Saturday, December 31, 2011

~ SELAMAT TINGGAL 2011 ~


SEAWAL pagi aku menunggu terbitnya sinaran matahari untuk hari terakhir 2011 ini. Mengharap yang paling indah, paling mengasyikkan sebagai harapan pembuka 2012, mudah-mudahan.

Kata seorang teman, tahun yang berangka 'ganjil' selalunya memberi hal-hal yang kurang manis buatnya. Justeru, 2012 sangat ditunggukannya. Aku hanya senyum mendengarkan. Namun jauh di sudut hatiku, ingin aku katakan padanya, sesuatu apa yang terjadi itu adalah hal yang sudah ditentukan dan bukan bersebab ganjil genap atau sial tidaknya sesuatu itu.

Dan... 2011 mencatitkan satu hal yang sangat pahit untuk aku telan. Itulah kehidupan. Yang mahu kita tidak mestinya menjadi mahu orang lain juga. Yang jujur kita tidak menjamin terlihat jujur juga di mata orang lain. Itu hakikat dan harus dimengerti meski bibir terkumat-kamit menolak menurut pertimbangan sendiri.

Tiada sesalan untuk tahun 2011. Aku percaya itu yang terbaik buatku meski sering tersekat nafas mengharunginya. Justeru, aku mengharapkan 2012 memberikan sesuatu yang lebih jelas. Biar minda, biar hati, biar mata, biar telinga dan segala yang berfungsi di tubuh ini mampu mengemudi diri dengan sebaiknya bersandarkan pelajaran yang terkutip pada hari-hari semalamnya.

Itu janji untuk kali ini.

[Dan biar tangesan itu cukop di-situ..]

~ AJARKAN AKU WAHAI IBU ~


TAJUK: Ajarkan Aku Wahai Ibu
TULISAN: Dr Malina Osman
CETAKAN: Pertama (2011)
PENERBIT: Karya Bestari Sdn Bhd
HALAMAN: 230
HARGA: RM11.00

“Adakalanya aku buta dalam cahaya. Adakalnya aku kabur dalam sinar. Adakalanya aku lalai dalam senang. Lalu, ajarkan aku wahai ibu… kerana redamu adalah syurga buatku.

[Tahu kamu akan selalu ber-tabah..]

Friday, December 30, 2011

~ KESANGGUPAN YANG MENGIKAT ~


CUTI tahunan masih berbaki beberapa hari. Cuti sakit langsung tidak pernah terusik sepanjang tahun ini. Terkepung pada minggu penutup 2011 ini. Minggu yang singkat dengan hambatan urusan pekerjaan yang bersusun tangga membuatkan aku tersekat nafas. Menyiapkan urusan pekerjaan yang lazim seminggu menjadi dua hari atau kurang adalah hal yang meresahkan.

'Urusan pekerjaan tidak akan pernah habis..' itu yang sering ditutur seseorang saat menyaksi gelandangan aku. Dan bila melihat rekod cuti sakit yang langsung tidak terusik, aku kembali mengingat pesannya. 'Kerakusanku' pada urusan pekerjaan ini bukan kerana aku terlalu cintakannya, tetapi kerana kepercayaan kepada sebuah kesanggupan.

Aku pernah sanggup, dan aku akan terikat dengan kesanggupan itu. Begitu juga dengan hal lainnya. Sekali kesanggupan itu ditutur, maka.. ia akan mengikat kaki dalam apa jua situasi.

Kerana kesanggupan janji juga, esok pagi aku akan ke paling hujung selatan tanah air. Menyambut tahun 2012 dalam suasana bingit yang agak asing dari selalu.

[Cherita lalu di-Telok Danga..]

Thursday, December 29, 2011

~ MASIH ADA ~


DIA datang menghampiriku. Senyum, menarik dan memelukku erat. Lama kami tidak bertemu muka. Kurang lebih, tiga tahun barangkali. Kesibukan urus pekerjaan benar-benar menjarakkan kami. Meski masih di hiruk pikuk kota yang sama, kami saling hilang berita.

