Sunday, November 20, 2011

~ TEATER BADAI SEMALAM ~






(kredit foto: www.mstar.com.my)
AKHIRNYA kesempatan tiba juga, menonton pementasan Badai Semalam di Panggung Sari, Istana Budaya. Lazim selalu aku akan memilih untuk menonton pada hari-hari awal pementasan, namun kali ini kesempatan itu tiba agak lewat.

Banyak urus yang membuat kacau, lalu aku memilih untuk mendahulukan hal-hal yang di papan atas. Pun begitu, aku tetap mencuri keluangan untuk menjadi sebahagian yang menonton pementasan yang khabarnya ditunggu ramai ini.

Naskah yang diadaptasikan daripada novel popular karya Khadijah Hashim ini bukan sembarangan. Ia punya nilai dan aura yang paling tersendiri. Usah disemboronokan kerana kisah dan jalan ceritanya telah lama lekat dalam perhatian sebahagian masyarakat. Sementelah novel ini pernah dijadikan naskah sastera di sekolah-sekolah.

Aku tidak melihat kepada barisan para pelakonnya kerana bagiku kejayaan sesebuah pementasan teater itu bukan diukur kepada besar atau kecilnya nama mereka. Apa yang lebih penting adalah bagaimana naskah itu dipersembahkan, bagaimana isi ceritanya difaham-ertikan.

Lalu aku tidak merasa Badai Semalam ini akan menjadi hebat hanya kerana adanya Aaron Aziz, atau berlaku unsur ketarikan kepada Erra Fazira. Nahh... aku masih dengan pendirian yang sama seusai menonton pementasan berdurasi kurang lebih dua jam itu. Aaron Aziz tidak sepenuhnya memperlihatkan Karim yang sebenar. Dan... Erra Fazira tetap Erra yang dipertontonkan di layar lebar mahupun kaca TV. Cuma Umie Aida yang kekal pada pesonanya. Juga penampilan pertama Emelda Rosmila sebagai Cik Mahani yang membuat hidup.

Pun begitu, jalan ceritanya masih lagi menarik kerana ia tidak mengusik terlalu banyak versi asalnya dari naskah novel. Kita masih ada rasa untuk mengidolakan watak Mazni itu meski yang dipersembahkan Erra tidak sampai pada tahapnya.

Justeru, ingin aku katakan Badai Semalam versi teater di tangan pengarah Khairunazwan hanya biasa-biasa sahaja. Adaptasi yang hanya sekadar itu. Ia tidak gagal, tetapi ia tidak memberi apa-apa pesona. Tidak juga menyamai apatah lagi mengatasi teruja versi novelnya.

Pun begitu, pujian untuk seluruh yang terlibat dalam pementasan teater ini atas ysaha mereka untuk memberikan yang terbaik.

[Ter-ganggu dengan babak-2 nyanyian dalam Badai Semalam yang kata-nya bukan sebuah muzikal..]

No comments: