Sunday, December 18, 2011

~ KONSERT FENOMENA 30 TAHUN SEARCH ~







HEBAT. Itulah yang mampu aku katakan seusai menonton Konsert Fenomena 30 Tahun Search yang berlangsung malam tadi di Mines International Exhibition Convention Centre (MIECC), Sri Kembangan Selangor.

Mungkin ada yang tersenyum kehairanan bila mana aku katakan diri ini menjadi antara 15,000 orang penonton yang turut memeriahkan konsert bersempena ulang tahun ke-30 kumpulan rock lagenda itu.

Pada yang mengenal dekat, pasti sahaja maklum akan kecenderunganku kepada muzik klasikal, orkestra atau paling tidak konsert yang di adakan di dewan tertutup dengan kedudukan penonton yang sopan di kerusi menonton. Justeru apabila aku menghadiri konsert rock keras penuh bingit begini, ia menjadi satu hal yang cukup bertentangan. :)

Lupakan soal itu kerana aku cukup menikmati persembahan bertenaga kumpulan rock lagenda ini. Amy selaku vokalis penuh dengan energi di pentas. Dia memang hebat dan mungkin hanya satu yang dimiliki sejarah kita. Seawal membuka persembahan dengan lagu Panggung Khayalan sehinggalah kepada Fantasia Bulan Madu, lelaki 53 tahun ini berjaya menghiburkan penonton dengan begitu lekat.

Ia menjadi lebih manis apabila hampir setiap tubuh yang hadir pada konsert yang menelan belanja kurang lebih RM1.3 juta ini turut sama mengiringi Amy menyanyi di pentas. Antara lagu-lagu malar segar yang menjadi pilihan pada malam tadi (yang juga menjadi pilihan aku) ialah Ghotik Malam Edan, Fenomena, Isabella, Rozanna, Laila Namamu Teratas, Kejora, Gadisku, Isi Atau Kulit, Mentari Merah di Ufuk Timur, Pelesit Kota, Pawana (sangat menggoda energi) dan banyak lagi.

Ternyata harga tiket RM69 itu berbaloi untuk penonton. Selain kepuasan menikmati persembahan, ruang menonton juga agak selesa. Selesa yang aku maksudkan di sini apabila mereka boleh memilih ruang yang sesuai dengan mereka. Jika mahu berasak-asak di depan pentas, silakan.. jika mahu ada ruang di kiri kanan dan ruang agak santai, juga ada disediakan. Justeru, tidak ada kejadian-kejadian yang mengganggu atau menakutkan orang-orang yang jarang atau pertama kali seumpamanya menyertai konsert rock ini seperti aku.

Cuma sesuatu yang harus aku lalui, apabila pulangnya aku dengan aroma rokok yang begitu keras lekat di seluruh tubuh. Sungguh, hal itu tidak mampu terelakkan. Justeru, untuk tidak membuka ruang tanya yang banyak pada kakak sekembalinya di rumah, aku 'terpaksa' meminta jasa baik sang penjual t-shirt kumpulan lagenda ini yang telah siap siaga mengemas segala barang jualannya untuk membuka kembali barang jualannya (baju) kepada aku.

Dan itu hal yang paling lucu. Manakan tidak, aku pulang ke rumah dengan memakai t-shirt yang seolahnya menyata aku ini antara pengikut dekat mereka. Dan aku masih senyum saat teringatkan kejadian itu yang pertama kali seumpamanya.

[Hal-2 lucu yang mem-buat senyom panjang.. phewitt..]

4 comments:

zaidzali said...

mmg rock abis malam tu...tapi lagu pawana mmg ditunggu2...and ni la punca besraya jam...haha

Koishie said...

:) yaa.. pawana tampil dengan energi yang cukup menggoda.

shaifolhizam said...
This comment has been removed by the author.
shaifolhizam said...

Ini bukti artis tempatan mampu menarik minat ramai...so jgn pandang artis luar je...beri mereka penghargaan sebelum SEARCH hanya tinggal nama