Saat dia melepaskan pelukan, ada rasa getar di hati. Pertama kali seumpamanya sejak sahabat ini aku kenali. Itu bukan cara kebiasaan dia 'menyapa' sesiapa termasuklah aku sebelum ini. Lalu, laku itu terlihat agak kekok tetapi manis.

"Takziah". Ucapku perlahan. Dia mengangguk dan mengundur tiga langkah kebelakang. Sedikit terlindung raut wajahnya saat itu. Lalu aku merapat diri ke arahnya. Bertentang mata dan berkata sesuatu tentang arwah ayahandanya yang dipanggil Ilahi kurang lebih 13 hari hari yang lalu.

Aku menepuk-nepuk bahunya, dia mengangguk lagi. Kali ini jelas kelihatan senyumnya.
"Lama sangat kita tak jumpa.."

Dan kami saling bertanya khabar di suatu sudut, di tengah bingit manusia yang hanyut dalam keanganan yang menakutkan.

[Sahabat yang sentiasa ada..]

Wednesday, December 28, 2011

~ MENJAGA KUDRAT ~


SELURUH hari semalam, kami terlibat dengan urusan pekerjaan di luar lantai pekerjaan. Projek terakhir yang juga penutup tahun 2011 yang cukup melelahkan. Kudrat yang sekerat ini seperti melolong bilamana dikerah untuk seluruh posisi tanpa sebarang kata 'tidak'.

Langit tumpah dengan agak keras turut menghantar petanda resah untuk diri. Aku terkepung kesejukan yang agak kejam hampir dua jam atau lebih tanpa sempat mencari tempat berteduh yang seharusnya.

Lalu sebaik pulang ke rumah menyelesai segala urus dan mahu meletak lena, lelahnya meresahkan diri. Cuba memejamkan mata untuk tidak mengendah, namun bunyi nafas yang berombak itu lebih kuat daripada deruman kereta yang mengaum di tengah pekat malam.

Dan hari ini, alhamdulillah... Tuhan masih memberi kesempatan untuk aku bernafas menyudahkan usia yang telah ditetapkan-Nya.

[Men-jaga kudrat..]

Tuesday, December 27, 2011

~ DUDUK DI SEBELAH ~


BR pulang menjejak kaki ke tanah air untuk beberapa hari sempena sambutan hari natal. Lamaaaaaaaa hilang dia di mata. Lalu kesempatan itu terguna dengan sebaiknya. Kami menghabiskan masa hanya dengan menutur bual sepanjang hari. Ya.. benar-benar sepanjang hari. Seribu cerita.

Dan sungguh... ada rasa lega dalam hembusan nafas kali ini. Senang bila mana aku dapat bercerita secara besar dan mudah. Nyata lelaki ini masih orang yang sama yang pernah duduk di sebelahku dengan kerap melihat langit merah sambil menutur cerita. Senyumnya masih juga manis dan menyenangkan seperti pertama aku mengenalnya dulu.

[Hidop-nya meng-gerak ubah, dan aku haros juga..]

Monday, December 26, 2011

~ DENGAN SENYAP ~









DAN aku senang duduk di situ memerhati. Masih mahu dan tidak pernah ada jemu. Dan itu sungguh.

[Lalu banyak cherita yang me-lintas depan mata dengan jelas..]

Sunday, December 25, 2011

~ LAIN DI CARI ~



LAIN yang dicari, lain yang dibawa balik. Dan itu selalu aku. Mahu asal adalah untuk menggantikan telefon bimbit baharu. Lalu, lantai gedung MV itu aku jelajahi satu demi satu. Namun akhir, kaki lekat singgah di kedai camera. Lalu itu yang dibawa pulang meski bukan itu mahu asalnya.

