Wednesday, February 29, 2012

~ PADA SEBUAH HARGA ~


29 FEBRUARI, istimewa empat tahun. Empat tahun dahulu dan empat tahun hari ini. Aku melihat ke dalam diri. Hati yang masih belum beza. Cuma lekuk dari hal persahabatan.

Apa yang diberi dan diambil Tuhan, mungkin tidak seluruh dalam sedar dan lihat. Lalu kealpaan sering membuat damping. Sesekali merosak dan memperorak-perandakan diri tanpa lihat.

[Apa kamu orang-nya yang meng-hargai untok suatu yang ada harga?]

Tuesday, February 28, 2012

~ LAGU NEGARAKU ~


AKU senyum. Entah bagaimana mahu memberi reaksi. Rakan yang seorang ini jujur memberitahu dia lupa lirik lagu Negaraku saat perlu memimpin sekumpulan anak-anak sekolah dalam satu acara. Mungkin pada kamu, bunyinya agak keterlaluan. Apatah lagi patah liriknya yang hanya beberapa baris itu. Tetapi, itulah kenyataannya.

Dia tidak pernah meninggalkan tanah air dalam tempoh yang lama apatah lagi berhijrah ke luar tanah tumpah darah ini dalam umurnya. Cuma katanya, kali terakhir dia menyanyikan lagu kebanggaan negara adalah ketika di bangku sekolah. Lama dulu.

Bukan tidak cuba untuk tidak patriotik, cuma katanya selepas habis persekolahan lagu begitu asing dan begitu payah untuk kedengaran. Apatah lagi dia bukan penjawat awam yang mungkin masih lagi dekat dengan semua itu.

Mungkin ada benarnya. Lagu Negaraku sangat amat jarang untuk kedengaran dalam rutin harian biasa. Di dalam satu hari, satu minggu atau satu bulan, di mana kumandangnya untuk kamu?

Aku juga merasa hal yang serupa. Cuma aku ini mungkinnya lebih bernasib baik kerana kerap ke Istana Budaya dan mendengar lagu Negaraku sebagai satu kemestian. Penghargaan untuk Istana Budaya kerana menjadikan hal yang wajib untuk memperdengarkan lagu Negaraku sebelum membuka acara di panggung. Ia sangat membuat dekat.

Dan alangkah baiknya jika lagu kebanggaan ini dibiasakan kembali ke telinga kita seperti mana yang dilalui di alam persekolahan suatu masa dulu. Di mana-mana ada Negaraku.

Bukan mahu menunjuk patriotik, cuma aku terfikir itu.

[Ter-ngiang-ngiang lagu tema ESQ, 'Demi Matahari']

Monday, February 27, 2012

~ SEDIKIT RASA HORMAT ~


AKU mengangguk-angguk. Tanda faham, tanda setuju. Pada satu ketika lainnya juga, tanda tidak mahu menjadi kiri. Dari bicara sepuluh, jadinya beratus. Dari isinya kecil sepintu, menjadi besar sebumbung.

Aku mencuri pandang riaknya saat menutur bicara kecewa itu. Keras, kejang. Begitu dia selalu. Terlalu selalu. Justeru, bicara benarnya sering sahaja hilang bertempiaran tidak dipeduli. Aku menaruh kasihan kerana mengerti kecewa dalamnya. Bukan sehari kukenal dia, berhari-hari. Meski mungkin hanya pada lapis luar, paling tidak aku mampu membuat beza bagaimana kelat manisnya dia.

Ceritanya bukan tentang aku, tetapi tentang mereka yang dikenal damping aku. Sebagai yang memayung, aku kira dia berhak membuat suara atas apa yang terlihat canggung. Bagaimana caranya, bagaimana terimanya itu hal yang harus di digauli secara saudara. Secara hormat orang bersaudara.

Malang sekali, bukan semua yang dalam fikir kita sama juga pada fikir mereka yang lainnya. Justeru, pertentangan itu wujud dengan sengaja sehingga meluka. Carik yang mulanya seinci itu akhirnya membuat lebar lalu membuat rosak.

Aku angguk lagi. Tanda faham, tanda membenarkan dia. Bukan sembarangan benar, tetapi benar yang diterima akal waras.

[Beri-lah sadiket rasa hormat sebagai tangan yang menerima...]

Sunday, February 26, 2012

~ ROMANCING IN THIN AIR ~






CERITANYA tentang kesetiaan. Tentang hati juga cinta. Hal yang tidak mudah diatur-atur menurut mata kasarnya. Letaknya di dalam, rasanya dalam, parahnya juga dalam.

