maryam, akan diperlekehkan oleh Arief. Maryam bukan seperti yang disangkakan oleh Arief. Maryam seorang wanita yang penyabar dan sentiasa menjaga tatatertib sebagai Muslimah..”


[Meng-isi hidop]

Friday, March 23, 2012

~ PECAH ~


LEWAT petang tadi, aku dan rakan-rakan sepasukan dikejutkan dengan satu berita. Salah seorang daripada kami mendapat arahan dari pihak atasan untuk berpindah ke bahagian lain. Yang jauh bertentang dengan ruang lingkup tugasan kami saat ini.

Diam. Senyap. Aku percaya pihak pengurusan mempunyai alasannya yang tersendiri untuk tindakan itu. Pun begitu, jauh di sudut hati... aku berharap ia tidak berlaku pada ketika ini. Dan bukan kepada rakan itu.

Paling jujur, aku kurang pasti apa yang paling sebenar di rasa aku. Barangkali lega, kerana aku bukan dalam senarai itu. Barangkali juga sedih kerana kehilangan rakan pasukan yang telah banyak membantu dan bekerjasama dalam menyempurnakan tugasan.

Kehilangan. Dan aku mula rasai itu. Mungkin esok atau lusa tiba giliranku. Siapa tahu.

Kata mereka, pertukaran itu untuk menghasilkan yang terbaik. Namun tanpa sedar, mereka kadang-kala telah merosakkan yang telah sedia ada baik.

[Sa-moga ia menepat pada sasaran..]

Thursday, March 22, 2012

~ TIDAK BISU ~


KAMI pernah bertembung, beberapa kali. Tetapi tidak pernah ada bicara. Senyap. Sekadar bertukar pandang. Sesekali ada dengan senyuman. Tidak pernah lebih.

Namun siang hari tadi, entah bagaimana aturannya kami ditakdirkan menyebelah dan berkongsi satu ruang yang sama atas tujuan yang sama. Lalu dia membuat tutur. Pertama kali menyapa dan menutur jelas namaku tanpa ragu.

Aku memberi reaksi paling sederhana. Meski dalam hati mengusul tanya banyak bagaimana dia boleh menyebut dengan penuh yakin. Sedang kami tidak pernah ada urusan dekat. Seperti dapat membaca bicara senyapku di dalam sana, empat minit yang dia punyai itu diguna sebaiknya untuk menjelas kerutan di wajahku.

Lucu. Dan aku senyum. Senyum paling benar ingin senyum.

Sekali lagi aku diletakkan dalam kategori manusia yang paling berat tutur. Lalu ramai yang takut membuat dekat. Takut sama hilang bicara. Aku melepas tawa kecil. Tidak mengiyakan, tidak juga menidakkan.

Hakikatnya itu aku. Mungkin ia mendorong yang positif, mungkin juga tidak.

[Maseh lagi aku yang perenah kamu kenal pada sa'at per-tama mengenali..]

Wednesday, March 21, 2012

~ ENAM BELAS TAHUN ~


SAAT menyelongkar gerobok usang milikku yang telah lama tidak dipedulikan di rumah ibu baru-baru ini, aku menemui Talking Clock yang pernah menjadi kesayanganku suatu masa dulu. Jika tidak salah pada perkiraan, jam ini dihadiahkan kepadaku sempena menyambut hari ulang tahun kelahiranku pada tahun itu. Tahun 1996 barangkali... Yaa.. seusia itu. Siapa sangka masih sempurna fizikalnya dan mungkin ramai yang meragui apa benar sebanyak itu usianya.

Kurang jelas juga bagaimana ia boleh tercampak di geronok usang ini, sedang suatu waktu dulu ia merupakan barangan kesayangan yang akan dibawa ke mana sahaja aku pergi. Paling jujur, aku ini orangnya begitu terbiasa bangun pagi dengan dikejutkan ibu. Justeru kata sang pemberi, pemberiannya itu diharapkan dapat membantu aku untuk berdikari bangun pagi sendiri dan memulakan hari pada waktu yang sepatutnya tanpa menyusahkan ibu.