Lalu ia semakin menjadi koleksi. Saran seorang teman, baik sahaja aku mendapatkan kamera DSLR kerana harga setiap satu kamera kompak yang di dalam koleksi itu bukan seringgit-dua juga. Benar, DSLR lebih memberi kepuasan dari segi kualiti serta fungsi serba serbi. Namun, aku lebih sukakan saiz yang lebih mudah untuk dibawa ke mana sahaja dan tidak merumitkan.

Antara yang telah menjadi koleksi tanpa sengaja.







[Maseh mahu mem-bidek langit merah..]

Saturday, December 24, 2011

~ DI MANA BULAN SOROKKAN... ~


TAJUK: Di Mana Bulan Sorokkan (Himpunan Sajak penulis pascamoden)
KARYA: Uzair Zain
CETAKAN: Pertama (2011)
PENERBIT: Youth Beat Event Management
HALAMAN: 44
HARGA: RM30.00


"Kehadapan kudrat sepasang telapak tangan, sepasang kaki dan segumpal hati, yang setianya diam menemani..." - Uzair Zain


[Bila indah itu ter-kongsi...]

Friday, December 23, 2011

~ KESEMPATAN ~


AKU punya kesempatan ke sini lagi. Melihat bintang dan bercerita tentang bulan. Hal-hal manis yang sentiasa ada untuk kita. Cuma buka mata, lapangkan dada. Dan aku selalu lupa itu.

[Cherita yang sudah tidak sama]

Thursday, December 22, 2011

~ PUNYA ~


SOAL hari esok memang sentiasa mengundang tanya.. yang punya hari ini tidak mesti punya juga pada hari esok. Malah yang tidak punya hari ini, barangkali dipunyai esok harinya..

[Itu putaran-nya..]

Wednesday, December 21, 2011

~ BIAR TIDAK PADA TAHU ~


MOHON Tuhan agar diberikan aku kekuatan dan kesabaran yang paling besar. Agar telinga ini tidak mengendahkan cela yang dituturkan mereka. Agar mata ini tidak terarah kepada kejengkelan yang dipersembahkan mereka dan agar hati ini kebal bertahan meski apa perbuatan mereka. Cukuplah mengetahui sekadar yang ini..

[Kerana pernah dekat..]

Tuesday, December 20, 2011

~ MENUNTUT PERHATI ~


HAMPIR setiap Isnin pada dua bulan terakhir ini, aku cuti dari urus pekerjaan. Hal-hal tidak terjangka begitu menuntut perhati. Satu demi satu bagai berjanji. Mujur sahaja en ketua di lantai pekerjaan memberi pelepasan dengan mengerti.

Isnin semalam juga aku melalui hal yang serupa. Sedikit pengorbanan yang tidak apa-apa. Asal sahaja senyum itu tidak mati, semuanya masih baik-baik. Dan, aku percaya itu.

Mudah-mudahan antara kita saling menyisipkan doa kesejahteraan antara sesama. Dan bukan memintakan celaka hanya kerana berlaku pertentangan yang sedikit itu. Tidak hanya pada kamu, tetapi aku mengingatkan diri sendiri secara besarnya.

"Jadilah manusia yang pada saat kelahiranmu, semua orang tertawa bahagia... tetapi hanya kamu sendiri yang menangis. Dan pada saat kematianmu, semua orang menangis sedih, tetapi hanya kamu yang tersenyum gembira.."

[Biar hanya hal yang manis..]

Monday, December 19, 2011

~ PUSS IN BOOTS ~







AKU tidak pernah sukakan kucing, dan itu kenyataan yang masih belum berubah. Justeru, beberapa kali pelawaan untuk menonton 'Puss In Boots' (yaaa... walaupun hanya sekadar filem), aku tolak dengan penuh helah. Namun semalam lantaran tidak sampai hati mengatakan tidak pada si kecil, aku memenuh inginnya.

'Puss In Boots' mengisahkan tentang dua sahabat baik, Puss dan Humpty Dumpty yang sama-sama dibesarkan di rumah anak yatim. Semenjak kecil mereka berdua begitu obses kepada biji kacang ajaib kerana percaya ia boleh membawa mereka ke atas awan dan berjumpa dengan angsa emas di sana. Mereka sama-sama memasang angan dan berusaha menanam sebanyak mungkin biji kacang dengan harapan bertemu kacang ajaib.