Aku senyap. Lelaki sepet itu juga begitu. Memberi tumpu. Kisahnya berputar perlahan, bercerita secara paling sederhana. Pada akhirnya aku (mungkin juga lelaki sepet ini) memperoleh sesuatu. Suatu hal yang bukan dari bicara mata kasar, tetapi jauh disebalik.

Romancing In Thin Air. Lakonan sosok tinggi lampai sang peran yang namanya Sammi Cheng dan Lois Koo ini bukanlah filem hebat dari sudut teknikalnya. Tidak juga terbaik dari gaya pengarahannya. Namun, yang mahu diberi itu sampai tepat. Memadai untuk seorang aku yang hanya melihat filem dari sudut itu.

[Perenah menontun konsert Sammi Cheng di-Genting Highland be-berapa tahon lalu ber-sama lelaki sepet ini.. - penyanyi dan pelakon kelahiran tanah Hong Kong itu antara yang ter-bilang jari men-jadi ke-sukaan-nya tanpa sebab jelas..]

~ CERITA LAIN ~


BARU. Dan ia menjadi cerita lain. Nilai itu di situ, jika ada. Dan sebaliknya juga begitu, jika diletak.

[Manusia itu lumrah-nya begitu]

Saturday, February 25, 2012

~ 566 HARI MENCARI CINTA ~


TAJUK: 566 Hari Mencari Cinta
KARYA: Ilya Abdullah
CETAKAN : Pertama (April 2011)
PENERBIT: Kaki Novel Enterprise Sdn Bhd
HALAMAN: 409
HARGA: RM18.00

“Kerana satu perjanjian itu aku mencari cinta. Dan kerana perjanjian itu, aku menemui cinta…”


[Dan.. takder itu meng-atasi sa-gala-gala-nya..]

Friday, February 24, 2012

~ SELAMAT HARI ULANG TAHUN PISCES ~


ALLAH selamatkan kamu..
SELAMAT hari ulang tahun kelahiran buat sahabat kecil pada hari ini, 24 Februari. Mudah-mudahan menjadi lebih besar pada pengalaman yang semakin menambah hari ini. Tinggalkan jauh zaman anak-anak itu kerana kamu ini sudah menginjak dewasa. Sudah mampu berdikari dia atas kaki sendiri dalam timbangan akal yang baik mahu buruknya.


Aku masih mahu menutur pesan yang serupa. Jangan mudah sahaja menangis pada untuk hal yang paling kecil itu. Usah juga terlalu selalu membuat tawa untuk hal besar laku sepatutnya itu.

Dan.. Lewat beberapa hari lalu, kami punya kesempatan menghirup secawan coffee. Sempat dibisikkan pada aku mahu mengikat hati dengan sang cintanya pada hujung musim bunga nanti. Pasti sahaja aku turut menumpang besar hati. Akhirnya lelaki itu melihat dia dengan sebenar-benar dia.

[Lalu di-tanya aku tentang lelaki sepet itu ber-kali..]

Thursday, February 23, 2012

~ LARUT JAUH ~


GESEKANNYA membuat aku larut. Larut jauh dengan keasyikkannya. Beberapa kali mendengar dia, namun baru pertama kali kami bertentang mata. Kesempatan yang tidak terjangka. Manis.

Dennis Lau. Mungkin agak asing pada sesetengah kamu. Namun tidak, bagi penggemar satu aliran. Dia mungkin tidak sehebat Pak Idris Sardi.. jauh juga jika mahu dibandingkan dengan Vanessa Mae. Tetapi dia punya ketarikan yang tersendiri. Gaya gesekannya, larut emosinya.. ahh..

Mengharap untuk punya kesempatan yang serupa pada esok lainnya, untuk duduk mendengar lagi. Dan sungguh ia menjadi terapi buat kecamukan diri.

Kamu sungguh istimewa.

[Dan cherita di-konsert orkestra simfoni kebangsaan dua tahun lalu masih terbayang..]

Wednesday, February 22, 2012

~ BERPUTAR DI UNIVERSITI TERTUA ~


MENGUNJUNGI kenangan. Tanpa dirancang atur, tiba-tiba kaki sudah berada di di universiti tertua yang banyak sekali menyimpan cerita itu.

Menelusuri bangunan perpustakaan, fakulti tempat menimba ilmu, bangunan peperiksaan, sehinggalah kepada dewan tempat graduasi. Terbayang jelas hari dimana aku mengelek jambangan bunga di kiri kanan dengan topi empat segi yang kemudiannya menjadi saksi empat mata kepada suatu hal yang menjadi ingat sehingga hari ini. Arghh... cerita lalu!