Aku telek-telek dan cuba untuk menghidupkannya kembali. Nahhhhhhhhh.. meski usianya menyamai remaja di usia enam belas tahun, jam yang aku gelarkan sebagai 'mummy' ini masih sedia memberi khidmat. Masih berfungsi baik dan merdu suaranya masih sama dan jelas seperti mana saat awal dia mendampingiku dulu. Ia mampu menutur suara manusia pada saat tepat dan benar mampu memaksa aku untuk bangun pagi.

Bahagia. Dan itu sungguh. Kembali akan mendapingi aku.

Cerita lalu silih berganti mengisi ruang fikiran. Berputar seperti cerita panjang yang mengisi panggung. Tanpa henti. Arghh.. kalaulah semua yang lalu-lalu itu mampu dimulakan kembali.

[Sakian lama kakak men-ambil aleh tempat ibu mem-bangonkan aku sa-tiap pagi..]

Tuesday, March 20, 2012

~ 朋友:PANG YAU ~



PANG YAU
by alan tam

Fan sing, lau tung
Wor nei, tung lou
Chung pat seong sik
Hoi chi sam jip kan
Mak mak yi jan ji toi yen

Yen sang, yue mung
Pang yau, yue mou
Nan tak ji sam, kei keng fung pou
Wai cheok ngor pat tui pun pou
Jing si nei

You you man hung
Tim tim sing kwong sik sik seong fan
Nei ngor nar par keng kik pou mun lou
Tai ngor kai hoi sam jung tik ku tan
Si sui ming pak ngor

Cheng kung leong sau
Yat hei hoi sam yat hei pei seong
Mei chi fan tam chung pat fan ngor wak nei
Nei wai liu ngor
Ngor wai liu nei
Kung foo wan nan chuit mong lui
Kan nap nei sau
Pang yau


I see my friend, you need a friend
To care for you
And be there for you
Till you're on your feet again

To be your friend
Through thick and thin
To understand lend a helping hand
That's the least that I can do
For you

Now anytime you've got a problem
I'll be there to help you solve 'em
You know oh
When you've got a friend by your side
You're not alone

And you know
That when you're feelin' brokenhearted
I'll be there to get you started again
My friend
You know I care so I'll be there
Now until the end of time
'cause you're a friend
Friend of mine

A friend in need, a friend indeed
I'll be the one you depend upon
You can always count on me
And win or lose
I'll stick by you
I'll try my best put me to the test
And I'll prove the rest is true
For you

[Dedikasi khas untok kamu.. dan kamu juga..]

Monday, March 19, 2012

~ UNTA HITAM ~


UNTA hitam membuat rajuk lagi. Marah mungkin kerana aku masih tidak mampu untuk memahaminya meski sudah beberapa tahun membuat damping.

Lalu, tersadailah kami di laluan paling bingit kurang separuh baki perjalanan ke lantai pekerjaan. Seawal awal pagi begitu (kurang lebih jam tujuh) tentu sekali rumah sakitnya masih belum penuh menguak pintu. Tanpa ada pilihan, aku harus menunggu mengikut ketetapan operasinya.

Meski sangat mengejar waktu untuk sampai tepat ke lantai pekerjaan, aku sedikit tenang hari ini. Lalu kewarasannya berlebih biasa. Malah aku memutus untuk menyelesai sendiri.

Benar, aku tidak begitu memahami unta hitam. Namun hari ini aku harus berdiri di atas kaki sendiri untuk satu hal yang perlu baharu. Dan, aku benar-benar melaku itu. Berhasil baik tanpa tangis sendu. Berakhir sempurna tanpa susah silu.

Terima kasih untuk kamu yang mengambil tahu, menghulur bahu untuk bantu. Aku hargai dengan seluruh.

[Ber-tubi unta hitam menerima uji. Apa ada janji?]

Sunday, March 18, 2012

~ SEKAKI PAYUNG ~


SEKAKI PAYUNG

Semalamnya langit tumpah
Dia memayungi kamu
Seluruh hari ini matahari tegak penuh
Dia juga memayungi kamu

Masih juga basah
Masih juga panasnya
Ya, iyalahh
Pada sekaki payung itu
Harus ditumpangi bukan hanya kamu
Tapi aku, mereka.. juga dirinya sendiri

Pejamlah sedikit yang tempias itu
Sekaki payung itu
masih memayungi kamu, bukan?
Bahagialah mahu, kalau mahu
Menderitalah jadi, kalau dideritai

Tadahkan tanganmu
Asal teduh,
Syukur.