Namun, suatu hari Puss telah menyelamatkan seorang perempuan tua di kampungnya daripada diserang garang oleh si lembu laga. Seluruh penduduk kampung memuji kesanggupan dan keberanian Puss, lalu dia diangkat sebagai hero. Lebih manis, Puss dihadiahkan sepasang boot yang sangat cantik sebagai simbol keberaniannya.

Tanpa disangka, dalam diam Humpty Dumpty berasa sangat cemburu. Dia merasa kecewa dan terpinggir apabila ramai yang memberi perhatian kepada Puss. Lalu, Humpty yang menurut kata hatinya sanggup mengenepikan nilai persabahatan murni yang terjalin dengan Puss dan memutuskan untuk mengenakan sahabatnya itu dengan melibatkan Puss dalam satu kejadian rompakan. Akibatnya Puss telah dianggap sebagai penjenayah dan menjadi buruan pihak berkuasa. Situasi itu telah melukakan hati ibunya (penjaga rumah anak yatim).

Beberapa tahun berlalu, takdir telah membawa kepada pertemuan semula Puss dan Humpty Dumpty. Ketika itu Puss bersaing dengan pengikut Humpty, Kitty Soft Paws untuk mencuri biji kacang ajaib daripada dua penjahat, Jack dan Jill. Humpty mengakui segala kesilapannya dan merayu Puss supaya memaafkan pengkhianatannya itu. Mengenang persabahatan jujur yang pernah mereka lalui suatu masa dahulu, dan hal-hal putih yang pernah dihulurkan Humty, Puss memberikan kemaafan dengan jujur. Manis!

Malangnya, Humpty sebenarnya masih belum berubah dan masih tebal dengan perasaan dendamnya. Justeru, kemaafan yang diberikan Puss itu tidak mengubah apa-apa untuknya. Dia masih mempunyai rancangan jahat untuk mengenakan Puss demi kepentingannya sendiri.

Huh.. tragis... dan aku menonton dengan penuh perhati. Bagai biasa, cerita-cerita animasi seringnya tampil dengan kiriman pengajaran dan moral yang banyak. Paling penting, ia memberi dengan mudah tanpa perlu memikir yang disebalik. Begitu juga halnya dengan filem terbaru terbitan Dreamworks yang meminjam suara Antonio Banderas dan Salma Hayek ini. Kamu sendiri pastinya dapat menangkap apa mesej yang ingin disampaikan melalui filem animasi ini bukan?

Kejujuran di dalam persahabatan, pengkhianatan yang melukakan, cemburu dan iri hati yang merosakkan, sikap mementingkan diri sendiri yang memporak-perandakan, ketamakan yang merugikan, kemaafan yang yang menjernihkan, kasih sayang si ibu yang tidak terbandingkan dan pelbagai lagi nilai murni yang disampaikan secara santai melaluinya.

Ermmm... dan aku mendapat hal itu seusai habis tontonan. Hal yang sudah sedia ada, tetapi diingatkan agar tidak alpa.

[Tidak di-gadai hal-2 yang perenah puteh..]

Sunday, December 18, 2011

~ KONSERT FENOMENA 30 TAHUN SEARCH ~







HEBAT. Itulah yang mampu aku katakan seusai menonton Konsert Fenomena 30 Tahun Search yang berlangsung malam tadi di Mines International Exhibition Convention Centre (MIECC), Sri Kembangan Selangor.

Mungkin ada yang tersenyum kehairanan bila mana aku katakan diri ini menjadi antara 15,000 orang penonton yang turut memeriahkan konsert bersempena ulang tahun ke-30 kumpulan rock lagenda itu.

Pada yang mengenal dekat, pasti sahaja maklum akan kecenderunganku kepada muzik klasikal, orkestra atau paling tidak konsert yang di adakan di dewan tertutup dengan kedudukan penonton yang sopan di kerusi menonton. Justeru apabila aku menghadiri konsert rock keras penuh bingit begini, ia menjadi satu hal yang cukup bertentangan. :)

Lupakan soal itu kerana aku cukup menikmati persembahan bertenaga kumpulan rock lagenda ini. Amy selaku vokalis penuh dengan energi di pentas. Dia memang hebat dan mungkin hanya satu yang dimiliki sejarah kita. Seawal membuka persembahan dengan lagu Panggung Khayalan sehinggalah kepada Fantasia Bulan Madu, lelaki 53 tahun ini berjaya menghiburkan penonton dengan begitu lekat.

Ia menjadi lebih manis apabila hampir setiap tubuh yang hadir pada konsert yang menelan belanja kurang lebih RM1.3 juta ini turut sama mengiringi Amy menyanyi di pentas. Antara lagu-lagu malar segar yang menjadi pilihan pada malam tadi (yang juga menjadi pilihan aku) ialah Ghotik Malam Edan, Fenomena, Isabella, Rozanna, Laila Namamu Teratas, Kejora, Gadisku, Isi Atau Kulit, Mentari Merah di Ufuk Timur, Pelesit Kota, Pawana (sangat menggoda energi) dan banyak lagi.

Ternyata harga tiket RM69 itu berbaloi untuk penonton. Selain kepuasan menikmati persembahan, ruang menonton juga agak selesa. Selesa yang aku maksudkan di sini apabila mereka boleh memilih ruang yang sesuai dengan mereka. Jika mahu berasak-asak di depan pentas, silakan.. jika mahu ada ruang di kiri kanan dan ruang agak santai, juga ada disediakan. Justeru, tidak ada kejadian-kejadian yang mengganggu atau menakutkan orang-orang yang jarang atau pertama kali seumpamanya menyertai konsert rock ini seperti aku.

Cuma sesuatu yang harus aku lalui, apabila pulangnya aku dengan aroma rokok yang begitu keras lekat di seluruh tubuh. Sungguh, hal itu tidak mampu terelakkan. Justeru, untuk tidak membuka ruang tanya yang banyak pada kakak sekembalinya di rumah, aku 'terpaksa' meminta jasa baik sang penjual t-shirt kumpulan lagenda ini yang telah siap siaga mengemas segala barang jualannya untuk membuka kembali barang jualannya (baju) kepada aku.

Dan itu hal yang paling lucu. Manakan tidak, aku pulang ke rumah dengan memakai t-shirt yang seolahnya menyata aku ini antara pengikut dekat mereka. Dan aku masih senyum saat teringatkan kejadian itu yang pertama kali seumpamanya.

[Hal-2 lucu yang mem-buat senyom panjang.. phewitt..]

Saturday, December 17, 2011

~ BICARA HATI ~


TAJUK : Bicara Hati
KARYA : Damya Hanna
CETAKAN : 1, 2, 3 (2003) 4, 5 (2004) 6, 7 (2005) 8, 9 (2006) 10, 11, 12 (2007) 13, 14 (2008), 15, 16, 17 (2009) 18 (2010) 19, 20, 21 (2011)
PENERBIT : Alaf 21 Sdn Bhd
HALAMAN : 559
HARGA : RM18.00

* Novel ini telah diadaptasikan kepada sebuah drama 26 episod yang diarahkan Osman Ali. Drama ini akan disiarkan di saluran astro prima mulai 03 Januari 2011 ini, jam 9.00 malam.


[Hanya di-dalam sana..]

Friday, December 16, 2011

~ TIDAK DALAM KEMAMPUAN ~


KEUPAYAANKU tidak sampai ke tahap itu. Paling aku pasti, jari-jari ini hanya tahu bercerita kisah sendiri sahaja. Lalu aku mencadangkan beberapa nama yang mempunyai kemampuan itu kepada sahabat mei. Biar dia memilih yang menurut rasa percayanya. Bukan mahu membuat helah, tetapi ia demi menghasilkan yang hampir sempurna dan terbangga untuk hal yang dalam rancangannya itu.

[Me-minjam cherita..]

Thursday, December 15, 2011

~ DAN... BERAT MULUT ~


AKU pernah pada entri lepas mengatakan bidang pekerjaanku hari ini bukanlah sesuatu yang aku ingin pada ketika sebelum ini. Malah, jika diperkirakan pada sikap dan personalitiku, jauh amat bezanya dengan keperluan bidang pekerjaan ini.

Paling nyata, kelayakannya menuntut hal-hal yang bertentangan daripada apa yang aku miliki. Namun, sudah ditakdirkan rezeki aku di sini. Maka di sinilah sehingga hari ini, aku meneruskan kesinambungan itu.

Dan hari ini... bagai biasa pada setiap hujung tahun, aku berdepan sesi penilaian prestasi oleh en ketua di lantai pekerjaan. Aku tidak mengharapkan apa kerana sedar amat pada prestasi pekerjaanku. Apa ada suatu yang dinamakan pencapaian untuk sepanjang tahun ini? Dan aku katakan tidak, tanpa perlu berfikir lebih 10 saat.

Lalu setiap tiba pada sesi yang kurang disenangi ini, aku cukup menantikan apakah yang bakal di isi en ketua di ruangan penilaiannya. Bukan soal prestasi pekerjaanku, tetapi penilaiannya kepada isi luar aku. (Dan sahabat yang namanya OL itu tentu sahaja maklum kekalutan yang aku maksudkan di sini).

Selama tiga tahun berturut-turut dia menulis perkataan 'pendiam' di ruang itu dan aku tidak menyenanginya. Mungkin benar aku paling kurang bercakap berbanding teman lainnya, tetapi itu tidak bermakna aku seorang yang benar pendiam. Arghh.. lucu bila mana perlu menimbang-nimbang sendiri begini.

Namun hal yang paling benar, aku tidaklah begitu berat mulut terlalu. Cuma mungkin banyak memilih untuk mendengar. Atau hanya menjadi bising pada kalangan dan ketika tertentu sahaja. Barangkalinya begitu..

Justeru, mohon tidak dinamai atas perkataan pendiam itu lagi. Usahanya sudah begitu berganda untuk mengatasi dan memadamkan perkataan itu.

[Azam 2012, men-jadi ringan mulot..]

Wednesday, December 14, 2011

~ THE MOON REPRESENT MY HEART ~


THE MOON REPRESENT MY HEART
by teresa teng

Ni wen wo ai
Ni you duo shen
Wo ai ni you ji fen
Wo de qing ye zhen
Wo de ai ye zhen
Yue liang dai
Biao wo de xin

Ni wen wo ai
Ni you duo shen
Wo ai ni you ji fen
Wo de qing bu yi
Wo de ai bu bian
Yue liang dai
Biao wo de xin

Qing qing de yi ge wen
Yi jing da dong wo de xin
Shen shen de yi duan qing
Jiao wo si nian dao ru jin

Ni wen wo ai
Ni you duo shen
Wo ai ni you ji fen
Ni qu xiang yi xiang
Ni qu kan yi kan yue liang dai
Diao wo de xin

[Dan.. maseh ada cherita]

Tuesday, December 13, 2011

~ TERLEPAS EMOSI ~


LANGIT tumpah. Berat lebih dari biasa. Lalu aku terperangkap di dalam unta hitam untuk beberapa ketika.

Tangan membelek naskah 'Cinta Fansuri' untuk dihabiskan bacaan yang masih berbaki. Namun entah mengapa mata ini asyik tercuri pandang kepada titisan langit tumpah itu sehingga terhilang fokus kepada karya Pak Samad itu.

Godaan itu akhirnya membuatkan aku menutup helaian 'Cinta Fansuri'. Memerhati satu demi satu titisan yang membasah bahagian depan unta hitam. Semakin lama semakin keras sehingga bunyi titisnya begitu jelas menyambar pendengaran.

Dan... hati tiba-tiba menjadi sebak. Lalu gugur manik jernih mengiringi langit tumpah itu. Ia akhirnya menjadi tangisan yang kemudiannya menjadi sama kuatnya dengan titisan langit tumpah. Terlepas segala emosi yang ditahan selama ini. Terlepas air mata yang keras kusekat beberapa hari terkebelakang ini. Hal yang di tahan-tahan di dalam hati selama ini, keluar menjelas-jelas.

Surat Untuk Sahabat,

Aku maafkan kamu di atas segala apa yang terjadi antara kita ini. Ia terlahir ikhlas dan tidak sekadar di bibir. Terpulang kamu jika mahu terus mencurigai. Namun, mohon kau juga maafkan aku diatas segala apa yang pernah mengguris hati. Ia paling jujur. Dan Tuhan lebih tahu.

Benar, kesakitannya maha dalam... tetapi tidak pernah ada kebencian... dan meski baju yang koyak itu mungkin tidak mampu ditampal, doa kesejahteraan tetap aku sisipkan buat kamu. Cuma mohon, jangan terus-terus menyumpahi aku dan menghumbankan aku dalam caci maki kamu. Kerana situasi itu mengheret aku dalam ketakutan yang panjang.

Lalu, sekali lagi aku mohon jangan dimintakan 'celaka' untuk aku meski aku terlihat begitu 'hitam' pada kamu...

Doa kesejahteraan...

[Sa-malam biar kekal jadi sa-malam..]

Monday, December 12, 2011

~ MATAHARI JATUH DI BATAS SAWAH ~






'Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain..'

SABTU
lalu, atas urusan pekerjaan aku kembali menjejakkan kaki ke tanah Tanjung Karang, yang banyak sekali menyimpan rahsia sebahagian aku.

Lalu saat badan terhampar di situ, satu demi satu memori lalu bermain di depan mata. Berputar seperti mana wayang di layar lebar yang mempersembah kisah. Dan... Cerita lalu itu sangat manis untuk dikenang.

Di batas sawah itu pernah menjadi tempat kegemaranku menunggu matahari jatuh, di tepi tali air kusam itu menjadi tempat pilihan untuk aku merajuk bersendiri... di sana sini penuh dengan memori. Lekat dengan seribu satu cerita. Ermm.. dan sudah bertahun aku meninggalkan jejak sebelum kembali pada Sabtu lalu.

Kaki berat untuk melangkah pergi, namun keterbatasan waktu dengan urus lain yang mengikat keras, aku terpaksa berpuas hati dengan kesempatan yang sedikit ini. Mudah-mudahan ada kesempatan lain yang mejemput.

[Men-churi ka-sempatan ma-lehat mata-hari jatoh dari batas sawah saperti mana yang perenah aku lakukan satu ketika dahulu... dan sunggoh,aku maseh orang sama...]

Sunday, December 11, 2011

~ BERLAPANG DADA ~


SEUSAI urus pekerjaan dan pulang ke rumah kurang lebih jam 4.40 pagi tadi, aku terus bersiap untuk untuk pulang ke kampung halaman. Pun begitu, badan yang keletihan yang hampir hilang nafas memaksa aku melelapkan mata sehingga jam 6.10 pagi. Dan setelah itu, terus sahaja menghalakan arah ke pantai timur semenanjung tanah air.

Alhamdulillah, keadaan ibu bertambah baik dan telah pulang ke rumah setelah beberapa hari ditahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah. Menyorot mata ibu, hati terus menangis. Betapa kuatnya ibu menghadapi semua ini. Malah dalam keadaan begini, ibu masih pentingkan ayah. Masih mengutamakan segalanya demi ayah. Sementelah sakit ayah juga masih berkeadaan serupa.

Dan.. Tuhan menguji kami.

[Coba menerima dengan ber-lapang dada..]