Mengenang pada sesak jalan raya yang tentunya tidak mahu menyusut sehingga lampu neon mengisi giliran, aku melencong arah. Melepasi kawasan 'pagar putih' yang banyak menjadi saksi peristiwa itu dan mengarah unta hitam ke laluan tasik buatan itu.

Suatu ketika dulu, tasik itu menjadi tempat aku mengadu cerita hampir setiap hari. Lazim pada lewat remang petang usai segala urus tuntutan untuk hari itu. Aku jengok dalam-dalam. Meliar dengan penuh perhati. Namun seekor pun 'ikan tuah' (gelaran kepada kumpulan ikan yang sering mendengar cerita suatu masa dulu) tidak muncul.

Ermm... dan umpama panggung yang sedang berputar, hal-hal lalu itu turut berputar. Larut... dan aku sempat menyaksikan langit merah di sini. Sendiri. Seorang diri. Namun senang dan berbesar hati.

[Dari 'kandang kuda' ke Dewan Tunku Canselor...]

Tuesday, February 21, 2012

~ TUJUH HARI ~


ANTALOGI puisi. Pernah ada keinginan mahu membukukan puisi-puisi yang pernah dicetus. Namun sehingga ke hari ini, kenyataannya tidak ke mana. Begitu juga dengan tulisan cerita lain yang menjadi separuh duduknya.

Aghh.. kesempatan kalau tidak dicari, beginilah sudahnya. Aku sendiri barangkali yang kurang bijak mengurus lalu menjadi satu untuk hal urus pekerjaan sahaja. Awal tahun, aku berjanji untuk mengubah lebih hidup. Namun bagai tahu keinginan itu, urus berkaitan hal pekerjaan menjadi lebih ganda.

Nah.. sepertinta minggu lalu, hal serupa dilalui aku pada minggu itu. Tujuh hari itu berlalu begitu dan menungguh tujuh hari lagi yang berkesudahan serupa. Dan.. harus bagaimana yaa..

[Di-ator]

Monday, February 20, 2012

~ SEMANGAT POSITIF ~


MINGGU baharu. Membawa semangat baharu juga. Mudah-mudahan hal-hal kelat itu berlalu meninggalkan aku sejauh yang mungkin. Terima kasih untuk semangat positif yang terpinjam.

Teman jiwa ke bumi kangaroo. Lalu hujung mingguku hanya di rumah. Berteman buku-buku yang masih belum sempat dihabiskan. Sambil larut dengan Beethoven yang tidak pernah jemu menjadi halwa telinga.

[Dari sudot pandangan sepet..]

Sunday, February 19, 2012

~ TENTANG RASA ~



TENTANG RASA
by astrid

Aku tersesat
Menuju hatimu
Beri aku jalan yang indah
Izinkan ku lepas penatku
‘tuk sejenak lelap di bahumu

Dapatkah selamanya kita bersama
Menyatukan perasaan kau dan aku
Semoga cinta kita kekal abadi
Sesampainya akhir nanti selamanya

Tentang cinta yang datang perlahan
Membuatku takut kehilangan
Ku titipkan cahaya terang
Tak padam di dera goda dan masa

Dapatkah selamanya kita bersama
Menyatukan perasaan kau dan aku
Semoga cinta kita kekal abadi
Sesampainya akhir nanti selamanya..

[Cherita harapan yang tiada hujong..]

Saturday, February 18, 2012

~ MAHAR CINTA CINDERELLA ~


TAJUK: Mahar Cinta Cinderella
KARYA: Maya Iris
CETAKAN: Pertama (2011)
PENERBIT: PTS Litera Utama Sdn Bhd
HALAMAN: 393
HARGA: RM18.00

“Pertemuan pertama Nur Sayang dengan Dr Andrew bagaikan dongeng Cinderella. Doktor berbangsa Cina itu menyelamatkan jururawat pelatihnya dengan menggunakan sepasang kasut. Walaupun Nur Sayang berasa terhutang budi, namun dia membenci Dr Andrew kerana sering menggelarnya ‘Islam Celup’…”


[Lelaki sepet selatan semenanjong tanah-air]

Friday, February 17, 2012

~ BUKAN MILIK ~


REZEKI Tuhan itu di mana-mana dan boleh dalam apa sahaja. Bila-bila masa diberikan dan bila-bila masa juga boleh diambil mengikut kehendak-Nya.

Kerjayaku saat ini bukanlah apa yang aku citakan saat mula mengenal ABC di bangku sekolah suatu masa dahulu. Tidak juga yang menjadi impi saat menggenggam segulung ijazah dari Universiti tertua tanah air yang terletak di Lembah Pantai itu. Tidak sama sekali.