[Dan, aku di-situ..]

Saturday, March 17, 2012

~ AWAK SUKA SAYA TAK? ~


TAJUK: Awak Suka Saya Tak?
KARYA: Melur Jelita
CETAKAN: Keempat (Januari 2012)
PENERBIT: Karya Seni Sdn Bhd
HALAMAN: 1056
HARGA: RM35.00

“Dengan kasih sayang Allah, tiada yang mustahil..”

[pada sa-buah bichara]

Friday, March 16, 2012

~ DARI DALAM UNTA HITAM ~


HARI yang agak kelam-kabut. Mengejar dan dikejar. Namun saat berada di persimpangan menghala arah ke menara berkembar yang sering mencuri pandang dengan cara yang tersendiri, aku sempat membidik. Ya.. dari dalam unta hitam saat lampu merah memberhentikan angan.

Aku melihat berkali-kali, tanpa jemu. Ada cerita lain di situ. Cerita mahal beberapa tahun lalu yang masih lekat kemas.

Ahh.. koishie, memangnya kamu seorang pemberat.

[Kembali mem-bidek..]

Thursday, March 15, 2012

~ TIDAK PERNAH SAMPAI SEMPURNA ~


SETELAH hampir setengah tahun (yaa.. pantasnya waktu berlalu) aku menyimpan kemas, luka dalam persahabatan itu kembali dibongkar.

TJ: Luka?
AKU: Sangat dalam.
TJ: Sedih?
AKU: Tiada pada perkataan.
TJ: Ermm.. yang hilang bukan mutiara.
AKU: Tidak duduknya, tetapi caranya.
TJ: Kalau dia ada dengan harga, dia takkan buat awak macm tu!
AKU: Dia kawan baik saya. Titik.

Perbualan itu habis di situ. Dan sememangnya perlu habis di situ. Tidak mahu lagi mengingat. Sakit.

[Aku juga tidak perenah sampai semporna, ta-tapi maseh waras untok tidak me-mileh begitu..]

Wednesday, March 14, 2012

~ KERANA ITU ~


KERANA ITU

‘Kerana itu aku cinta’
Perlahan aku bilang
‘Kerana itu aku ragu’
Hampir senyap dia balas

Pertentangan itu jadi harga
Singkap ruang kosong kami
Cantik meski ada tampal

‘Kamu itu sepet!’
‘Kamu itu bisu!’
‘Lelaki sepet!’
‘Perempuan bisu’

Luarnya pada langit dan bumi
Sedang hati
Umpama bulan membuat dekat
Itu kita,
Itu kau dan aku…

[Manis..]

Tuesday, March 13, 2012

~ MASKARA MAC 2012~


EVENT: Maskara Makwe Makwe
TARIKH: 31 Mac 2012
HARI: Sabtu
MASA: 8.00 Malam
TEMPAT: Rumah Pena, Jalan Dewan Bahasa dan Pustaka
PERSEMBAHAN: Ana Raffali, Rebecca Ilham, Hani Salwah, Ijah Amran, Aishah Nur Hakim, Fai Zakaria, Aida Kamsuri dan Cikgu Vee @ Ramlah
TIKET: Masuk percuma

SEJAK sekian lama, aku menjadi antara yang setia mengunjung Rumah Pena untuk acara ini. Mendengar puisi, mendengar cerita dan mendengar suara anak-anak muda yang punya jiwa besar dalam memperjuangkan hal seni menurut faham mereka.

Di sini aku kenal saudara Meor, Taheera Roshana, Fynn Jamal dan sekian nama hebat lainnya yang mungkin agak jarang atau tidak pernah dilihat muncul mereka di dada akhbar. Tahniah untuk sang penganjur, Sindiket Sol-jah.

Sehingga hari ini, aku masih dengan rasa teruja untuk mendampingi MASKARA.

