Tuesday, February 28, 2012

~ LAGU NEGARAKU ~


AKU senyum. Entah bagaimana mahu memberi reaksi. Rakan yang seorang ini jujur memberitahu dia lupa lirik lagu Negaraku saat perlu memimpin sekumpulan anak-anak sekolah dalam satu acara. Mungkin pada kamu, bunyinya agak keterlaluan. Apatah lagi patah liriknya yang hanya beberapa baris itu. Tetapi, itulah kenyataannya.

Dia tidak pernah meninggalkan tanah air dalam tempoh yang lama apatah lagi berhijrah ke luar tanah tumpah darah ini dalam umurnya. Cuma katanya, kali terakhir dia menyanyikan lagu kebanggaan negara adalah ketika di bangku sekolah. Lama dulu.

Bukan tidak cuba untuk tidak patriotik, cuma katanya selepas habis persekolahan lagu begitu asing dan begitu payah untuk kedengaran. Apatah lagi dia bukan penjawat awam yang mungkin masih lagi dekat dengan semua itu.

Mungkin ada benarnya. Lagu Negaraku sangat amat jarang untuk kedengaran dalam rutin harian biasa. Di dalam satu hari, satu minggu atau satu bulan, di mana kumandangnya untuk kamu?

Aku juga merasa hal yang serupa. Cuma aku ini mungkinnya lebih bernasib baik kerana kerap ke Istana Budaya dan mendengar lagu Negaraku sebagai satu kemestian. Penghargaan untuk Istana Budaya kerana menjadikan hal yang wajib untuk memperdengarkan lagu Negaraku sebelum membuka acara di panggung. Ia sangat membuat dekat.

Dan alangkah baiknya jika lagu kebanggaan ini dibiasakan kembali ke telinga kita seperti mana yang dilalui di alam persekolahan suatu masa dulu. Di mana-mana ada Negaraku.

Bukan mahu menunjuk patriotik, cuma aku terfikir itu.

[Ter-ngiang-ngiang lagu tema ESQ, 'Demi Matahari']

1 comment:

Anonymous said...

Bukan ke dulu ada berkumandang di tv RTM setiap kali habis siarannya? Ngape tak main juga di semua siaran radio sebelum mula siaran? Bukan d panggung je