Namun aku akur pada perjalanan hidup yang menghalakan aku pada bidang pekerjaanku hari ini. Meski ia bukan yang diimpikan, aku tetap bersyukur kerana aku masih punya pekerjaan yang mampu membiayai hidup diri sendiri dan keluarga. Aku masih punya kegembiraan dan kebahagiaan untuk menggembirakan dan membahagiakan orang lain.

"kerja macam dia tu bukan pakai otak sangat pun.. sesuailah dengan dia.."

Senyum. Semoga Tuhan merahmati si penuturnya. Mungkin dia merasa diri sangat hebat dengan kerjayanya atau berada di taraf yang lebih tinggi dengan kedudukannya. Lalu begitu dia melihat menilai orang lain di kelilingnya.

Merendah-rendahkan orang lain dan membangga-banggakan diri sendiri bukanlah hal yang terpuji. Kenikmatan yang diberi Tuhan bila-bila masa sahaja boleh ditarik-Nya dan begitulah sebaliknya. Aku kira orang yang 'cerdik pandai' sepertinya tentu sahaja lebih tahu itu.

Kata ibu, jauhi hal-hal bongkak. Kelak memakan diri, dimusuhi semesta alam. Rezeki juga bertempiaran lari. Jika tidak hari ini, mungkin esok...

[Men-jadi padi..]

Thursday, February 16, 2012

~ SENYUMNYA MENJADI KUDRAT ~


AKU memerhatikan dia dari jauh. Tingkahnya sangat mencuri perhati. Mengelek bekas berisi makanan sehingga senget duduk posisinya. Ternyata keadaan dirinya saat usia meratah kudrat itu begitu bercerita di mata aku.

Tanpa mempedulikan sesak isi perut jalan raya pada remang petang itu, dia menggagahkan diri untuk memberi makan kepada beberapa ekor kucing terbiar di sekitar tempat kami berada di babak. Penuh kasih sayang. Aku kira dia juga tidak punya banyak, tetapi dia mahu berkongsi. Mahu berkasih sayang dengan makhluk ciptaan Tuhan yang berkelana itu.

Usai memberi makan kepada kucing terakhir, kami saling bertentang mata. Tepat. Dan ia berlaku selama beberapa saat. Yang memisahkan pandangan itu hanya cermin depan unta hitam yang basah dek hujan. Aku mengalih pandangan, tidak mahu memberi dia rasa tidak selesa atau menyalah tafsir kepada pandangan itu.

Sosok wanita Cina separuh abad itu lantas senyum, mengangguk-angguk dan berlalu pergi dengan basikal uzur yang dimilik dia.

Dan sehingga saat ini aku terkenangkan babak itu. Ada sesuatu untuk aku barangkali.

[Rezeki Tuhan itu untok di-kongsi..]

Wednesday, February 15, 2012

~ KELAM KABUT ~


KELAM kabut. Meski pada lapis atas aku ini kelihatan orangnya begitu tenang dan teratur, namun isi dalamnya hanya aku yang tahu.

Beberapa hari terkebelakang ni, banyak hal yang membuat kusut dan fikiranku seringnya bertempiaran jauh dari jasad yang berdiri. Arghh.. Koishie, itu sangat kamu!

Aku jatuh menelentang di kawasan parkir tempat pekerjaan. Yaaa.. ia baru sahaja berlaku kurang lebih 48 minit yang lalu. Mata melihat lain, hati berkata lain, kaki melangkah lain. Nahhh... rasakan.

Marahkan diri sendiri, namun dalam waktu yang sama mentertawakan juga diri sendiri. Mujur sahaja saat awal pagi begitu, ruang parkir itu masih kosong dan sekaligus tidak ada mata yang menjadi saksi (atau mungkin ada tanpa disedari aku.. uhh).

Bingkas bangkit membetulkan posisi diri seolah tiada apa yang berlaku. Hakikatnya Tangan sebelah kiri membengkak membuat protes. Lalu, hari ini aku mungkin tidak mampu bermesra lebih dengan papan kekunci yang menjadi rutin kemestian di lantai pekerjaan.

[Me-mandang chermin, dan itu memang aku..]

Tuesday, February 14, 2012

~ DAN... KASIH SAYANG ~


14 FEBRUARI, hari kasih sayang. Dan, aku merasai kasih sayang itu apabila punya kesempatan untuk duduk semeja menghirup secawan coffee bersama dua sahabat dekat yang sudah lama tidak bertentang mata. Lama.

Kesibukan dengan urus pekerjaan benar-benar menjarakkan kami. Sedang pernah suatu masa, kami berlebih kesempatan. Hari ini tanpa dirancang atur, ketiga-tiga kami punya keluangan yang sangat jarang ada. Dan hari ini, diberikan Tuhan.