[Ber-seliseh bahu dengan kawan-2 yang kita suka..]

Monday, March 12, 2012

~ MENIKUS ~


MASIH di pantai timur semenanjung tanah air. Masih dengan hal-hal seputar yang membuat diam yang besar. Seluruh kami.

Tidak jauh dari sudut jari-jari ini bercerita, aku melihat kelibat ayah. Sendiri di kerusi kegemarannya sambil mengepul asap rokok ke udara (entah bila dia kembali merokok setelah lama berhenti semenjak disahkan mengidap sakit jantung). Jauh dilihat fikirannya mnejelajah.

Lamunannya itu terhenti saat mendapat satu panggilan telefon. Suara ayah meninggi, sama tinggi dengan bunyi deru enjin motorsikal jiran sebelah yang sedang ayik membetulkan kenderaan dua rodanya itu. Muka ayah kemerahan, menahan marah.

Dan seperti selalu, seisi rumah akan menikus. Aku diam, adik diam, si kecil juga diam. Seolah tidak menangkap dengar bunyi atau melihat reaksi.

Itu ayah. Masih ayah yang dulu-dulu. Baran, pemarah, tegas, pemberani... tetapi dalam masa yang sama besar dengan kasih sayang. Yaa, dengan caranya yang tersendiri (yang kadang kala sukar dimengertikan).Kata ayah kata pemutus. Sejak dulu. Aku faham, adik faham dan kami semua faham. Jangan sekali membantah.

Aku menyandarkan badan. Menutup mata. Namun masih kedengaran marah yang belum habis. Entah siapa yang membakar rasanya pada saat-saat emosi terhambat begini.

Ayah..

[Menunggu..]

Sunday, March 11, 2012

~ KE HUJUNG KAKI ~


KE HUJUNG KAKI

Tap… tap… tap…
Hujung kaki meluah emosi
Begitu dan begini
Sepenuh rasa di situ
Apa bisa ada bicara?

Tap… tap… tap…
Bunyinya makin jelas
Hingga mampu hitung
Turun naik emosinya
Pada tenang wajah
Dalam redup pandangnya

Tap… tap… tap…
Satu, lukanya
Dua, tangisnya
Tiga, sedarnya
Semuanya ke hujung kaki?

Ya.

[Di-kasot merah..]

Saturday, March 10, 2012

~ TIADA LAGI MIMPI ~


TAJUK: Tiada Lagi Mimpi
KARYA: Sharifah Abu Salem
CETAKAN: 1 (2005), 2&3 (2006), 4 (2007), 5&6 (2009), 7 (2010) dan 8 (2011)

PENERBIT: Alaf 21 Sdn Bhd
HALAMAN: 545
HARGA: RM19.90

“Mimpi indah tak semanis realiti walau betapa pahit pun ia…”

[Dan... kalau-lah mimpi itu mampu di-pileh..]

Friday, March 09, 2012

~ LANGIT MERAH ~


SEAWAL membuka mata sehingga saat jari-jari ini membuka cerita di sini, kudrat terhambat keras. Seharian yang dilalui dengan seluruh fizikal dan emosi. Bukan hanya aku, tetapi seluruh kami seisi keluarga.

Aku sangat jarang menangis. Jarang. Hanya kala bersituasi kemarahan yang menghentak rasa dengan keras. Namun, saat separuh hari di siang hari tadi hati benar-benar menjadi sebak. Terusik. Lalu tumpah. Tiada mata yang menjadi saksi, hanya aku.

Semoga Tuhan merahmati.

Kami menerima dengan seluas hati berlapang dada. Hari-hari esok itu mudah-mudahan menjadi lebih tenang. Namun bagaimana aku?

[Dengan kosong.. dan sunggoh.]

Thursday, March 08, 2012

~ ANDAI KU TAHU ~


ANDAI KU TAHU
by ungu

Andai ku tahu, kapan tiba ajalku,
Ku akan memohon,
Tuhan tolong panjangkan umurku,

Andai ku tahu, kapan tiba masaku,
Ku akan memohon,
Tuhan jangan kau ambil nyawaku,

Aku takut.. Akan semua dosa-dosaku,
Aku takut.. Dosa yang terus membayangi ku.

Andai ku tahu,
Malaikat mukan menjemputku,
Izinkan aku,
Mengucap kata taubat pada mu.

Aku takut.. akan semua dosa-dosaku,
Aku takut.. dosa yang terus membayangi ku.

Ampuni aku dari segala dosa-dosaku,
Ampuni aku menangisku bertaubat padamu.
Aku manusia yang takut neraka,
Namun aku juga tak pantas di syurga.

Andai ku tahu, kapan tiba ajalku,
Izinkan aku,
Mengucap kata taubat padamu.

Aku takut.. akan semua dosa-dosaku,
Aku takut.. dosa yang terus membayangi ku.
Ampuni aku dari segala dosa-dosaku,
Ampuni aku menangisku bertaubat padamu..



[Dan.. andai itu yang ter-tules..]

Wednesday, March 07, 2012

~ MENGHALA KE PANTAI TIMUR SEMENANJUNG TANAH AIR ~


AKU dipanggil pulang ke pantai timur semenanjung tanah air. Kondisi kesihatan ibu yang menuntut. Lalu aku tanpa pilihan harus keluar dari radar lantai pekerjaan untuk beberapa hari. Entah berapa hari.

Kakak berlepas lebih awal, petang hari semalam. Aku pula hanya dibenarkan untuk menghala langkah pada awal pagi ini setelah kudrat berbaki separuh untuk hal arwah sahabat di hala utara semalam.

Menurut. Kerana aku tidak akan pernah tidak untuk itu.

[Ke-hilir hulu..]

Tuesday, March 06, 2012

~ PUTUS SUDAH KASIH SAYANG ~

AL FATIHAH.

KURANG lebih jam sepuluh malam tadi, telefon bimbit tidak henti menyala. Bertalu. Hingga akhirnya aku jengok, membaca dengan malas lantaran sedang bergelumang dengan urus pekerjaan yang diusung pulang ke rumah.

Terpempan. Apa benar berita yang baru sahaja diterima ini? Sedang beberapa jam sebelumnya aku menyebut-nyebut namanya pada seorang teman. Mendesak tahu khabar keadaan kesihatan dirinya. Dan... kurang lebih 9.50 malam tadi, dia menghembuskan nafas yang terakhir. Innalillah.. Al-Fatihah untuk sahabat yang punya senyum sebesar dunia ini. Semoga dipermudahkan perjalanannya 'ke sana' dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Tenang kamu bersemadi di sana. Amin.

Jika kamu pernah membaca entri sebelum ni, aku pernah menulis tentang keadaan kesihatan arwah awal bulan lalu. Tentang derita sakitnya. Dan, hari ini... arwah yang pernah menjadi rakan sejawatan sebelum berpindah kerjaya kurang lebih dua tahun yang lalu, telah pergi buat selama-lamanya.

Telefon bimbit terus menyala. Rakan-rakan keras menghubungiku bertanyakan kesahihan berita yang tersebar di alam maya. Teman jauh dekat, teman baru dan lama. Beratur. Aku menjadi bisu, masih dalam kebingungan saat itu. Dan ia membawa sehingga awal pagi. Antara percaya dan tidak. Antara mahu dan lepas.

Kurang lebih jam 9.30 pagi ini, aku dan beberapa rakan tidak berlengah membuat hala ke utara semenanjung tanah air. Mahu memberi penghormatan terakhir buat arwah yang kami sayangi. Aku memacu sendiri unta hitam beratus batu, walau sedar pada hakikat akan kudratnya yang hanya sekerat itu.

Setepat tiga selepas itu, kami tiba di rumah keluarga arwah. Sugul suasananya. Sebalik langkah pertama masuk ke ruang gema bacaan Yasin itu, mata terus menangkap sekujur tubuh kaku di ruang tengah. Ada degup kencang yang terus membuat damping. Aku tenang-tenang sahaja. Paling tenang.