Menelek perkembangan hidup mereka berdua, ternyata aku jauh masih marhaean. Dulu, kami sama-sama mencari kedudukan terbaik dalam kerjaya, nahhh... hari ini jauh mereka di depan mendahului aku. Menggeleng-gelengkan kepala dan... senyum. Segalanya pasti dengan alasan bukan? Aku tumpang gembira dengan kedudukan mereka hari ini. Dan itu sungguh.

Paling membuat senang, sahabat-sahabat ini masih sama orangnya. Masih tidak kekok menikmati hidangan tepi jalan lazim selalu kami lakukan saat kami tidak punya apa-apa beberapa tahun yang lalu. Mengisi keluangan yang jarang ada itu, kami saling menghiburkan dengan cerita kehidupan masing-masing sehingga larut.

Manis. Dan aku pohon agar ia tetap begitu tanpa ada calar yang tersengaja.

[Se-ribu cherita Char kuetiaw..]

Monday, February 13, 2012

~ BERHENTI ~


BERHENTI

Aku diam, aku telan
Berhenti saat kamu memberhentikan aku
Tidak menyebut apatah lagi menjaja
Kerana kamu pernah wujud
Di sisi untuk mendengar dan didengar

Namun,
Berhari aku dimusuhi lidah kamu
Berderet celaku terbilang kamu
Berkali rasa mual dikelek usung kamu
Berulang kata benci meneman kamu

Seolahnya aku yang terburuk
Pernah wujud dalam sejarah kamu
Sepertinya aku ini hitam
Tidak pernah putih untuk kamu

Ya Tuhan..
Aku tidak pernah terfikir itu kamu..

Lihat,
Depan kamu siapa
Belakang kamu siapa
Dan..
Lihat juga di sebelah kamu itu siapa

[Doa kesejahteraan untok kamu..]

Sunday, February 12, 2012

~ REDUP BONDA ~


TAJUK: Redup Bonda (Kumpulan Puisi)
KARYA: Ansyaq Halikin
CETAKAN: Pertama (2011)
PENERBIT: Pekan Ilmu Publication Sdn Bhd
HALAMAN: 70
HARGA: RM12.90

Koleksi puisi tentang pengorbanan dan jasa seorang ibu dalam membesar, mengasuh dan mendidik anak-anak sehingga dewasa..


[Untok seluroh bonda..]

Saturday, February 11, 2012

~ MEMILIH SEBALIKNYA ~


DARI koishie kepada Ophelia. Mungkin ada yang tertanya kenapa. Tiada hal yang menyelindung. Cuma aku tidak mahu cerita aku di sini terus-terus dijadikan bahan untuk membaca salah.

Justeru biar tidak di mata, tidak juga di bibir mahupun hati. Biar habis jika benar-benar memilih mahu habis. Aku kira dengan bercerita jelas begini, akan difaham dengan jelas juga, rupa-rupanya sebaliknya. Merah yang dibaca biru.

Tidak dengan kebencian ataupun kemarahan. Cuma baik tidak berkelibat dalam apa jua cara. Itu lebih baik.

Paling jujur, aku sedikit terkilan dan tertekan dengan apa yang berlaku ini. Segala ini aku simpan sendiri tanpa seinci keluar dari lingkunganku. Aku tidak mahu perkongsian cerita itu nanti akan memberi pengaruh atau tanggapan yang tidak tepat kepada sahabat yang seorang itu. Aku berusaha untuk menangani sendiri. Malangnya, dia yang aku anggap paling dekat itu memilih sebaliknya. Dan.. Tuhan lebih tahu.

Tidak mengapa. Aku alu-alukan jika dia masih mahu membacaku di sini... Kerana yang dibaca itu adalah hal yang patut dia ketahui meski dia tidak pernah faham. Perdebatan yang berlaku melalui khidmat pesanan ringkas semalam memberi jelas betapa dia sudah tidak mengenal aku.

Pun begitu, aku tidak punya rasa mahu tampil membela diri kerana terlalu selalu penghujungnya menjadi sama. Justeru, biarlah dia memilih yang terbaik menurut rasa benarnya.

[Dia sepatut-nya kenal, tetapi dia me-milih untok tidak kenal...]

Friday, February 10, 2012

~ TERUKIR DI BINTANG ~



TERUKIR DI BINTANG
by yuna

Jika engkau minta intan permata
Tak mungkin ku mampu
Tapi sayangkan ku capai bintang
Dari langit untukmu

Jika engkau minta satu dunia
Akan aku coba
Ku hanya mampu jadi milikmu
Pastikan kau bahagia

Hati ini bukan milik ku lagi
Seribu tahun pun akan ku nanti
Kan kamu

Sayangku jangan kau persoalkan
Siapa di hatiku
Terukir di bintang
Tak mungkin hilang cintaku padamu

Hati ini bukan milik ku lagi
Seribu tahun pun akan ku nanti
Kan kamu

Sayangku jangan kau persoalkan
Siapa di hatiku
Terukir di bintang
Tak mungkin hilang cintaku padamu

Sayangku jangan kau persoalkan
Siapa di hatiku
Terukir di bintang
Tak mungkin hilang cintaku padamu
Terukir di bintang
Tak mungkin hilang cintaku padamu..

[Dan.. jelas di-lehat walau sepet.. ]

Thursday, February 09, 2012

~ DAN... DI LANTAI BAWAH ~


SEDIKIT dengan keluangan yang ada, aku memanjang langkah ke gedung bacaan kegemaran di lantai MV. Terpinga-pinga saat terlihat dari jauh premis yang sering menjadi pilihan itu telah ditutup. Owhh... aku mendekat dengan rasa tidak puas hati lalu membuat risik.

Rupa-rupanya gedung bacaan ini berpindah ke lantai bawah. Entah bila prosesnya berlangsung sementelah hampir setiap minggu aku membuat singgah. Lalu bergegas ke sana untuk melihat ruang baharu.

Suka. Penyusunan dan pembahagian rak bahan bacaan Melayu lebih jelas dan tidak terpinggir seperti sebelumnya. Lebih mudah untuk melihat jelas tanpa perlu menyelongkar keras. Lalu terlihat mudah tulisan Pak Samad, pengkisahan Tun Mahathir mahupun bahan bacaan umum yang lainnya. (Sebelum ini, aku pernah menulis entri terkilan tentang gedung bacaan popular di menara kembar yang sepertinya 'mendiskriminasikan' bahan bacaan berbahasa Melayu..)

Cumanya... ruang di lantai bawah ini lebih kecil berbanding yang asal. Lebih separuh kukira. Huh.. Pun begitu, aku percaya mereka punya alasan sendiri untuk itu. Asal sahaja isi kandungnya tidak berkurang, aku kira ia tidak menjadi satu hal yang harus diperbesar.

Teruja berlebih biasa, aku tanpa sedar menghabiskan masa kurang lebih empat jam di sini. Leka. Manakan tidak, banyak hal yang membuat ketarikan di ruang ini. Mujur sahaja aku berseorang, kalau tidak tentunya tidak dizin untuk bersenang mengikut suka begini... :)

[Menunggu dua karya ter-baharu andrea hirata yang belom tembus ke-sini..]

Wednesday, February 08, 2012

~ SEMAKIN MACAM MACAM ~


RESTORAN Kayu Ampang. Lama tidak punya kesempatan untuk duduk bercerita di sini. Lazim selalu, ia akan berlarut sehingga ke pagi dan begitu malam tadi. Perbualan panjang dengan sahabat yang seorang ini membuat leka sehingga tidak terasa kurang lebih enam jam kami di situ. Sementelah lama tidak bertentang mata dan bertukar cerita.

Ceritanya tentang kehidupan. Begitu dan begini mengikut lingkar sekitar kami berdua. Dia memberi inspirasi yang besar kali ini. Aku senyum faham.. dan senyum menerima. Jiwanya semakin mahal kini. Mungkin matang dengan pelbagai cuba-duga yang sederet mengekornya sebelum ini.

Bertitik tolak perkongsian semalam, aku tekad untuk membesar semangat seperti disaran dia. Tidak kerana sesiapa, tetapi untuk diri sendiri. Semoga mampu tidak mengingkar.

Sempat meletak lena kurang lebih dua jam, hari ini aku terlewat ke tempat pekerjaan. Membuka mata saat jam merah di dinding putih bersebelah foto sakura diselaput salji itu menunjuk ke angka tujuh, gelisahnya menjadi bukan main. Nahh.. hadaplah bingit sesak di jalan ampang selepas jam tujuh. Lalu perjalanan ke lantai pekerjaan di bandar anggerik yang lazimnya mengambil masa selama kurang lebih satu jam itu menjadi dua kali ganda.

OK.. Kedatangan hari ini menanda merah yang agak jauh. Bagaimanapun aku tidak terfikir untuk memberi sebarang alasan kepada en ketua, kerana sememang sungguh tiada alasan melainkan pengakuan enak melayan lena yang selama dua jam itu.

[Menu di-sini men-jadi gemar banyak orang, namun hanya coke tin menjadi selalu untok aku..]

Tuesday, February 07, 2012

~ BERHENTILAH... ~


BEBERAPA hari terkebelakang ini, kecamuk tertumpu mengacau rasa. Aku kembali mengingat dan mengimbas satu demi satu. Sakit dan sedih tentunya.

Lalu bersungguh aku tadahkan doa, agar dilepaskan rasa kebencian yang ada itu. Moga tiada ingatan lagi tentang aku. Dan itu lebih baik daripada terus berkata-kata membilang keburukkanku di belakang tanpa mahu habis meski aku telah senyap lebih semusim lalu.

Demi Allah, aku tidak pernah ada kebencian yang seperti itu. Tidak juga ada rasa mahu 'menyebut' apatah lagi 'membilang' hal-hal yang terjadi itu kepada pengetahuan selain aku. Namun, hal tentang diriku terus-terus diungkit. Dan ia menjadi sakit yang bukan kepalang.

Kalaulah benar aku seburuk yang diperkata itu, jijikkan diri dari menyebut aku terus. Itu lebih baik bukan? Dan aku lebih rela menerima itu dengan berlapang dada daripada disakiti dengan begini cara.

[Doa kesejahteraan untok kamu...]

Monday, February 06, 2012

~ BUKAN TUKARAN ~



BUKAN kerana harganya, tetapi kerana isi kandung di dalamnya. Aku hampir terduduk melihat susunan 'puzzle' sejarah lalu itu dipersembah begitu rupa. Masih ada yang mahu memberi senyum rupa-rupanya.

[Se-ribu cherita... men-jadi satu]

Sunday, February 05, 2012

~ TERAPI LAWAK KE, DER? ~


BARU sahaja pulang membuat terapi di Istana Budaya melalui persembahan komedi yang pertama kali seumpamanya menjadi menu utama hidangan pentas di Panggung Sari, Istana Budaya, 'Lawak ke, Der'.

Semenjak penubuhan Istana Budaya pada tahun 1999, inilah julung-julung kalinya pentas berprestij ini membuka ruang untuk persembahan komedi mengisi slot. Tahniah kepada Datuk Juhari Sharani selaku Ketua Pengarah Istana Budaya atas pembaharuan yang dilakukan meski ada yang mempertikai apa relevan Istana Budaya dengan persembahan komedi ini.

Menyentuh tentang persembahan, gabungan Abon, Os, Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Johan, Zizan, Harith Iskander dan Nabil selaku pengacara persembahan yang diselenggarakan oleh Hans Isaac ini ternyata memberi dimensi baharu kepada peminat seni hiburan tanah air.

Meski hanya mengisi slot hujung minggu (4, 5, 6 dan 10, 11 12 Februari), sambutan yang diberikan kepada persembahan ini sangat memberangsangkan. Untuk persembahan sebentar tadi, seluruh kerusi empuk Panggung Sari dipenuhi sosok manusia. Penuh. Dan ia tentunya menjadi petanda yang baik untuk masa depan kumpulan komedi ini.

Setiap yang tampil berkesudahan dengan mengikat perhatian penonton dengan lawak mereka. Panggung tidak sunyi dari gelak ketawa seawal persembahan bermula sehinggalah ke akhir acara. Ia lain dari biasa.

Aku ini pada yang mengenali begitu senyap, begitu kaku dan kekok. Namun hari ini, hilang sopan silu yang terlalu selalu lantaran tidak mampu menyembunyikan hati yang digeletek mereka. Paling mencuri tumpuan, tentu sahaja saudara Harith Iskander. Lelaki ini tidak pernah gagal menarik perhatiku dengan komedi seriusnya.

Berbaloi-baloi. Itu yang paling perlu aku katakan sebaik persembahan berakhir. Mudah-mudahan selepas ini mereka akan terus diangkat menjadi menu utama.

Untuk kamu yang mahu turut sama merasa terapi digeletek mereka, jangan ketinggalan untuk menyaksikan tiga persembahan yang masih berbaki pada hujung minggu ini. Tiket-tiket berharga RM53, RM73, RM173, RM203, RM353 boleh diperolehi di www.ticket2u.biz @ hubungi 03-4147 8600.

[Sang genius Harith Iskander..]

Saturday, February 04, 2012

~ HINGGA KE AKHIRNYA ~


TAJUK: Hingga Ke Akhirnya (Sambungan Akhir Sebuah Cinta)
KARYA: Siti Nur Dhuha
CETAKAN: Pertama, Kedua, Ketiga (2011) & Keempat (2012)
PENERBIT: Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 709
HARGA: RM25.90

“Saya betul-betul tidak faham, kenapa awak hadir dalam hidup saya lagi. Untuk menghina saya seperti dulu, untuk menyakiti perasaan saya, dan untuk menambahkan kesengsaraan yang ada. Tolonglah, saya tak sanggup hadapi semua itu lagi. Berikan saya ruang untuk bahagia..”

[Begitu ter-tules..]

Friday, February 03, 2012

~ GUGUP GAGAP ~


MENGGELENG-gelengkan kepala. Lain yang mahu aku katakan, lain pula yang terzahir pada kata. Dan ia bukan terjadi sekali.

Paling jujur, aku tidak mahu menipu kerana tidak suka ditipu. Lalu aku orangnya sangat tidak bijak menipu. Mudah sahaja riak wajahku dibaca jelas meski aku berusaha menutup. Justeru, jangan mengajak aku menyertai sekongkol kerana hujungnya aku menjadi punca gagal.

Dan itu yang terjadi hari ini. OK. Aku suka berfikir 'macam-macam'. Justeru, rasa tidak berani itu lebih besar ruangnya daripada berani yang ada. Lalu saat aku mahu mengatakan A sebagaimana yang seharusnya, lidah laju menyebut B. Apatah lagi saat mataku ditenung tepat, dan aku pasti gugup pantas. Hahaha.. dan ia semakin terhidu mereka yang berkeliling.

Hari ini aku ditolak ke depan untuk berdiri mempertahankan satu sekongkolan rakan-rakan. Aku gagahkan diri demi janji. Namun saat seluruh mata tertumpu kepadaku menanti apa yang mahu aku tuturkan, aku tiba-tiba bergemuruh. Tergagap-gagap meski kurang sepuluh perkataan yang harus aku tuturkan. Ya Tuhan...

Mereka menggeleng-gelang kepala. Dan aku turut sama.

[Tipu-lah semahu-nya... namun jangan sampai aku meng-hidu..]

Thursday, February 02, 2012

~ TIDAK PERNAH MEMADAM PUTIH ~


CERITA tentang sahabat yang namanya Pisces sampai lagi ke telingaku. Kali ni lebih hebat. Aku hanya mendengar tanpa mampu berbuat apa. Cuba untuk menjejakinya untuk tahu hala kejadian sebenar dari mulutnya sendiri tetapi gagal.

Nombor telefon bimbit milik bagai biasa sudah tidak berfungsi lagi. Meski pernah bertentang pendapat dan berjauh hati dengannya suatu ketika, hal-hal putih yang pernah ditumpangi aku dari dia tidak mungkin terlupa mudah.

Justeru, aku masih ingin mengambil tahu atas dasar persahabatan yang terjalin itu. Mungkin tidak mampu membantu sempurna, tetapi paling tidak aku tahu duduk hal sebenar. Paling pasti, tentunya tidak mahu hal-hal buruk menimpanya.

Kalau benar dia membuat punca, pasti ada jalan penyelesaiannya. Berbuat salah itu bukanlah hal yang paling mati, asal sahaja kita belajar daripada kesalahan itu dan membaiki diri sebaiknya tanpa mengulang hal yang sama.

Mudah-mudahan, segalanya dipermudahkan untuknya ke jalan penyelesaian.

[Puteh tetap ada..]

Wednesday, February 01, 2012

~ CERITA PUTRAJAYA ~



EMPAT tahun lalu pada tarikh malam ini, aku singgah di dataran Putrajaya tanpa dirancang-rancang. Kebetulan pada ketika itu berlangsung sambutan Hari Wilayah yang lazim diraikan di sana tanpa tahuku.

Biarpun tidak begitu berminat dengan acara seumpama itu, aku dan seorang rakan ini memutus untuk melepas lelah. Alang-alang sudah menjejak di situ, biar sahaja sempat menghela nafas.

Keraiannya cukup sederhana, tidak seperti di dataran merdeka yang penuh sesak sosok manusia yang mengelek bingit di tengah hiruk pikuk kota. Situasi agak lain. Sesaknya tidak menyesakkan. Bingitnya tidak membingitkan. Lain.

Masih ada percikan bunga api, tetapi tapi indahnya mampu dilihat jelas. Aku boleh duduk santai dalam senang sambil memerhati percikan indah itu di depan mata. Satu demi satu tercorak di langit tanpa ada halang. Masih juga mampu bersiar kaki tanpa ada kalut di sepanjang dataran.

Masih aku ingat, pada malam itu aku sempat membeli kurang lebih 20 buah replika kereta kecil pelbagai bentuk dan warna untuk AZR atas kecenderungannya. Namun akhirnya ia masih tersimpan kemas dalam tanganku sehingga hari ini.

Dan... hari ini, aku di ruang empat segi ini. Tidak kemana-mana. Tidak berbuat apa-apa. Hanya terkenang dan mengenang.

Dan... sambutan Hari Wilayah untuk tahun ini ada cerita lain...

[Sukar untok lepas..]