Berkeliling manusia yang meratapi dan merelai pemergian arwah. Ada wajah kenal dan ada tidak. Aku mengalih perhatian agar mata tidak terus membuat tumpu pada sekujur tubuh kaku itu. Tidak ada kesedihan, tidak ada air mata. Tidak ada yang menekan emosi dengan keras. Aku menyertai mereka yang lainnya membacakan membacakan Yasin untuk arwah. Dengan baik, dengan tenang tanpa setitis air mata pun.

Namun saat di beri ruang menatap wajah arwah buat kali terakhir, pandangan tercuri pada suatu sudut. Bingkai gambar besar yang memperlihatkan wajah-wajah ceria kami satu pasukan ketika masih sejawatan dulu.. Foto itu dirakam kurang lebih tiga tahun yang lalu saat aidilfiti menjengah. Sempena perpindahannya, kami bingkaikan gambar itu sebagai hadiah cenderahati buatnya. Tidak sangka pula, dia memilih sudut itu untuk menempatkan cenderahati itu.

Aku hampir memejamkan mata. Hati menjadi saat basah. Pada foto itu, arwah ceria berada di sebelahku yang saat itu mengenakan kurung biru, dan dia segak berbaju Melayu ungu. Ada cerita lucu ketika itu. Lucu yang dicetuskan dia. Arwah memang dikenal sebagai seorang yang membuat dunia tersenyum dengan keceriaannya. Aku kira, semua kami amat menyenanginya untuk hal itu.

Kembali ke lantai pekerjaan lewat jam empat petang, aku masih paling baik kondisinya. Sementelah tenggelam dalam bingit cerita rakan-rakan yang bersambungan tanpa henti pada perjalanan pergi dan pulangnya. Mereka benar-benar mengalih tumpu.

Namun sebaik dalam perjalanan sendirian dari bandar anggerik ke bunga tanjung, aku mula menjadi seperti anak kecil. Melepas emosi yang tertahan keras. Satu demi satu. Malah kakak turut menjadi tempias luah rasa meski hanya di corong telefon. Dan dia mengerti... sebagaimana aku mula mengerti.

Betapa kematian itu tidak pernah menunggu walau sesaat. Tidak awal, tidak terlewat. Hari ini kamu dan aku bertepuk tampar, siapa tahu esok aku hanya tinggal nama. Dan bagaimana andai saat perginya aku itu dengan baki kebencian kamu? Atau sisa kemarahan kamu? Atau juga kejengkelan kamu terhadap aku?

Demi Allah, dari hati yang paling dalam.. Andai selama kamu mengenali aku melalui jari-jari yang bercerita ini atau pada dunia luarnya, aku ada membuat jengkel pada tingkah, membuat guris pada hati atau membuat luka pada rasa. Aku mohon kemaafan dengan seluruh hati. Sungguh.

[Ter-kenang sa'at aruwah me-maksa diri untok meng-ingat aku dan rakan-2 ketika per-temuan ter-akher kami se-bulan yang lalu..]

Monday, March 05, 2012

~ CUCI THE MUSICAL LAST KOPEK ~











KEMBALI dengan musim ketiga dan terakhir. Tidak banyak yang lainnya. Bagaimana dipersembahkan untuk dua pementasan yang terdahulu, begitu untuk musim ini. Baik jalan ceritanya, barisan perannya juga warna-warninya.

Malam kelmarin menjadi persembahan pembuka dan aku menjadi antara yang memenuhkan kerusi empuk di Panggung Sari, Istana Budaya itu. Jujurnya tiada ketarikan yang paling khusus membuat lekat. Cuma sesekali ketawa bila disuap lucu sang peran. Hanya itu. Mungkin kerana aku telah menonton dua musim yang terdahulu, lalu aku menuntut lain.

Namun untuk kamu yang masih belum punya kesempatan, mungkin mahu menjadi saksi sendiri. Pementasan berlangsung dari 3-18 Mac ini dengan harga tiket RM53, RM123, RM163, RM183, RM203 dan RM303 di kaunter Istana Budaya atau layari www.ticket2u.biz.

[Amat-2 menunggu pementasan P. Ramlee The Musical musim ke-tiga hujong tahon ini]

Sunday, March 04, 2012

~ TAK SEMANIS IMPIAN ~


TAJUK: Tak Semanis Impian
KARYA: Sharifah Abu Salem
CETAKAN: 1&2 (2003), 3&4 (2004), 5 (2005), 6 (2006), 7 (2007), 8 (2008), 9 (2010) dan 10 (2011)
PENERBIT: Alaf 21 Sdn Bhd
HALAMAN: 555
HARGA: RM19.90

“Mimpi yang tak menjadi nyata umpama burung tanpa sayapnya…”
[Me-mileh mimpi]

Saturday, March 03, 2012

~ TIGA JAM ~


ENTAH kenapa semenjak beberapa waktu terkebelakang ini, aku melihat diri sepertinya berkurang rasa sabar yang banyak. Menurut hati yang tertempias amarah. Dan, entah bila mulanya. Sedang itu bukan aku yang selalu.

Awal pagi semalam, aku berkejar ke satu lokasi atas urusan pekerjaan. Harus tiba tepat 10.30 pagi. Namun yang tidak terduga, perut jalan raya penuh sesak dengan manusia yang turut mengejar waktu. Lalu terperangkap aku di situ pada jangkaan yang jauh tersasar.

Menjadi tidak sabar, aku memilih laluan lain yang dirasakan pilihan bijak. Nahhh.. aku berdepan dengan pemandangan yang lebih menjengkelkan. Sudahnya aku terlewat lebih satu jam pada waktu yang seharus tepat. Melayan rasa marah seringnya menghasilkan lebih kemarahan. Tanggung.

Tidak mahu merosak reputasi sendiri, aku memutus dengan helah. Lalu memilih untuk menghabiskan masa di balik timbunan buku di gedung MV sehingga tengaharinya. Terapi.

Ironinya, pada sebelah malamnya aku sanggup menunggu seseorang kurang lebih tiga jam untuk sebuah janji. Sesuatu yang paling jarang, dan itu yang terjadi. Haihh.. Koishie...

[Dan.. men-jadi aku..]

Friday, March 02, 2012

~ LANGIT TUMPAH ~

(menara berkembar selepas langit tumpah yang dibidik dari dalam unta hitam sekitar 9.17 minit malam)

LANGIT tumpah dengan keras. Mengiringi sepanjang perjalanan dari bandar anggerik ke bunga tanjung sana. Unta hitam bergerak perlahan, sangat perlahan.. lantaran pandanganku agak terbatas untuk mengendalinya.

Lalu bunyi langit tumpah yang menimpa unta hitam menjadi semakin jelas. Tap.. tap.. tap.. Kasar dan kuat. Sesekali menyentap jantung biar tanpa guruh membuat iring. Aku mematikan alunan Mozart yang mengisi ruang sejak awal perjalanan tadi. Membiarkan bunyi langit tumpah membuat ganti.

Indah. Lebih indah dari ketarikan yang diberikan Mozart. Aku diam tanpa sebarang acah. Telefon bimbit juga tidak aku pedulikan. Mahu hayati bunyi indah yang menjadi terapi dalam senyap ini.

[dan.. jadi indah bila mau indah]

Thursday, March 01, 2012

~ MENGHIBUR LARA ~


LOKASINYA di Taman TAR Ampang, seputar kawasan kediaman yang hanya mengambil masa kurang lebih lima minit untuk ke sini. Suatu masa dulu, saat dalam kecamukan seratus, aku sering memilih untuk ke sini.

Melayan serabut seratus dengan menonton keletah bersahaja dan gerak laku mereka dalam kehidupan yang tersendiri. Mencuit hati. Membuat senyum dan sesekali melepas tawa. Meski hanya di dalam unta hitam, aku mampu melihat jelas dan merasa mereka.

Hari ini aku ke sini lagi. Seusai urus di tempat pekerjaan, unta hitam menghalakan aku ke sini. Menghabiskan masa beberapa ketika di sini sebelum hari gelap.

Sendiri.

Namun, kali ini bukan kerana aku dalam berkecamuk yang seratus. Bukan juga kerana resah membuat damping. Tetapi kerana rindu mahu ke sini. Mahu mengenang hal yang perlu dikenang.

[Cherita lalu men-jadi besar..]